Imam dan Masjid LGM: Satu Cadangan

 

Sebagai salah seorang kakitangan LGM di Sungai Buluh yang saban waktu menunaikan sembahyang berjamaah terutamanya solat Jumaat maka terlintas di fikiran untuk memberi cadangan ini.

 

Masjid Al-Ikhlas LGM Sungai Buluh yang satu waktu dulu hanyalah sebuah surau namun setelah ditauliahkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sebagai tempat bersembahyang Jumaat yang akhirnya dinaikkan taraf kepada sebuah masjid. Lokasinya yang baik dan mempunyai kawasan yang luas menjadikan masjid ini sebagai tumpuan utama masyarakat sekitar terutama pekerja-pekerja swasta di kawasan ini memilih masjid Al-Ikhlas sebagai tumpuan menunaikan sembahyang Jumaat setiap minggu. Ini membuatkan masjid Al-Ikhlas dipenuhi oleh para jemaah setiap minggu. Sambutan dari para jemaah ini amat membanggakan kita warga LGM kerana masjid ini menjadi pilihan utama oleh sebab lokasinya yang baik dan kemudahan meletak kereta di kawasan yang luas.

 

 

Cadangan 1: Masjid baru.

 

Namun dipandang dari satu sudut lain saya merasakan sedikit perubahan perlu dilakukan bagi masjid ini kerana ianya melambangkan imej LGM. Kalau ditinjau di negara kita hari ini sebahagian besar agensi-agensi kerajaan atau institut pengajian tinggi telah lumrah mempunyai masjid mereka sendiri dengan rekabentuk yang cantik dan binaan yang kukuh. Oleh itu saya rasa dengan sambutan orang ramai datang berjamaah maka sudah sampai masanya masjid Al-Ikhlas LGM ini diberi nafas baru dengan memiliki sebuah bangunan yang direkabentuk baru dan mempunyai ruang yang lebih luas dan selesa untuk para jamaah bersembahyang. Alangkah baiknya jika masjid baru ini mempunyai sudut khas meletak kasut, bilik berwuduk tertutup, dewan sembahyang yang luas di aras yang sama, selesa dan segalanya tersusun serta terancang.

 

LGM adalah sebuah agensi kerajaan yang besar bukan sahaja sekadar mempunyai kakitangan yang ramai,  kawasan kuarters pekerja yang luas, estate yang saujana mata memandang dan bangunan pejabat yang banyak malah  LGM sebuah agensi yang terkenal masyur yang merupakan nadi penggerak kepada kemajuan komoditi getah Malaysia dan antarabangsa. Oleh itu membina kepada orang Islam sebuah tempat ibadat yang baru yang luas dan selesa akan menguntungkan kita semua.

 

 

Cadangan 2: Imam yang berkelayakan.

 

Begitu juga dalam soal perlantikan Imam, bagi sebuah masjid baru yang disarankan itu memerlukan seorang imam yang berkelayakan dan berilmu dan komited sepenuhnya kepada aktiviti masjid ini. Oleh itu cukup baik sekiranya diadakan satu jawatan yang sepatutnya kepada imam dan diberikan pendapatan yang tetap. Dewasa ini begitu ramai penuntut yang berkelulusan ijazah dalam bidang agama terutamanya yang belajar di pengajian tinggi agama luar negeri seperti Kaherah, Mesir yang belum mempunyai kerja yang tetap adalah peluang bagi kita untuk mendapatkan khidmat mereka. Jawatan imam masjid LGM tidak mustahil boleh diujudkan jika kita betul-betul berusaha dan dengan mengambil mereka yang berkelulusan agama dari negara Arab akan membuka peluang yang luas bagi kita di LGM untuk menimba berbagai bidang ilmu agama dari mereka. Jawatan imam yang diberikan itu bukan hanya bertanggung jawab sebagai imam sahaja malah berfungsi juga sebagai pendidik agama melalui kelas-kelas agama yang dianjurkan kerana telah diberikan gaji yang tetap. Imam yang mahir berbahasa Arab dapat mengadakan kelas bahasa untuk kakitangan LGM selain menganjurkan kelas-kelas agama yang lain seperti usuluddin, hadis, usul feqah, fardu ain dan sebagainya. Seorang imam yang hafiz bukan sahaja dapat menjadi imam sembahyang yang baik malah dapat menurunkan ilmu dan kaedahnya bagi kita yang berminat sebagai hafiz al-Quran juga.

 

Saya rasakan proaktif hendaklah dilakukan oleh PILGM sebagai badan yang mewakili kakitangan Islam LGM membawa cadangan ini. PILGM boleh mendapat pandangan dari pihak pengurusan LGM dan seterusnya mengambil nasihat dari Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berkaitan perlantikan imam berjawatan tetap di kalangan mereka yang berkelulusan/ijazah dalam bidang agama dari negara Arab memandangkan sekarang ini begitu ramai bekas pelajar ini yang masih belum mempunyai pekerjaan.

 

Akhir kata ini hanya satu cadangan yang baik yang saya rasakan. Cadangan akan tinggal cadangan jika kita tidak membuat sebarang tindakan susulan. Maka saya mengharapkan ajk PILGM kepimpinan akan datang akan berusaha sesuatu agar cadangan ini dapat diketengahkan.

 

Wassalam.

 

 

Hosted by www.Geocities.ws

1