Pembunuhan Pemimpin Hamas

 

“Syahid yang dinanti-nantikan” itulah kata-kata sebahagian besar para ulamak besar dunia seperti ulamak tersohor Syeikh Dr. Yusuf Al Qardhawi apabila membuat kenyataan terhadap pembunuhan kejam rejim zionis Israel ke atas pembunuhan Sheikh Ahmed Yassin yang merupakan seorang pemimpin dan pengasas Hamas yang berjuang untuk mendapat kedaulatan bumi Palestin. Para ulamak menyeru tindakan balas kepada Israel ke atas pembunuhan kejam ini. Syeikh Faysal Mawlawi, Setiausaha Jamaah Islam Lubnan meminta supaya rundingan dengan Israel ditutup buat selama-lamanya dan meminta pertubuhan-pertubuhan Arab yang menjalinkan hubungan dengan Israel supaya membatalkan semua kerjasama. Mursyidul Am Al-Ikhwanul Muslimin, Mohamad Mahdi Akif pula meminta pemimpin-pemimpin Arab bersungguh-sungguh dalam menghadapi serangan Israel yang berterusan ke atas rakyat Palestin dan pemimpinnya. Syeikh Hamed Al-Baitawi, Khatib Masjid Al-Aqsa mengucapkan takziah kepada rakyat Palestin di atas kesyahidan pemimpin Hamas ini dan beliau berkata “Kerugian kita adalah besar akan tetapi takziah kita bahawa Syeikh Yassin telah mencapai permintaannya daripada Allah sebagai syahid. Syeikh Al-Azhar Dr. Mohamed Sayed Tantawi mengutuk pembunuhan yang dilakukan ini dan beliau menegaskan bahawa pemimpin hamas adalah orang yang mempertahankan agama dan tanahairnya. Peristiwa pembunuhan kejam ini mendapat kutukan cukup hebat dan bantahan oleh sebahagian besar negara-negara di dunia ini yang cintakan keamanan termasuk Malaysia.

Israel diketahui telah mengeluarkan keputusan bagi menghancurkan pemimpin-pemimpin gerakan Hamas setelah peristiwa serangan Hamas pada 19 Ogos lalu yang menewaskan 22 Israel dan mencederakan ratusan lainnya. Satu laporan yang dikeluarkan oleh wakil Palestin pada Selasa (30/3/04) mengungkapkan bahawa terdapat 31 syahid, laki dan perempuan yang gugur sejak pembunuhan Israel terhadap Syeikh Ahmad Yasin pada Senin minggu lalu (22/3/04) hingga Jumaat. (26/03). Laporan itu, yang dikeluarkan oleh pusat maklumat kesihatan Palestin yang ada di jabatan itu, menyebutkan bahwa 25 orang syahid di Semenanjung Gaza, sedangkan sisanya gugur di Tebing Barat.

Jika kita meneliti beberapa peristiwa yang berlaku terdahulu dapat dirumuskan perjanjian gencatan senjata Palestin-Israel sudah hancur. Israel tetap degil untuk selamanya kembali menyerang apa yang disebutnya pengganas di Palestin. Tahun lalu (21/8/2003) salah seorang pimpinan politik Hamas syahid dibunuh pasukan tentera Israel dalam suatu serangan udara ke pusat kota Gaza. Ramai yang terkorban dalam serangan itu termasuk Abu Shanab yang juga seorang pejuang Hamas yang terkenal.

Bagi kita di Malaysia merasakan peristiwa serangan kejam Israel kepada rakyat Palestin amatlah menyedihkan dan terlalu malang kerana segala saluran telah digunakan bagi mengembalikan hak kepada rakyat Palestin. Pendirian tegas kerajaan Malaysia dalam memastikan rakyat Palestin mendapat hak dan kedaulatan tanahair mereka hendaklah disokong dan diharap mendapat perhatian seluruh dunia. Sebagai saudara seagama kita turut merasa pilu dan sedih mengenangkan nasib dan penderitaan umat Islam Palestin sejak hampir sedekad yang lalu. Sudah tidak terjumlah lagi bilangan rakyat Palestin yang dibunuh termasuk wanita dan kanak-kanak. Mereka tidak pernah menempuhi nikmat keamanan dan kedamaian sepertimana kita rasai kini. Hujan peluru bagi mereka sudah tidak memberikan perasaan takut lagi apatah pula bunyi dentuman peluru dan senjata yang datang tidak mengira waktu malam atau siang.

Menginsafi kesengsaraan yang rakyat Palestin hadapi ketika ini adalah wajar bagi kita menjaga dan memelihara negara kita ini agar terus kekal di dalam suasana aman dan damai, tidak ada sikap prejudis dan permusuhan antara kaum. Di sinilah letaknya kita mesti bersyukur kepada Allah swt kerana limpah rahmat yang diberikanNya. Allah berfirman dalam Al Quran, “Dan apabila kamu bersyukur kepada Ku nescaya Aku akan tambahkan nikmatKu kepada mu”.

Oleh itu bagi memastikan negara kita terus kekal dalam suasana keamanan yang damai hendaklah kita sama-sama berpegang kepada prinsip bertolak ansur, bekerjasama, saling membantu dan hormat menghormati.

Pepatah Melayu mengatakan “bersatu teguh bercerai roboh” dan “hidup sandar menyandar umpama aur dengan tebing”.

 

 

Hosted by www.Geocities.ws

1