Merayakan yang bukan hak kita
Sebagai umat yang mengaku beragama
Islam, kita mempunyai hak untuk merayakan hari-hari besar yang kita miliki yang
termaktub dalam kitab dan yang disepakati oleh para ulamak. Bermula dari satu
Muharram yang merupakan tahun bersejarah kerana Hijrah Nabi Muhammad saw dan
umat Islam dari Mekah ke Madinah. Kemudian 12 Rabiulawwal hari kelahiran
Rasulullah, Rejab peritiwa Israk & Mikraj, Syaaban dengan nisfu syaabannya,
sehinggalah bulan Zulhijjah ada saja hari besar yang boleh kita raikan.
Persoalannya
mengapa hari ini umat Islam terutamanya generasi muda tidak ambil peduli
hari-hari besar Islam ini. Remaja Islam kita lebih menunggu kehadiran 1 Januari
untuk bersukaria. Kemudian pula menanti 14 Februari untuk merayakan hari yang disebut
“valentine day”, selepas itu bergurau senda dan mengenakan kawan rakan pada 1
April yang disebut “April fool”. Sedangkan kita sering diberitahu disetiap
ketika hampirnya hari-hari tersebut agar jangan merayakan sambutanhari-hari
berkenaan kerana ianya bercanggah dan tidak ada kena mengena dengan agama
Islam. Sebaran email membantah hari-hari seperti itu dirayakan sering sampai
kepada kita malah kadangkala khutbah Jumaat juga sering menyentuh perkara ini
betapa ianya tidak boleh disambut kerana tidak digalakan dalam Islam. Semua ini
tidak diambil peduli dan umat Islam terutamanya para remaja masih terus
merayakannya.
Menyambut tahun
baru contohnya, bermula dari 31 Disember petang para remaja berduyun-duyun ke
tempat-tempat keramaian di mana acara sambutan itu diadakan. Dengan pakaian
yang terlalu mendedahkan dan berpacaran bersama pasangan masing-masing mereka
tanpa segan silu melakukan sesuatu yang melampaui budaya adat dan agama.
Begitu juga
dihari “Valentine day” pasangan yang kononnya sedang berkasihan bertukar-tukar
hadiah, bercumbuan dan ada yang beralkohol sehingga mabuk sebagai tanda setia
pada kekasih. Meeka hanya sedang di alam percintaan sahaja yang belum pun
disahkan sebagai suami isteri yang sah tetapi telah melampaui perjalanan hidup
suami isteri. Apakah maknanya semua ini?
Penganiayaan,
tipu helah, gurau senda melebihi batasan dan pembohongan menjadi mainan pula
pada “April fool” yang sehingga kita tiada hak untuk menunjukkan kemarahan
apabila diri dihina atau ditipu pada hari itu. Sedangkan di dalam Islam yang
cukup indah melarang sama sekali untuk menipu, berbohong dan menjatuhkan maruah
orang lain. Kenapa pula pada “April fool” dibenarkan dan dihalalkan? Siapakah
yang mengajar semua ini?
Tidak ada dalam
sejarah agama kita yang menunjukkan bahawa budaya-budaya songsang yang
dinyatakan di atas tadi diperkenalkan oleh mereka yang asalnya dari orang Islam
sebaliknya budaya kotor ini diperkenalkan kepada kita oleh masyarakat lain yang
tidak beragama Islam. Merayakan tahun baru masehi dibuat oleh masyarakat
Kristian beratus tahun yang lalu sebelum budaya ini merebak sampai kepada
pengetahuan umat Islam. Apabila umat Islam diperkenalkan dengan budaya ini,
kita terus sahaja menerima segala perlakuan dan tatacara kaedah merayakannya
tanpa tapisan menyahkan unsur-unsur negatif yang terdapat dalam sambutan itu.
Kita menerima bulat-bulat tanpa pengubahsuaian agar ianya tidak bercanggah
dengan kehendak agama.
“Valentin day”
merupakan perayaan memperingati seorang paderi tetapi apabila dinobatkan sebagai
hari kekasih, kita langsung menerimanya walaupun kita telah tahu sejarah dan
asal usul bermulanya hari itu. Kita buat-buat tidak peduli. Hari ini ramai
sudah tahu bahawa valentine mengambil sempena seorang paderi St. Valentino pula
merupakan seorang paderi utama yang hidup pada zaman pemerintahan Ratu Isabella
dan merupakan antara orang terpenting yang menjatuhkan dan menzalimi umat Islam
Cordova, Sepanyol pada zaman lampau.
Rasulullah
lahir pada 12 Rabiul Awal manakala tarikh kejayaan St.Valentino dan
konco-konconya menawan Cordova daripada umat Islam ialah pada 14 Februari.
Peliknya terutama di kalangan umat Islam sendiri, tarikh 14 Februari lebih
senang untuk diingati berbanding 12 Rabiul Awal itu sendiri. Pelbagai acara
diadakan pada hari itu oleh anika pertubuhan, orang perseorangan, edaran
kad-kad ucapan hatta malah ada juga media elektronik yang mewujudkan satu
program hiburan sempena Hari Valentine.
Mengikut
ceritanya seperti dijelaskan oleh Pensyarah Perbandingan Agama, Akademi Islam,
Universiti Malaya, Khadijah Mohd. Hambali berkata, Valentine atau nama
sebenarnya St.Valentino merupakan seorang paderi yang paling berpengaruh di
zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol. Kedudukannya dikatakan di
tempat kedua selepas Pope. Kaitannya dengan Hari Valentine yang disambut oleh
masyarakat dunia hari ini termasuk di kalangan umat Islam sendiri mempunyai dua
versi.
Versi pertama
ialah dia merupakan orang terpenting Ratu Isabella yang berperanan menumpaskan
kerajaan Islam Cordova, Sepanyol. Jasanya itu dianggap oleh Ratu Isabella
sebagai amat bermakna sehingga Valentino dianggap kekasih rakyatnya sendiri.
Justeru itu 14 Februari ditetapkan sebagai cuti umum di samping hari untuk
merayakan kemenangan tersebut setiap tahun sekaligus mengenangnya sebagai
mengingati St. Valentino sebagai rakyat Cordova.
Menurut versi
kedua pula, St. Valentino sebelum kejayaan itu dikatakan mempunyai dua orang
kekasih. Kekasih pertama dikatakan beragama Islam manakala yang kedua beragama
Kristian berfahaman Protestan. Oleh kerana berlainan agama, St. Valentino
terpaksa melupakan kekasih pertama dan menumpukan perhatian kepada kekasih
kedua. Apabila ditanya Ratu Isabella apakah bentuk ganjaran yang boleh
dikurniakan berikutan kejayaannya mengalahkan umat Islam, St. Valentino terus
menyatakan yang dia ingin berkahwin dengan kekasih keduanya itu.
Ini terus
menimbulkan kegemparan di kalangan rakyat Cordova sendiri kerana Valentino
merupakan paderi Katolik yang tidak boleh berkahwin dengan pengamal Protestan
sementelahan lagi paderi sememangnya tidak boleh berkahwin. Ratu Isabella pula
dikatakan murka dengan hasrat St. Valentino lantas memenjara paderinya itu buat
sementara waktu. Begitupun, baginda tetap mahu cuba mengingati jasa paderinya
itu dengan menetapkan 14 Februari sebagai Hari Mengingati Kekasih yang
diuntukkan khas untuk St. Valentino sendiri.
Berdasarkan
kedua-dua versi itu, apakah asas yang kukuh sehingga umat Islam sendiri
menganggap Hari Valentine itu? Atau pun, mereka hanya mengikut budaya Barat
secara membuta tuli sedangkan tidak mengetahui siapakah sebenarnya St.
Valentino itu.
Menyentuh
kepada “April Fool's Day” ini, dipercayai ia mula dirayakan sewaktu kejatuhan
kerajaan Islam di Sepanyol setelah bertapak berkurun-kurun lamanya di
Granada,Sepanyol. Kerajaan Islam akhirnya runtuh diserang tentera-tentera
Kristian dan penduduk-penduduk Islam di Sepanyol ( Moors ) terpaksa berlindung
di rumah masing-masing untuk menyelamatkan diri. Tentera-tentera Kristian
bagaimanapun tidak berpuas hati dan usaha untuk menghapuskan orang-orang Islam
dari Sepanyol.
Penduduk-penduduk
muslim ini,ditipu bahwa mereka dibenarkan meninggalkan Sepanyol dengan selamat
bersama-sama barang-barang keperluan mereka dengan menggunakan kapal-kapal yang
berlabuh diperlabuhan. Orang-orang Muslim ini pergi ke perlabuhan untuk melihat
kapal-kapal yang dimaksudkan dan setelah berpuas hati, mereka membuat persiapan
untuk bertolak. Malangnya pada keesokan harinya (1April), ketika menuju ke
pelabuhan pihak musuh mengambil kesempatan untuk menggeledah, membakar dan
membunuh penduduk-penduduk Islam ini.
Penipuan inilah
yang dinamakan “April fool” yang mereka rayakan dan hari ini kita umat Islam
juga turut sama menyambutnya.
Lalu ingin
ditanya di sini di manakah maruahnya kita hari ini.? Tidakkah kita merasa malu
dan terhina merayakan sesuatu yang bukan merupakan hak dan budaya kita? Apakah
kurangnya kita jika kita membiarkan hari-hari itu berlalu sahaja tanpa kita
ambil peduli? Dan apa pula yang kita dapat kerana merayakannya?
Jawapannya kita
tidak mendapat apa-apa ketika merayakannya malah menghina diri sendiri dan kita
tidak rugi apa-apa jika menjauhinya. Oleh itu lupakanlah hari seperti itu yang
tidak membawa sebarang kebaikan.
Wassalam