AJK PILGM

MENGHARGAI JASA-JASA YDP

 

 

Dr. Maarof Zainal Abidin yang sekian lama dilantik menjadi YDP PILGM apabila mengambil alih pentadbiran PILGM dari YDP yang terdahulu iaitu Dr. Mohamad Bakar akan bersara wajib pada 13 Mac 2004 ini. Persaraan beliau dari LGM secara tidak langsung menyebabkan kekosongan jawatan YDP persatuan ini dan sedikit sebanyak meninggalkan kesan dan rasa sedih kepada kita semua.

 

Kepribadian beliau yang baik serta mudah mesra dengan sesiapa sahaja akan membuatkan amat terasa kehilangan beliau dari kepimpinan PILGM. Beliau disepanjang memimpin PILGM telah membuktikan sikap bekerjasama, berkongsi pendapat dan setiakawan adalah tunggak dalam melaksanakan pelbagai aktivti ilmiah dan dakwah kepada semua ahli-ahli PILGM. Sikap yang seperti ini juga adalah jalan terbaik untuk mengeratkan perpaduan ukhwah sesama ahli khususnya dan sesama umat Islam pada keseluruhannya.

 

Mendengar semua pendapat dari semua jawatankuasa dan memilih pendapat yang terbaik adalah cara bagaimana Dr. Maarof membuat keputusan dalam mentadbirkan persatuan. Sikap yang seperti ini menjadikan semua ahli jawatankuasa PILGM yang berada di bawahnya merasa cukup senang hati dan bertambah minat untuk terus berada bersamanya. Buktinya jelas dapat dilihat apabila setiap program yang dilaksanakan mendapat kerjasama yang erat di kalangan jawatankuasa serta mendapat sambutan yang baik dari ahli-ahli.

 

Kalau dulu untuk mendapatkan penyertaan ahli bagi program anjuran badan/agensi di luar dari LGM seperti penyertaan sambutan Ma’al Hijrah, perarakan sambutan Maulud Nabi saw dan sebagainya, sukar mendapat kerjasama dari ahli-ahli, namun demikian dengan Dr. Maarof ini penerimaan berbeza. Ahli cukup senang untuk menyertainya apabila bersama beliau.

 

Persatuan tidak dapat ditadbir dengan lancar dan berkesan jika tidak ada komitmen dari YDP. Tetapi ini tidak berlaku di PILGM di bawah kepimpinan Dr. Maarof. Hubungan beliau yang erat dan saling memahami antara beliau dan Setiausaha Kehormat menjadikan jawatankuasa di bawahnya mantap. Dalam senyum tawa Setiausaha Kehormat bersamanya semua aktiviti dan program berjalan sempurna. Begitu juga antara YDP dengan Bendahari Agong yang sentiasa memberikan maklumat kedudukan kewangan dan YDP akan mendapatkan nasihat Bendahari mengenai keupayaan kewangan sebelum sesuatu rancangan akan dilaksanakan.

 

Di kalangan jawatankuasa kecil PILGM boleh dikatakan setiap jawatankuasa kecil digerakkan dengan berbagai aktiviti dan program. Jawatankuasa kecil wanita dan Jawatankuasa kecil sosial umpamanya begitu rancak dengan pelbagai aktiviti berunsur kebajikan dan kesedaran agama kerana mendapat sokongan dan kepercayaan penuh dari beliau sendiri. Program tabung pendidikan, bantuan kepada anak-anak yatim dan yang kurang bernasib baik sentiasa sahaja mendapat sambutan. Jualan barangan, kain pelikat dan buku-buku, ceramah, pendidikan dan sebagainya pasti akan mendapat kerjasama penuh dari YDP.

 

Pernambahan peruntukan untuk program dakwah dan tarbiah di bawah Jawatankuasa Dakwah samada di Sg. Buluh atau BGA atau pun di Jalan Ampang membuktikan Dr. Maarof memberikan penekanan penuh dalam menjayakan siri-siri ceramah agama kerana inilah matlamat utama penubuhan PILGM iaitu menjanakan kesedaran terhadap agama di kalangan ahli-ahli.

 

Di bawah pentadbiran Dr Maarof juga mempertingkatkan lagi hubungan akrab dan erat antara PILGM dengan Jawatankuasa Masjid Al-Ikhlas LGM, Sg Buluh di mana pada setiap tahun sentiasa sahaja ada program anjuran bersama dua jawatankuasa ini. Sikap mudah mesra dari beliau seperti yang dikatakan itu adalah aset utama beliau amat disenangi oleh semua orang. Apa yang menarik dalam setiap program ini beliau pasti akan menyertainya tidak kira dalam kesebokan yang beliau hadapi.

 

Manakala bagi Jawatankuasa ekonomi tentulah tidak akan melupakan bagaimana Dr Maarof sentiasa memberi sokongan bagi setiap rancangan yang dirasakan akan memberi manfaat kepada ahli-ahli. Skim pinjaman wang pendahuluan tanpa riba umpamanya telah dinaikkan dari cuma RM150.00 satu ketika dulu telah ditingkatkan kepada RM500.00, begitu juga pinjaman al-bai bithamil ajil telah diperluaskan kepada berbagai jenis barangan keperluan. Semuanya dibuat semata-mata demi kepentingan untuk faedah ahli.

 

Bagi kami di Jawatankuasa Penerbitan sokongan, kepercayaan dan galakan dari beliau adalah perintis yang memberikan makna yang besar. Apabila kami meminta agar beliau menyumbangkan artikal untuk disiarkan di dalam Ar-Risalah maka pastinya Dr Maarof tidak akan mengecewakan. Jika diminta satu, tetapi beliau akan memberikan lebih dari satu. Atas dorongan dan kepercayaan inilah menjadikan minat untuk memberikan komitmen kepada tanggung-jawab semakin tinggi. Dapat kami katakan bahawa atas inisiatif dan semangat yang diberikan oleh beliaulah maka kami Jawatankuasa Penerbitan PILGM terus berusaha hingga mampu melancarkan laman web PILGM sendiri di alamat http://www.geocities.com/pilgm/index.html. Prihatin beliau kepada laman web ini menjadikan pengendali laman web ini semakin aktif dan sering meng”update”kan bahan-bahan dari masa kemasa.

 

Tidak banyak yang dapat seluruh ahli jawatankuasa katakan kepada beliau, melainkan cukup hanya kami katakan bahawa kami “amat senang” bekerja dan menjadi AJK persatuan bersama dan di bawah kepimpinan beliau. Ini adalah kenyataan dan hakikat.

 

Kepada Dr. Maarof Zainal Abidin YDP PILGM, ingin kami panjatkan ucapan terima-kasih yang tidak terhingga kepada beliau di atas segala kerjasama dan semangat kepimpinan malah contoh teladan yang baik yang ditunjukkan itu.

 

SELAMAT BERSARA kami ucapkan kepada beliau dan kami doakan beliau akan terus diberi Allah swt dengan kesihatan yang lebih baik dan memperluaskan kerjaya yang lebih cemerlang ketika bersara serta terus gigih demi menyampaikan dakwah dan kemurnian Islam.

 

Terima kasih dan Wassalam.

 

 

Dari SEMUA AJK PILGM

 

 

 

Hosted by www.Geocities.ws

1