SUATU DRAMA DI MUSIM HAJI
Lapang benar
dada Pak Uwei bila pegawai yang bertugas di kaunter pejabat Tabung Haji itu
memberitahu nama dia dan isterinya turut tersenarai dalam senarai jemaah yang
akan menunaikan fardhu haji pada tahun ini.
"Tapi pak
cik kena bayar segera bahagian isteri pak cik yang masih tak cukup tiga ribu
lagi tu. Selewat-lewatnya minggu depan bayaran mesti dibuat," beritahu
pegawai itu lagi.
"Insya
Allah, encik. Saya akan bayar seberapa segera," janji Pak Uwei.
Berita gembira
itu ingin segera dikongsi bersama isteri kesayangannya. Sebaik keluar dari
pejabat Tabung Haji dia terus balik ke rumah.
"Pah...oo..Pah!"
teriak Pak Uwei sebaik turun dari keretanya.
"Apa
bendanya terlolong-lolong ni bang?" tanya Mak Pah.
"Ada
berita baik ni Pah, nampaknya hajat kita nak ke Mekah tahun ini akan tertunai.
Insya Allah dua bulan lagi kita akan ke sana. Tak sabar betul saya, rasa macam
Kaabah tu dah melambai-lambai," cerita Pak Uwei dengan wajah berseri-seri.
"Betul ke
ni bang? Baru semalam si Johari beritahu dia dengan Minah tak dapat pergi.
Namanya tidak ada dalam senarai." balas isterinya.
"Betullah
Pah oii...saya ni baru je balik dari pejabat Tabung Haji. Cuma duit bahagian
awak tu kena bayar segera selewat-lewatnya minggu depan." Pak Uwei
menjawab.
"Mana kita
nak cari duit banyak tu bang? Tiga ribu tu bukan sikit, itu pun lepas duit
tambang. Duit kocek mau juga sekurang-kurangnya dalam seribu." Mak Pah
merenung gusar wajah suaminya.
"Alah Pah,
kita mintalah tolong dengan Muaz dan Balkis. Takkanlah mereka tak nak beri.
Bukannya banyak, cuma dua ribu seorang saja." Wajah Pak Uwei semakin
berseri-seri. Dia yakin anak- anaknya yang dua orang itu tidak akan
menghampakan harapannya.
"Lusa hari
minggu, saya nak suruh budak-budak tu balik boleh kita berunding," cadang
Pak Uwei.
"Kalau tak
cukup bahagian saya tu, awak ajelah yang pergi dulu. Tak elok kita menyusahkan
anak-anak bang, lagipun apa pula kata menantu kita nanti nak ke Mekah minta
duit anak-anak." Mak Pah tidak bersetuju dengan rancangan Pak Uwei.
"Pah...
Muaz dan Balkis tu kan anak-anak kita. Kita dah besarkan mereka, hantar belajar
tinggi-tinggi takkan nak hulur dua ribu pun tak boleh lagipun selama ni kita
tak pernah minta duit mereka. Tak usahlah awak bimbang Pah, saya yakin
anak-anak kita tu tak akan menghampakan kita kali ni." Yakin benar Pak
Uwei, harapan yang menggunung digantungkan kepada anaknya.
"Tapi
bang...".
"Dahlah...pegi
siapkan kerja awak tu, tak usah nak risau tak tentu hala. Saya nak telefon
budak-budak tu," pintas Pak Uwei sebelum Mak Pah melahirkan
kebimbangannya.
Lega hati Pak
Uwei bila Muaz menyatakan yang dia akan pulang kemudian Pak Uwei menelefon
Balkis pula di pejabatnya. Dia hanya menyuruh mereka balik tanpa memberitahu
hajatnya.
"Insya
Allah Kis balik nanti abah. Emm...abah nak Kis suruh adik Intan balik
sama?" tanya Balkis.
"Ikut suka
kaulah, bagi abah yang pentingnya kau dan Muaz. Intan tu ada ke tidak ke, sama
aje. Balik ya...," balas Pak Uwei.
Bukan dia
membeza-bezakan anak-anaknya tapi hati tuanya cepat benar panas bila berhadapan
dengan Intan. Sikap degil dan tak mahu mendengar kata anaknya itu menyebabkan
dia geram. Sudahlah malas belajar tidak seperti Muaz dan Balkis yang berjaya
memiliki ijazah. Baginya Intan, kalau ditegur sepatah, sepuluh patah nanti
dijawab. Masih Pak Uwei ingat gara-gara sikap keras kepala Intan untuk bekerja
kilang, mereka bertengkar besar tiga tahun lalu. Kini hubungan mereka seperti
orang asing.
"Abah tak
setuju kau nak kerja kilang kat KL tu. Abah mahu kau sambung belajar
lagi." Pak Uwei tidak bersetuju dengan niat Intan yang hendak bekerja
kilang. "Intan dah tak minat nak belajar lagi abah, biarlah Intan kerja
kilang. Kerja kilang pun bukannya haram." bantah Intan menaikkan darah Pak
Uwei.
"Aku suruh
kau belajar kau tak nak, kau nak kerja kilang. Kau tak tengok berapa ramai anak
gadis yang rosak akhlak kerja kilang duk kat KL jauh dari mak bapak, bolehlah
buat apa yang kau sukakan. Kau nak bebas macam tu?"
"Itulah
abah, selalu nampak yang buruk aje. BUkan semua yang kerja kilang duk kat KL tu
jahat abah. Kerja apa dan kat mana pun sama aje, pokok pangkalnya hati. Kalau
nak buat jahat dalam rumah pun boleh abah. Intan cuba membuat abahnya faham.
"Kenapalah
kau seorang ni lain benar dari abang dan kakak kau. Cuba kau tengok Balkis tu
tak pernah dia membantah cakap macam kau ni!"
"Intan
memang tak sama dengan Kak Balkis abah, Intan suka berterus terang, kalau tak
kena Intan cakap depan-depan bukan membebel kat belakang," balas Intan
selamba menyemarakkan bara dalam dada abahnya.
"Anak tak
mendengar kata, ikut suka kaulah. Kalau kau nak pergi, pergi...aku dah tak
larat nak larang. Nak terlentang ke, telangkup ke, gasak kaulah. Kau buat apa
yang kau suka, aku tak nak ambil tahu lagi!"
Sejak kejadian
itu Pak Uwei memang tidak memperdulikan langsung apa yang Intan nak buat. Namun
begitu Intan tetap pulang setiap kali cuti, dia bersikap selamba biarpun
abahnya tidak memperdulikannya. Intan selalu menghulur duit tapi hanya kepada
maknya sahaja.
RIANG hati Pak
Uwei bukan kepalang bila anak-anaknya pulang, tambahan pula dia sudah rindu
dengan cucu-cucunya. Malam itu selesai menikmati makan malam dan berjemaah
sembahyang Isya`, mereka duduk berborak di ruang tamu.
"Sebenarnya
ayah suruh kau orang balik ni ada hajat sikit," Pak Uwei memulakan bicara.
"Hajat apa
pula abah?" tanya Muaz yang duduk di sebelahnya.
"Abah dan
mak kau nak ke Mekah, nama dah ada dalam senarai. tapi bahagian mak kau masih
belum cukup lagi abah nak minta kau dan Balkis bantu sikit. Tak banyak, dua ribu
seorang cukuplah, Pak Uwei mengutarakan hasratnya.
"Boleh tu
boleh abah, tapi kena tunggu sebulan dua lagi. Az baru aje keluarkan wang
simpanan buat duit muka beli rumah. Sebulan dua lagi bolehlah Az
ikhtiarkan," ujar Muaz.
"Tapi...pegawai
Tabung Haji tu minta bayaran dibuat segera
selewat-lewatnya minggu depan."
"Kalau
dalam seminggu dua ni abah, memang rasanya tak dapat. Paling tidak pun cukup
bulan ni. Nak cukupkan duit muka tu pun habis duit simpanan budak-budak ni Az
keluarkan," jawab Muaz serba salah.
"Kau beli
rumah lagi, rumah yang ada tu kau nak buat apa?" tanya Pak Uwei melindungi
kekecewaannya.
"Rumah
baru tu besar sikit abah. Selesalah buat kami sebab budak-budak tu pun dah
besar masing-masing nak bilik sendiri. Lagipun beli rumah tak rugi abah,
pelaburan masa depan juga," sampuk Mira isteri Muaz.
Pak Uwei
terdiam, harapannya kini cuma pada Balkis."Kamu macam mana Kis, boleh
tolong abah? Nanti abah bayarlah balik duit kamu tu bila ada rezeki berbuah
durian kat dusun kita tu nanti," Pak Uwei berpaling pada Balkis.
"Kis pun
rasanya tak dapat nak tolong abah. Kis baru aje keluarkan duit simpanan buat
menambah modal perniagaan abang Man. Tengah gawat ni faham ajelah... ni tak
lama lagi nak bersalin nak pakai duit lagi."
Hancur berderai
rasa hati Pak Uwei mendengar jawapan Balkis.
Man menantunya
mencelah, Man bukan tak nak tolong abah. Kalau nak pinjam duit kad kredit
boleh. Tapi yelah kata orang kalau nak ke Mekah ni tak elok pakai duit
pinjaman".
"Betul
kata Man tu abah. Kalau nak ke Mekah mesti dengan kemampuan sendiri baru
elok," sokong Muaz.
Kata-kata Azman
dan Muaz bagaikan sembilu yang menikam di dada Pak Uwei. Bila dia bertemu
pandang dengan Intan, Pak Uwei terasa bagai ditertawakan oleh Intan bila
kedua-dua anak yang diharap-harapkan telah menghampakannya.
"Tak
apalah kalau kau orang tak ada duit. Biarlah abah kau pergi seorang dulu, nanti
kalau ada rezeki mak pula pergi," Mak Pah bersuara cuba meredakan keadaan.
"Kalau
saya nak pergi sendiri dah lama saya pergi Pah. Tak payah saya tunggu
lama-lama. Kalau awak tak pergi biarlah kita sama-sama tak pergi...dah tak ada
rezeki kita nak buat macam mana?" Pak Uwei terus bangun berlalu masuk ke
bilik meninggalkan anak-anaknya dengan rasa kesal.
Intan tahu
abahnya benar-benar kecewa. Walaupun orang tua itu tidak menunjukkan rasa
kecewanya tapi Intan faham kecewa abahnya teramat sangat kerana tidak menduga
anak-anak yang selama ini disanjung sanggup untuk mengecewakan harapannya
begitu sahaja.
"Anak awak
tu tak balik ke?" tanya Pak Uwei pada Mak Pah bila dia melihat Intan tidak
turut serta balik bersama abang dan kakaknya.
"Tak,
katanya cuti sampai hari Rabu nanti, balas Mak Pah sambil mencapai kain
selendangnya.
"Awak nak
ke mana pulak tu?" tanya Pak Uwei melihat Mak Pah bersiap-siap.
"Nak ke
kedai Long Semah tu nak belikan anak saya kuih lepat ubi kegemarannya".
Sengaja Mak Pah menekan suara bila menyebut anaknya. Bukan sekali dua dia
menegur sikap Pak Uwei yang gemar membeza-bezakan anak.
Pagi Isnin tu
selepas bersarapan Intan bersiap-siap hendak keluar."Nak ke mana Intan
pagi-pagi lagi dah bersiap ni?"
"Intan ada
hal sikit kat bandar mak. Intan pergi dulu ye."
"Kalau nak
ke bandar suruhlah abah kau tu hantarkan, suruh Mak Pah.
"Tak payah
mak, Intan nak pergi banyak tempat ni. Nanti bising pula abah tu. Intan pergi
dulu.
Mak Pah
menggeleng kepala memerhatikan Intan berlalu. Kadangkala sedih hatinya melihat
sikap suaminya yang keras hati membuat anaknya itu menyisihkan diri. Ketika
Intan pulang dari bandar tengah hari itu mak dan abahnya sedang menikmati
juadah tengah hari.
"Kau ni
Tan buat benda apa lama benar kat bandar tu? Mari makan sama. Ni abah kau ada
beli ikan baung salai, mak masak lemak cili api."
"Ingat
lagi abah lauk kegemaran Intan rupanya," usik Intan tak bertangguh
mencapai pinggan.
"Mak bapak
memang tak pernah lupakan anak-anak, Cuma anak-anak aje yang lupakan mak
bapak," jawab Pak Uwei sinis seolah-olah melepaskan kekecewaan.
Intan tersenyum
pahit.
Selesai
mengemas pinggan mangkuk, Intan menunaikan solat Zohor kemudian dia mendapatkan
mak dan abahnya yang sedang duduk di ruang tamu. Abahnya sedang membaca
suratkhabar. Mak Pah pula melipat kain.
"Mak,
abah... Intan ada hal sikit nak cakap ni...," ujar Intan menghampiri
mereka.
Pak Uwei
menurunkan suratkhabar yang dipegangnya kemudian menanggalkan cermin mata yang
digunakan untuk membaca.
"Apa
hal... kamu nak kahwin ke?" soal pak Uwei merenung Intan. Tawa Intan
meledak tiba-tiba mendengar soalan abahnya. Melihat Intan tergelak besar Pak
Uwei turut tertawa. Mak Pah pun tergelak sama, riang rasa hatinya melihat
kemesraan yang hilang dulu mula menyatu.
"Abah
ni... ke situ pulak...."
"Habis
tu?"
"Ini...
kad Tabung Haji mak. Tadi Intan ambil dalam laci tu. Yang ni... resit
memasukkan duit ke akaun mak. Semuanya Intan dah uruskan. Dan ini dua ribu
untuk buat duit kocek mak dan abah. Yang dua ratus lagi ni untuk buat kenduri
doa selamat sebelum berangkat nanti." Intan memasukkan duit itu dalam
genggaman Pak Uwei.
"Apa??......
Pak Uwei terkejut
matanya merenung Intan dan duit di tangannya bagai tidak percaya.
"Ini duit
simpanan Intan sejak mula bekerja dulu. Duit hasil titik peluh Intan yang halal
abah, terimalah. Selama ini Intan banyak kali kecewakan abah. Intan tak pernah
dapat membahagiakan hati abah. Selama ini pun Intan selalu sangat rasa kalah
pada abang Az dan Kak Balkis. Intan tak cantik dan baik macam Kak Balkis,
apatah lagi bijak seperti mereka. Intan tahu abah selalu kecewa dengan Intan.
Hanya kali ini Intan dapat tunaikan hasrat abah. Dah banyak kali abah
tangguhkan hasrat nak naik haji. Dulu kerana Kak Balkis nak kahwin, lepas tu
mak pula tak sihat. Sekarang ni masa yang sesuai. Intan harap abah sudi terima
pemberian Intan,, tutur Intan perlahan memerhatikan airmata menuruni pipi
abahnya yang sudah berkedut dimamah usia.
"Terima
kasih Intan. Malu rasanya abah nak ambil duit kamu... dulu abah selalu bangga
dengan Balkis dan Muaz yang memegang jawatan tinggi tapi akhirnya anak abah
yang kerja kilang yang membantu abah," luah Pak Uwei sambil mengesat
airmata terharu atas keluhuran hati anak yang selama ini dimusuhinya.
"Sudahlah
abah. Yang lepas itu tak usahlah kita ungkit-ungkit lagi. Intan gembira abah
sudi terima pemberian Intan.
"Pemberian
kau ni terlalu bernilai bagi abah dan mak kau Intan...," ujar Pak Uwei.
Intan peluk abahnya erat.
"Hah...
tulah, jangan suka memperkecil-kecilkan anak saya ni, Mak Pah mengusik Pak
Uwei sambil mengesat airmata penuh kesyukuran.
"Mak
ni...," gelak Intan memandang abahnya yang tersengih.
MASA yang
ditunggu-tunggu tiba dalam keriuhan sanak saudara yang datang menziarahi Pak
Uwei dan Mak Pah. Intan memerhati dengan perasaan gembira bercampur hiba.
"Semua dah
siap ke mak?" tanya Intan menjenguk ke bilik emaknya memerhatikan Mak Pah
mengisi barang keperluan semasa di Mekah.
"Dah
rasanya... ada apa-apa yang Intan nak pesan mak belikan di sana nanti?"
"Tak ada mak. Mak janganlah fikir soal apa yang nak dibeli mak. Yang
penting mak dapat menunaikan ibadah dengan sempurna."
"Hah, awak
dengar tu...kita ni nak pergi menunaikan ibadah bukan nak membeli-belah,"
tambah Pak Uwei yang turut mendengar perbualan dua-beranak itu.
"Intan tak
nak mak dan abah belikan satu apa pun untuk Intan dari sana. Hanya satu yang
Intan mahu, doakanlah Intan bahagia di dunia dan akhirat, pesan Intan sambil
memeluk emaknya.
Mak Pah dan Pak
Uwei berpandangan. Tiba-tiba sebak dengan permintaan Intan itu.
SEMPURNA HAJI.
HANYA dua jam
lagi kapal terbang akan mendarat di tanah air. Pak Uwei mengerling Mak Pah yang
lena di sebelahnya. Dalam keriangan telah menunaikan ibadah haji tanpa sebarang
kesulitan terselit rasa tidak sedap di hati. Perasaan rindu pada anak-anak
terutama Intan bagai menyentap tangkai hatinya. Pak Uwei terkenangkan mimpinya
bertemu Intan di tanah suci. Intan tidak berkata sepatah pun tapi bagai
memberitahu yang dia akan pergi jauh.
"Kenapa
resah aje ni bang?" Mak Pah terjaga.
"Entahlah
Pah, saya teringat sangat dengan Intan dan anak-anak kita."
"Sabarlah
dah nak sampai dah ni," pujuk Mak Pah.
Dari jauh lagi
Pak Uwei sudah melihat Muaz dan Azman menanti mereka.
"Mak...
abah...," Muaz meraih emaknya dalam pelukan dan kemudian abahnya tanpa
dapat menahan airmata menitis laju.
"Mana yang
lain ni, kamu berdua aje?" Pak Uwei tertinjau-tinjau mencari wajah Intan.
"Mereka
menanti di rumah, abah," beritahu Azman suami Balkis sambil mencium tangan
Pak Uwei.
"Intan pun
tak datang juga ke?" Tanya Pak Uwei terasa hampa.
"Awak
ni... kan Man dah kata mereka menunggu dirumah. Mak Pah menggeleng, dua tiga
hari ini nama Intan tak terlepas dari mulut suaminya. Perjalanan tiga jam dari
KLIA untuk sampai ke rumah terasa begitu lama oleh Pak Uwei. Mak Pah yang
melihat kegelisahan suaminya turut terasa bagai ada yang tak kena.
"Dua tiga
malam sebelum balik, abah kau mengigau terjerit-jerit dia panggil nama Intan.
Kalau Intan dengar cerita ni tentu dia gelihati." cerita Mak Pah pada Muaz
dan Azman. Muaz mengerling Azman yang sedang memandu.
"Tentulah
abah ingatkan Intan, sebab Intan yang bagi dia duit," balas Muaz cuba bergurau
walaupun terasa sayu.
"Tapi abah
rasa macam ada yang tak kena aje Az, dalam mimpi abah tu abah nampak Intan
macam nak beritahu dia nak pergi jauh. Tapi dia tak bercakap pun hanya renung
abah. Intan tak ada cakap apa-apa dengan kau Az?"
"Err...
tak ada abah. Kita berhenti minum dulu abah, tentu mak haus," ajak Azman.
"Tak
payah, dah dekat ni. Abah tak sabar nak balik," tolak Pak Uwei.Azman dan
Muaz hanya berpandangan.
SEBAIK turun
dari kereta, Balkis meluru memeluk mereka dengan tangisan. Suara Pak Long Basri
yang bertakbir menambah sayu. Semua yang ada menitiskan air mata.
"Mak
dengan abah sihat ke?" tanya Mira
setelah bersalaman dengan ibubapa mentuanya.
"Sihat,
cuma batuk-batuk aje sikit. Intan mana, dia tak balik ke?" Mak Pah mula
berdebar bila Intan tidak kelihatan.
"Naik dulu
Ngahnya...," suruh Long Semah.
"Intan
mana?" Pak Uwei mula hilang sabar bila tak seorang pun memberitahu di mana
Intan. Pantas dia memanjat tangga menuju bilik Intan. Matanya terpaku kerana
terhidu bau-bauan bekas kapur barus dari dalam rumahnya. Dadanya bergetar.
"Az...
mana Intan? Mana adik kau Az?" tanya Pak Uwei dengan suara yang
menggeletar. Badannya terasa lemah, dia berpaut pada tepi pintu.
"Sabar
abah...," Muaz menggosok belakang abahnya.
"Kenapa
Az...kenapa?" Mak Pah menurunkan Syazwan cucunya dari pangkuan dan
melangkah laju ke bilik Intan.
"Mak...
Intan dah tak ada mak," Balkis tersedu memeluk emaknya yang terduduk
lemah. Pak Uwei terkulai tak bermaya menerima berita itu. Mak Pah terus
pengsan. Bila dia terjaga dia melihat anak menantu mengelilingnya. Pak Uwei
duduk di tepi kepalanya.
"Sabarlah
Ngah, ini dugaan Allah pada kita. Intan pergi pun dalam keadaan tenang.
Barangkali kerana hajatnya nak lihat kamu naik haji dah tertunai," pujuk
Long Semah yang masih belum pulang.
"Intan ada
tinggalkan surat untuk kita. Dia memang dah tahu dia tak akan hidup lama.
Rupa-rupanya dia menghidap barah otak. Dia minta maaf segala salah silap dan
berpesan supaya kita jangan sedih atas pemergiannya. Dia minta kita doakan
dia,"
Pak Uwei
menepuk lembut bahu Mak Pah yang tersedu.
"Bila dia
meninggal? Siapa yang mengadap masa nazaknya?" tanya Mak Pah.
"Kami
semua ada mak. Dia begitu tabah menanti detik kematiannya mak. Sebenarnya dia
yang ajak kami balik ini, katanya nak kemaskan rumah. Mak dan abah nak balik.
Masa sampai tu dia sihat lagi tiba-tiba malam Khamis tu lepas solat Isya` dia
sakit kepala teruk sampai tak boleh bangun. Az nak hantar ke hospital tapi
katanya masa dia dah tiba. Masa tulah baru dia ceritakan sakitnya. Dia
meninggal subuh hari Jumaat mak... tiga hari lepas. Dia pergi dalam keadaan
yang cukup tenang mak," cerita Muaz.
Mak Pah
mengenggam erat tangan suaminya, terkenangkan bagaimana Intan memeluk erat
mereka sebelum melepaskan pemergian mereka. Dan ketika itu bagai
terdengar-dengar suara Intan berpesan,"Intan tak nak mak dan abah belikan
satu apa pun dari sana. Hanya satu yang Intan mahu, mak dan abah doakan Intan
bahagia di dunia dan akhirat.."
Tamat