Hanya sebuah coretan

 

Berpadalah Menetap Hantaran Kahwin

 

Hari minggu yang lalu 25 Januari 2004 adalah pengalaman baru yang aku lalui dan aku tuliskan disini untuk pengetahuan para pembaca semua. Terlebih dahulu aku mohon maaf kerana apa yang aku tuliskan ini berdasarkan pandangan ku sendiri yang masih cetek tetapi merasa terkilan dan amat simpati kepada bebanan yang bakal ditanggung oleh pihak lelaki. Tidak ada niat yang lain melainkan agar ianya menjadi pedoman agar kita sentiasa berpada-pada dalam melaksanakan sesuatu agar tidak menyusahkan pihak lain.

 

Aku,ibu dan keluarga dijemput oleh bapa saudara sepupu ku PakNgah Jo (bukan sebenar) untuk meraikan majlis pertunangan anak perempuannya Anis yang juga duapupu dengan ku. Majlis dibuat secara besar-besaran dimana semua saudara jauh dan dekat dipanggil untuk hadir menyaksikan pertunangan Anis dengan Razi. Anis bekerja sebagai seorang jururawat manakala bakal tunangnya Razi seorang akauntan muda yang baru sahaja bekerja setelah menamatkan pengajiannya di universiti. Mulai dari malam itu lagi kami begitu sebok dan bekerja keras memasak lauk dan gulai untuk disajikan kepada tetamu besoknya yang telah dirancangkan oleh PakNgah Jo untuk kenduri doa selamat pada tengahari dan majlis pertunangan sebelah petangnya.

 

Ketika memasak dan bekerja suasana cukup meriah dan riang dengan gurau senda, gelak tawa dan hilang sama sekali rasa mengantuk walaupun hari telah lewat malam. Aku pun yang sudah lama tidak bertemu sahabat handai terutama bapa saudara dan sepupu-sepupu ku menjadikan pertemuan pada malam itu satu kesempatan untuk beramah mesra dengan mereka. Sepupu-sepupu ku terus mengusik dan mendesak aku supaya mengakhiri zaman bujang ku. Buat apa menunggu kekasih yang tidak akan kembali. Kata mereka kepada aku. Bapa-bapa saudara ku juga begitu mendesak aku supaya mencari calon isteri yang baru. Mereka tahu latar hidupku yang satu waktu dahulu sekitar 5 tahun sudah, aku berkahwin dengan seorang gadis pilihan ku dan gadis itu juga menjadi kesukaan keluargaku kerana tingkah lakunya yang baik, sopan serta mempunyai ibubapanya yang sederhana dalam kehidupan dan taat pada agama. Tapi takdir mengatasi segala-galanya. Dia lebih dahulu dipanggil mengadap Ilahi selepas 5 bulan menjadi isteriku. Dia pergi dalam satu tragedi yang cukup memilikan.

 

“Kamu sekarang nie, Mar… semuanya sudah ada, rumah ada… kereta ada.. hidup tak mau kahwin lagi buat apa…” Tegas mereka.

 

“Nanti bila kamu tua sapa nak jaga kamu, Mar.. Kalau kamu mati pula nanti sapa nak mewarisi harta-harta kamu..”

 

Pedih juga kata-kata tersebut mengetuk gegendang telinga aku. Aku tak tahu apakah kata-kata itu satu nasihat atau satu tamparan yang sengaja mahu menguji kesabaranku. Ibuku yang mengetahui sifat aku (anaknya) mencelah bagi meredakan suasana.

 

“Kakak tak kisah sangat kalau anak kakak nak kawin atau nak bujang terus.. asalkan dia gembira dengan cara hidup dia dan ikut perintah Allah sudahlah..lagi pun dia dah ada isteri dulu..” ibuku menjelaskan pendiriannya.

 

Sebenarnya hanya ibu dan adik-adik ku sahaja yang tahu betapa besarnya ujian Allah terhadap ku apabila Dia memanggil Mira isteri ku mengadapNya begitu awal bersama kandungan anak pertama yang kami sedang menanti kelahirannya. Ibuku tahu... adik-adik ku tahu... tapi semua sepupu dan bapa saudara aku tidak tahu ... betapa pun walau Mira sudah lama pergi meninggalkan kami, namun hubungan aku dan keluarga Mira tetap utuh dan mesra. Seorang adik lelaki Mira ku ambil bekerja dan tinggal bersama kami di KL ini dan ibu bapa Mira tetap sering datang menziarahi dan tinggal di rumah ku apabila mereka datang bertandang ke Kuala Lumpur.

 

Berbalik kepada hal yang nak aku sampaikan ini, apabila lewat tengah malam kaum keluarga PakNgah Jo pun memulakan perbincangan untuk menetapkan wakil/jurucakap bagi pihak perempuan dalam majlis pertunangan bakal petang besok. Keputusan mereka memilih PakLong sebagai wakil pihak perempuan. Kekecohan sedikit timbul dalam hal menetapkan hantaran belanja kawin kerana PakLong tak sanggup untuk meletakkan hantaran kepada lelaki sebanyak RM9000 serba satu. Tinggi sangat kata PakLong. Tak pernah dibuat orang. Lagi pun Anis pernah memberitahu bakal tunangnya bahawa hantaran mungkin sekitar RM5000 hingga RM6000 sahaja.

 

Sebenarnya yang beria-ia sangat hendakkan hantaran yang tinggi datang dari sebelah pihak perempuan iaitu kaum kerabat isteri PakNgah Jo yang juga ibu kepada Anis. Alasan mereka kerana Anis bekerja dan bakal tunangnya tentu tidak ada masalah kerana seorang akauntan. Aku hanya mendengar saja. Kalau mahu disanggah pendapat seperti itu aku rasa senang saja untuk aku mematahkan hujah MakNgah yang tidak bertimbang rasa itu. Akhirnya selepas berhujah panjang antara mereka, PakLong terpaksa akur untuk memulakan sebutan hantaran belanja RM8000 serba satu pada majlis hari esok.

 

Bagi aku meletakkan hantaran belanja begitu tinggi adalah satu sikap melampau yang tidak memikirkan susah payah pihak lain. Alasan bahawa anak perempuannya bekerja, pernah menolak lamaran seorang doktor kerana terlalu cintakan bakal tunangnya sekarang, dan bakal tunangnya adalah akauntan bukanlah hujjah atau landasan menyebabkan hantaran belanja kahwin melambung tinggi.

 

Bagi aku perkara utama yang mesti diambil kira adalah kemampuan kedua-dua belah pihak, akhlak bakal menantu dan kesepakatan semua anggota keluarga. Hantaran belanja kahwin yang tinggi bukanlah kemegahan dan sebaliknya belanja yang rendah juga tidak bererti kehinaan. Sederhana dan mengikut nilai semasa masyarakat sekitar adalah jalan yang terbaik.

 

Besoknya jam 3.00 petang rombongan pihak lelaki pun sampai dengan empat buah kereta lengkap dengan hantaran iringan yang digubah begitu indah dan cantik menggambarkan betapa pihak lelaki cukup kreatif dalam gubahan hantaran kahwin. Ketika majlis bermula semua sanak saudara senyap mendengar perbincangan kedua-dua pihak.

 

Wakil pihak lelaki dan wakil perempuan berbalas cakap menyampaikan hasrat yang terkandung dalam maksud pertemuan pada hari itu. Akhirnya sampailah kepada menyebutkan wang hantaran belanja hangus RM8000 serba satu diperdengarkan kepada pihak lelaki. Dari wajah kaum keluarga pihak lelaki aku dapat lihat sedikit kejutan dan serba salah. Wakil mereka memandang kepada seseorang yang aku agak mungkin ibubapa pihak lelaki. Satu isyarat diberikan. Mungkin pihak lelaki tidak mahu bercakap banyak atau pun mahu menjaga maruah keluarga pihak perempuan mereka menyanggupi menerima hantaran RM8000 serba satu yang disebutkan oleh PakLong itu.

 

Tempoh pertunangan ditetapkan selama satu tahun, yang bermakna perkahwinan akan dilangsungkan pada tahun hadapan.

 

Tidak sampai 2 jam selesailah majlis pertuangan Anis dan tunangnya yang berlangsung dalam suasana tenang dan sepi tapi meriah walaupun berlaku sedikit kejutan kerana hantaran belanja yang tinggi. Mungkin pihak lelaki memikirkan lain yang dijangka dan lain pula yang terjadi. Anggapan atau anggaran mereka salah.

 

Seperti biasa selepas selesai majlis pertunangan kami pun sebok menghantar hidangan yang telah tersedia untuk membasah tekak para tetamu. Penuh ruang rumah dengan juadah makanan yang beraneka rasa. Riuh sekejap suasana di dalam rumah ketika itu. Semua tetamu yang hadir dipersilakan menjamu selera. Jamahlah apa yang ada.

 

Majlis berakhir lebih kurang jam 5.00 petang. Pulanglah rombongan dari pihak lelaki dengan membawa mesej yang bakal disampaikan kepada En. Razi seorang akauntan muda bahawa untuk perkahwinannya dia perlu menyediakan wang hantaran RM8000 serba satu. Mungkin ada diantara ahli rombongan itu sudah mengira bahawa mereka perlu menyediakan tidak kurang dari RM18,000 untuk menjadikan perkahwinan Razi & Anis satu kenyataan.

 

Selepas 10 bulan masalah mulai timbul antara Anis dan tunangnya. Razi seorang akauntan muda yang baru sahaja mendapat kerjaya itu menghadapi masalah untuk mengumpulkan wang yang cukup bagi menampung perkahwinannya. Sebahagian dari pendapatan bulanannya yang tidak sampai RM3000 itu terpaksa dicatu antara bayaran ansuran kereta, sewa rumah di bandar, belanja untuk dirinya dan juga membantu ibu-ayah serta adik-adiknya di kampung. Manakala yang selebih itu barulah dapat disimpan sebagai persediaan perkahwinannya. Akhirnya dia memberitahu tunangnya Anis mengenai masalah yang dihadapi dan minta perkahwinan mereka ditangguhkan ke suatu masa yang lain.

 

Apa yang boleh dibuat. Mahu tidak mahu pertunangan Anis dan Razi dilanjutkan tempohnya kepada satu tarikh lain sehingga semua keperluan telah disediakan. Bukan aku mahu menjaga tepi kain orang tetapi yang aku tidak bersetuju sangat ialah pergaulan yang rapat antara Anis dan Razi. Mereka menjadikan “pertunangan” sebagai lesen untuk mereka berpacaran (kata orang Indonesia) ke sana ke mari. Mereka sering sahaja keluar bersama tak kira malam atau siang tanpa dibantah oleh ibu dan ayah Anis. Halalkah pergaulan mereka? Di kala mereka sedang berdua-duaan itu siapakah makhluk ketiga yang pasti akan bersama mereka?

 

Teringat aku akan satu hadis Nabi saw yang mengatakan baginda melarang sama sekali umatnya mengenakan nilai belanja (wang) yang tinggi dalam sesuatu perkahwinan. Baginda saw sendiri telah menunjukkan taladan dalam perkara ini di mana anaknya Sayyidatina Fatimah yang berkahwin dengan Sayyidina Ali hanya dengan hantarannya sehelai baju besi. Aku bertanya dalam jiwa ku sendiri “Apakah anak kita hari ini lebih hebat dari anak Rasulullah saw sehingga teramat tinggi hantarannya atau kita mengikut telunjuk siapa ketika meletakkan hantaran yang tinggi itu?”.

 

Satu lagi persoalan yang bermain difikiranku sekarang wajarkah hantaran belanja kahwin diletakkan terlalu tinggi?

 

Adakah nilai hantaran belanja sekarang ini (tahun 2004) telah mencapai RM8000 bagi meminang seorang gadis?

 

Patutkah tinggi atau rendah hantaran belanja itu berdasarkan kepada jawatan pangkat yang disandang oleh seseorang lelaki dan perempuan?

 

Mungkinkah zaman sudah berubah?

 

Teringat seketika.

Aku di kala bertunang dengan Mira cukup mudah dan ringkas.. Hantaran belanja kahwin tidak disebut oleh mana-mana pihak kerana mereka merasakan perkahwinan adalah satu ikatan persaudaraan dan silaturrahim yang akhirnya akan menjadi sebuah keluarga. Keluarga. Mira lebih menekankan nilai-nilai persaudaraan dalam Islam dan mereka menyerahkan kepada aku dan Mira sendiri menentukannya mengikut kemampuan dan keikhlasan kami. Itu saja. Kerana keikhlasan dan kepribadian mulia keluarga Mira menjadikan aku amat terharu serta mencintai keluarga Mira sepenuh hati ku seperti mana aku mencintai ibu dan ayah ku sendiri.

 

Pesanan ku kepada pembaca (itu pun jika anda bersetuju denganku). Jangan jadikan hantaran belanja kahwin hanya memfokaskan pangkat dan kekayaan seseorang.

 

Kalau inilah sikap yang ujud dalam masyarakat kita maka keluarga yang berperangai begini tak ada bezanya dengan penjual durian di jalanan yang akan meletakkan harga durian dagangannya berdasarkan jenis kereta yang berhenti di gelandangannya. Jika proton yang berhenti, rendah harga duriannya sebaliknya harga durian tinggi melambung apabila pemilik Mercedes pula yang datang.

 

Tepuk dada tanyalah pada iman anda. Apakah anda sudi menjadi mertua dalam sebuah keluarga yang bersifat sedemikian rupa???

 

Atau anda lebih rela sebagai mertua dengan seorang yang sederhana yang lebih mengutamakan keikhlasan dan persaudaraan dari orang yang mementingkan pangkat, harta dan kemegahan?

 

 

Tamat.

 

 

 

mns

 

 

 

Hosted by www.Geocities.ws

1