Keruntuhan Akhlak – Krisis yang mencemaskan.
BERSIRI
Bahagian 1 Fokus dalam keluarga.
Cakap ajuk yang kita bualkan lantaran mengeluh akibat akhlak para remaja
dan umat Islam hari ini yang sudah runtuh moralnya sering terdengar seperti
ini, “kau tengoklah akhlak mereka, dah rosak betul. Apa nak jadi kalau sepuluh
tahun akan datang....?”.
Di negara kita hari ini, di mana-mana sahaja kita pergi kita akan
melihat gelagat remaja/orang Melayu yang majoritinya Islam cukup keterlaluan
dalam mempamerkan akhlak mereka. Di mana sahaja, kampung, desa pendalaman,
pekan, pekan-pekan kecil, maupun bandar apatah lagi bandaraya besar seperti
Kuala Lumpur, Johor Baharu, Ipoh, Penang dan merata lagi, keruntuhan akhlak di
kalangan masyarakat Islam amat ketara sekali. Ini hanya kita bicarakan di
negara kita sendiri. Bagaimana kalau kita perluaskan skop ke negara jiran
seperti Singapura dan Indonesia, maka keruntuhan akhlak para remaja/orang Islam
tidak berkesudahan malah mungkin lebih dahsyat lagi. Bagaimanakah lagi dengan
remaja di negara-negara Islam yang lain dan di seluruh pelusuk alam ini.
Jawapannya sama iaitu “keruntuhan akhlak” para masyarakat Islam ini cukup
kritikal dan gawat sekali. Persoalannya bagaimana kesudahannya?
Masalah akhlak umat Islam hari ini.
Sebelum kita membicarakan masalah keruntuhan akhlak umat Islam dengan
lebih jauh maka mari kita renungkan antara keruntuhan akhlak yang dimaksudkan
itu.
Persoalan yang berligar apakah faktor yang menjadikan keruntuhan
akhlak begitu serius hari ini?
Bagaimana mengatasi masalah ini? Bagaimana supaya dapat mengembalikan
masyarakat yang hanyut ini kepada jalan yang benar? Berjayakah kita dalam usaha
mengajak masyarakat Islam kembali menghayati ajaran Islam sepenuhnya?
Tidak ambil berat soal agama.
Jawapan yang paling utama dan yang paling baik kepada persoalan dan
permasahan yang dibentangkan di atas tadi ialah kerana kita umat Islam hari
ini sudah tidak mengambil berat lagi terhadap soal-soal agama. Kita leka
dengan masa yang dihabiskan untuk duniawi, mencari harta sebanyak mungkin,
mencari wang untuk memenuhi poket, mengejar rezki secara berlebihan dan semua
ini menjadikan kita mengabaikan tugas kita untuk agama bagi diri sendiri, agama
untuk isteri, suami dan lebih-lebih lagi agama buat anak-anak yang menjadi
amanah sebagai melahirkan mereka umat Islam sejati atau mukmin syadiqan.
Mari lihat dalam keluarga kita sendiri. Apakah anak-anak kita telah
memahami Islam dengan sebaiknya? Apakah keluarga kita termasuk dalam golongan
orang yang menunaikan tuntutan agama yang paling basic iaitu menunaikan
sembahyang lima waktu? Anak-anak kita sudah dilatih berpuasa? Anak-anak kita
boleh bersyahadah tauhid dan syahadah Rasul dengan lancar? Anak-anak kita sudah
boleh membaca Al-Quran? Khatam Quran? Kalau jawabannya YA. Ada pertanyaannya
lagi adakah kita ini adalah anak yang taat kepada kedua ibubapa? Kita tidak
pernah melukai atau mengecilkan hati ibubapa kita? Begitu juga dengan anak-anak
kita, adakah mereka anak yang taat, hormat dan kasih kepada kita atau anak-anak
kita selalu sahaja engkar kepada nasihat arahan dari kita? Semuanya ini asas
dan perdu segala pokok didikan yang akan menentukan arah tuju anak-anak dimasa
hadapan.
Secara peribadi saya amat sedih dan menitiskan airmata apabila ada
anak-anak remaja yang datang kepada saya yang mengakui dia tidak mengerti
apa-apa berkenaan agama. Umur sudah belasan tahun tidak kira lelaki atau
perempuan, apabila disuruh mencuba kalimah syahadah, langsung lafaz kalimah
yang diucapkan itu tidak tepat segala sebutannya. Ditanya lagi kaedah bersuci,
niat puasa, niat junub hanya dilafazkan dalam bahasa Melayu sahaja. Kenapa?
Kerana katanya tak tahu dalam bahasa Arab sebab tak boleh membaca. Jadi apabila
inilah jawaban yang diberikan maka tidak usah saya bertanya lagi soal-soal
sembahyang kerana sudah pasti dia tidak dapat menghafal ayat-ayat sembahyang
kerana tidak boleh membaca. Inilah sebabnya asuhan sehingga boleh membaca Quran
itu adalah peringkat awal sebelum melangkah jauh mengenali dan mendalami agama
dengan lebih mendalam. Bukan seorang remaja yang sedang membesar hari ini
bernasib sepertinya malah jutaan remaja lagi yang menghadapi fenomena yang
sama. Apakah nasib mereka di masa depan?
Yang paling kita khuatiri dan bimbangkan sekali ialah remaja-remaja ini
apabila membesar tanpa ada asas Al-Quran, tanpa asas agama mudah hanyut
terjebak dalam segala kemungkaran. Ini tidak termasuk apabila kita
perhatikan betapa budaya memurtadkan umat Islam seperti menghasut menjadi
kristian begitu rancak bergiat cergas. Cuba kita renungkan sejenak.
Jika remaja yang ada asas agama pun masih boleh dipesongkan hidup mereka apatah
lagi remaja yang membesar tanpa ada asas agama langsung. Asas seperti fardu
ain, fardu kifayah, rukun iman, rukun Islam belum cukup bentengnya bagi menahan
serangan godaan nafsu dan bisikan syaitan yang melakukan serangan bertubi-tubi.
Hanya keimanan yang tinggi, taat sepenuhnya kepada ajaran agama, memahami Islam
secara syumul dapat memperkukuhkan iman menjadi ketahanan kepada segala
serangan.
Maka dapat saya katakan didikan agama yang kukuh adalah
tunjang kepada membentuk akhlak seseorang Islam itu. Dalam apahal sekalipun didikan
agama yang sempurna, menanamkan keimanan yang hakiki, semangat
dan roh Islam tulin dalam jiwa raga adalah benteng yang paling kukuh untuk
pertahankan roh dan jasad dari serangan luar yang cuba merosakan seseorang
individu Islam. Maka kita sebagai ibubapa mari renungkan sejenak apakah
anak-anak yang di dalam didikan kita sudah kita berikan segala asas dan
keperluan agama. Jika belum atau anak-anak kita tidak memahami agama Islam yang
dianuti ayah ibunya maka apakah jawaban kita kepada Allah swt apabila kita
mengadapnya nanti.
Mengabaikan tanggung jawab.
Sebok, masa yang tidak mencukupi, kegiatan sosial yang berlebihan, kerja
mencari rezki tanpa batasan selalunya menjadi alasan apabila ditanya hal masa
yang diluangkan kepada anak-anak atau keluarga. Kalaulah ini alasan yang
diberikan maka apakah bermakna sehari semalam 24 jam yang Allah swt peruntukan
masih tidak mencukupi. Apakah Tuhan memberikan masa tidak seimbang untuk dunia
ini atau kita sendiri yang mengabaikan masa? Jangan berikan alasan yang boleh
menjuruskan kita meletakkan kesalahan kepada yang Maha Pencipta alam ini kerana
setiap yang Dia anugerahkan di dunia ini adalah yang terbaik untuk makhlukNya.
Kita yang sebenarnya insan yang leka dan lalai dalam segala hal seperti
firmanNya, “Demi masa. Sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian.”
Dalam mengejar kehidupan dunia, kita hingga terlupa tanggung jawab
terhadap diri sendiri, anak, isteri untuk Allah swt. Ketika mengejar keduniaan
secara berleluasa maka cuba kita fikirkan, apakah sebenarnya yang kita kejar?
Harta? Wang ringgit? Kemewahan? Pangkat? Tapi kemana pula khazanah-khazanah ini
kita belanjakan? Kita tidak mampu membawa khazanah ini ke lubang kubur apabila
kita mati esok. Hadis Nabi saw menyatakan, “apabila seseorang mukmin itu
mati, yang dia tinggalkan adalah tiga perkara sahaja, ilmu yang munafaat yang
dia ajarkan kepada mukmin lain, amal jariah yang dilakukan semasa hidup dan
anak yang soleh yang mendoakan kebahagiannya di akhirat.” Lalu yang
tersirat dalam hadis ini adalah pendidikan yang sempurna yang kita
berikan maka barulah maksud hadis ini akan tercapai terhadap diri kita.
Oleh itu jangan kita mengabaikan tanggung jawab dalam memberikan
pendidikan yang sempurna. Sekiranya kita adalah orang yang terlalu sebok tetapi
kita seorang yang berharta maka gunakan harta itu sebagai perbelanjaan agar
dapat memberikan didikan agama bukan hanya kepada anak-anak sendiri malah orang
Islam yang lain. Kalau kita miskin maka kita carilah orang yang ikhlas serta
bersedia memberikan didikan kepada anak-anak kita. Jangan beri alasan tidak ada
orang yang sanggup kerana dunia ini luas dan masih ada manusia yang rela
berkhidmat secara ikhlas semata-mata hanya untuk mengadap Allah swt dengan
sempurna apabila dia mati kelak. Miskin
atau kaya bukan faktor penghalang.
Membicarakan akhlak anak-anak sendiri,
nasihat siapa yang mesti kita ambil pedoman? Cukup sedih apabila seorang bapa sanggup menyerang guru apabila
diketahui anaknya didenda di sekolah. Seorang ibu sanggup menyerang jiran atau
memukul anak orang lain sebaliknya mempertahankan anaknya. Kenapa kita sanggup
berbuat demikian? Semuanya adalah kerana kita mengambil nasihat anak kita
yang belum tentu benar sebagai pedoman. Ingatlah kasih sayang kita kepada
anak-anak jangan sampai kita terpedaya dan terpengaruh dengan cakap bohong yang
anak kita berikan.
Memberikan kemewahan kepada anak-anak berlebihan seperti menunaikan
semua kemahuannya dan memanjakan anak-anak tanpa ada peraturan sebenarnya bukan
bermakna mendidik mereka sebaliknya kita telah mengabaikan satu tanggung jawab
yang lain yang lebih benar. Memewahkan anak-anak dan memanjakan mereka tidak
dapat membawa makna apa-apa malainkan memperkukuhkan lagi nafsu serakah yang
sering bergelora. Sikap sambil lewa dan tidak pernah menegur kesalahan
anak-anak secara tidak langsung kita telah menanamkan benih-benih kesombongan
dan angkuh dalam jiwa anak sendiri. Tingkah laku anak-anak yang semakin
membesar dan mula mengenali kawan rakan jauh dekat dan entah dari mana
datangnya rakan itu tidak pernah kita ambil peduli bermulanya kita semaikan
benih-benih liar kepada anak sendiri. Anak yang sering keluar dan balik
jauh malam, pernahkah kita menyiasat kemana dia pergi. Jika bertanya langsung
sianak memberikan jawapannya, apakah jawapan itu sesuatu yang benar atau mereka
sekadar berbohong. Jika kita telah berjaya dibohongi oleh anak-anak sendiri
maka bermakna juga kita telah menanamkan benih seorang pembohong kepada
mereka.
Semuanya ini adalah benih-benih kepada keruntuhan akhlak yang ianya bermula
dalam keluarga tetapi akhirnya akan menjurus kepada masyarakat dan negara.
Semua orang ada tanggung jawab masing-masing. Kita ada tanggung jawab terhadap
majikan, kerjaya, masyarakat namun tanggung jawab terhadap membentuk moral dan
akhlak anak dan keluarga sendiri tidak boleh diletakkan ke tepi begitu sahaja.
Ketika memberikan pendidikan kepada anak-anak, sejauh mana kita menanamkan
sifat siddiq (bercakap benar) dan amanah (jujur dipecayai) kepada
mereka. Bagaimana dengan diri kita sendiri? Apakah kita seorang manusia yang
bercakap benar (siddiq) dan amanah? Peribahasa Melayu mengatakan bapa borek
anak rintik. Bagaimana acuan begitulah kuihnya. Kemana lagi kalau kuah tidak
tumpah ke nasi. Semua ini telah memberikan gambaran betapa tingkah laku kita ada
memainkan peranan secara langsung dalam melahirkan tingkah laku keturunan dan
zuriat kita di masa depan.
Kita tidak boleh lari dari menunaikan tanggung jawab yang telah
diamanahkan dalam memberi pendidikan kepada anak-anak supaya mereka mempunyai
akhlak yang mulia. Bijak, cerdik atau pintar seseorang anak itu bergantung
kepada keupayaan akal mereka menerima ilmu pelajaran yang diberikan tetapi
mempunyai moral dan akhlak yang mulia bermula dari didikan, keimanan dan contoh
teladan baik yang kita pamerkan. Terdapat di kalangan ibubapa yang terlalu
kecewa jika anaknya tidak mendapat keputusan cemerlang dalam pelajarannya
sebaliknya tidak merasa risau atau gundah gulana jika anaknya tidak tahu
membaca Quran dan buta dalam agama. Kita cukup gembira jika anak berjaya
mendapat pelajaran yang tinggi sehingga ke luar negeri tapi tidak akan risau
walaupun anak yang berjaya itu buta dalam agama.
Pergaulan memainkan peranan yang sama ke arah membentuk kepribadian
seseorang itu. Orang tua-tua pernah berkata walaupun kita baik tetapi kalau
berkawan dengan pencuri akhirnya kita akan menjadi pencuri sama. Hari ini
kekadang kita terperanjat jika sianu itu terlibat dalam penagihan dadah
sedangkan satu waktu dulu sianu itu cukup baik orangnya. Tak sangka! Itulah
keluhan kita. Kenapa? Pergaulan dan kebebasan yang tidak terbatas menjadi
puncanya. Seorang anak yang kita belikan motosikal untuk tujuan yang baik
sebaliknya dia menjadi jaguh lumba haram. Sebabnya ialah dia mempunyai rakan
sekeliling yang merupakan ahli lumba haram.
Kebebasan tanpa batasan yang diberikan kepada generasi hari ini menjadi
punca utama kemurnian akhlak mereka yang dibentuk sejak kecil terhakis sedikit
demi sedikit. Walaupun berada di rumah dan tinggal bersama keluarga serta ibubapa
tetapi jika anak diberi kebebasan melulu mampu menjadikan anak itu liar dan
buas. Anak gadis yang tinggal bersama ibubapa yang tidak ambil peduli kemana
dan apakah yang dilakukannya masih berupaya mengandung dan melahirkan anak luar
nikah, apatah lagi yang tinggal jauh bebas berleluasa. Apa yang dicakapkan ini
bukan omong kosong tetapi hakikat yang sering terjadi dimana-mana dinegara ini.
Tidak sedikit anak gadis yang “termengandung” anak luar nikah ketika masih
tinggal bersama ibubapanya.? Mengapa ini boleh terjadi? Kemana ibu dan bapanya
pergi sedangkan mereka tinggal serumah. Persoalan ini mempunyai jawapan hanya
kerana ibubapa tidak mengambil peduli langsung akan anak gadisnya walaupun
sedetik sedangkan mereka serumah. Ibubapa tidak pernah mencurigai segala gerak
geri anaknya kerana mereka memberi kebebasan sepuasnya kepada anak mereka itu.
Andaian kononnya “anak mereka sudah besar” sudah tahu mana baik mana yang buruk
apakah cukup untuk mempertahankan sianak dari godaan nafsu yang bergelojak.
Silaplah bagi ibubapa yang berfikiran secetek itu.
Berapa kerat ibubapa yang apabila anaknya mengatakan mahu keluar menuju
ke satu tempat keramaian atau pertunjukan hiburan kemudian ibubapa mengambil
inisiatif menghantar sendiri anaknya ke tempat tersebut disamping mengamanahkan
seorang yang dipercayai mampu menemani anaknya jika ibubapa sendiri tidak
berkesempatan. Kekadang pula anak memberi protes tidak mahu ditemani kerana
mengganggu privacy.
Keberanian si anak memprotes kerana si anak telah didik dari awal corak
kehidupan sebegitu.
Sering terjadi jika si ibubapa tidak memberi izin, maka si anak akan
tetap keluar melalui pintu belakang. Kebiadapan tingkah laku begini bukan
jarang berlaku. Antara kawan dan ibubapa si anak lebih mempercayai dan memilih
kawan sebagai idola dan penasihatnya. Dalam kejadian lain ibu dan bapa berbalah
keputusan, seorang memberi izin manakala seorang lagi membantah. Keputusan yang
tidak sepakat antara ibu dan bapa memberi ruang yang lebih luas untuk anak
membuat sesuka hatinya kerana mereka akan terfikir pro dan kontra itu memberi
makna mereka bukan dipihak yang salah.
Ingatlah! Anak-anak remaja memang bijak berpura-pura dan berlakon. Di
depan ibubapa lain tingkah lakunya manakala bersama kawan rakan lain pula
perangainya. Pernah terjadi seorang anak gadis yang bekerja dan tinggal di kota
Kuala Lumpur begitu bebas dan tidak terkawal tingkah lakunya sebaliknya apabila
pulang ke kampung kelihatan begitu tertib, menutup aurat dan baik sedangkan
hakikatnya dibandar bertentangan sekali. Akan sebab itu anak-anak mesti
dipantau setiap masa pergerakkan mereka walau di mana berada. Pemantauan atau sportcheck
tidak menentu masa ketikanya.
Kebebasan kepada anak-anak dan generasi muda perlu diberikan tetapi ada
batas dan lunas-lunasnya. Kebebasan kepada mereka seumpama seorang gembala
kambing yang membiarkan kambing bebas lepas meragut rumput tetapi dia memantau
kemana kambingnya pergi. Jika kambingnya merayau jauh hingga terdedah kepada
bahaya maka dihalau kembali kepada kelompok asal yang berada di kawasan
selamat. Jangan memberi kebebasan kepada anak-anak ibarat seorang yang membela
sekawan merpati. Makanan kadang diberi kadang tidak. Kalaupun diberi
dipedulikan tidak. Ke mana merpati pergi tidak diketahui langsung. Apabila
petang samada merpatinya pulang ataupun tidak dia tidak tahu. Akibatnya merpati
itu kelihatan jinak hakikatnya LIAR. Dipanggil ia mari didekati ia lari.
Sikap liberal yang tiada bertempat.
“Mak bapa saya tak kisah!!!” itulah kata-kata yang kita dengar dari
anak-anak muda kini. Jawaban yang begini mempunyai dua maksud yang tersirat
iaitu: pertama, memang betul kehidupan anak muda itu tidak diambil pusing oleh
kedua ibubapanya. Apa yang dia nak buat... buatlah... Jawaban kedua, anak itu
mempunyai masalah berhubungan dengan ibubapanya. Dia tidak berterus terang
dengan mereka. Setiap perkara dia membuat keputusan sendiri. Dia tidak
menghormati lagi akan kedua ibubapa yang melahirkannya.
Setiap ibubapa mesti bersikap liberal dengan anak-anak tetapi liberal
biarlah bertempat. Ibubapa yang bersikap liberal secara berhikmah sentiasa
dihormati malah disegani oleh anaknya sendiri. Sebaliknya mereka yang
berliberal membabi buta menjadikan ibubapa dari sudut pandangan anak itu
sebagai orang yang tidak boleh dibawa bicara, hilang rasa hormat dan melupuskan
rasa kagum kepada ibubapa.
Peringkat pergaulan kita dengan anak-anak tidak sama bagi semua antara
anak kita. Peringkat umur di bawah tujuh tahun umpamanya, idola dalam hidup
mereka adalah ibubapa sendiri kerana mereka tidak mengenal dunia luar lagi.
Sepenuh masa bagi anak-anak ini hanya bersama ibubapa dan hanya mengenali
ibubapa sahaja. Jadi pergaulan kita dan kasih sayang yang kita tunjukkan adalah
kemanjaan ibubapa kepada anak-anak. Apabila mereka melakukan kesalahan maka
kita tegahkan mereka secara keanakan, marah, denda. Mereka tidak berkecil hati
dan tidak tersinggung bukan kerana mereka masih belum cerdik lagi tetapi kerana
dalam dunia hidup mereka, kita adalah idola mereka. Dengan itu mereka tidak
tersinggung kerana yang menegur mereka adalah idola mereka.
Namun apabila anak telah bersekolah dari darjah 1 hingga sekolah
menengah mereka telah mulai mengenali dunia luar tetapi dalam skop yang masih
sempit iaitu alam sekolah. Waktu mereka bersama kita telah berkurang sebaliknya
bersama guru dan kawan-kawan lebih banyak. Ketika ini jika ibubapa terlalu
sebok dengan urusan lain atau kurang bergaul dengan anaknya sendiri menjadikan
dirinya yang satu waktu dulu idola anaknya akan hilang bertukar tempat. Anak
akan memilih orang lain sebagai idola bagi menggantikan ibubapanya. Inilah yang
selalunya terjadi. Anak akan menjadikan guru sebagai idolanya. Ibubapa akan
dipinggirkan dari idola mereka. Kita dapat melihat perkara ini secara cukup
jelas dimana si anak menjadi lebih selesa mendengar cakap kawan atau gurunya
dari mendengar nasihat ibubapa. Bagaimana jika ibubapa mahu terus mengekalkan
dirinya supaya terus menjadi idola anaknya? Apakah sukar sangat untuk
mengekalkan kita sebagai idola? Jawabanya bukannya sukar sangat tetapi untuk
melaksanakannya tidak sesuatu yang mudah. Masa bersama anak-anak mesti
dikekalkan. Ini senangkan! Tetapi tingkah laku kita dan cara kita bergaul
dengan anak-anak mesti ditukar corak dan bentuk. Kalau kita merawat mereka sama
seperti kita merawat di waktu kecilnya dulu alamatnya... salah... dan kita akan
menerima tentangan. Idola bertukar. Jadinya hendaklah kita bergaul dengan
mereka sama sepertimana guru-guru bergaul dengan anak kita di sekolah. Kita
tukarkan corak dan jadikan diri kita juga seumpama guru dengan mereka dan apabila
didapati diri ibubapa oleh anak ini seperti mana hubungan anak dengan guru maka
mereka menjadi semakin hormat kepada ibubapa. Tidak ada bezanya bagi mereka,
bagaimana mereka bergaul dengan guru di sekolah bagitu sama mereka bergaul
dengan ibubapa di rumah. Maka sudah semestinya idola hidup mereka tetap kekal
kepada ibubapa. Mereka akan mengatakan “ibubapa saya yang terbaik”.
Idola anak akan terus berubah apabila meningkat remaja. Kalau di alam
sekolah guru sebagai idola tetapi setelah lepas persekolahan mereka
meninggalkan guru. Yang akan mereka temui dua pihak sahaja iaitu ibubapa di
rumah dan kawan-kawan yang dikenal semasa sekolah atau kawan yang dikenal di
tempat bekerja. Siapa lebih rapat maka itulah idola baru mereka. Kalau ibubapa
gagal menyesuaikan diri dengan perubahan ini anak-anak akan menjadi lebih rapat
dengan kawan untuk menjadi sebagai
idola. Di waktu ini sebagai ibubapa kita mestilah sekali lagi merubah corak
supaya penyesuaian kita dengan anak terus berkekalan. Kemesraan kita dengan anak
tidak sesuai lagi sebagaimana kemesraan guru dengan murid. Kita perlulah
berubah ke arah menjadi kawan kepada anak kita sendiri. Ringkasnya ketika
inilah kita berkawan dengan anak kita sendiri. Bukan senang untuk
menjadi kawan, hanya dengan kesabaran dan kajian bagi mengetahui apa kemahuan
anak kita barulah dapat menyelami hati mereka sebagai kawan. Semasa memasuki
alam remaja minat mereka sudah berubah, muzik/hiburan menjadi kegemaran, artis
menjadi pujaan, fesyen pakaian menjadi ikutan, bahasa pertuturan beralih, sudah
pandai bergaya, bersolek dan bermacam lagi kerenah remaja. Semua perubahan
kepada anak-anak ini kita mesti diambil tahu. Kekadang perubahan pada diri
mereka menuju kepada yang bercanggah dengan kehendak agama Islam dan kita mahu
melarang. Maka ketika ini kita bertukar diri menjadi seorang kawan yang
berkawan dengan anak kita sendiri. Apabila mereka mula berkawan dengan kita
barulah mudah ke arah mana kita mahu membawa arah tuju mereka. Jangan
sekali-kali merawat mereka yang di alam remaja mengikut cara kebudakan atau
keanakan kerana mereka akan memberontak. Mulalah berkawan dengan anak sendiri.
Inilah yang kurang dipraktikan dalam masyarakat kita. Cubalah kita lihat
dalam masyarakat kita yang sudah-sudah. Ibubapa merawat anak terus menerus sebagai
keanakan dan kebudakan walaupun anaknya telah besar panjang. Ibubapa kita tidak
pernah memberi muka kepada dan pendapat kita tidak dipedulikan. Tetapi anihnya
apabila kita sudah berkahwin mahu pula mereka (ibubapa) tadi bergaul dengan
kita bukan seperti keanakan lagi sebaliknya sebagai orang dewasa. Mengapa?
Ertinya pandai pula ibubapa kita mengubah dirinya menyesuaikan diri kita
dengannya sebagai orang yang telah dewasa.
Oleh yang demikian antara kita dan anak-anak mestilah ada penyesuaian
diri. Kita mesti juga melakukan perubahan yang seiring dengan perubahan anak
kita yang kian membesar. Perubahan ini tidak lain hanya semata-mata demi
perhubungan erat, kasih sayang yang terjalin dengan anak-anak sejak dia
dilahirkan tidak terputus di separuh jalan.
Keluarga yang tidak sempurna.
Hanya keluarga yang sempurna, kasih sayang yang terjalin, percaya
mempercayai dan saling hormat menghormati antara ahli dalam keluarga dapat
membentuk moral anak ke tahap yang cemerlang. Jarang perkara yang buruk berlaku
terhadap keluarga yang harmoni, beriman dan penuh mesra kerana setiap masalah
yang melanda telah diselasaikan dengan baik supaya tidak menjadi bisul yang
boleh bertukar kepada barah.
Kebanyakan masalah moral dan keruntuhan akhlak remaja yang berlaku sering
disejarahkan dengan latar belakang keluarga yang kucar kacir. Tidak menjadi
pilihan samada keluarga golongan orang kaya, pertengahan atau keluarga miskin.
Semuanya sama saja. Keluarga yang bermasalah berlaku di kalangan orang kaya
kerana kemewahan yang dimiliki manakala di kalangan yang miskin pula hanya
kerana kemiskinan yang dihadapi itu jugalah penyebab utama masalah dalam
keluarga ini. Bagaimana yang di pertengahan? Pun begitu juga, kerana mahu
mengejar hidup yang lebih mewah jugalah
keluarga menjadi bermasalah dan kacau bilau. Oleh itu masalah dalam keluarga
akan berlaku kepada sesiapa sahaja hatta anak keluarga raja sekali pun.
Masalah yang timbul dalam keluarga jangan dibiar berlarutan kerana mesti
diselesaikan dengan segera. Sekiranya tidak berjaya diselesaikan sendiri maka
mintalah pandangan dan nasihat dari mereka yang arif dan berwibawa. Apabila
sesebuah keluarga mempunyai masalah serius bukan ibubapa yang menjadi mangsa
tetapi yang pasti anak-anak yang menerima kesan yang teruk. Anak-anak akan
mencari pilihan lain untuk melupakan masalah dalam keluarga ibubapanya.
Bayangkanlah bukan seorang anak menjadi mangsa. Bagaimana kalau mempunyai anak
yang ramai tidakkah kesemua anak-anak itu terdedah untuk mencari alternatif
lain sekiranya telah bosan melihat masalah kedua ibubapanya.
Hilang pedoman hidup.
Jika inilah yang berlaku kepada sesebuah institusi keluarga “hilang
pedoman hidup” yang dapat dikatakan seratus peratus hancurlah sepenuhnya
akhlaq keluarga itu. Renungkanlah apa akan jadi jika dalam sebuah keluarga
orang Islam telah hilang pedoman sehingga ke peringkat melakukan semua perkara
seperti di bawah ini:-
Apa yang boleh dibuat lagi kepada keluarga ini? Siapa yang boleh
mengembalikan mereka kepada jalan yang benar? Siapa yang sanggup berhadapan
dengan keluarga ini bagi tujuan menyampaikan dakwah kesedaran? Terlalu sukar rasanya
bagi mendapat orang yang sanggup bersedia berhadapan dengan keluarga seperti
ini. Hanya satu sahaja yang dirasakan yang dapat membenteras gejala keluarga
yang hilang pedoman seperti ini iaitu penguatkuasaan undang-undang yang
berteraskan kepada kehendak agama.
Apabila jiwa seseorang itu tidak dapat dikembalikan ke jalan yang benar
melalui nasihat, pedoman dan bimbingan maka hanya undang-undang yang
dikuatkuasakan sahaja yang mampu memulihkan mereka. Ertinya secara am dapatlah
kita fahamkan bahawa dalam suasana dahsyat setahap mana pun manusia itu masih
boleh diubahkan menuju jalan yang benar.
Bersambung siri ke2