Keruntuhan Akhlak: Krisis yang mencemaskan
Siri ke 2 (Akhir)
Dalam siri pertama dahulu kita didedahkan dengan jelas bagaimana keruntuhan akhlak berhubung kait dengan keadaan keluarga yang tidak teratur dan ibubapa yang tidak memberikan didikan yang sewajarnya adalah faktor utama berlakunya keruntuhan akhlak dikalangan remaja dan masyarakat kita.
Namun demikian selain faktor keluarga yang merupakan salah satu puncanya, terdapat faktor lain lagi yang turut sebagai pemangkin kepada keruntuhan akhlak umat Islam hari ini. Andaikata sebuah keluarga yang sempurna tetapi faktor luaran dalam kehidupan kita tidak tersusun dengan baik akan berlaku juga gejala keruntuhan akhlak ini. Walaupun kita telah memberikan didikan yang sempurna kepada anak-anak tetapi keadaan sekeliling di luar kacau bilau maka kita menjadi bimbang apakah anak-anak kita mampu ketahanan dirinya menahan pengaruh luar yang datang bertubi-tubi itu. Tidak mustahil dinding yang dibina akan runtuh dan akhirnya terpaksa menerima padah serangan yang bertubi-tubi itu. Ini umpama sebuah pasukan bola sepak yang mempunyai pertahanan yang kuat namun apabila berhadapan dengan pasukan lawan yang lebih kuat dengan melakukan serangan yang tiada terhenti yang pastinya pintu gol pasukan yang kuat pertahannya akan bolos juga. Maka begitulah juga dengan benteng ketahanan anak-anak kita.
Pengaruh luar yang tidak seimbang.
Pengaruh luar yang berleluasa hari ini cukup membimbangkan terhadap budaya dan nilai-nilai murni Islam yang dipupuk sejak berzaman. Pengaruh budaya seperti muzik liar dari barat amat mudah meresapi pemikiran dan minda umat Islam. Pengaruh media amat berkesan dalam penukaran minda dan etika umat Islam. Tarian-tarian barat yang liar dan berpakaian yang tidak senonoh jika disajikan kepada kita secara berterusan akan berjaya mempengaruhi hidup kita. Ini ditambahkan lagi dari pengaruh yang diserapkan melalui filem dan cereka serta majalah yang begitu mudah kita perolehi. Perkembangan dunia tanpa sempadan melalui IT dimana laman-laman web yang tidak bermoral terlalu mudah diakses tanpa batas tapisan serta pemantauan menjadikan proses penukaran minda kearah kejatuhan moral dan akhlak menjadi semakin pantas secepat kilat. Pengaruh-pengaruh negatif ini terlalu sukar dibendung apatah lagi disekat dari cuba meresap dalam masyarakat kita. Tidak keterlaluan jika kita katakan bahwa keruntuhan akhlak di kalangan kita hari berpunca daripada pengaruh ini.
Budaya barat yang tiada beretika.
Penerimaan segala unsur budaya dari barat tanpa pertimbangan secara melulu menjadikan identiti dan jatidiri seseorang muslim akan luntur dan hilang pedoman. Budaya “happies” atau kutu menjadi ikutan remaja Islam satu waktu dulu. Trend rambut panjang yang kusut masai, selekeh berpakaian dan diri yang tidak dijaga rapi adalah sesuatu yang menjijikan namun budaya sebegini buruk pun masih ada umat Islam mengikutinya. Kita umat Islam terlalu mudah dipengaruhi kerana kita gagal mempamerkan identiti sendiri. Kita seolah-olah mencari-cari sesuatu. Maka tidak hairanlah jika ada sahaja sesuatu budaya baru disogokkan kepada kita lantas saja kita menerimanya. Cuba fikirkan, kita cukup mudah dipengaruhi. Selain budaya happies, terdapat budaya lain seperti woodenstock, budaya rock, blues, black metal semuanya ada pengikutnya dikalangan umat Islam. Mengapa kita jadi begini? Mengapa kita mudah terpengaruh kepada segala bentuk yang tidak sihat? Begitu juga pergaulan bebas lelaki dan perempuan tanpa batasan yang terang-terang dicegah oleh agama Islam tetap tidak diperduli oleh umat Islam hari ini.
Lihat sahaja corak dan fesyen pakaian barat yang terlalu menonjol dari segi pendedahan bentuk tubuh badan menjadi ikutan serta pilihan utama umat Islam. Di bandar-bandar kita dapat saksikan bagaimana corak dan cara berbudaya dari barat ini yang keterlaluan telah diterima sebagai sebahagian dari cara hidup kita. Walaupun ianya kekadang bercanggah dengan ajaran Islam namun masyarakat kita tidak memperdulikannya. Kita tidak mampu menghalang.
Trend masyarakat barat menjadi cara
hidup kita.
Pengaruh barat bukan sahaja mempengaruhi umat Islam di negara ini malah sebahagian besar umat Islam di dunia. Di negara-negara Arab pun tidak ketinggalan malah kadangkala mereka jauh lebih hebat lagi terpengaruh. Terdapat dikalangan masyarakat kita hari ini mengambil cara hidup masyarakat barat menjadi cara hidup kita sendiri. Sepatutnya sebuah rumah orang Islam tidak mempunyai minuman keras namun sudah ada dikalangan umat Islam yang mendirikan “bar corner” dalam rumah sendiri sebagai keperluannya dan tetamunya dikalangan orang yang kaki botol. Begitu juga ada orang Islam yang menjadikan anjing sebagai binatang peliharaan kesayangannya. Di zaman ini perkara sebegini tidak pelik lagi kerana trend hidup masyarakat barat telah menjadi sebahagian dari trend masyarakat kita.
Peraturan dan undang-undang yang diabaikan.
Semuanya ini disebabkan kita umat Islam telah mengabaikan segala peraturan dan undang-undang yang ditetapkan. Kita dengan sewenangnya melanggari peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan. Dalam sebuah negara yang berdaulat sudah sedia ada segala bentuk peraturan yang ditetapkan sebagai menjaga dan menjamin kesejahteraan kita namun kita telah mengabaikan peraturan-peraturan ini. Begitu juga dalam agama Islam sendiri terdapat peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh Allah swt namun kita telah mengabaikannya. Kita terlalu lupa hingga kita dilalaikan oleh bisikan syaitan yang sentiasa berusaha mahu menyesatkan kita. Kita menjadikan hadis Rasulullah saw sebagai hadis sahaja tetapi kita tidak pernah mahu mempraktikkan segala pesanan dari Nabi saw. Sabda Rasulullah saw, “Aku tinggal kepada kamu DUA perkara yang jika kamu mengamalkannya kamu tidak akan sesat selama-lamanya. Dua perkara itu ialah Al-Quran dan Sunnahku.” Inilah pesanan terakhir Nabi saw kepada kita namun kita tidak mengambil berat akan pesanan ini sehingga menjadikan kita sebagai seorang muslim yang terumbang ambing seperti buih. Jika kita bersungguh-sungguh beramal dengan segala pesanan Rasulullah saw nescaya kita umat Islam hari ini tidak akan jadi begini tercabar dan terjatuh akhlaknya.
Golongan berilmu tidak memainkan
peranan.
“Ulamak adalah pewaris nabi” begitulah sabda junjungan besar Nabi Muhammad saw. Ini bermakna ulamak mempunyai peranan dan tanggungjawab yang amat besar dalam mempertahankan akidah umat Islam dalam sesebuah negara. Peranan ulamak perlu diberikan ruang yang luas dalam membentuk kepribadian dan identiti seseorang umat Islam. Ulamak mestilah diberikan kebebasan dalam mendidik umat Islam memahami jatidiri kita sendiri. Peranan besar dari kalangan ulamak dalam hal memahami kesucian Islam yang sebenar kepada semua umat Islam akan dapat mempertingkatkan keimanan dan ketahanan minda dari mudah terjebak dalam perangkap kuruntuhan akhlak yang dipasang oleh musuh-musuh Islam. Ulamak perlu mengambil tempat dalam masyarakat dalam segala aspek kehidupan, ulamak umpama penasihat dan demonstrator dalam mengenali ajaran Islam yang suci supaya kita memahami agama Islam sedalam-dalamnya tanpa terdapat syak atau wasangka. Para ulamak yang mempunyai kefahaman Islam yang tinggi perlu diberi tempat dalam masyarakat dan bergaul mesra dengan umat Islam supaya mereka tidak disalah anggap dan ilmu serta ajaran murni Islam dapat sampai kepada kita dengan jelas dan terang.
Sudah sampai masanya para cendikiawan Islam dan para ulamak berganding bahu bersama-sama terjun mendekati masyarakat dengan lebih dekat secara mutlak. Mereka mestilah bersama dalam masyarakat di bandar, kampung dan desa. Mereka jangan hanya sekadar berada di dalam pejabat sahaja tetapi bersama-sama dalam segenap aktiviti umat Islam. Ulamak dan cendekiawan Islam bukan hanya sekedar membentangkan kertas-kertas kerja tetapi turut sama mempastikan kertas kerja yang membawa manfaat kepada umat Islam menjadi kenyataan dan dipraktikan dalam kehidupan kita seharian. Sebenarnya peranan ulamak dan cendekiawan Islam amat besar dalam pembangunan ummah dan umat Islam. Ketinggian ilmu agama dan kefahaman Islam yang tinggi yang mereka miliki mestilah disalurkan kepada seluruh umat Islam sejagat dan kita pula sebagai umat Islam yang kurang pemahaman dan asas Islam hendaklah mendekati mereka dan menimba sebanyaknya ilmu dari mereka. Dengan adanya hubungan yang rapat antara ulamak dan umat Islam nescaya segala bentuk ancaman dan pengaruh yang tidak sihat yang cuba memesongkan akidah kita dapat ditentang dan dibenteras dengan jayanya.
Wassalam.