ANTARA KARYA-KARYA USTAZ WAN MOHD SHAGHIR ABDULLAH DI AKHBAR UTUSAN MALAYSIA - RUANGAN BICARA AGAMA Syeikh Muhammad Khatib Langien penyebar Tarekat Syathariyah Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah DALAM perkembangan sejarah Islam di Asia Tenggara telah diketahui umum bahawa pada zaman silam pernah berkembang suatu tarekat yang dinamakan Tarekat Syathariyah. Ulama yang bertanggungjawab selaku penyebar tarekat itu pada peringkat awal di dunia Melayu ialah Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Pada peringkat kedua penyebaran tarekat itu dibawa oleh seorang ulama besar bernama Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Adapun Syeikh Muhammad bin Khatib Langien yang berasal dari Aceh yang diperkenalkan dalam artikel ini adalah termasuk peringkat murid kepada ulama yang berasal dari Patani. Ini kerana gurunya bernama Syeikh Muhammad Ali adalah sahabat Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, iaitu sama-sama murid kepada Syeikh Muhammad As’ad, yang membaiah Tarekat Syathariyah kepada kedua-dua ulama yang berasal dari Patani dan Aceh itu. Syeikh Muhammad bin Khatib Langien pertama kali dikesan, diperkenalkan oleh Syeikh Ismail bin Abdul Mutalib al-Asyi melalui kumpulan karangan ulama Aceh di dalam kitab berjudul Jam’u Jawami’il Mushannafat. Sebuah karya Syeikh Muhammad bin Khatib Langien termaktub dalam kumpulan karangan itu, iaitu yang berjudul Dawaul Qulub. Syeikh Ismail bin Abdul Mutalib al-Asyi menulis, “kitab yang ketujuh Dawaul Qulub daripada ilmu tasauf karangan penghulu kami yang sangat alim, lagi terhimpun kepadanya ilmu zahir dan ilmu batin iaitu Syeikh Muhammad anak penghulu kami Syeikh Khatib”. Pada 1990, saya diberi tugas oleh Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia (PMM-PNM) untuk mengenali atau mengesan beberapa naskhah, maka ditemui beberapa karangan Syeikh Muhammad bin Khatib Langien itu, telah diberi nombor kelas d MS 1044. Adapun tiga karya beliau terdapat dalam nombor yang tersebut. Dengan diketemukan karya-karya itu, maka dapatlah melengkapkan biografi Syeikh Muhammad bin Khatib Langien itu, yang sama pentingnya dengan ulama-ulama Aceh yang lain. Pendidikan Data tarikh lahir dan pendidikan secara lengkap dan terperinci masih belum diketahui dengan tepat dan pasti. Tahun kehidupannya dapat dibandingkan antara karyanya dengan karya- karya ulama Aceh yang lainnya. Dawaul Qulub karyanya diselesaikan dalam tahun 1237H/1821M. Ada lagi sebuah karya yang dikarang oleh ulama Aceh, Syeikh Abdullah, diberi judul Syifaul Qulub. Judul dalam bahasa Arab berbeza, tetapi jika diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu mempunyai tujuan atau pengertian yang sama, iaitu Ubat Sekelian Hati. Syifaul Qulub karya Syeikh Abdullah Aceh itu diselesaikan tahun 1225H/ 1810M. Memperhatikan tahun selesai dikarang kedua-dua kitab itu, maka dapat diambil kesimpulan bahawa Syeikh Muhammad bin Khatib Langien hidup sezaman dengan Syeikh Abdullah itu. Sezaman pula dengan Syeikh Muhammad bin Syeikh Abdullah Ba’id pengarang kitab Hukum Jarah yang diselesaikan tahun 1236H/ 1820M. Guru Syeikh Muhammad bin Khatib Langien bernama Syeikh Muhammad Ali, yang merupakan penerimaan Tarekat Syathariyah, hanya dapat dikesan dari karyanya Mi’rajus Salikin, Syeikh Muhammad Ali itu adalah murid Syeikh Muhammad As’ad. Syeikh Muhammad As’ad menerima dari Syeikh Muhammad Sa’id. Syeikh Muhammad Sa’id menerima dari Ibrahim (al-Madani). Syeikh Ibrahim menerima daripada Syeikh Muhammad Tahir. Syeikh Muhammad Tahir menerima daripada Maula Syeikh Ibrahim al-Kurani. Maula Syeikh Ibrahim al-Kurani menerima daripada Syeikh Ahmad al-Qusyasyi. Mulai Syeikh Ibrahim al-Kurani dan Syeikh Ahmad al-Qusyasyi bererti bertemu asal salasilah dengan Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Selanjutnya hingga ke atas adalah sama antara salasilah Syeikh Muhammad bin Khatib Langien dengan salasilah Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Antara salasilah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani pula dimulai titik temu kesamaan mulai Syeikh Muhammad As’ad, selanjutnya hingga ke atas juga sama. Oleh sebab Syeikh Muhammad bin Khatib Langien adalah murid Syeikh Muhammad Ali, maka mula menjejaki salasilah atau sanad ilmu pengetahuannya selain tarekat dan tasauf tidaklah begitu sukar. Guru kepada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Syeikh Abdus Samad al-Falimbani dan termasuk Syeikh Muhammad Ali al-Asyi adalah seorang ulama besar yang berasal dari Aceh. Beliau ialah Syeikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin al-Asyi. Dengan demikian, pengetahuan Syeikh Muhammad bin Khatib Langien pada sektor akidah Ahli Sunah wal Jamaah dan Mazhab Syafie pada sektor fiqh adalah tidak dipertikaikan walaupun kedua-dua ilmu itu belum ditemui karya beliau. Karya dan pemikiran Sebelum meninjau jalan pemikiran Syeikh Muhammad bin Khatib Langien, terlebih dahulu di bawah ini disenaraikan karya beliau yang telah ditemui, iaitu: 1. Dawaul Qulub, diselesaikan pada tahun Jim, hari Sabtu, bulan Rabiulakhir tahun 1237H/1821M. 2. Asrarud Din li Ahlil Yaqin, tanpa kenyataan tarikh selesai. Data kedua-dua karya Syeikh Muhammad bin Khatib Langien yang tersebut di atas, dapat diambil keterangannya sebagai yang berikut: Dawaul Qulub Kitab Dawaul Qulub diterjemahkan judulnya kepada bahasa Melayu oleh pengarangnya sendiri, iaitu Ubat Segala Hati Daripada Segala Aib. Kata pengarangnya, “dengan tolong Tuhan yang memerintah Ia akan alam syahadah dan alam segala yang ghaib, dan aku aturkan akan dia atas satu mukadimah, dan tiga bab dan satu khatimah…. Dari segi kandungannya secara keseluruhan banyak persamaannya dengan Hidayatus Salikin karya Syeikh Abdus Samad Palembang. Hanya saja diakui oleh Syeikh Muhammad bin Khatib Langien bahawa karyanya itu tidak dimuat karya ibadah. Seperti beliau tulis, “Dan tiada ku sebutkan segala ibadah yang lain di dalam kitab ini, seperti doa dan sembahyang tahajud, dan lain daripadanya, kerana yang demikian itu kelakuan orang abid bukan kelakuan murid. Dan faraq (garis pemisah) antara abid dan murid itu seperti faraq antara Masyriq (Timur) dan Maghrib (Barat). Maka betapa persamaan martabat kedua-duanya, kerana murid itu berkehendak ia akan Allah Taala, dan abid itu berkehendak ia akan hak Taala. Iaitu nikmat dunia atau nikmat akhirat…. Dalam Dawaul Qulub, dengan jelas Syeikh Muhammad bin Khatib Langien sangat mengutamakan zikrullah. Kata beliau, “Dan setengah daripada adab murid itu, jangan membanyakkan ibadah selain zikir. Melainkan segala yang telah difardukan hak Taala, dan sunat rawatib jua tiada lain. Zikrullah saiful murid, kata syeikh, pedang segala murid. Zikrullah min ‘alamatil Aulia’, yang zikir itu setengah daripada alamat Aulia’. Maka barang siapa melazimkan ia akan zikir, tak dapat tiada ia akan jadi Aulia”. Pandangan Syeikh Muhammad bin Khatib Langien mengenai tasauf beliau tulis, “Dan ilmu tasauf itu jalan kepada hakikat. Maka sebab itulah orang yang beramal seperti yang di dalam ilmu tasauf itu, nescaya hasillah padanya ilmu hakikat, dan jika tiada belajar ilmu hakikat sekali-kali, sekalipun. Tetapi jika belajar ilmu hakikat dengan tiada kau amalkan seperti yang di dalam ilmu tasauf, itupun tiada dapat kau ketahuikan akan dia. “Dan tiada yang terlebih mulia dan yang terlebih dimaksud segala manusia, melainkan ilmu hakikat jua. Kerana, hakikat itu jalan kepada makrifat. Dan makrifat itulah jalan kepada mengenal Hak Taala. “Dan tiada dimaksud lain daripada Hak Taala. “Sebab itulah kasih aku, bahawa kebanyakan ilmu tarekat dalam kitab ini, dengan sempurna nyatanya, supaya jadilah kitab ini jalan bagimu kepada kau ketahui ilmu hakikat dan ilmu makrifat, jika kau amalkan seperti yang tersebut dalam kitab ini dengan sungguh-sungguh hatimu. Sabda Nabi s.a.w, “Barang siapa menuntut ia akan sesuatu dengan sungguh-sungguh hatinya nescaya mendapat ia akan sesuatu, sama ada ia segera atau lambat, dan jika hampir matimu pun diberikan akan ia”. Dalam Dawaul Qulub juga menyentuh persoalan pendidikan timbal balik perhubungan antara guru dengan murid. Perkara ini dikemukakan pada mukadimah kitab itu, kemudian dipertegaskan lagi pada bahagian khatimah (akhir) kitab. Sebagai penutup Syeikh Muhammad bin Khatib Langien menasihati murid-muridnya, “Maka tilik olehmu hai murid, akan keluasan rahmat Tuhanmu. Dan beroleh pengajaranlah engkau dengan barang yang telah ku sebutkan akan dia dalam kitab ini, nescaya segeralah kau dapat berjinak-jinak dengan Tuhanmu. Dan perbuatlah olehmu dengan sungguh hatimu, nescaya kau dapat segala yang kau maksud daripada Tuhanmu. Hai murid! Adalah kitab ini terlebih baik daripada ubat daripada segala penyakit hawa nafsu, dan mujarab yang telah dicuba akan dia beberapa orang yang tersebut dalam kitab ini. “Maka barang siapa yang ada bermata hati nescaya adalah segala pengajaran dalam kitab ini terlebih sangat bersikah (ertinya: percaya di dalam hatinya), menurut Syeikh Ismail al-Asyi, pada bahagian tepinya, pada hatinya. Dan barang siapa telah tertutup Hak Taala akan hatinya, nescaya tiada memberi bekas dengan mendengar segala pengajaran ini, dan jika diajar terlebih banyak daripada segala yang tersebut dalam kitab ini sekalipun”. Kitab Dawaul Qulub berhasil diterbitkan atas usaha dan tashhih Syeikh Ismail bin Abdul Mutalib al-Asyi termaktub dalam Jam’u Jawami’il Mushannafat. Banyak kosa kata menurut bahasa Aceh di dalam kitab itu diperjelas Syeikh Ismail Aceh itu yang beliau letakkan di bahagian tepinya. Adapun Dawaul Qulub yang masih berupa manuskrip sampai data ini diambil belum diketahui di mana tersimpan. Asrarud Din Li Ahlil Yaqin Manuskrip judul ini tersimpan di PMM-PNM dengan nombor MS1044. Kitab ini dicetak berkali-kali bersama-sama kitab Miftahul Jannah karya Syeikh Muhammad Taiyib bin Mas’ud al-Banjari. Di antaranya cetakan Matba’ah al-Miriyah Makkah, 1321H/1903M. Pada cetakan tersebut, tidak pernah menyebut nama pengarangnya. Kandungan kitab Asrarud Din karya Syeikh Muhammad bin Khatib Langien itu agak berbeza dengan kitab-kitab tasauf dalam bahasa Melayu selainnya. Sehingga sekarang belum ditemui kitab tasawuf yang membahas seperti yang tersebut dalam Asrarud Din itu. Yang dibahas di dalamnya, dimulai dengan syahadat. Menurut beliau tentang syahadat ada tiga jenis iaitu : syahadat syariat, syahadat tarekat dan syahadat hakikat. Apa saja yang dibicarakan berkisar kepada tiga itu, iaitu syariat, tarekat dan hakikat. Sembahyang juga demikian, sembahyang syariat, sembahyang tarekat dan sembahyang hakikat. Pendek kata semua rukun Islam yang lima dibahas pada sektor yang tiga itu. ---------------------- Haji Wan Musa Tuan Tabal pernah mengundang perdebatan hebat Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah TUAN TABAL dan dua orang anak beliau telah diperkenalkan sebelum ini. Artikel ini pula akan memperkenalkan mengenai anak beliau yang bernama Haji Wan Musa bin Tuan Tabal, iaitu salah seorang Mufti Kelantan yang pernah mengundang perdebatan khilafiyah antara beliau dengan beberapa orang ulama para sahabat yang seperguruannya dan ulama-ulama lainnya. Riwayat Mufti Haji Wan Musa pernah ditulis oleh Nik Abdul Aziz bin Haji Nik Hasan dalam buku Sejarah Perkembangan Ulama Kelantan (cetakan pertama, Pustaka Aman Press, Kota Bharu, Kelantan, 1977), juga oleh Ismail Awang yang dimuat dalam majalah Pengasuh dan kemudian dimuat dalam buku, Tokoh-Tokoh Ulama Semenanjung Melayu (1). Juga ditulis oleh beberapa orang lainnya. Oleh sebab riwayat Mufti Haji Wan Musa sudah agak banyak ditulis sebelum ini, maka dalam artikel ini saya utamakan membahas sepucuk surat yang dikirim oleh Haji Wan Musa dari Kota Bharu, Kelantan kepada gurunya Syeikh Ahmad al-Fathani di Mekah. Surat bertarikh 16 Rejab 1322H/25 September 1904M. Oleh yang demikian, banyak perkara yang tidak dibicarakan dalam tulisan-tulisan yang terdahulu terdapat dalam artikel ini. Berdasarkan tahun kelahiran Haji Wan Musa 1291H/1874M, dapatlah dipastikan bahawa beliau adalah abang pada Haji Wan Abdullah yang lahir 1293H/1877M (riwayatnya dimuat dalam Bahagian Agama, Utusan Malaysia, 30 Oktober 2006). Haji Wan Musa pula adalah adik pada Mufti Haji Muhammad yang lahir 5 Rejab 1287H/1 Oktober 1870M. Haji Wan Musa meninggal dunia pada hari Sabtu, 24 Zulkaedah 1357H/14 Januari 1939M. Para guru ketiga-tiga putera Tuan Tabal yang tersebut adalah sama, iaitu dimulai dari pendidikan asas oleh Tuan Tabal sendiri, kemudian mereka melanjutkan pelajaran di Mekah. Guru mereka ketika di Mekah yang paling berkesan ialah Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani yang masih ada hubungan kekeluargaan dengan mereka. BAHASAN SURAT Surat Haji Wan Musa tarikh 16 Rejab 1322H/25 September 1904M, beliau menggunakan hampir semua gelaran kebesaran Syeikh Ahmad al-Fathani yang pernah diberikan oleh para ulama lainnya. Haji Wan Musa menulis: “Alhamdulillah wahdah, bahawa ditaslimkan ke bawah Hadhrat Sa'adah wa Qudwah al-Ulama' al-'Amilin wa 'Umdah al-Atqiya' al-Kamilin Fakhr al-A'yan wa Bahjah az-Zaman wa Qurrah 'Ain al-Ikhwan al-Ghani bi Kamalih 'an al-Ishtinab lima hawah min 'Ulwu al-Janab Uztazuna al-'Allamah wa Mulazuna al-Fahamah, kakanda Wan Ahmad bin al-Mukarram al-Haji Wan Muhammad Zain al-Fathani yang di Mekah al-Musyarrafah pada Syu'ib 'Ali ...” Semua gelaran yang ditulis dalam bahasa Arab tidak saya terjemah, kerana telah saya kupas dalam buku judul Syeikh Ahmad Al-Fathani Pemikir Agung Melayu dan Islam, jilid 1. Haji Wan Musa menggunakan perkataan ‘kakanda’ untuk ganti nama Syeikh Ahmad al-Fathani, lazimnya panggilan daripada seorang murid kepada guru ialah perkataan ‘ayahanda’. Panggilan ‘kakanda’ yang digunakan tidak salah kerana masih ada hubungan kekeluargaan antara Haji Wan Musa dengan Syeikh Ahmad al-Fathani yang status persaudaraan boleh dipanggil `berpupu-puan.’ Dalam kekeluargaan, Tuan Tabal adalah pangkat ayah saudara Syeikh Ahmad al-Fathani antara dua atau tiga pupu. Lebih dekat lagi kerana Hajah Wan Kaltsum, ibu Haji Wan Musa, adalah kakak Syeikh Wan Ali Kutan. Isteri Syeikh Wan Ali Kutan bernama Hajah Wan Aisyah. Beliau adalah adik beradik dengan Hajah Wan Cik ibu Syeikh Ahmad al-Fathani. Di antara anak Syeikh Wan Ali Kutan dan Hajah Wan Aisyah, ialah Haji Wan Abdur Rahman, Hajah Wan Fatimah, dan lain-lain bererti saudara sepupu Haji Wan Musa dari pihak ibu Haji Wan Musa kakak Syeikh Wan Ali Kutan. Haji Wan Abdur Rahman dan Hajah Wan Fatimah juga saudara sepupu Syeikh Ahmad al-Fathani dari pihak ibu sama ibu adik-beradik. Sekiranya tidak melalui jalan perkahwinan atau jalan yang disebutkan ini, Syeikh Wan Ali Kutan dan kakaknya Wan Kaltsum adalah pangkat ayah dan ibu saudara Syeikh Ahmad al-Fathani. Oleh sebab itulah maka dalam surat Haji Wan Musa menggunakan perkataan ‘kakanda’ untuk diri Syeikh Ahmad al-Fathani, tidak menggunakan perkataan ‘ayahanda’, walau pun beliau seorang murid. Dan beliau menyebut dirinya ‘adinda’, tidak perkataan ‘anakanda’. Setelah kalimat dalam bahasa Arab, Haji Wan Musa mengharapkan doa Syeikh Ahmad al-Fathani untuk keluarga, terutama diri dan anak-anak beliau termasuk dalam perhimpunan ulama, Haji Wan Musa menulis, “... serta adalah upah umrah tiga rial bagi Mek Cik binti Abdus Shamad boleh kakanda tolong menghasil akan dia. Dan ada pun tiga rial, adinda minta kakanda tolong beli kitab al-Fawaid al-Madaniyah atau al-Makkiyah dan adinda taraddud (maksudnya: ragu-ragu, pen) sedikit antara dua nama itu, yang ada menyebutkan Ishthilah at-Tuhfah, dan lainnya. Dan minta kekanda tolong beli kitab Mushthalah al-Hadits satu, dan Ushul Fiqh satu yang kecil-kecil, mana-mana yang elok pada hadrat kekanda. Dan kitab Nashaih ad-Diniyah satu. “Maka jika tidak cukup rial itu, maka kekanda suruh Ahmad anak Haji Muhammad Manan beri dahulu. Kemudian boleh adinda bayar kepadanya di Jawi. Maka boleh kekanda terima ambil rial yang tersebut itu bersama-sama dengan surat ini di dalam bungkus rial yang adinda kirim kepada Ahmad ibnu Haji Muhammad Manan.” Dalam petikan di atas dapat diketahui ada adik beradik Haji Wan Musa yang perempuan, ialah Mek Cik binti Abdus Shamad. Belum begitu pasti apakah Mek Cik binti Abdus Shamad itu sama ada kakak ataupun adik Haji Wan Musa, dalam dugaan saya kemungkinan adalah kakak. Dalam kalimat-kalimat di atas dapat dibuktikan bahawa Haji Wan Musa seorang yang sangat gemar kepada pelbagai jenis kitab ilmu pengetahuan. Ada orang meriwayatkan bahawa Haji Wan Musa selalu menyisihkan wangnya untuk menambah jumlah kitab yang dimilikinya. Setiap kitab yang dibeli pasti dibaca, bukan hanya disimpan atau dijadikan perhiasan saja. Pada konteks di atas dipastikan bahawa Ahmad ibnu Haji Muhammad Manan adalah sebagai utusan Haji Wan Musa kepada Syeikh Ahmad al-Fathani. Haji Ahmad bin Haji Muhammad Manan (lahir 1301H/1884M, wafat 1357H /1938M) termasuk murid Syeikh Ahmad al-Fathani dan selanjutnya juga menjadi murid Haji Wan Musa. Haji Ahmad bin Haji Muhammad Manan termasuk dalam golongan ulama besar yang terkenal di Kelantan. Perkembangan khilafiyah di Kelantan selalu dilibatkan orang kepada Mufti Haji Wan Musa. Barangkali polemik Haji Wan Musa yang paling awal ialah antara beliau dengan Imam Haji Wan Daud. Transliterasi surat tentang itu selengkapnya sebagai berikut: "Dan lagi adinda maklum kepada hadrat kakanda, adalah adinda berkhilaf sedikit dengan Imam Haji Wan Daud pada bicara suatu masalah. Maka jadi munazharahlah adinda dengan dia, pada malam Selasa 10 Rabiulawal. Maka tiadalah adinda boleh ketahui siapa yang benarnya, kerana tiada hakim yang boleh memutuskan perbalahan itu. Maka adinda harap hadrat kakanda tolong menyatakan kepada adinda, adakah betul faham adinda itu atau ia yang betul? Supaya adinda pakai kemudian hari pula. Maka masalah yang jadi perbalahan itu, dan kaifiat balahannya adinda surat pada satu kertas, adinda bubuh bersama-sama dengan surat ini supaya boleh kakanda ketahui daripada awal hingga akhirnya. Tetapi ibaratnya sehabis-habislah tiada eloknya, harapkan kekanda maaf banyak-banyak. Dan jika ada salah adinda pada tempat mana-mananya di dalam surat itu, maka minta kekanda nyata kepada adinda pada tahun hadapan ini supaya boleh adinda ketahui, ’’...Yang dimaksudkan pada kalimat... pada malam Selasa, 10 Rabiulawal ... itu ialah pada tahun 1322 H. Tarikh 10 Rabiulawal 1322H jika dijadikan tahun Masihi ialah 24 Mei 1904M. Semua buku yang membicarakan tentang polemik Haji Wan Musa tidak pernah menyebut peristiwa antara beliau dengan Imam Haji Wan Daud. Demikian juga tentang tarikh dan tahun kejadian, 10 Rabiulawal 1322H/24 Mei 1904M tidak pernah disebut. Semua polemik Mufti Haji Wan Musa dengan beberapa orang ulama hanya disebut mulai berlaku tahun 1916 M (lihat Sejarah Perkembangan Ulama Kelantan, hlm. 120). Imam Haji Wan Daud yang tersebut juga salah seorang murid Syeikh Ahmad al-Fathani, menurut riwayat selain pernah menjadi Imam Masjid Muhammadi, beliau juga pernah menjadi Mufti Kelantan. Imam Haji Wan Daud meninggal dunia tahun 1326 H/1908 M, lebih kurang empat tahun setelah perselisihan pendapat dengan Haji Wan Musa. Haji Wan Musa dilantik menjadi Mufti Kelantan menggantikan Imam Haji Wan Daud yang tersebut itu. Sehingga artikel ini saya tulis, saya belum dapat menjejaki masalah-masalah yang menjadi pertikaian pendapat antara Haji Wan Musa dengan Imam Haji Wan Daud yang tersebut dalam surat di atas kerana dalam surat hanya menyebut: “Maka masalah yang jadi perbalahan itu, dan kaifiat balahannya adinda surat pada satu kertas, adinda bubuh bersama-sama dengan surat ini supaya boleh kakanda ketahui daripada awal hingga akhirnya.” Permasalahan yang dinyatakan “adinda surat pada satu kertas ...” yang maksudnya dilampirkan bersama surat tarikh 16 Rejab 1322H/25 September 1904M hingga kini belum dijumpai. Jawapan Syeikh Ahmad al-Fathani mengenai yang tersebut juga belum dijumpai. KAUM TUA - KAUM MUDA Pada zaman yang sama dengan Haji Wan Musa di Minangkabau muncul istilah Kaum Tua dan Kaum Muda. Pada pandangan saya, Haji Wan Musa, sukar untuk dituduh sebagai Kaum Muda, kerana banyak perbezaan dengan pemikiran yang dinamakan Kaum Muda di Minangkabau, Jawa dan tempat-tempat lainnya di Indonesia. Sebagai contoh Kaum Muda di Indonesia menolak amalan dalam sesuatu tarekat sedangkan Haji Wan Musa adalah seorang yang sangat berpegang teguh dan beramal dengan Tarekat Ahmadiyah. Beberapa pegangan hukum fiqh dalam Mazhab Syafie ada yang dipertahankan oleh Haji Wan Musa. Sebaliknya sesetengah peribadi pengikut Kaum Tua hanyalah berpegang dengan longgar dan rapuh. Sebagai contoh tentang hukum zakat fitrah dan wakaf. Haji Wan Musa secara konsekwen tetap berpegang seperti ulama-ulama Syafieyah lainnya, zakat fitrah mestilah segera dibagikan kepada yang berhak menerimanya, tidak boleh digunakan untuk pembangunan walau untuk membina masjid sekali pun. Sesuatu yang dinamakan ‘wakaf’ tidak boleh diperjual belikan walau dengan alasan apa pun juga. Bagaimanapun saya tidak menafikan bahawa ada beberapa perkara yang lain, nampaknya ada persamaan antara Haji Wan Musa dengan Kaum Muda di Indonesia. Sebagai contoh tentang melafazkan Ushalli, masalah jilatan anjing, talqin, dan lain-lain. Khusus mengenai yang tersebut ini Haji Wan Musa ditentang oleh hampir keseluruhan ulama Kelantan termasuk Tengku Mahmud Zuhdi bin Tengku Abdur Rahman al-Fathani yang ketika itu sebagai Syeikh al-Islam Selangor. Sanggahan Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani terhadap Haji Wan Musa ditulis dalam kitab Tazkiyatul Anzhar wa Tashfiyatul Afkar (selesai ditulis pada 17 Muharam 1339H/30 September 1920M). Untuk maklumat lanjut mengenai Ulama Nusantara, sila e-mel pertanyaan ke alamat: pengkaji_khazanah@yahoo.com atau hubungi talian 03-6189 7231