|
berita |
|
REHLAH KE OASIS BAHARIYYA (oleh : [email protected])
Sempena cuti pertengahan tahun, di samping merehatkan minda akhawat-akhawat selepas bertungkus-lumus menghadapi peperiksaan pertengahan tahun, satu lawatan ilmiah dan imaniah telah diadakan. Oasis Baharia yang mengambil masa 3 jam perjalanan dari Kaherah menjadi destinasi pilihan. Rehlah tersebut dijalankan selama 3 hari 2 malam. Antara objektif rehlah tersebut diadakan adalah untuk merapatkan lagi ukhuwwah sesama ahli perubatan, belajar menerapkan nilai tarbiyyah sambil berhibur dan belajar mengatur program. ’Jauh perjalanan luas pemandangan’. Pada hari pertama, para pelajar dibawa melawat ‘crystal mountain’ dan juga ‘white desert’. Tiada kata yang dapat menggambarkan keunikan bentuk muka bumi yang terbentuk di gurun tersebut. Seolah-olah berada di planet asing. Pada hari berikutnya, para pelajar melawat ‘Hot n Cold Springs’, ‘black desert’, ‘ Desert rose’ dan ‘Bawaiti Town’. Para pelajar dibenarkan mengutip batu -batu yang berbentuk bunga ros yang terdapat di ‘Desert rose’ untuk dibawa pulang sebagai kenang-kenangan. Semasa doa musafir dibacakan oleh pengarah program sebelum bertolak, para pelajar digalakkan supaya memerhati langit dan perubahan awan di sepanjang rehlah. Maha Suci Allah yang memberi peluang kepada para pelajar untuk menyaksikan kalimah “Allah” terbentuk indah oleh awanan putih didada langit semasa para pelajar berada di puncak ‘English Army House Mountain’, iaitu tempat lawatan terakhir rehlah tersebut. Pada keesokan harinya, para pelajar bertolak pulang pada jam 11 pagi dan selamat tiba di Kaherah pada jam 2 petang. |
|
JEJAK ANBIYA’ - SINAI 2 (oleh : [email protected])
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia dan inayahnya, PERUBATAN (ikhwah) telah berjaya mengatur Rehlah Jejak Anbiya’ - Sinai buat kali yang kedua. Rehlah yang berlangsung selama tiga hari itu telah disertai oleh ahli-ahli PERUBATAN dari tahun satu, dua, tiga dan empat. Turut serta dalam rehlah berkenaan ialah Dr. Azmi bin Jamion yang dalam tempoh bercuti beliau ke Mesir. Jumlah penuh peserta adalah seramai 40 orang. Rehlah bermula kira-kira jam 9.00 pagi 24 Januari 2006, dengan menaiki sebuah bas ‘SCANIA’ dari Kasr El-Ainy St. Pada hari pertama, destinasi para peserta adalah Jabal Musa. Di pertengahan jalan, para peserta dibawa melawat pelbagai tempat-tempat bersejarah antaranya Suez Canal, Barlev Line dan Uyun Musa. Sedikit menyedihkan kerana para peserta tidak dapat untuk mengunjungi Hamam Firaun, atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Setibanya di Saint Catherine, para peserta sempat berehat beberapa ketika sebelum memulakan pendakian menuju ke punjak Jabal Musa. Pada keesokan harinya, para peserta menuju destinasi seterusnya iaitu Dahab, kira-kira 200 km dari St. Catherine. Dalam perjalanan, para peserta dibawa melawat Perkampungan Ilyas, Kanisah St. Catherine, kesan sinaran Lembu Samiri ke atas batu, Makam Nabi Saleh, Makam Nabi Harun, dan Perkampungan Nabi Syuib. Setibanya di Dahab, para peserta dibenarkan melakukan pelbagai aktiviti seperti aktiviti laut dan aktiviti padang pasir. Walaubagaimanapun, angin kuat menghalang para peserta daripada melakukan aktiviti laut seperti berkayak dan ‘snorkeling’. Namun ini tidak menghalang sesetengah peserta untuk mencari aktiviti baru lain, seperti menaiki ‘buggy car’ dan berbasikal. Pada hari terakhir rehlah, para peserta dibawa melawat Kubu Salehuddin yang terletak di sempadan Mesir-Israel, Taba. Di pertengahan jalan, para peserta sempat meninjau Pelabuhan Nuweiba, yang terkenal sebagai ‘port’ untuk ke Jordan melalui jalan darat. Bas mula bertolak pulang kira kira jam 2 petang, dan tiba di Cairo kira-kira jam 9 malam. Syabas kepada AJK Rehlah, dan mudah-mudahan rehlah seperti ini dapat diadakan lagi dengan lebih cemerlang pada masa mendatang. |
