IKHTILAT

Ahmad Muhaimin Mustapha

                                                                     Wan Faqihah Wan Jusoh           

 

Islam merupakan agama fitrah yang lengkap dan menyeluruh. Nabi SAW meninggalkan kepada kita satu ikutan dari sekecil-kecil perkara hinggalah yang besar. Tatacara pergaulan antara manusia dan percampuran antara lelaki dengan wanita merupakan perkara diambil berat oleh Islam. Di sinilah titik permulaan yang akan menentukan jatuh bangunnya sesuatu umat.

 

Ikhtilat

 

Mengikut al Mu'jam al-Islami perkataan ikhtilat adalah terjemahan daripada perkataan ajnabi yang bermaksud pertemuan, perjumpaan atau penyertaan. Manakala menurut al-Mu'jam al-Wajiz pula, ianya berasal daripada kalimah ikhtalato yang bermakna percampuran dan syarikah.

 

Secara  mudahnya ikhtilat  yang ingin kita bincangkan di sini ialah percampuran antara lelaki dan wanita bukan mahram dalam kehidupan seharian. Bukan semua ikhtilat dilarang oleh syara' bahkan ada yang dibenarkan selagi mana ianya berjalan di atas landasan yang digariskan oleh Nabi SAW. Justeru penting bagi kita membezakan mana yang halal dan mana yang ditegah, agar tidak terlalu ‘rigid’ atau longar dengan hukum-hakam agama.

 

Batas pergaulan wanita pada pandangan Islam tidaklah seperti yang digambarkan oleh barat bahawa wanita dilarang bekerja dan tidak boleh keluar dari rumah secara mutlak. Islam tidaklah memenjara dan mengurung golongan ini serta memencilkan mereka. Kewajipan kita ialah bergaul dengan masyarakat mengikut petunjuk yang telah diajar oleh Rasulullah SAW. Dalam Islam terdapat dua jenis ikhtilat iaitu ikhtilat syarie yang diharuskan dan ikhtilat yang tidak syarie iaitu yang diharamkan oleh Allah Taala. Perlu kita teliti dengan baik bahawa terdapat beberapa situasi atau pergaulan yang mengharuskan penglibatan wanita pada zaman Rasulullah SAW seterusnya perlu menjadi ikutan umat baginda SAW, lebih-lebih lagi pada zaman yang global ini.

 

Pada zaman Rasulullah SAW golongan wanita pergi menunaikan solat fardhu dan solat Jumaat di masjid Nabawi secara berjemaah. Diriwayatkan bahawa mereka pada mulanya masuk ke masjid melalui mana-mana pintu yang mereka suka. Ini telah menyebabkan berlakunya kesesakan dan percampuran dengan golongan lelaki. Akhirnya dikhususkan satu pintu daripada Masjid Nabawi untuk golongan wanita (Bab Nisa'). Jelas di sini bahawa Islam cukup memberi penekanan dalam mengawal percampuran antara dua jantina daripada berlaku pergaulan bebas. Wanita pada zaman Rasulullah SAW juga terlibat sama dengan lelaki dalam aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan yang dibenarkan syara' dalam batasan yang dibenarkan. Mereka pergi ke masjid untuk solat, menuntut ilmu dan ada juga yang terlibat di medan jihad sebagai jururawat, tukang masak, memberi bantuan kecemasan malah ada yang mengangkat senjata.

 

Perubahan zaman banyak mengubah cara hidup dan pergaulan manusia. Keluarnya wanita ke medan kerjaya, menuntut ilmu secara formal menyaksikan berlakunya ikhtilat yang tidak dapat dielakkan. Islam sama sekali tidak menghalang pergaulan antara lelaki dengan wanita, tetapi hendaklah dalam ruang lingkup yang dibenarkan olah agama kerana wanita juga ada peranannya dalam masyarakat. Namun dalam keterlibatan itu perlulah setiap perempuan itu memastikan batas auratnya dengan lelaki terjaga iaitu tidak men-dedahkankan seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan, tidak bertabarruj iaitu tidak menampakkan hiasan diri yang wajib ditutup, tidak memakai pakaian yang nipis dan ketat, menjaga percakapan dengan tidak meleret panjang dan bukan dengan nada yang menggoda, mengelak daripada tersentuh kulit dengan ajnabi dan apa-apa kelakuan yang boleh menimbulkan syahwat lelaki. Bersesuaian dengan maksud firman Allah SWT:

 

" Wahai  isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertakwa. Oleh itu janganlah kamu berkat-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing)kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan). Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu……………."                             (al-Ahzab : ayat 32,33)

ćäĒŽŌÉ Ļķäķ

Hosted by www.Geocities.ws

1