![]()
![]()
![]()

|
Apakah Peranan AWAM Dalam Penyediaan Rancangan Pemajuan ? |
Anda selaku orang awam boleh menyumbangkan pendapat konstuktif sebagai input dalam perancangan bandar melalui penyertaan awam pada peringkat seranta dalam proses penyediaan rancangan pemajuan.
Penyertaan Awam merupakan satu proses yang penting dalam perancangan bagi memastikan rancangan pemajuan seperti rancangan struktur dan rancangan tempatan dapat memenuhi hasrat dan pandangan masyarakat umum. Dalam keseluruhan konteks proses penyediaan rancangan pemajuan, penglibatan awam akan dilaksanakan dalam peringkat seranta. Keperluan seranta telah diperuntukkan dalam Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172), di bawah Seksyen 9 (1) yang mana :
..... Pihak Berkuasa Perancangan Tempatan akan mengadakan seranta di dalam kawasannya apabila menyediakan draf rancangan struktur bagi kawasan anda dan mengambil langkah-langkah berikut :
· Memberi maklum kepada orang awam bahawa mereka adalah berhak dan berpeluang untuk membuat rayuan kepada pihak berkuasa perancangan tempatan berkenaan dengan pekara-pekara yang dicadangkannya dalam rancangan pemajuan itu ;
· Pihak Berkuasa Perancangan Tempatan hendaklah menimbangkan tiap-tiap rayuan yang dibuat kepadanya dalam tempoh yang ditetapkan :
· Menyiarkan, dalam tiga keluaran dari sekurang-kurangnya dua akhbar tempatan, suatu notis menyatakan bahawa salinan-salinan rancangan itu boleh didapati untuk diperiksa di pejabat pihak berkuasa tempatan dan di tempat-tempat lain yang ditentukannya dan masa dalam mana bantahan-bantahan terhadap rancangan itu boleh dibuat kepada Jawatankuasa dan ;
· Menyediakan salinan-salinan rancangan itu untuk diperiksa di tempat-tempat yang dinyatakan dalam notis itu, dan tiap-tiap salinan hendaklah disertakan dengan satu pernyertaan tentang masa, dalam mana bantahan-bantahan terhadap rancangan itu boleh dibuat kepada Jawatankuasa.
Manakala di bawah Seksyen 13 Akta 172 :
(1) ... menyediakan salinan-salinan draf rancangan tempatan itu untuk diperiksa di pejabatnya dan di tempat-tempat lain yang ditentukannya ; dan tiap-tiap salinan yang disediakan untuk diperiksa dipejabatnya dan di tempat-tempat lain yang ditentukannya ; ...
(2) ... pihak berkuasa perancangan tempatan hendaklah menyiarkan, dalam tiga keluaran dari sekurang-kurangnya dua akhbar tempatan, satu daripadanya dalam bahasa kebangsaan, suatu penyataan menyatakan tarikh salinan-salinan draf rancangan tempatan itu akan mula tersedia untuk diperiksa.
Seksyen 12A Akta 172 pula akan menjelaskan :
(a) ... seranta diberikan di dalam kawasannya tentang draf rancangan tempatan yang akan disediakan, matlamatnya dan maksud bagi penyediaannya, dan perkara-perkara yang pihak berkuasa perancangan tempatan bercadang untuk memasukkannya ke dalam rancangan itu :
(b) bahawa orang yang dijangka ingin mendapat peluang untuk membuat representasi kepada pihak berkuasa perancangan tempatan itu berkenaan dengan perkara-perkara itu dijadikan sedar bahawa mereka berhak mendapat, dan diberi peluang untuk berbuat demikian ...
Bantahan Awam Draf Rancangan Struktur (DRS) di peruntukkan mengikut Seksyen 9 (2) (3) Akta 172. Bantahan Awam Draf Rancangan Tempatan (DRT) diperuntukan mengikut Seksyen 13(1) (2) Akta 172.
|
Bagaimana Anda Boleh Memberi Cadangan Dan Bantahan Awam |
1. Memeriksa dan menyemak Laporan DRS / DRT di tempat-tempat berikut :
· Pejabat Majlis Bandaraya / Perbandaran / Daerah di kawasan anda ;
· Pejabat Jabatan Perancangan Bandar dan Desa di negeri anda ; atau
· Tempat-tempat pameran DRS / DRT yang ditetapkan oleh pihak berkuasa perancangan tempatan anda.
2 Mengemukakan Borang Bantahan Awam DRS / DRT (Manual / Digital) :
· Anda dikehendaki mengisi cadangan dan bantahan anda di dalam Borang Manual yang disediakan ; atau
· Mengemukakan Borang Digital / “Online” dalam laman web Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri anda ; atau
· E-mail cadangan atau bantahan anda kepada Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri anda.
3. Menghadiri Majlis Seranta dan Bantahan Awam
· Anda akan dipanggil untuk menyampaikan cadangan dan bantahan anda di mesyuarat seranta dan bantahan awam.
|
Mengapakah Peranan Awam Ini Penting ? |
Pihak awam adalah pihak yang terlibat secara langsung terhadap pembangunan yang dijalankan. Sesebuah pembangunan yang dimajukan akan dihuni oleh pihak awam sebagai penduduk tempatan. Oleh itu, adalah penting pihak awam berperanan bersama di dalam semua peringkat perancangan / sebelum, semasa dan selepas.
Bagi pihak agensi pelaksanaan seperti jabatan awam, tindak balas atau responsif daripada pihak awam diperlukan pada peringkat awal agar perancangan yang dijalankan tidak lari dan tidak keluar daripada matlamat merancang untuk rakyat. Ini adalah selaras dengan konsep ‘hubungan MANUSIA dan MANUSIA’.
Peranan awam dapat membantu pihak pelaksana bagi membuat perancangan dengan lebih berkesan. Ini adalah kerana pihak awam secara asasnya lebih mengetahui apa sebenarnya yang diperlukan di dalam kehidupan tempatan.