![]()

|
Siapakah Pihak Berkuasa Perancangan Tempatan Anda? |
Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) memperuntukan kuasa kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk menjadi Pihak Berkuasa Perancangan Tempatan (PBT) (Seksyen 5, Akta 172)
Ini bermaksud mana-mana PBT seperti majlis daerah, majlis perbandaran, majlis/dewan bandaraya atau mana-mana perkataan lain yang bermaksud ia sebagai PBT adalah PBPT di dalam kawasan pentadbirannya. Bagi kawasan di luar sesebuah PBT, Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD) Negeri ialah PBPT bagi kawasan tersebut.
Secara khususnya, setiap PBT mempunyai jabatan / unit perancangan bandar di dalamnya. Jabatan / unit ini adalah unit yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap perancangan bandar di dalam kawasan pentadbiran PBT.
|
Apakah FUNGSI Pihak Berkuasa Perancangan Tempatan ? |
PBT merupakan hierarki ketiga di dalam sistem pentadbiran kerajaan Malaysia selepas kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri. PBT adalah di dalam kerajaan tempatan yang mana ia mempunyai urusan yang langsung dengan penduduk tempatan. PBT merupakan pihak yang mengendalikan urusan yang berkaitan dengan hal ehwal tempatan.
Fungsi PBT adalah berkait rapat dengan urusan yang dijalankan di peringkat tempatan yang mana ia menawarkan khidmat kepada pihak awam.
Antara fungsi yang ditonjolkan daripada PBPT adalah :
√ Memproses permohonan pelan pembangunan yang dikemukakan.
√ Mengawal aktiviti pembangunan gunatanah melalui pemakaian akta dan garis panduan.
√ Mengeluarkan garis panduan dan piawaian perancangan yang terperinci terhadap pembangunan.
√ Menyelaraskan pelaksanaan dasar dan strategi rancangan pemajuan yang telah diwartakan.
√ Menjalankan kajian dan kajiselidik perancangan pembangunan.
√ Menyelaraskan dasar dan polisi PBT berhubung dengan pembangunan.
|
Apakah TUGAS Pihak Berkuasa Perancangan Tempatan ? |
Akta 172 memperuntukan Seksyen 6(1) bagi menjelaskan tugas bagi PBPT yang mana ia adalah sebagai tugas utama PBPT. Tugas tersebut diperuntukan seperti berikut :
Ø Mengatur, mengawal dan merancang pemajuan dan penggunaan tanah dan bangunan.
Ø Mengusaha, membantu dan menggalakkan pemungutan, penyenggaraan dan penyiaran perangkaan, buletin dan monograf.
Ø Melaksanakan lain-lain tugas yang diarahkan oleh Pihak Berkuasa Negeri (PBN) dan Jawatankuasa Perancang Negeri.
Tugas-tugas lain Pihak Berkuasa Perancangan Tempatan :
Ø Mengkaji dan menyediakan pelan-pelan mengenai pembangunan dan penggunaan tanah mengikut matlamat dan objektif negara.
Ø Mencadang dan menyelaraskan pembangunan awam dan swasta untuk diselaraskan dengan matlamat dan objektif negara.
Ø Melibatkan orang awam dalam perancangan, penggunaan dan pembangunan tanah.
Ø Mengawasi kemajuan pelaksanaan pelan-pelan pembangunan yang disediakan.
|
Apakah peranan Pihak Berkuasa Perancangan Tempatan kepada pihak awam ? |
PBPT adalah pihak yang terlibat dalam perancangan dan kawalan pembangunan kawasan tempatan. PBPT juga bertanggungjawab dalam menyediakan Rancangan Tempatan bagi kawasan pentadbirannya. Oleh yang demikian semua perancangan kawasan tempatan adalah di bawah bidang tanggungjawab.
Pihak awam perlu dan boleh merujuk kepada PBPT untuk mengetahui mengenai maklumat terkini mengenai apa yang akan berlaku di dalam kawasannya. Segala bantahan juga boleh dibuat sekiranya terdapat rasa terkilan atau tidak berpuas hati mengenai perancangan pembangunan.
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai tugas dan peranan PBPT dari aspek perundangan, sila rujuk kepada Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) untuk huraian lebih lanjut tentang bidang kuasa pihak berkuasa tempatan.