Bayaran 

                                                                                                                             Pemajuan

 

 

 

 

 

Apa itu  Bayaran Pemajuan dan  Tanggungannya?

Bayaran pemajuan diperuntukkan dalam Seksyen 32, 33, 34 dan 35, Bahagian V, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172)

“ Jika sesuatu rancangan tempatan atau sesuatu perubahan rancangan tempatan menerbitkan sesuatu perubahan penggunaan, ketumpatan atau luas lantai berkenaan dengan mana-mana tanah hingga menaikkan nilai tanah itu, suatu bayaran pemajuan hendaklah dilevi berkenaan dengan sesuatu pemajuan tanah yang dimulakan, diusaha atau dijalankan mengikut perubahan itu.”

Kadar bayaran pemajuan atau cara mengira amaun bayaran pemajuan yang perlu dibayar hendaklah sebagaimana yang ditetapkan oleh kaedah-kaedah yang dibuat di bawah Seksyen 35.

Pihak Berkuasa Negeri dengan kaedah-kaedah yang dibuat di bawah Seksyen 35, boleh mengecualikan mana-mana orang atau golongan orang atau mana-mana pemajuan atau kelas, jenis atau kategori pemajuan daripada tanggungan kepada bayaran pemajuan, tertakluk kepada syarat-syarat yang dinyatakan oleh Pihak Berkuasa Negeri.

 

Bagaimana Bayaran Pemajuan Ditentukan?

Sebelum memberi kebenaran merancang untuk sesuatu pemajuan, pihak berkuasa perancang tempatan hendaklah menentukan sama ada bayaran pemajuan kena dibayar berkenaan dengan pemajuan itu dan, jika dikenakan bayaran dengan amaun yang tertentu dan hendaklah menyampaikan kepada pemohon kebenaran merancang suatu notis dalam bentuk yang ditetapkan menuntut amaun itu dibayar.

Penentuan oleh Pihak Berkuasa Perancangan Tempatan itu tentang amaun bayaran pemajuan itu adalah muktamad dan tidak boleh tertakluk kepada rayuan atau semakan semula dalam mana-mana mahkamah.

  

Bagaimana Bayaran Pemajuan Dijelaskan?

Bayaran pemajuan hendaklah dibayar sekaligus, tetapi Pihak Berkuasa Perancangan Tempatan boleh, atas permintaan pemohon kebenaran merancang, membenarkan supaya bayaran pemajuan itu dibayar dengan beberapa ansuran yang difikirkan patut, dengan faedah mengikut kadar, bukannya kadar keutamaan, yang dikenakan oleh Persatuan Bank Malaysia-Singapura bagi pinjaman-pinjaman yang bercagarkan harta-harta tak alih.

Jika sesuatu ansuran bayaran pemajuan yang genap masanya dibayar tidak dibayar, Pihak Berkuasa Perancangan Tempatan itu hendaklah memberi orang yang telah diberi kebenaran merancang itu suatu notis memberitahu kepadanya tentang kemungkinan itu dan menuntut supaya bayaran itu dibuat dalam masa yang munasabah dan hendaklah dinyatakan dalam notis itu.

Sekiranya masih terdapat bayaran yang masih tertunggak dan belum dijelaskan selepas habis tempoh lanjutan bayaran yang dibenarkan, baki bayaran tersebut boleh dituntut di bawah mana-mana undang-undang bertulis berhubung kerajaan tempatan.

Semua wang yang diterima mengenai kira-kira bayaran pemajuan hendaklah dimasukkan ke dalam kumpulan wang Pihak Berkuasa Tempatan yang berkenaan.

  

Apa Kepentingan Bayaran Pemajuan?

Bayaran pemajuan adalah penting kepada pihakberkuasa perancang tempatan kerana kutipan bayaran pemajuan boleh menjadi satu sumber kewangan (hasil) kepada Pihak Berkuasa Perancangan Tempatan selain dari cukai-cukai yang boleh dipungutnya. Pemakaian bayaran pemajuan juga boleh menjadikan rancangan tempatan sebagai alat penting dalam mempengaruhi nilai tanah selain mengawal dan mencorakkan pembangunan sesuatu kawasan Pihak Berkuasa Perancangan Tempatan.

Bayaran Pemajuan merupakan satu sumber yang dapat dilaburkan semula bagi faedah masyarakat. Bayaran Pemajuan digunakan untuk Pihak Berkuasa Tempatan memajukan pembangunan bandar dan kerja penyenggaraan kemudahan awam.

 

Hosted by www.Geocities.ws

1