4 Oktober 2003

 
 
Isu Lapuk - Pro pembangkang

Salam sejahtera.
September telah berlalu dan satu kepuasan apabila laman ini dapat dikemaskini dengan kadar kekerapan yang agak stabil.

Tentu isu kali ini berkisar kepada jawapan saya tentang cubaan mengaitkan laman ini sebagai pro pembangkang.
Sememangnya mudah untuk sesiapa sahaja melemparkan tuduhan sebagaimana bebasnya kita untuk memuji atau membenci sesiapa sahaja. Hatta Perdana Menteri yang banyak mencurahkan idea dan membangunkan negara pun tidak terkecuali. Begitulah nasib laman kerdil ini.

Bagi saya tuduhan pro pembangkang hanya berkisar kepada beberapa perkara yang cukup remeh. Antaranya laman pendidik telah dijalinkan dalam laman tranungkite.net iaitu sebuah laman berita milik pemuda PAS Dungun, Terengganu. Setelah meneliti dakwaan tersebut saya turut melayari tranungkite dan sememangnya benar terdapat jalinan ke laman ini dikenali sebagai PendidikMy. Walau bagaimanapun saya tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan laman web tersebut. Malahan laman web tersebut tidak pernah dijalinkan url oleh saya dalam laman ini.

Apa pun saya merakamkan terima kasih kepada webmaster laman web tersebut yang menjalinkan laman ini dalam pilihan pendidikannya.

Berbalik kepada anggapan kedua berkaitan penyiaran yang dirasakan menghentam pihak bertanggungjawab, ibaratnya siapa yang makan cili dia yang merasa pedasnya. Artikel-artikel yang dipaparkan bukanlah di bawah tanggungjawab saya dan jauh sekali menggambarkan sikap dan prinsip saya terhadap apa juga yang dipaparkan dan diperkatakan dalam artikel berkenaan.

Perlulah disedari bahawa kebanyakan artikel adalah daripada siaran-siaran akhbar dan media-media elektronik dan media cetak yang dikutip oleh saya ataupun dihantar oleh pengunjung. Tidak dinafikan juga, saya ada menerima artikel-artikel yang berbentuk politik dan reformasi keterlaluan. Semuanya ditapis telebih dahulu dari segi kandungan dan juga bahasanya sebelum dipaparkan. Tentunya artikel berkaitan politik dan isu reformasi tidak dilayan sama sekali.

Saya masih ingat ketika gelombang politik negara pada waktu
tersungkurnya Datuk Sri Anwar Ibrahim, forum pendidik juga menerima tempias sebagai ruang debat siber walaupun tidak sehebat ruang forum yang lain. Tuduhan sebegini telah dilemparkan secara terbuka bilamana saya telah mengambil tindakan menyekat IP beberapa pengunjung forum yang terbabit dalam forum ini.

Setiap orang mempunyai hak dan pandangan sendiri. Saya amat menghargainya. Terima kasih kepada pengirim e-mel yang memberi pandangan.

Akhir kalam, usahlah hal yang remeh diperbesarkan. Hargailah peluang untuk mendapatkan maklumat dan nilailah sendiri kebenaran dengan mendapat kepastian dari semua pihak.
 
     

Hosted by www.Geocities.ws

1