4 September 2003

 
 
Disiplin : Sekolah, guru dan ibu bapa

 Isu keruntuhan disiplin di kalangan pelajar sekolah mula mendapat perhatian pelbagai pihak setelah paparan dibuat oleh media massa.

  Masalah disiplin umpama duri dalam daging. Telah berakar umbi sekian lama. Pelbagai usaha telah dibuat oleh Kementerian Pendidikan dan banyak garis panduan pelaksanaan peraturan-peraturan telah dikeluarkan.

  Pandangan banyak pihak berkaitan isu kes pukul pelajar di SM Teknik Batu Pahat, kes 'High Council' di STAR dan beberapa kes lagi ada baiknya dipandang serius. Usaha-usaha penguatkuasaan peraturan sedia ada perlulah diperkemaskan. Bidang kuasa pengetua, penolong kanan HEM, guru disiplin dan guru berkaitan menangani kes-kes disiplin pelajar hendaklah diberi tumpuan dan dikaji semula.

  Menyalahkan sekolah dan guru semata-mata adalah amat keterlaluan dan tidak wajar, memandangkan beban tugas utama yang terpaksa mereka pikul adalah amat berat.

  Semua pihak bersetuju dan sependapat bahawa faktor yang menyumbang kepada masalah keruntuhan disiplin adalah pengaruh dari filem yang banyak memaparkan adegan-adegan ganas dan seks. Dalam hal ini bahan-bahan bacaan terutamanya majalah-majalah dan akhbar tabloid yang semakin berlambak di pasaran juga tidak terkecuali.

  Usaha-usaha membendung gejala-gejala ini seharusnya dibuat lebih awal sebelum kebanjirannya di pasaran.
Justeru, semua pihak yang terlibat baik sekolah,guru,ibu bapa dan kerajaan mempunyai peranan masing-masing yang cukup penting dengan bidang kuasa yang ada untuk membantu membendung dan menangani masalah kemerosotan disiplin pelajar.

  Ibu bapa sudah pasti mempunyai bidang kuasa yang cukup luas dalam memantau perlakuan dan pergaulan anak-anak mereka. Pembentukan akhlak anak-anak adalah terletak di tangan ibu bapa sepenuhnya.
    

Sekian.
4 September 2003
 
     

Hosted by www.Geocities.ws

1