Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris:
Kasihanilah anak-anak kita
28 Oktober 2004
Pengirim : Spy009
Polemik
mengenai penggunaan Bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains
dan Matematik amat merisaukan semua pihak termasuk para
guru dan ibu bapa. Sebagai seorang guru yang terlibat mengajar
sains tingkatan satu, saya ingin memberikan pandangan terperinci
berdasarkan pemeriksaan terhadap mutu jawapan pelajar dalam
kertas soalan peperiksaan sebuah sekolah luar bandar. Untuk
makluman, saya juga adalah salah seorang pemeriksa kertas
bagi Lembaga Peperiksaan Malaysia.
Terdapat tiga kategori pelajar sebenarnya. Yang pertama;
memang mahir dalam Bahasa Inggeris dan mahir konsep sains.
Yang kedua: mahir konsep sains tetapi lemah Bahasa Inggeris
ataupun mahir Bahasa Inggeris tetapi lemah konsep sains.
Yang ketiga dan dominan: konsep sains lemah dan Bahasa Inggeris
pun lemah. Saya tidaklah mempunyai kaedah canggih, laporan
tesis dan penyelidikan peringkat tinggi untuk membuktikan
dapatan ini seperti pihak EPRD kementerian Pendidikan; tetapi
sekadar jujur dan ikhlas menyatakan yang benar dan tersurat
berdasarkan pengalaman mengajar (tidak hanya duduk dalam
pejabat dan melemparkan dasar dan pelbagai rumusan pendidikan
untuk memuaskan hati orang atasan).
Saya sukar untuk merumuskan kelemahan pelajar dari segi
konsep sains mahupun bahasa kerana keadaan ini menjadi lebih
parah dengan perlaksanaan bahasa asing. Ini terbukti dalam
banyak ujian kertas 2 sains yang dijalankan di sekolah:
a) Kebanyakan pelajar tidak mampu memahami arahan dan kehendak
soalan. Jawapan mereka memang entah apa-apa. Soalan lain
jawabnya lain.
b)
Pelajar tidak mampu menghuraikan jawapan sepertimana yang
dikehendaki dalam skema jawapan. Hanya yang betul-betul
cerdik (kategori pertama) mampu.
c)
Banyak ruang jawapan kosong (tak boleh jawab langsung)
Apakah sebenarnya yang sedang kita lakukan kepada anak bangsa
kita? Wajarkah masa depan mereka dieksperimenkan hanya untuk
memastikan satu hipotesis iaitu “ Pengajaran Sains dan Matematik
dalam Bahasa Inggeris mampu meningkatkan mutu pencapaian
Bahasa Inggeris ” boleh diterima atau tidak? Kalau kita
menunggu kejayaan anak didik pertama hasil dasar ini pada
2008, wajarkah kita meminggirkan ketidaktentuan yang berlaku
pada anak-anak didik dari tahun 2002-2008? Mereka dijadikan
bahan eksperimen dengan keputusan ujian dan peperiksaan
yang menyedihkan. Siapa yang akan menanggung risiko daripada
perubahan dasar ini? Pembuat dasar? Ibu bapa? Guru-guru?
Atau murid-murid itu sendiri…?
Bagaimanakah perasaan ibu bapa yang anak anak mereka dilaburkan
untuk “dileburkan” oleh dasar ini. Apakah semua saintis,
para doktor, jurutera dan ilmuwan Melayu masa kini semuanya
lahir hanya pada zaman sains dan matematik diajar dalam
Bahasa Inggeris? Saya tidaklah terlalu fanatik dalam soal
bahasa Melayu cuma sekadar memikirkan kesan dan implikasi
perlaksanaan dasar ini sekarang yang sedang membarah di
kalangan anak-anak kita.
Pergilah ke sekolah-sekolah dan ambillah keputusan subjek
Sains dan Matematik untuk dikaji kembali secara menyeluruh.
Janganlah hanya ke sekolah-sekolah di bandar dan terkemuka
untuk melaksanakan kajian. Berlaku jujurlah. Semua ibu bapa
yang menatap tulisan ini juga tahu mengenai prestasi anak
mereka masing-masing dalam subjek pembunuh ini. Biarlah
kerugian wang berjuta-juta ini dihentikan sekarang demi
memastikan anak-anak masa kini dan akan datang terbela.
Yang sudah tu sudahlah..jangan biarkan sampai lebih ramai
lagi yang terkorban kerana perlaksanaan terburu-buru ini.
Cikgu
Komando
Pahang