Guru Kaunselor sibuk aktiviti luar
4 Oktober 2004
Pengirim : Nanirozana
#Artikel ini adalah yang disiarkan dalam ruangan Forum pembaca
Utusan Malaysia
3 Oktober 2004.
Saudara Pengarang,
SAYA bersetuju dangan pendapat Tukang Pandang, Tampin,
Negeri Sembilan bertajuk Pelajaran terganggu guru sering
sertai kursus.
Tetapi kisah yang saya ingin berkongsi bersama ialah apabila
tugas yang sebenarnya perlu dilaksanakan oleh seorang guru
tidak dilakukan tetapi sibuk pula dengan tugas guru lain
dan aktiviti luar.
Anak saudara saya yang menduduki peperiksaan Penilaian Menengah
Rendah (PMR) awal bulan ini pernah mengadu bahawa guru kaunselor
beliau tidak pernah membuat sebarang sesi motivasi malah
kata-kata perangsang tidak pernah diberikan.
Guru kaunselor tersebut begitu sibuk dengan undangan seminar/motivasi
di sekolah lain dan kadangkala sibuk menghadiri aktiviti
badan berunifom/ sukan.
Saya percaya ramai lagi guru yang boleh mengambil alih tugas-tugas
sampingan tersebut yang tidak mengganggu jadual waktu sekolah
apatah lagi yang melibatkan jadual waktu pelajar yang akan
menduduki peperiksaan penting.
Saya dapat tahu bahawa hasil seminar/kursus di luar lebih
lumayan daripada mendidik pelajar di sekolah sendiri yang
tiada imbuhan.
Jadi, tingkah laku guru beginikah yang perlu diikuti yang
hanya ingin menjaga periuk nasi sendiri dan membiarkan pelajar
di sekolahnya dengan motivasi mereka sendiri?
Lebih menyedihkan, patutkah guru kaunselor itu dipanggil
guru kaunselor dan menjadi contoh kepada pelajar-pelajar?
Saya berharap pihak Kementerian Pendidikan dan Pengetua
Sekolah dapat memantau aktiviti setiap guru di sekolah yang
saya rasa bukan berlaku di satu dua sekolah tetapi mungkin
di seluruh Malaysia.
- BINTANG KECIL PRIHATIN, Petaling Jaya, Selangor.