Majlis amal makan malam sekolah bebankan guru
15 September 2004
Pengirim : Nanirozana
#Artikel ini adalah yang disiarkan dalam ruangan Forum pembaca
Utusan Malaysia
14 September 2004.
Saudara
Pengarang,
AKHIR-Akhir ini kelihatan bagaikan satu `trend' PIBG sekolah-sekolah
di sekitar Lembah Klang mengadakan majlis amal makan malam
atau hi-tea untuk menambah dana.
Tidak dapat dinafikan majlis
seperti ini, yang menjual meja dengan harga mencecah setidak-tidaknya
RM1,000 (RM100 bagi setiap kerusi) berjaya mencapai matlamatnya.
Kejayaan ini kemudiannya
mendorong sekolah-sekolah sekitarnya mengadakan majlis yang
serupa. Dengan ini melupakan bentuk `tradisi' iaitu jualan
oleh kelab dan persatuan sekolah pada hari yang dikhaskan.
Untuk menjayakan majlis amal
ini, setiap guru digalakkan menjual seberapa banyak meja
dan kerusi. Tentu sekali terdapat jumlah minimum yang diwajibkan
sebagai satu bentuk sumbangan dari pihak guru (Perlu ditegaskan
jumlahnya mencecah ratusan ringgit).
Bagi sekolah yang terletak
di kawasan perumahan elit, hal menjual meja ini tidak sukar
kerana faktor kewangan ibu bapa murid sekolah berkenaan,
iaitu ahli PIBG itu sendiri.
Namun bagi sekolah-sekolah
yang terletak di kawasan perumahan kelas pertengahan atau
bawahan - perkara ini agak sukar. Oleh kerana gagal mendapatkan
pembeli di kalangan ibu bapa, guru akhirnya harus membayar
jumlah tersebut dengan wangnya sendiri.
Bagi guru-guru yang agak
senior dengan kedudukan kewangan pasangan yang juga selesa,
ini tidak menjadi masalah besar.
Sebaliknya di kalangan guru
yang pasangannya tidak berpendapatan lumayan, ia amat membebankan
memandangkan kos kehidupan di Lembah Klang yang tinggi.
Demikian juga bagi guru-guru
baru yang memikul pelbagai tanggungjawab terhadap keluarga
sendiri.
Pihak pentadbir mungkin tidak
merasai beban yang dipikul oleh golongan ini kerana mereka
sudah berada pada tahap selesa.
Pihak tersebut juga mungkin
tidak menyedari di kalangan guru baru, adalah sukar untuk
mereka menghubungi orang berpengaruh atau berpendapatan
tinggi untuk turut menyumbang.
Hal ini kerana rakan-rakan
seangkatan mereka juga tentu sekali sedang cuba untuk `hidup
berdikari' dan belum mencapai tahap kewangan yang mengizinkan.
Seperti yang dinyatakan sebelumnya,
andai kata murid-murid sekolah terbabit terdiri dari anak-anak
golongan berkemampuan, atau sekolah terletak di kawasan
perumahan mewah tidaklah sukar untuk guru-guru mencari pembeli
kerusi atau meja jamuan amal.
Jika sebaliknya, gurulah
yang terpaksa menanggung beban demi memenuhi tuntutan pentadbir
sebagai `kerja amal' untuk PIBG.
Nampaknya guru sentiasa menjadi
golongan yang dimangsakan!
- GURU KECEWA, Kuala Lumpur.