Berpakaian
sopan patut digalakkan
6 Februari 2005
Pengirim : Anonymous
SAYA ingin berkongsi dengan pembaca mengenai persoalan nilai
dan tatacara berpakaian yang diperagakan sebahagian besar
remaja bandar, khususnya di kalangan remaja Melayu beragama
Islam yang sudah jauh menyimpang daripada ajaran agama.
Keadaan ini bukan saja menjadi
arah aliran di kalangan generasi baru di bandar besar, tetapi
juga di kalangan anak gadis Melayu di kampung.
Budaya berpakaian remaja
perempuan Melayu hari ini sudah tidak ada bezanya lagi dengan
budaya berpakaian remaja bukan Melayu yang menampakkan pusat
dan perut serta ketat, menampakkan susuk tubuh.
Mereka tanpa rasa segan silu
bergurau senda dan bergelak ketawa sambil berpeleseran di
pusat beli- belah dan anjung kompleks, bangga dengan bentuk
dan penampilan berpakaian yang mereka peragakan.
Persoalannya, apakah tidak
ada teguran atau larangan daripada ibu bapa yang sepatutnya
menasihat serta mendidik anak mereka supaya berpakaian sopan
setiap kali keluar rumah selaras budaya masyarakat timur
yang mementingkan tatasusila berhemah.
Di manakah pula perginya
peranan guru di sekolah yang hanya sekadar berdiam diri
dan memerhatikan saja pelajar mereka yang hadir ke sekolah
untuk menyertai aktiviti kokurikulum dengan berpakaian langsung
tidak sesuai sebagai seorang pelajar.
Hari ini, jika kita perhatikan
pelbagai lambakan fesyen pakaian khususnya untuk remaja
wanita tergantung memenuhi rak pasar raya dan kedai pakaian
yang hampir keseluruhannya dibawa dari luar negara, tentulah
corak dan bentuknya tidak sesuai untuk dipakai gadis Melayu.
Malangnya, bentuk pakaian
yang tidak senonoh itulah yang menjadi ikutan dan kegilaan
generasi muda hari ini. Sebagai ibu, saya cukup bimbang
gejala berpakaian mencolok mata ini akan menjadi arah aliran
baru generasi muda yang akhirnya akan meningkatkan lagi
masalah sosial dan jenayah yang berorientasikan seksual
seperti pergaulan bebas, rogol, sumbang mahram, hubungan
seks luar nikah serta pencabulan.
Apakah nanti budaya berpakaian
baju kurung, kebaya dan fesyen pakaian yang menutup aurat
akan hanya dapat ditemui pada hari keraian atau hari raya
saja?
Sebagai pengguna, saya menyarankan
supaya pengusaha kedai pakaian lebih peka dengan kehendak
dan tuntutan masyarakat yang mementingkan budaya berpakaian
sopan.
Janganlah kerana mengejar
keuntungan, tuntutan terhadap nilai hidup dan budaya murni
dipinggirkan sewenang-wenangnya.
Selaras dengan kempen berbudi
bahasa yang dianjurkan kerajaan, sewajarnya bukan saja persoalan
sikap dan tingkah laku yang wajar ditangani, tetapi tatacara
berpakaian yang diperagakan generasi muda, khususnya remaja
Melayu demi melahirkan masyarakat yang beretika dan beradab.
HUSNA NAZRI,
Kemaman, Terengganu.