"XPDC"


XPDC GAWAI

MUKADIMAH -

"XPDC Gawai" ini diambil kerana ianya jatuh semasa perayaan Gawai bagi masyarakat Iban di Sarawak . 3 buah motor telah digunakan semasa mengharugi perjalanan ini. Sebuah Yamaha 110SS-QSA 8471 (Farzeli b Che Mat Mustafa, SMB. St. Patrick, 96400 Mukah,Sarawak.), EX5 Penyetat Eletrik-KB 4145Q(Ustaz Shafiee b. Yasin, SRK Kampung Teh,96400 Mukah,Sarawak.) dan EX5 High Power-SF 8911Q (Ustaz Amir Zakir b Mamat @ Mukhtar,SRK Kampung Penakup Ulu, 96400 Mukah, Sarawak.) Dua buah EX5 tersebut menggunakan nombor plat lama kerana dapat mengurangkan RM 300.00 dari harga asal. Itulah sebabnya mereka menggunakan nombor plat lama sedangkan motor masih baru.

 Perjalanan dari Mukah ke Brunei terpaksa mengharungi jalan tanah merah dan bertar. Kami banyak dirahmati dengan hujan yang lebat sepanjang perjalanan. Tidak ketinggalan juga cerita motor pancit sebanyak 7 kali dan kemalangan bodoh kerana menunda motor. Kepada kawan-kawan kami yang begitu bermurah hati, kami ucapkan ribuan terima kasih daun keladi. Mereka seperti Hasnali dan Zaid (SMK Subis, Batu Niah), Amir dan Salleh (di Bintulu) dan orang perseorangan yang telah membantu kami secara langsung atau tidak langsung.

Kepada pembaca RR juga maaf di pinta kerana cerita ini lambat sampai kerana Lawatan Perdana Menteri untuk melancarkan Gerak Mesra peringkat Negeri Sarawak di Mukah pada 8 Ogos 1996 lepas. Ini di tambah pula komputer sering digunakan sewaktu minggu peperiksaan. Pengarang sendiri terlibat secara langsung di dalam Gerak Mesra tersebut. Di samping itu, Pengetua aku juga sering berada di luar pejabat untuk tugas rasmi. Maka, aku terpaksa mengambil alih menguruskan dan mentadbir sekolah. Oleh itu, cerita ini hanya dapat disiapkan selepas semuanya selesai .

Semasa aku menyiapkan cerita ini pada bahagian terakhir, kawan-kawan aku seperti Ustaz Amir dan Ustaz Shafiee sudah bergerak meninggalkan Mukah menuju ke Pontianak, Kalimantan dengan 7 buah motorsikal. Nanti adalah Cop Imigresen Indonesia pula tu. Kita tunggu cerita dari mereka. Sebelum pergi sudah aku bekalkan dengan 3 stiker RR kepada mereka berdua. Moga RR juga dikenali di Indonesia amnya dan seluruh Sarawak khasnya.

 Sekian, wassalam dari,

 Pengarang,

 


01/06/1996 - Sabtu.

Kami memulakan XPDC ini dengan mengisi perut dahulu. Sebelum bertolak, kami sempat untuk menghadiri kenduri kahwin kawan kami. Lebih kurang pukul 9.00 pagi, kami sudah berada di meja makan. Kalau lewat datang alamatnya tinggal habuk sahaja. Orang Sarawak kendurinya menarik. Mula pukul 8.00 hingga 11.00 atau 12.00 tengahari sahaja. Tidak macam di Semenanjung, kalau kenduri kahwin sampai ke malam masih ada jamuan.Selepas makan, maka kami berdua mula mengisi minyak motor sampai penuh untuk memulakan XPDC tersebut.

Persiapan awal telaah dibuat beberapa hari sebelum itu. Aku hanya sempat servis head dan kaberator sahaja. Aku suruh buka blok tetapi makanik kat Mukah ini tak berani kecuali ada kerosakan. Senang punya cerita. Setelah diperiksa segalanya kami memulakan perjalanan lebih kurang 11.00 pagi dari Mukah. Lebih kurang 1 km dari pekan Mukah,kami berdua terpaksa menyeberangi sungai dengan feri (percuma). Perkhidmatan feri ini bermula pada jam 6.00 pagi hingga 10.00 malam setiap hari. Inilah satu-satu jalan hendak keluar dari Mukah ke Sibu,Selangau atau Balingian yang kaya dengan simpanan minyak masa akan datang.(belum gali lagi le...)

Selepas menyeberangi sungai tersebut,(5 minit sahaja) kami menyusuri jalan menuju ke Balingian. Sepanjang perjalanan hanya terdapat hutan resam . Jalannya beralun-alun kerana asas jalan tersebut di tambak dengan pasir laut . Tak ada tanah bukit di sekitar kawasan Mukah. Bayangkan selori tahan bukit (tanah kuning) harganya RM 150.00. Bagi kami yang sudah biasa,tak jadi masalah dengan jalan tersebut. Kami memecut sekitar 90km/j. Tetapi sepanjang jalan terdapat banyak jambatan kayu yang menghalang perjalanan kami. Kami terpaksa memperlahankan kelajuan sekiranya bertemu dengan jambatan kayu tersebut.

Pecut punya pecut,kami sampai ke Simpang Matading yang jaraknya lebih kurang 25 km dari Mukah. Kami mengambil jalan ke Sibu dan meneruskan perjalanan dengan kelajuan yang sama. Jalan lagilah beralun memaksa kami mengurangkan kelajuan. Kawasan ini ditanami dengan sayur-sayuran oleh masyarakat setempat. Lebih kurang 10 km dari sampang tadi kami mula bertemu dengan gigi bukit yang agak rendah. Kawasan ini kebanyakkannya didiami oleh masyarakat Iban. Kalau kawasan Mukah didiami oleh masyarakat Melanau. Jalan masih berter sehingga sampai ke satu kawasan yang kami kenali oleh masyarakat setempat dengan mana "Jalan Ladang". Jalan Ladang tidak berter dan berbatu-batu. Kalau hujan habislah sesiapa yang melaluinya. Kalau panas pula,dapat bedak free kat muka .

Malalui "Jalan Ladang" ini mengingatkan aku kepada penyiksaan yang ditanggung oleh kawan kami yang kemalangan jalan raya 3 minggu lepas. Bagaimanakah penderitaannya bila ambulan yang digunakan untuk menghantarnya ke hospital Sibu yang jaraknya 150 km dari Mukah.. 40 km melalui jalan ladang ini. Kalau cedera ringan sahaja tak mengapa,ini dah kepala hampir pecah. Sampai di Sibu sahaja terus masuk ICU selama 3 minggu. Tapi umurnya panjang walaupun pendarahan berlaku dalam otak tetapi para doktor berjaya mengatasinya. Sekarang dengar khabar bapanya sudah membawanya balik ke Kelantan. Kami mendoakan beliau sihat semula.

Aku juga pernah melalui jalan ladang ini semasa hari hujan. Merana dibuatnya, bas dan lori semuanya tak dapat jalan. Banyak bas dan lori yang tersangkut dan terpaksa di tarik. Ada bas yang aku jumpa melintang ditengah jalan kerana jalan licin. Aku yang menggunakan motorsikal punyalah merana. 4 jam aku bergelumang dengan lumpur dalam jarak hanya 40 km sahaja. Habis minyak aku satu tangki. Jatuh bodoh sekali kerana licin. Masa itu pula isteri aku masih mengandung dua bulan anak sulung kami. Nasib baik kami tak apa-apa. Sekarang anak lelaki aku itu dah tak boleh lepas dengan motor,mungkin dari dalam perut lagi dia dah jatuh motor kot.

Semasa kami melalui jalan ladang hari tersebut,jalannya agak elok(bagi kamilah) dan dapat memecut dengan kelajuan 70 km/j-90 km/j (kira laju sudah). Walaupun batu berterbangan dan terkena exzos atau kepak motor bila kami melalui tapi semuanya tak kisah lagi. Asalkan kami dapat sampai ke pekan Selangau lebih kurang pukul 12.00 tengahari. Semasa melalui jalan ladang apa yang merisaukan kami ialah batu-batu yang berterbangan bila berselisih dengan lori yang membawa buah kelapa sawit. Tidak kurang juga risaunya kalau bertemu dengan lubang-lubang yang dalam . Kalau silap mengelak maka makan batulah. Kalau tak elak,boleh jadi supermen di udara seketika. Namun semua itu adalah asam garam kami bila hendak keluar ke Sibu(bandar yang agak berdekatan dengan kami). Akupun hairan mengapa sekarang jalan ladang nampak elok daripada sebelumnya. Baru aku ingat, pada bulan Ogos nanti PM akan datang ke Mukah untuk merasmikan "Gerak Mesra" peringkat Negeri Sarawak. Patutlah jalan sekarang diperbaiki dan semua jalan di dalam pekan Mukah juga di tar semula.

Sepanjang perjalanan dari Simpang Matading hingga ke Selangau (juga dikenali sebagai Selangor) terdapat beberapa puluh buah rumah panjang. Rumah panjang paling cantik ialah Rumah Puak dan Rumah Garit. Aku pernah melawat kedua-dua rumah tersebut. Aduh ..hai di dalamnya terdapat perabut yang lengkap seperti sofa,tv,radia dan sebagainya. Itu tak ada eletrik hanya harapkan jenarator sahaja. Semasa kami berdua melalui rumah tersebut (berhampiran dengan jalan) salah seorang ex-student aku memanggil aku untuk menyambut gawai. Kenal juga mereka dengan aku walaupun muka dah tak nampak. Aku malas nak pergi kerana hari Gawai. Sukar aku nak cerita kat sini sebabnya tetapi sesiapa yang pernah pergi menyambut Gawai, tahulah rahsianya.

Kami telah berjanji dengan Ustaz Shafie untuk bertemu di Stesyen Minyak Shell Selangau. Beliau dari Hospital Sibu menziariahi kawan kami yang aku ceritakan dahulu. Ustaz Shafiee adalah teman serumah kepada kawan kami yang kemalangan tadi. Kami sampai di sana hujan mula turun renyai-renyai tetapi semua itu tidak menjadi halangan.. Aku mengisi minyak semula. Kena RM 2.50 sahaja. EX5 pun lebih kurang juga. Pada masa sekarang stesyen minyak ini beroperasi sampai pukul 9.00 malam. Kalau dahulu hanya sampai pukul 6.00 petang sahaja. Satu kemajuan kepada pengguna jalan raya yang melalui jalan tersebut. Setelah berehat seketika,kamipun meneruskan perjalanan ke Bintulu. Sekarang sudah mempunyai 3 buah motor. Sebuah Yamaha 110 SS, 2 buah EX5. Kami merancang untuk sampai ke Batu Niah pukul 6.00 petang setelah berehat seketika di Bintulu.

Perjalanan dari Selangau ke Tatau agak menarik. Cuaca tak berapa panas (mendung sahaja). Sekali sekala terjumpa lubang tapi tak kisah sangat kerana dapat mengelak . Jalan raya agak lenggang mungkin semua sedang bercuti Gawai. Sepanjang perjalanan hanya ditemani oleh hutan rimba dan rumah panjang . Setiap rumah panjang yang kami temui ada mengibarkan Bendera Malaysia dan Bendera Negeri Sarawak. Kelajuan aku mencapai 100 km/j tetapi EX5 dua biji itu asyik hilang sahaja bila aku memerhati dari cermin pandang belakang. Aku mengurangkan kelajuan kepasa 80km/j, mereka berdua timbul balik di belakang aku. Nasib baik aku tak bawa TZM yang ditinggalkan oleh kawan kami yang pulang bercuti di semenanjung. Kalau tidak, mungkin aku tunggu mereka berdua di Bintulu sahaja. Dipertengahan jalan kami telah disimbahi dengan hujan yang lebati. Hampir 50 km juga kami meredah hujan. Sampai tak sempat untuk bergambar. Bila sampai berhampiran dengan pekan Tatau, hujan mula reda. Mungkin dia nak bagi kering sikit baju kami yang basah kuyup itu.

Kami sampai di pekan Tatau lebih kurang pukul 2.00 petang. Kami terus mencari steyen minyak. Akhirnya dapat juga mencarinya stsyen minyak Shell yang tersembunyi di belakang pekan tersebut. Pekan Tatau taklah besar sangat. Hanya ada beberapa buah deretan kedai. Sepanjang perjalanan dari Selangau ke Bintulu, hanya pekan Tatau sahaja yang mempunyai stesyen minyak. Aku mengisi minyak lagi. Kena RM 3,00. Yang lain-lain juga sama harganya, Kalau nak bezapun mungkin 20-30 sen sahaja. Kami berehat sekejap untuk menghilangkan penat setelah berhempas pulas sejauh lebih kurang 70 km. Ada lagi 50 km untuk sampai ke Bintulu.

Kami mengambil keputusan untuk mencari masjid dahulu sebelum meneruskan perjalanan ke Bintulu. Amir pergi bertanya kepada kerani stesyen minyak tersebut. Dia kata masjid berada di jalan menuju ke Bintulu. Kamipun tak cakap banyak lalu meneruskan perjalanan untuk mencari masjid tersebut. Setahu aku ada sebuah masjid di Pekan Tatau kerana kawan aku dari SMK Ulu Baligian (sebuah sekolah menengah di antara Selangau-Tatau) pergi sembahyang Jumaat di sana. Jaraknya 50 km baru jumpa masjid. Kira daruratlah siapa yang mengajar di sana. Hampir setengah jam kami cuba mencari masjid tersebut di pekan lama Tatau tetapi tak jumpa. Oleh yang demikian, kami mengambil keputusan untuk cabut ke Bintulu sebelum waktu Asar. Selepas sahaja keluar dari pekan Tatau hujan sekali lagi. Baju yang tadi hampir kering sudah dibasahi sekali lagi. Tak kisahlah asalkan sampai mengikut rancangan.

Kawasan berbukit-bukau dari selangau ke Bintulu kami redahi. Jalan ini tidak ubah seperti jalan diantara Keroh dengan Gerik . Cuma yang bezanya tak ada ladang kelapa sawit dan rumah panjang sahaja. Dalam hujan tersebut masih dapat kami nikmati keindahan alam sekitar dan kemeriahan perayaan Gawai. Jalan masih lenggang. Hanya sekali sekala berselisih dengan kereta. Tiba-tiba aku dikejutkan dengan 4 buah superbike yang datang dari arah belakang

aku. Jenis apapun tak sempat aku nak tengok. Sedar-sedar mereka sudah berada di bukit hadapan dan hilang selepas beberapa minit. Tadi kamilah raja di jalan raya dengan kelajuan 100km/j tetapi sekarang baru tahu ada yang lebih laju. Terasa kami macam burung pipit sahaja.

Tak lama lagi kami akan sampai ke Bintulu. Lebih kurang 10km sahaja. Punyalah gembira. Bukan apa, nak cari tempat makanlah. Sekarang dah 3,00 lebih, perut dah mula keroncong dan mendendangkan lagu "Ana". Aku masih dibelakang kedua EX5 tersebut. Sekali lagi kami diuji.. Dengan tidak disangka-sangka tiba-tiba tayar motor Amir pancit. Tengah laju itu. Keretapun dah mula banyak, maklumlah dah sampai dengan Bandar Bintulu. Nasib baik anak badak seorang itu dapat mengawal motornya dengan baik dan berhenti dengan selamat. Kami tunggu seketika, biar exzos sejuk sedikit. Kalau tidak boleh makan satey free. Setelah dirasakan kurang sedikit panasnya, kamipun membuka tayar yang pancit tadi bersama-sama. Kalau setakat nak buka tayar pancit itu kerja biasa. Sewaktu aku masih menuntut di Universiti Sains Malaysia dulu, pernah buka bengkel motor dalam kampus yang dikenali sebagai "Kampus Motor". Tapi sekarang mungkin sudah dirobohkan kerana projek pembangunan universiti.

Tengah-tengah duduk membuka tayar motor Amir itu, tiba-tiba dua buah motor berhenti. Ingat dia orang nak tolong kami. Maklumlah muka tak nampak. Rupa-rupanya kawan kami juga dari SMK Dalat yang dalam perjalanan ke Bintulu untuk bercuti Gawai. Merekapun berhenti kerana ternampak nomber plat motor aku yang sudah "wanted" di Mukah. Azan Asar sudah berkumandang di udara, bermakna hampir pukul 4.00 petang. Siap pasang tayar dalam yang baru kamupun meneruskan perjalanan. Aku menjadi Kepten pula sekarang. Sampai sahaja di simpang Bintulu-Miri aku perhatikan, dua biji EX5 itu dah tak ada. Mana pula dia orang pergi. Tak mengapa aku tunggu sekejap, takut dia orang sesat kerana dua orang itu baru setahun jagong berkhidmat di Sarawak. 5 minit berlalu,tak juga muncul. Aku sangkakan mererka menggunakan jalan pintas untuk ke Bintulu. Tapi jalan tersebut hanya orang yang pakar sahaja yang tahu. Aku mengambil keputusan untuk berpatah balik. Lebih kurang 400 meter dari tempat aku berhenti tadi aku berjumpa dengan mereka. Amir dah buka jeketnya dan sambil mengunyah biskut. Aku ingat mereka itu berhenti nak makan,rupanya motor Amir sekali lagi pancit. Terkejut besar aku. Tak patut juga baru 2 km dah pancit semula.

Aku pun tumpang sekali untuk mengisi perut dengan biskut kering yang Amir bawa. Biar mengalas perut sikit sebelum mengisi perut dengan nasi. Selepas itu, kami mula membuka tayar motor Amir semula. Aku memerhati dengan teliti tayarnya takut ada paku yang terlekat tetapi tak ada apa-apa. Mungkin terkena kepala skru driver sewaktu memasangnya tadi. Akupun tak cakap banyak lagi dan terus memasangnya balik setelah diganti dengan tayar dalam yang baru. Kami meneruskan perjalanan ke bandar Bintulu. Jalannya agak baik dengan jalan dua lorong. Pertama sekali kami mencari masjid untuk menunaikan solat di masjid Bintulu yang terletak berhampiran dengan pantai. Masjidnya agak besar dan terletak di atas bukit. Kalau tak ada rumah nak tumpang bermalam, masjid inipun boleh digunakan. Selepas kami turun dari masjid menuju ke tempat letak motosikal, sempat kami berbual dengan masyarakat setempat. Dia menyatakan bahawa banyak juga guru dari Semenanjung yang menumpang bermalam bila hari cuti. Tapi sayang kami tak sempat nak bergambar dengan mereka bertiga. Masing-masing mula ingat nak cari makan pula. Tambahan pula pakaian kami masih basah.

Kami bertiga mengisi minyak di stesyen Minyak Shell berhampiran dengan masjid tersebut. Aku mengisi RM 1.60 sahaja. Mengisi 2T dan membawa bekal minyak petrol 1 liter yang aku isikan dalam bekas 2T tadi. Motor EX5 pun sama mengisi minyak dan bayarannyapun hampir sama. Selepas itu, kami masuk ke bandar Bintulu. EX5 itu hanya mengikut aku sahaja. Hampir semua kedai makan tutup kerana Perayaan Gawai. Lagi satu bahana tak dapat makan sedangkan jam sudah pukul 5.30 petang. Nak dijadikkan cerita , Amir telah bertemu dengan kawannya yang mengajar di Bintulu. Dia yang membawa kami cari kedai makan. Maka cerita panjanglah kami semua. Dia mencadangkan kepada kami untuk bermalam di rumahnya sahaja kerana ramai kawannya (cikgu) yang balik ke Semenanjung. Tetapi kami tak dapat memenuhi permintaannya itu. Kami sudah berjanji untuk sampai ke Batu Niah pada hari ini juga. Kami berjanji akan bermalam di rumahnya bila balik dari Brunei nanti. Lima orang makan RM 18.00 . Oh... tidaklah mahal sangat. Nombor telefon diambil bagi memudahkan perhubungan. Kami akhirnya bertolak meninggalkan Bintulu lebih kurang pukul 6.15 petang. Terlewat 2 jam dari apa yang dirancang.

Matahari kian condong ke Barat. Di Sarawak, pukul 6.15 petang kira dah nak masuk waktu Magrib. Kami meneruskan perjalanan dengan harapan dapat sampai ke distinasi seberapa awal yang mungkin. Pada peringkat awal perjalanan ,jalannya agak menarik dan kurang kereta. Kami dapat memecut hingga 100 km/j. Namun selepas berjauhan dari bandar Bintulu,jalannya sudah berubah. Terlalu banyak lubang yang akan merosakkan rim tayar motor jika kita terperangkap di dalamnya. Kami berhati-hati sekali melalui jalan tersebut. Nasib baik kereta tak banyak,jadi dapat kami gunakan seluruh jalan kalau nak mengelak lubang.

Sepanjang perjalanan kami hanya dihadiahi dengan permandangan hutan rimba dan sekali-sekala berjumpa dengan rumah panjang(ada Rumah Jeckson dan lain-lain lagi). Lampu mula dipasang oleh penghuni rumah-rumah panjang yang kami lalui. Terdapat juga ladang kelapa sawit disepanjang perjalanan. Matahari sudah menyembah bumi, namun penglihatanku masih jelas. EX5 masih mengikoriku dalam jarak 50m setiap satu. Merekapun nampaknya begitu berhati-hati kerana belum pernah melalui jalan ini. Sekali sekala aku melihat mereka dari cermin pandang belakang , sama ada masih ada atau sudah hilang. Kalau aku rasakan terlalu laju, aku kurangkan untuk menunggu mereka. Hari kian gelap namun aku masih memakai cermin mata hitam(tak sempat nak buang lagi).

Penglihatanku agak terhad tetapi masih degil untuk menanggalkan cermin mata hitam tersebut. Akibatnya aku dihadiahi dengan satu lubang dan bendul (akibat pergerakkan tar oleh air) yang merintangi jalan. Kalau jalan yang lurus tak mengapa juga . Semasa kelajuan 100 km/j dan tengah mengambil selekoh tiba-tiba ternampak lubang itu. Apa lagi,nak brek dah tak sempat so aku lantak aje lubang itu dan bendulnya selepas itu. Buntut aku terangkat dari tempat duduk tetapi aku bernasib baik kaki aku sebelah kanan masih terletak ditampatnya. Motor aku macam melilau seketika ,sekali ke kiri dan sekali ke kanan. Kalau sekali lagi dia ke kiri,aku pasti aku akan makan tar lebih awal. Nampaknya aku berjaya menjinakkan motor aku yang sedang marah itu.

Amir dan Shafiee dapat mengelaknya kerana mereka sudah nampak aku terjatuh lubang. Selepas itu aku berhenti sekejap. Mana tak terperanjat,ianya hampir mengadai nyawa aku sendiri. Kalau dalam kelajuan 100 km/j tentunya apa pun boleh jadi. Kami berhenti berahat sekejap lebih kurang 100 meter dari tempat kejadian. Amir memberitahuku bahawa plat nombor belakang telah patah kerana hentakkan yang kuat tadi. Aku pergi cari bahagian yang patah tadi tapi tak jumpa (mungkin dah kena layak oleh lori yang berselisih dengan kami sebentar tadi). Bukan apa aku nak cari bahagian yang patah itu, kalau jumpa polispun sekurang-kurangnya ada bukti yang ianya baru patah. Tambahan pula Road-Tax aku lupa bawa (Kawan aku bawa balik Semenanjung kerana Road-Tax jenis simpan dalam dompet duit sahaja). Kalau polis tahan tentunya panjang ceritanya nanti. Kalau tadi hanya satu kesalahan sekarang dah jadi dua kesalahan pula.

Hari sudah gelap,mega di Barat pun telah hilang. Kami meneruskan perjalanan dalam kegelapan malam itu. Unggas malam berterbangan mencari mangsa. Ada yang singgah di mataku. Pedihnya tak dapat nak kata. Sekarang aku dah buang cermin mata hitam tadi. Amir pakai caver depan dan Shafiee pula memang memakai cermin mata so mereka tak ada masalah. Aku masih menjadi keptan. Kenderaan jarang-jarang kami jumpa. Yang ada hanyalah lori sahaja. Kalau nak dikira tak sampai 20 biji dari Bintulu ke Batu Niah.

Apabila kami sampai di dalam Bahagian Miri, jalannya sungguh menarik dan lurus . Kalau tadi jalannya berliku sekarang dah boleh pecut dengan senang dan tak takut lubang lagi. Aku memerah minyak sampai 110km/j tapi EX5 tak nampak pula,jadi aku bertahan sekitar 95 km/j sahaja. Tengah-tengah sedap memerah minyak, aku terpandang pada meter minyak yang menunjukkan "E". Aduh lagi satu bahana yang datang. Jauh lagikah simpang Batu Niah. Tengah malam mana nak dapat jangka. Walau bagaimanapun aku meneruskan perjalanan dengan kelajuan yang sama. Biarlah minyak habis kerana aku ada membawa 1 liter minyak lagi. Lebih kurang 5 minit kemudian aku terasa motor aku tersekat-sekat ... sah motor aku minyak habis. Tarik klas bagi signal ke kiri dan berhenti di bahu jalan.

Suasana sunyi sepi bila motor aku mampus dahagakan petrol. Sekejap demikian 2 EX5 pun sampai. Dia orang ingat aku nak berhenti rehat. Bila aku katakan bahawa motor aku habis minyak terkejut besar mereka. Aku mengeluarkan lampu picit dari bag aku... Amir memerli aku " Lampu picit dapat ingat, Road-Tex tak ingat"..apa punya orang. Dah nasib le. Minyak petrol aku Shafiee yang bawa kerana motornya ada bakul. Setelah mengisi minyak (Amir menunpang sikit minyak aku) kami rehat sekejap. Aku tengok minyak EX5 lebih kurang juga dah nak sampai "E".

Aku jadi keliru sekarang sama ada simpang ke Batu Niah sudah lepas atau belum. Setahu aku jarak Bintulu-Batu Niah lebih kurang 130 km sahaja, Minyak motor aku satu tangki RM5.00 dah dapat sampai 150 km. Ini sudah habis. Aku buka peta melihat lokasi sekarang ternyata kami belum melepasi Simpang Batu Niah. Hairan juga aku mengapa minyak motor ini makan kuat sangat. Mungkin aku lari macam ribut kot. Kami meneruskan perjalanan dengan kelajuan yang rendah 60 km/j( konon nak jimat minyak). Satu km berlalu aku nampak papan tanda "2 km shell". Lega hatiku. Kami belum melintasi Simpang Batu Niah. Aku memecut dengan laju untuk sampai dengan segera ke stesyen tersebut. Mana tahu tutup pula stesyen itu tentunya lagi kelam kabut dibuatnya. Hujan masih renyai-renyai bila kami sampai ke Simpang Batu Niah.

Simpang Batu Niah sudah membangun, tidak seperti yang aku kunjungi pada tahun 1993 dahulu. Sekarang dah ada stesyen minyak Shell dan Petronas. Stesyen bas pun dah menarik. Terkejut besar aku melihat perubahan tersebut. Aku terus ke stesyen minyak dan mengisi minyak RM 3.80. Di samping itu, aku juga mengisi semula botol 2T yang sudah kosong tadi. Kalau di tambah dengan minyak yang aku tuang masa minyak habis tadi sama dengan harga RM 5.00. Patutlah motor aku mati kehausan. EX5 mengisi lebih kurang RM 4.00 juga. Kami sampai di Simpang Batu Niah lebih kurang pukul 7.45 malam.

Selepas itu, kami berpatah balik untuk pergi ke pekan Batu Niah yang jaraknya 11 km dari simpang tersebut. Kami menunggang 60 km/j sahaja kerana jalan tak biasa. Lagipun jalan untuk ke Batu Niah agak sempit dari jalan utama tadi. Satu lagi bahana, bila nak cari Sek. Men. Kerajaan Subis. Masa aku datang dahulu masih hutan tetapi sekarang dah ada rumah orang. Mana nak cari sekolah ini. Tambahan pula sekarang bukannya siang hari. Akhirnya aku ingat sebuah dewan masyarakat (Dewan Suarah) yang menjadi tanda untuk masuk ke SMK Subis tersebut. Akhirnya aku berjaya menemuinya. 2 EX5 itu ikut sahaja ke mana yang aku bawa. Tak banyak soal langsung. Oleh kerana kami sampai ke sekolah pada waktu malam tentunya sukar untuk mencari tempat untuk menumpang tidur.

Sebenarnya aku sudah menghubungi SMK Subis lebih awal untuk menumpang tidur di surau sekolah tersebut. Yang angkat telefon hari tersebut ialah Cikgu Hasnali. Dia yang mempelawa kami tinggal bersamanya kerana ada bilik kosong yang ditinggalkan oleh kawan mereka untuk pulang bercuti. Rupanya mereka berdua juga guru semenanjung yang datang juga sama tahun dengan aku. Lastly, kami jumpa juga dengan rumah mereka kerana hanya bebarapa buah rumah sahaja yang bercahaya dalam kawasan sekolah tersebut. Selepas aku memperkenalkan diriku dari Mukah baru Hasnali teringat telefon yang diterimanya tempoh hari. Dia ingat kami tak datang kerana aku berjanji sampai di sana pada pukul 6.00 petang.

Selepas itu kami keluar semula untuk mengisi perut di pekan Batui Niah. Terkejut besar juga aku melihat pekan Batu Niah sekarang. Dah berubah dan membangun. Malam hari mana nak nampak sangat. Cari kedai makan, lauk dah hampir nak habis tetapi pekedai tersebut sanggup masak apa yang ada untuk kami. Tak kisahlah,asalkan dapat mengisi perut yang dah keroncong ini. Maklumlah kami pergi dah pukul 8.30 malam tentunya lauk dah habis. Kalau di Sarawak nak makan datang awal sikit. Kalau pekan kecil seperti Mukah,Batu Niah, Lawas, Selangau dan sebagainya kedainya tutup pada pukul 6.00 petang. Bandar seperti Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri sahaja yang menyediakan makanan Islam sampai lewat malam. Kira punya kira RM 18.00 untuk 4 orang. Tak kisah juga kerana dah biasa dengan harga di Sarawak ini.

Selesai makan kami pulang semula ke Quartes dua orang bujang itu. Hasnali pulang dulu kerana dia menunggu panggilan dari kampung. Selepas mandi kami bercerita panjang sampai tengah malam.

Cikgu Hasnali berasal dari Melaka sementara Cikgu Zaid pula dari Batu Pahat,Johor. Cerita punya cerita sebenarnya Zaid adalah senior aku semasa di universiti dulu tetapi beliau kerja lain sebelum memasiki alam perguruan. Jam dah hampir pukul 12.00 tengah malam. Kalau di tempat kecil macam ini,biasanya orang tidur awal lebih kurang pukul 10.00 malam . Hanya guru Semenanjung sahaja yang suka tidur lewat.

 


02/06/1996 - Ahad.

Pukul 5.00 pagi kami bertiga sudah bangun rumah. Bukan apa, kat sini matahari keluar awal. Tak macam di Semenanjung. Kalau pukul 6.00 pagi masih gelap . Pemandangan sungguh cantik di belakang rumah mereka. Rasanya bukit kapur yang akan kami kunjungi sebentar nanti begitu dekat Tambahan pula matahari belum menampakkan bentuknya yang sebenar. Kami hanya berehat-rehat sambil menyiapkan barang-barang untuk ke Gua Niah yang jaraknya lebih kurang 6 km dari pekan Batu Niah.

Lebih kurang pukul 8.00 pagi, kami berlima keluar untuk berserapan. Kami menuju ke sebuah restoren yang terdapat di pekan tersebut (Restoren D.J). Pelayannya adalah tuan kedai itu sendiri. Pakaiannya sentiasa kemas dan berlenggan panjang. Pekerjanya tidak selekeh dan berambut pendek. Baru pertama kali aku jumpa rerstoren yang mempunyai tuan kedai dan pekerja yang kemas. Kalau dekat hotel itu tak lah hairan, ini hanya kedai biasa sahaja.Aku memesan makanan yang berat (nasi goreng) agar dapat bertahan lama semasa dalam gua nanti. Shafiee juga ikut aku tetapi Amir makan roti canai (dua keping RM2.00 yo..) . Cerita berserapan ini, 5 orang makan RM 18.00.

Setelah selesai menjamu selera, kami berlima pergi ke kedai motor untuk membuat plat nombor belakang aku yang patah semalam. Kena RM 6.00. Amir mengisi angin dan Cikgu Hasnali mengisi minyak dekat stesyen minyak Shell yang bertentangan dengan kedai tersebut. Sementara menunggu pemilik kedai tersebut memasang plat nombor, aku sempat meninjau keadaan sekeliling yang sudah berubah jika dibandingkan dengan masa aku datang 3 tahun dahulu. Apa yang melucukan di Batu Niah ialah tentang pemakaian topi keledar. Aku tengok selamba sahaja budak-budak bermotor tanpa topi keledar. Lastly aku hanya Hasnali, mengapa mereka tak pakai topi sedangkan balai polis hanya di hadapan pekan sahaja. Sebenarnya pihak polispun tak ambil tindakan, pekan koboi katakan. Apa lagi selepas itu, kamipun jadi orang Batu Niah jugalah.

Setelah semuanya selesai, Cikgu Hasnali menghantar kami sampai ke tempat pendaftaran ke Gua Niah. Jaraknya dari pekan Batu Niah ke Tempat tersebut hanya 6 km. Jalannya sudah bertar. Lebih kurang pukul 9.40 pagi kami membuat pendaftaran untuk memasuki ke Gua Niah. Dahulu sewaktu aku datang, tak kena bayaran tetapi perubahan zaman semuanya menuntutkan wang. Bagi orang dewasa RM3.00, kanak-kanan - RM 1.50, kemera - RM 5.00 dan Kamera Video (kalau tak silap aku RM 200.00). Tempat pendaftaran sekarangpun sudah cantik dan mempunyai rumah rehat kepada sesiapa yang hendak bermalam di sana. Harganya boleh tahan juga. Malas aku nak tanya sebab kami tak berkepentingan untuk tinggal di sana. Aku dengar dari pengusaha perahu tambang yang berkerja berhampiran menyatakan bahawa sebilik RM 45.00 . Entah betul atau tidak. Kalau kita bercadang untuk bermalam di sini.Lebih baik memilih hotel di Pekan Batu Niah kerana harganya juga sama dengan rumah rehat yang disediakan. Makanan juga mudah diperolehi di hotel berbanding dengan rumah rehat tersebut.

Tempat pendaftaran kami tinggalkan dan berjalan kaki menuju ke pengkalan perahu untuk ke seberang sungai. Tambang perjalanan untuk dua hala ialah RM 1.00 seorang. Naik perahu tak puas dah sampai. Tak sampai setengah minit. Selepas kami sampai diseberang sungai, bermulalah perjalanan kami menuju ke dalam Gua Niah tersebut. Jaraknya ialah 3 km. Namun jangan pula risau kerana jalan di atas pelantar, tak perlu turun ke tanah. Perjalanan tidaklah meletihkan kerana kami dipayungi dengan pokok yang tinggi. Pengunjung agak ramai kerana kerana cuti persekolahan dan cuti umum.

Apa yang mengelikan hati aku tentang dua orang ustaz yang pertama kali menjejak kaki ke sini ialah keghairahan mereka untuk sampai ke mulut gua tersebut. Sewaktu menyusuri pelantar yang selebar 1 meter itu, kami berselisih dengan beberapa orang gadis Iban. Ustaz Shafiee mula tanya kepada aku "Mengapa orang keluar dari gua pakai wangi-wangi". Punyalah pecah perut aku ketawa pada dia. Sebenarnya mereka adalah penghuni rumah panjang yang terdapat berhampiran dengan gua itu. Mereka menggunakan jalan yang sama untuk keluar ke pekan. Aku pun dah lupa nama rumah panjang tersebut. Dengar khabar rumah tersebut memang panjang. Mereka memang kuat, kalau nak keluar kena berjalan 3 km baru sampai ke tempat pendaftaran dan barulah dapat keluar ke pekan Batu Niah. Pernah aku bertemu dengan mereka membawa tong gas berisi untuk digunakan di rumah panjang tersebut. Kalau aku tentunya tak sanggup untuk memikul 25 kg tong gas sejauh 3 km.

Selepas jarak 2 km kami mula bertemu dengan simpang tiga(satu menuju ke rumah panjang).Ada pagar yang di bina untuk melindungi gua daripada orang-orang yang tidak bertanggungjawab. Selepas berjalan 1 km kami sudah mula sampai ke mulut gua tersebut. Suasana di sana agak bising kerana ramai pengunjung pada hari tersebut. Di mulut gua tersebut, kami dapat melihat kubur-kubur lama dan penempatan masyarakat lebih 2000 tahun dahulu . Aku pun tak pasti berapa lama penempatan tersebut. Sama ada Zaman Batu Awal,Pertengahan atau Akhir. Terpaksa aku buka buku sejarah semula untuk mendapatkan jawapan yang tepat walaupun aku sendiri membuat pengkhususan dalam bidang sejarah.

Di dalam mulut gua tersebut terdapat juga sebuah rumah yang dibina khas untuk pengunjung berhenti rehat. Ia di perbuat daripada kayu belian yang tahan air. Kalau nak cerita luas mulut gua tersebut memanglah sukar nak diterangkan. Tingginya lebih kurang 200 meter dan lebarnya juga hampir sama dengan ukuran tersebut. Panjangnya lebih kurang 300 meter. Mengikut pendapat ianya dapat memuatkan beberapa buah Beoing 747. Entah betul atau tidak akupun tak tahu. Hakikatnya memang besar. Pada dinding gua tersebut terdapat lumut-lumut yang menjadi cat asli kepada permukaan gua tersebut. Lumut yang hijau tersebut begitu cantik sekali.

Untuk memudahkan pengunjung melawat seluruh gua, disediakan tangga dan trek berjalan kami mengelilingi gua tersebut. Tetapi kalau tak bawa lampu picit alamatnya menang tak nampak apa-apalah. Nasib baik aku ada membawa lampu picit. Dua orang lagi itu, ikut aku sahajalah. Trek berjalan kaki ini di bina hingga ke Gua Kain Hitam (gua yang terakhir sekali) . Jaraknya akupun tak pasti. Mungkin hanya 1 km sahaja. Kami menghabiskan masa 1 jam berada di dalam gua tersebut.

Sewaktu di dalam gua , suhunya agak panas tetapi kami memakai baju sejuk bagi menghindari dari terkena tahi kelawar atau burung layang-layang. Dipertengahan jalan dalam gua tersebut terdapat tiga lubang di atas puncak gua tersebut. Cahaya matahari dapat memasuki gua tersebut dari atas. Gua batu kapur ini juga dapat menyediakan bekalan air kepada penghuni di dalamnya. Penghuninya ialah pemunggut sarang burung. Dulu aku pernah tanya kepada pemunggut sarang burung tersebut, berapakah harga sarang burung. Mengikut salah seorang pemunggut sarang burung itu, harganya mengikut gred. Kalau gred A boleh mencapai RM 1000.00 sekilogram, gred B antara RM 800.00 sekilogram dan grad C antara RM 600.00 sekilogram. Penentu grad adalah berdasarkan kepada kebersihan sarang burung itu (sama ada sarang burung yang diperbuat dari air liur burung 100 % atau mempunyai sedikit daun-daun atau bulu burung yang membentuk sarang tersebut. Kalau 100 % sarang diperbuat dari air liur burung layang-layang maka harganya mahal sebegitulah sebaliknya.

Namun kerja memgambil sarang burung ini adalah kerja yang merbahaya sekali. Mereka terpaksa memanjat di dalam gelap dan di tempat yang tinggi tanpa ada tempat memegang. Kalau panjat pokok senanglah kerana ada tempat untuk memegangnya. Ini satu kawasan yang macam siling sahaja. Mereka mempunyai cara tersendiri untuk memgambilnya,memanjat dan menjaganya. Bukan semua orang dapat memunggut sarang burung ini sesuka hati, ada kawasan-kawasan yang telah dikhaskan kepada sesuatu keluarga. Kawasan-kawasan ini adalah milik mereka sejak turun-temurun. Sepanjang yang kami nampak terdapat tidak kurang dari 20 buah khemah yang di bina untuk menjaga sarang burung di kawasan masing-masing. Kalau tak jaga tentunya, habis sarang burung dikebas orang. Mereka tinggal di dalam gua tersebut mengikut giliran tertentu. Mereka memasak dan makan di dalam gua itu juga. Mengikut cerita mereka, pernah beberapa orang pemunggut sarang burung yang terjatuh semasa mengambil sarang burung dan kebanyakkannya meninggal dunia . Mana tidaknya jatuh bukan atas tilam. Jatuh atas batu yang keras dan tajam. Kalau 2 - 3 meter tak apalah . Ini sampai 100 meter mana boleh tahan. Patutlah harga sarang burung mahal sangat. Mereka akan menjual sarang burung ini kepada taukeh-taukeh yang datang sebulan sekali ke Pekan Batu Niah. Kalau taukeh yang kecil menang banyak di pekan tersebut.

Selepas kami melawat gua utama, kami meneruskan perjalanan ke Gua Kain Hitam pula. Gua ini terletak di hujung gua utama tadi. Di Dalam Gua Kain Hitam tak ada sarang burung. Ia hanyalah tempat lukisan-lukisan masyarakat lama dahulu kala. Kebanyakkan gambar yang dilukis ialah tentang aktiviti masyarakat mereka. Banyak lukisan berbentuk perahu panjang dan orang memburu binatang. Entahlah apa maksudnya yang sebenar. Kawasan ini telah dipagar supaya ia dapat menjaga lukisan-lukisan tersebut. Selepas menghilangkan penat , kami mula meninggalkan Gua Kain Hitam untuk kembali ke Gua Utama. Kami hanya lalu sahaja di dalam gua tersebut untuk sampai ke Mulut Gua tadi. Sewaktu pulang kami menggunakan jalan yang lain untuk sampai ke mulut gua tersebut. Sebenarnya ia ada dua jalan yang boleh digunakan tetapi keduanya akan bercamtum di tengah-tengah gua tersebut. Trek tersebut ada yang mendatar dan ada yang mendaki bukit. Kalau tak tahan boleh tercabut kaki tau.

Lebih kurang pukul 1.25 tengahari kami sudah keluar dari gua tersebut. Selepas sahaja jarak 1 km Amir berlari anak. Pada mulanya aku cuba mengikutinya tetapi oleh kerana aku bawa bag maka aku berjalan sahaja bersama dengan Shafiee. Sewaktu kami pulang, kami disirami oleh hujan yang lebat. Pada peringkat awal tak basah kerana pokok yang tebal dapat menghalang air hujan dari jatuh ke bumi .Seronok juga berjalan dalam hujan tetapi tak basah. Tetapi bila sampai dengan tempat menunggu perahu, pokok semakin kurang jadi basah kuyup aku dengan Shafiee.

Amir duduk tersengeh melihat kami yang basah. Dia tak kena hujan sangat kerana sempat sampai di kedai tersebut sebelum hujan. Hujan semakin lebat dan kami menggunggu hingga hujan berhenti. Malangnya hujan tak mahu berhenti. Mungkin hujan turun kerana hendak mencucui pakaian kami yang sudah busuk terkena tahi kelawar dan burung di dalam gua tadi.Sementara menunggu hujan berhenti kami sempat berbual-bual dengan dua orang pengusaha bot tambang yang menghubungi tempat pendaftaran dengan pengkalan di sebarang. Ceritanya berkisar dengan pengunjung yang datang sahaja. Dua orang pengusaha bot tambang tersebut ialah Encik Mohd. Daud dan Encik Osman. Kami menunggu hingga pukul 2.15 petang. Awan masih hitam tandanya hujan tidak akan berhenti. Oleh yang demikian, kami mengambil keputusan untuk pulang sahaja.

Kami sampai ke SMK. Subis lebih kurang pukul 2.25 petang. Oleh kerana baju kami masih basah,maka kesempatan itu telah kami gunakan untuk memperbaiki mana-mana nat motor yang longgar. Ini terpaksa dilakukan kerana perjalanan kami untuk ke Sempadan Brunei. Pukul 3.15 petang baru kami masuk untuk mandi. Lebih kurang pukul 4.00 petang mulalah perut lapar dan sekali lagi restoren D.J. menjadi tumpuan kami. Makan apa-apa yang patut, kena RM 18.00 untuk 5 orang. Pukul 4.30 petang kami balik dan berehat sahaja di rumah .

Tak sangka pula Cikgu Hasnali tu seorang kaki muzik. Bila aku masuk aje bilik dia, punyalah banyak peralatan muzik. Ada Keybord, Gitar Eletrik dan peralatan untuk menyayi yang lengkap. Apa lagi masa yang terluang tersebut kami gunakan untuk melalak. Nasib baik orang tak di sebelah rumah. Cikgu Hasnali tu pandai juga main alat muzik. Aku main giter dan Hasnali main Keybord manakala Amir jadi penyanyi . Akupun bukan pandai sangat main giter ini. Sudah sekian lama meninggalkan alam tersebut. Banyak juga lagu yang di bawa termasuk lagu Iban (Andrewson Ngalai penyanyi Iban yang terkenal tu). Lebih kurang pukul 7.30 petang kami mula ke dapur untuk menyediakan makanan. Nasib baik ada tukang masak profesional iaitu Shafiee. Boleh bawa lagi kalau nak pergi XPDC. Selepas makan dua orang ustaz itu mula cerita pasal Gua Niah yang dikunjungi pada pagi tadi. Aku tak tahu pukul berapa mereka tidur kerana aku lebih awal terlelap.

 


3/06/1996 - ISNIN.

Masing-masing bangun awal untuk melakukan perjalanan yang jauh hari ini. Seperti biasa kami mengisi perut dahulu sebelum bergerak. Restoren D.J. yang menjadi tumpuan . Aku pekena roti canai sahaja. Amir dua biji. Shafiee sebiji sahaja. Aku pun tak pasti berapakah bayaran untuk sarapan kali ini kerana Hasnali yang tolong bayar. Nak buat macam mana terima kasih sahajalah. Pukul 9.30 kami meninggalkan Pekan Batu Niah dengan 2 EX-5 sahaja. Yamaha 110ss terpaksa di simpan di rumah Hasnali kerana tidak mempunyai cukai jalan. Nasib motor tersebut tak kesampaian untuk menjelajah Sarawak. 100ss aku tu dah sampai ke Kuching pada bulan Noverber lepas ,aku ingat nak bawa pula sampai sempadan Brunei. Hanya sampai Batu Niah sahajalah. Kami mengisi minyak di Shell Simpang Batu Niah. Kena RM 3.00.

Lebih kurang pukul 10.00 pagi, kami sudah meninggalkan simpang Batu Niah dan menuju ke Miri. Jaraknya lebih kurang 90 km. Jalannya agak baik tetapi banyak tampalan telah dilakukan. Sepanjang perjalanan hanya dihiasi dengan pokok kelapa sawit yang terbantang luas. Sekali sekala terjumpa dengan rumah panjang. Jalannya agak berliku tetapi kurang kereta. Kami bergerak dalam lingkungan 85km/j. Sedap-sedap punya baring kanan dan kiri, sekali lagi motor Amir pancit. Matahari hampir tegak di atas kepala. Punyalah panas untuk membuka tayar yang pancit tadi. Kawasan sekaliling tak ada pokok. Apa lagi buka sahajalah. Selepas semuanya selesai, kami meneruskan perjalanan. Sekarang kami menukar driver pula. Kalau tadi aku menumpang Amir ,sekarang aku menggunakan motor Shafiee pula dan dia menumpang Amir kerana badannya lebih ringan daripada aku. Selepas kami menghampiri kawasan Lambir, hujan mula turun hingga ke Miri. Kami tak ada pilihan melainkan meneruskan perjalanan yang sudah tak seberapa itu. Ada sebuah TR-S cuba mengertak kami tapi kami tak layan so diapun buat bodohlah dengan kami sampai ke Miri.

Tepat pukul 11.00 kami sudah sampai ke pinggir bandar Miri iaitu di Taman Tengku berhampiran dengan Airport Miri. Leganya bila sudah sampai di sana. Berehat sekejap sebelum meneruskan perjalanan. Kami meneruskan perjalanan tanpa singgah di bandar Miri. Harapan kami supaya cepat sampai ke Sempadan Brunei kerana dua orang Ustaz tersebut dah tak sabar nak masuk Brunei. Sebelum sampai ke Kuala Baram, aku bawa dua orang tu pusing pekan Lutong. Mengisi minyak RM 3.00 di Shell Lotong. Stesyen Minyak Shell ini sudah biasa bagi aku kerana ia adalah milik saudara sebelah isteri aku. Tetapi anak-anaknya tak kenal dengan akupun . Maklumlah aku orang Semenanjung dan mereka orang Sarawak. Aku hanya meninggalkan pesan yang aku akan singgah ke rumah mereka sewaktu pulang dari Brunei nanti. Selepas itu kami singgah sebentar untuk membeli tayar dalam yang hanya tinggal satu sahaja lagi dalam simpanan kami. Kami membeli 2 lagi tayar dalam FKR. Tayar saiz 2.75 harganya RM 10.00 manakala saiz 2.50 harganya RM 8.00 . Potong kepala betul tetapi nak kata apa, bandar minyak semuanya mahal. Selepas itu, aku membawa mereka pusing melihat pejabat Pertonas dan Pejabat Shell dan keluar terus menuju ke Kuala Baram.

Lebih kurang 10 km perjalanan dari Pekan Lutong, sekali lagi tayar motor Amir pancit. Punyalah panas badan. Ingat cepat sampai ke Kuala Baram tetapi sekali lagi kami diuji. Apa lagi akupun mula memikirkan apakah masalah tayar motor Amir ni. Aku perhatikan bahawa terdapat sedikit kesan besi yang menunjul berhampiran dengan bahagian kepala tiub. Inilah punca tayar tersebut tidak tahan lama. Aku cuba melapik dengan getah tayar yang lama berhampiran dengan kepala tiub di sebelah dalam . Dengan harapan ianya dapat menghalang kesan bonjol tadi tidak akan menikam tayar dalam lagi. Sementera menunggu Amir memasang tayarnya kembali, sempat kami melihat pelantar minyak yang berhampiran dengan pantai tersebut. Jaraknya lebih kurang 1 km sahaja dari pantai. Setelah siap, kamipun meneruskan perjalanan. Perancangan awal kami nak singgah sebentar di Taman Buaya yang terletak berhampiran dengan Kuala Baram. Oleh kerana masa yang terhad, maka niat kami tersebut terpaksa dibatalkan.

Kami sampai di Kuala Baram lebih kurang pukul 1.00 tengahari. Makan belum lagi tetapi harapan dua orang itu perlu dipenuhi dahulu. Balik nanti boleh makan . Sewaktu kami sampai ke Kuala Baram , kenderaan telah bersusun panjang untuk menyeberangi Sungai Baram Kebanyakkannya kereta dari Brunei. Panjang juga mereka berbaris sementara menunggu feri . Kami yang menggunakan motor tak jadi halangan kerana dapat menyelit untuk sampai ke hadapan. Semasa kami menyelit, aku perhatikan tak banyak orang yang berniaga pada waktu itu. Biasanya Kuala Baram penuh dengan peniaga-peniaga kecil yang menjual sayur dan buah-buahan. Jualan di sini menguntungkan kerana pengaruh orang minyak yang kaya raya. Suasana di sini macam juga di Johor Baharu. Kuala Baram juga terkenal dengan buah salaknya. Tetapi waktu kami sampai, tak nampak pula buah salak.Yang banyak terdapat ialah buah tembikai.

Kami meneruskan perjalanan dengan menyeberangi sungai Baram. Bayaran yang dikenakan untuk motorsikal ialah RM 1.00 sebuah. Tak tahu pula untuk kereta. Tetapi untuk pejalan kaki dan pengguna basikal tak dikenakan sebarang bayaran. Yang menariknya di atas feri ini ada pula gerai yang menjual makanan dan buah-buahan. Feri ini dapat memuatkan lebih kurang 30 buah kereta. Saiznya lebih kurang macam feri Pulau Pinang. Ia mengambil masa lebih kurang 10 minit untuk menyeberangi sungai tersebut. Setelah feri berlabuh kami meneruskan perjalanan ke sempadan Brunei (Sungai Tujuh). Kami selamat sampai di Pusat Pemeriksaan Imigresen pada pukul 1.30 tengahari.

Setelah berehatr sekejap, dua orang ustaz tu dah mula gelisah nak masuk Brunei. Mereka tinggalkan aku diluar sempadan kerana tak ada pasport merah (Antarabangsa) . Aku hanya ada pasport Biru (Terhad untuk Sarawak/Sabah sahaja). Aku tunggu mereka di luar sahaja. Mereka masuk hanya nak pijak bumi Brunei sahaja. Aku membuat catatan perjalanan sementara menunggu mereka balik. Lebih kurang 30 minit mereka berdua sudah berpatah balik dan mula sibok menunjukkan kepada aku bukti yang mereka sudah memijak bumi Brunei (Cop Imigresen Brunei).

Setelah semuanya sampai ke sempadan, kami meneruskan perjalanan ke pengkalan feri Baram. Jarak di antara sempadan dengan feri tersebut lebih kurang 10 km. Sepanjang jalan tersebut hanya terdapat pokok lalang. Jalanya lurus dan kenderaan yang melaluinya amat laju. Mungkin mereka hendak mengejar feri kerana siapa cepat,dia dapat. Selepas kami menyeberangi Sungai Baram, kami singgah sebentar untuk membeli buah salak yang dipesan oleh kawan kami di Mukah. Kami berjalan-jalan di gerai berhampiran dengan sungai tersebut. Bila kami hendak meninggalkan pengkalan feri baru aku teringat akan Kedai Bebas Cukai yang terdapat di sana. Rasa menyesal juga tak bawa dia orang tu pergi melihat gerai tersebut. Lagipun kami agak kesuntukan masa untuk berada di sana lebih panjang. Kami bercadang untuk sampai ke Bintulu pada hari yang sama.

Setelah bergerak lebih kurang setengah jam, kamipun sampai ke pekan Lutong. Aku mula mencari rumah sepupu sebelah isteri aku. Rumah mereka taklah susah sangat nak aku cari walaupun baru sekali aku pergike sana. Yang aku ingat , di kawasan Prokop sahaja. Belakang rumah mereka ialah SMK. Dato Permaisuri. Akhirnya, berjaya juga aku mengesan rumah mereka. Kalau nak cerita tentang keluarga sebelah isteri aku ini tentunya akan memakan masa yang lebih panjang lagi . Ini disebabkkan ceritanya bermula sewaktu Zaman Penjajahan Jepun lagi. Kami singgah sebentar untuk bertanya khabar. Setelah berbual seketika, kami mengambil keputusan untuk meneruskan perjalanan kami yang masih jauh. Kami meninggalkan rumah mereka lebih kurang pukul 3.20 petang.

Bandar Miri boleh dikatakan besar juga. Kalau di Utara Semenanjung boleh diumpamakan dengan bandar Sungai Petani. Banyak taman perumahan telah di bina tetapi aku tak sempat bawa dua orang tu pergi melawat rumah milik Syarikat Shell yang mana macam di Eropah. Ia juga mempunyai lapangan terbang sendiri. Aku membawa mereka berdua pusing bandar Miri seketika, selepas itu mengambil jalan ke Tanjung Lobang dan menuju ke Maktab Perguruan Sarawak. Jalan tepi pantai itu sunguh cantik dihiasi dengan hotel-hotel 3,4 dan 5 bintang. Ada sebuah taman di pertengahan jalan tersebut, namun kami juga tak sempat untuk singgah di sana. Kami hanya sekadar melihat dari atas motor sahaja. Selepas taman tersebut, kami juga melihat Istana Jutawan Ting Phek King di jalan yang sama. Sebelum sampai ke Maktab Perguruan Sarawak, aku menyusuri jalan kampung untuk menuju ke Bintulu(jalan pintas). Budak-budak tu ikut sahaja aku dari belakang. Tak sampai 5 minit kami sudah berada di bulatan Borneo Pasifik Hotel untuk menuju ke Bintulu.

Sebelum meneruskan perjalanan, kami mengisi minyak dahulu. Lebih kurang RM 3.00 sudah penuh. Kali ini kami guna minyak petronas pula. Berhampiran dengan stesyen minyak tersebut ada sebuah restoron. Jadi kami mengambil keputusan untuk menjamu selera di sana. Dah pukul 4.00 petang baru nak cari nasi be... Damai Restoren ini sudah biasa dengan aku mengunjunginya. Dulu semasa aku berkursus selama sebulan di Miri, restoren inilah yang menjadi tempat aku menjamu selera pada waktu malam. Kami semuanya makan nasi tetapi tak tahu pula harga yang dikenakan. Amir yang bayar . Agak aku tak lebih dari RM 20,00 . Biasalah di Miri ini , semuanya mahal. Kami bercadang untuk singgah di Peraingan Lambir, kalau sempat semasa dalam perjalanan pulang nanti. Entah sempat atau tidak.

Lebih kurang pukul 5.00 petang kami mulakan perjalanan pulang. Hujan mula turun seperti mana kami datang pada pagi tadi. Walaupun hujan kami masih meneruskan perjalanan agar sampai tepat pada waktunya. Sepanjang perjalanan pulang, jalan agak lenggang dan menyeronakkan. Apa tidaknya cuaca mendung sahaja.Keadaan ini menyebabkan ada yang tidak tertahan dengan kenikmatan cuaca demikian. Aku perhatikan Amir memberhentikan motornya. Apa hal pula dua orang tu. Rupanya ada yang nak buang air kecil. Kami berhenti seketika berhampiran dengan jambatan di Sungai Sebuti. Selepas itu kami meneruskan perjalanan dengan mengekalkan kelajuan 85 km/j. Kami juga bertembung dengan sekumpulan motor berkuasa besar sewaktu pulang. Aku tak tahu berapa biji tetapi lebih daripada 30 biji pelbagai jenis. Mereka membawa bendera Sarawak dan Malaysia. Mungkin mereka pergi menyambut perayaan Hari Gawai. Ada yang menggunakan Plat Kuching, Sibu,Bintulu dan Miri. Tidak ketinggalan juga Plat Brunei. Kami ikut kepala kami sahjaalah untuk meneruskan perjalanan tersebut.

Harapan kami agar sampai ke Batu Niah sebelum senja. Malangnya semuanya hanya tinggal kenangan. Sekali lagi motor Amir buat hal dengan perangai lamanya. Apa lagi, kami membuka tayar yang bocor tu sekali lagi. Sekarang sudah pukul 6.30 petang. Kenderaan berat sahaja yang kelihatan. Kali ini aku dah tak tahu lagi apa nak buat dengan motor Amir tu. Sudah dua kali aku lapik dengan tayar dalam lama bagi menghalang daripada terkena benda yang tajam dari rimnya. Aku cuba letakkan tayar dalam yang lebih tebal pada bahagian yang terkena itu. Tawakal sahajalah, dengan harapan dapat sampai ke Batu Niah.

Setelah siap memasangnya, kami meneruskan perjalanan ke Simpang Batu Niah. Isi minyak dan terus menuju ke Batu Niah. Sebelum sampai ke SMK. Subis, kami membeli tambahan 3 lagi tayar dalam agar perjalanan pulang nanti lebih selamat. Tiga tayar kena RM 21.00 . Boleh tahan, agak murah jika dibandingkan dengan Miri. Kami sampai di SMK. Subis pada pukul 8.00 malam. Sekali lagi kami membuka tayar motor Amir. Rim ditanggalkan dan aku asah dengan batu pengasah agar licin . Selepas itu aku cuba membalut rim tersebut dengan selotep kertas.Semuanya aku balut hingga tak kelihatan lagi bahagian yang tajam tersebut. Tayar sebelah dalam pun aku balut juga agar tidak menjejaskan perjalanan pulang nanti. Pukul 9.00 malam siap semua kerja dan kami naik ke rumah untuk mandi . Selapas berkemas, Hasnali dan Zaid mempelawa kami makan, sukar juga nak tolak kerana mereka sudah penat-penat memasak. Terima kasih sahajalah kepada mereka dua orang tu. Jasa Mat Malaya dua orang ni memang sukar nak dibalas.

Tepat pukul 10.00 malam aku mula mengeluarkan kuda aku dari kandang. Seharian dia tidur sahaja di Batu Niah. Kami mula meninggalkan Pekan Batu Niah yang amam damai itu. Hanya 3 biji motor sahaja yang sedang bergerak. Mungkin yang lain sudah dibuai mimpi. Kami sampai di Simpang Batu Niah lebih kurang 10.15 malam. Nasib aku baik kerana kedai minyak di sana masih buka, kalau tidak mungkin terpaksa menolak untuk sampai ke Bintulu. Setelah mengisi minyak sampai penuh (RM 1.80 aje) . Kami berehat sekejap di stesyen bas yang berhampiran dengan stesyen minyak tadi. Nak telefon kawan kami di Bintulu. Telefon yang ada hanya jenis kad sahaja. Oleh kerana, tidak ada pilihan aku membeli kad RM 5.00. Kami dilewatkan pula oleh perbualan yang panjang orang yang terdahulu. Sampai 15 minit dia berborak. Punyalah boring. Kalau tempat aku sudah tentu kena halau dek orang. Selepas menelefon kawan kami, diapun setuju untuk membenarkan kami bermalam di rumahnya tetapi pukul berapa nak sampai tak tahu lagi.

Lebih kurang pukul 10.45 kami mula meninggalkan Simpang Batu Niah menuju ke Bintulu. Perjalanan waktu malam begini memanglah membosankan. Namum kami bertekad juga untuk sampai pada masa yang ditetapkan. Perjalanan kami taklah diganggu dengan banyak kenderaan. Hanya sekadar bas express sahaja. Itupun kalau tak silap sepanjang perjalanan kami dari Batu Niah ke Bintulu hanya sepuluh buah kenderaan sahaja yang berselisih dengan kami. Peringkat awal jalan masih elok. Jadi kami memecut hingga 80 km/j. Namun apabila masuk ke Bahagian Bintulu, jalan mula berlubang. Aku mula risau dengan jalan berlubang ni. Jadi aku sebagai ketua konvoi memperlahankan kelajuan kepada 65 km/j. Suasana sunyi sepi sesekali aku memandang ke belakang. Mana tau dua orang tu ada atau tidak lagi. Apa yang menarik sewaktu kami jalan malam ialah apabila aku jatuh lubang, semuanya akan ikut aku jatuh lubang yang sama . Rupanya dua orang ustaz itu betul-betul ikut aku. Dengan tidak disangka-sangka kami sekali lagi disirami dengan hujan yang lebat.

Perjalanan kami terganggu seketika. Ada kalanya aku mengurangkan kelajuan hingga 40 km/j kerana jalan langsung tak nampak. Mana takut jatuh lubang . Perjalanan kami penuh dengan kesejukan dan kerisauan. Akhirnya kami sampai ke Bandar Bintulu dengan basah kuyup. Jam sudah hampir 1.00 pagi . Apa nak kata, kena hujan lebat dipertengahan jalan sampai ke Bnadar Bintulu. Nasib baik kawan kami seorang itu sanggup menunggu hingga pagi. Dah itu tolong sediakan air kopi panas pula tu. Tangan aku sudah pucat dan kecut dengan kesejukan. Bila mandi tengah malam baru terasa panas kembali. Lepas itu. Kami tidur ajelah sampai subuh. Pukul 10.00 baru nak pergi cari sarapan.

 


4/06/1996 - SELASA

Selepas sembahyang Subuh pada pagi itu, kami bertiga meneruskan pelayaran hingga pukul 10.00 pagi . Selepas semuanya sudah siap, barulah berkenalan dengan tuan rumah yang kami tumpang itu. Mereka dari Semenanjung juga dan merupakan kawan kepada Amir. Kawan-kawan mereka yang lain semuanya balik kampung so tinggal 3 orang sahaja yang tidak balik. Jadi ada bilik yang kosong.

Setelah semuanya siap, kamipun memamaskan enjin motor masing-masing. Sekali lagi motor Amir tak ada angin. Apa nak kata. Lastly, buka aje tayar dan bawa ke kedai yang berhampiran. Bila dibuka tak ada apa-apapun so tukar tayar dalam sahaja. Lepas itu tinggal tayar yang telah dipasang itu di kedai tersebut dan kami berlima pergi melawat kawasan sekeliling bandar Bintulu.

Pukul 11.00 pagi kami pula menjamu selera, akupun tak tahu berapa yang kena kerana kami menjadi tetamu pula sekarang ini. Makan semuanya orang tanggung. Selepas itu, kami mengisi minyak dahulu.. Jangan tuan aje yang makan tetapi motor tak diberi makan. Aku isi minyak lebih kurang RM 3.40 sahaja. Hairan juga aku dibuatnya. Mana tidak hairan, sewaktu aku pergi dahulu satu tangki tak cukup tetapi balik tiga ringgit lebih sahaja. Mungkin kami tak memecut sangat... Kenderaan di bandar Bintulu taklah berapa banyak sangat jika dibandingkan dengan bandar-bandar utama di Semenenjung. Cukup senang untuk bergerak.

Apa yang tak puas hati bila memandu di Bandar Bintulu ialah pertama , bila seseorang pemandu hendak membelok main selamba aje masuk tanpa memberi lampu isyarat atau dah nak masuk baru beri lampu isyarat (buka semualah) dan yang kedua ialah kenderaan diletekkan sesuka hati sahaja. Main parking aje di mana dia suka. Tak kira tepi jalan ke atau buntut kereta terjuntai keluar ke jalan utama. Nasib baik di sini tak banyak lori kontena, kalau tak habis kereta dibantainya. Jalan di dalam bandar dua lorong tetapi kelihatan sempit dengan gelagat pemandu yang sedemikian. Ini tidak kurang juga kalau kita mengunjungi bandar Sibu. Berbeza dengan di Miri atau Kuching yang kelihatan pemandunya lebih berdisplin namun perkara demikian tetap ada.

Pada pukul 12.00 tengahari, kami berlima (tambah lagi dua orang iaitu Amir dan Salleh) pergi melawat taman binatang berhampiran dengan bandar Bintulu. Oleh kerana kami menjadi tetamu, maka mereka berdua jadi pemandu pelancong kepada kami bertiga. Di taman ini bolehlah dikatakan menarik juga. Ada taman burung, ular, buaya, harimau , rusa dan sebagainya. Letaknya di atas bukit dan boleh melihat pemandangan seluruh bandar Bintulu serta melihat pemandang laut lepas. Lebih kurang 2 jam kami melawat taman ini sebelum membasahkan tekak.

Selepas itu, kami menuju ke bandar Bintulu untuk menjamu selera. Kedai pada waktu ini sudah banyak yang buka.Oleh yang demikian, kami ada banyak pilihan untuk makan. Sekali lagi kami tak payah bayar kerana dua orang pemandu pelancong kami yang tolong bayar. Aku mati-mati nak bayar tetapi duit aku tak laku. Apa nak di kata "rezeki jangan di tolak, musuh jangan di cari". Setelah makan, kami pergi mengambil tayar motor Amir yang masih di kedai. Kami sampai di rumah dan terus pasang tayar motor Amir dan bersiap sedia untuk pulang ke Mukah.

Sekali lagi kami mengisi minyak hingga penuh untuk menempuh perjalanan yang jauh (110 km sahaja). Tepat pukul 4.00 petang kami sudah meninggalkan bandar Bintulu menuju jalan pulang. Kereta di atas jalan raya tidaklah banyak sangat, jadi kami dapat memecut dengan lancar sekitar 90 km/j. Pukul 4.30 petang, kami sudah sampai ke Pekan Tatau dan terus mengisi minyak. Motor aku kena RM 2.00 untuk jarak 50 km itu. Pecut punya pasal tak apalah kalau dia makan lebih sikit. Selepas itu, masing-masing sibuk dengan motor masing-masing. Betul itu dan ini.

Setelah penat hilang, kami meneruskan perjalanan menuju ke Selangau. Awan hitam menenti di hadapan. Lebih kurang 10 minit bergerak, sekali lagi dibasahi dengan hujan yang lebat. Hujan yang lebat telah mengurangkan kelajuan kami. Aku hanya memandu sekitar 60 km/j bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini. Dua orang ustaz itu , masih setia dibelakang aku. Kalau aku jatuh lubang mereka pun ikut sama jatuh lubang. Nasib baik lubang tak banyak lubang yang dalam. Kami tak pakai baju hujanpun, harapkan baju panas ajelah. Dalam perjalanan jauh macam kami ni mana sesuai pakai baju hujan kerana hujan tak tentu tempat. Jadi nak pakaipun tak sempat.

Pukul 6.15 petang kami berjaya sampai ke pekan Selangau. Isi minyak untuk menghadapi jalan tanah merah nanti. Aku kena RM 3.00, yang lainpun hampir sama dengan aku. Setelah berehat 15 minit, kami meneruskan perjalanan di tengah hujan.Ia bertujuan untuk memastikan kami tak bergelap di tengah kawasan ladang kelapa sawit yang mana jalannya tak berapa menarik itu. Setelah 5 km, masuk sahaja "Jalan Ladang" yang berbatu dan licin itu, sekali lagi motor Amir buat hal. Berhenti sekejap untuk memeriksa motornya. Motornya pancit. Kami mengambil keputusan untuk masukan angin sahaja agar sampai ke "Ladang Satu" yang mempunyai penempatan. Setelah bergerak 10 km, sampailah kami ke "Ladang Satu" dan berteduh di surau. Cuaca sudah gelap. Waktu Magrib pun sudah masuk. Sewaktu sembahyang kami dihurungi oleh ribuan nyamuk. Banyak betul nyamuk di sana sehingga tak larat nak menepis.

Selepas sembahyang kami mula membuka motor Amir sekali lagi (entah berapa kali dah).

Kami buka tayar semuanya. Balut dengan slotep sekali lagi. Setelah itu, kami meneruskan perjalanan menuju ke Mukah. Jam sekarang sudah menunjukkan pukul 8.00 malam. Ini bermakna kami mempunyai 2 jam lagi untuk sampai ke Mukah. Kalau tidak, alamatnya tak sempat naik feri yang akan tamat perkhidmatan pada pukul 10.00 malam. Kalau mengikut perkiraan biasa, masa 2 jam memanglah sempat untuk jarak 80 km . Namun di kawasan ladang kelapa sawit yang tak tentu jalannya adalah sukar untuk diramalkan. Kalau jalan macam Highway tak apalah. Ini jalan macam "Cemal Trophy" mana boleh laju.

Kami memecut dengan rakus di jalan yang berbatu itu. Jalan waktu malam lebih seronak kerana kita dapat melihat di mana jalan yang sama,berlubang atau berbukit apabila lampu menyuluh ke hadapan. Dengan bantuan lampu yang terang itulah kami dapat memecut hingga 60 km/j di atas jalan yang berbatu dan berlubang-lubang itu. Nasib aku tak baik, tinggal lagi 10 km hendak keluar dari "Jalan Ladang", rantai aku terjatuh dan terus tersangkut serta terbelit. Aku dengan pantas terun dan mencapai lampu picit dan melihat kerosakan yang dialami. Sah tak dapat gunakan lagi. Rantainya bengkok terus dan aku buka pin rantai dan ikat rantai itu pada motor . Kami mengambil keputusan untuk menarik(menunda) sahaja untuk sampai ke Mukah. Masa masih ada untuk mengejar feri...

Pada perkiraan aku, hendak tinggalkan sahaja motor itu di rumah panjang yang berhampiran (kalau tak silap kami baru sahaja lepas Rumah Garit dan sedang menuju ke Rumah Puak. Aku ingat nak tinggalkan sahaja motor aku di Rumah Puak tetapi Amir risau juga kerana sekarang sedang Perayaan Gawai. Student aku memang ada tinggal di sana tetapi kebanyakkannya perempuan . Silap-silap pergi panggil anak dara orang malam-malan kena parang panjang pula. Lagi panjang ceritanya.

So keputusannya tarik balik ke Mukah. Tali memang di bawa tetapi sekadar tali skepping sahaja. Cukup untuk manarik motor aku. Amir bawa dengan laju sekali supaya dapat mengejar masa yang masih ada. Hampir juga 60 km/j. Bila naik bukit, sakit tangan aku memegang tali tadi. Beberapa kali terlepas kerana tak tahan dengan kesakitan itu. Tambahan pula jalan yang kami lalui itu berbukit-bukau. Tinggal lagi 3 km perjalanan sebelum keluar ke jalan yag lebih bagus . Suasana sunyi sepi hanya 2 buah jentera sekarang sedang menunda sebuah motor yang tak dapat bergerak kerana rantai putus. Enjin motor aku masih dihidupkan untuk mendapatkan cahaya menerangi jalan yang gelap gelita itu. Shafiee di bekalang sekali.

Hendak di jadikan cerita, Amir memecut dengan laju untuk menaiki bukit seterusnya. Bila sudah melepasi puncak bukit , motor aku telah terlajak melebihi motornya. Bila menuruni bukit, Amir memecut semula. Dari pancaran lampu motor Shafiee, aku lihat tali telah terbelit pada kaki cermin pandang belakang sebelah kiri. Aku tak sempat lagi nak memanggil Amir. Kalau panggilpun bukannya dia dengar. Bila aku lihat tali yang terbelit itu, aku sudah bersiap sedia untuk menyembah bumi. Tak sampai 2 saat, motor Amir telah menarik hendel kiri aku kerana tali sekarang terikat pada cermin sebelah kiri. Hendle memang tak dapat di kawal lagi. Ia membelok ke kanan. Apa lagi aku menyembam jatuh .

Yang jadi saksi aku jatuh ialah Shafiee yang berada di belakang. Aku cuba bergelek macam bola tatapi jalan yang berbatu dan tanah merah itu mana nak kasihankan aku. Dia lanyak juga tapak tangan aku sikit(tak pakai glove punya pasallah). Lutut luka sikit . Yang lain tak cedera sangat. Aku sebak dan terbaring seketika kerana terjatuh atas batu yang agak besar. Shafiee dan Amir datang mengangkat aku, tapi aku jatuh kembali. Terbaring lagi. Selepas itu cari air kerana terlalu dahaga. Setelah itu lihat motor, biasalah kalau jatuh pastinya ada yang pecah dan sebagainya. Dipendekkan cerita, lampu signal sebelah kiri motor aku pecah, tempat letak kaki sebelah kiri bengkok, hendle aku juga bengkok ke kiri, plat depan patah, kaki cermin sebelah kiri juga patah (sekarang pakai gam sahaja). Nasib baik sebelah kiri yang patah. Kalau kanan sedah tentu kena pasang juga yang baru bagi mengelakkan di saman.

Motor Amir juga tidak jatuh kerana kaki cermin sebelah kiri motor aku telah terkopak. Kalau tersangkut dekat hendle sudah tentu dia juga akan terjatuh sama kerana tali terlekat pada motor aku. Selepas betulkan mana-mana yang patut kami mengambil keputusan untuk menyorong motor aku itu.Buat permulaan aku yang menolaknya. Tetapi lepas satu bukit, aku dah tak bermaya lagi. Kemudian Shafiee ganti tempat aku dan aku bawa motornya pula. Sunyi sepi waktu itu, hanya salakkan anjing dari rumah panjang yang kami lalui. Semua orang sudah tidur atau penat dengan sambutan hari Gawai. Kami menolak perlahan-lahan. Lepas 3 bukit, kami sampai ke jalan yang bertar. Lega rasanya. Berhenti sekejap. Dalam kegelapan malam itu, apapun tak dapat dilihat. Nak harapkan kenderaan yang lalu. Jangan haraplah waktu malam-malam begitu orang berani nak guna jalan tersebut. Kalau cuba nak menahan kenderaan yang lalupun, mungkin tidak mahu berhenti ... takut .....

Setelah semuanya selesai, Amir menolak motor aku dengan menggunakan kakinya. Aku masih bawa motor Shafiee dengan sebelah tangan. Mana taknya kulit tapak tangan aku dah separuh terkoyak. Dengan sebelah tangan itulah aku gagahi untuk mengekori mereka dari belakang. Setelah memasuki jalan yang bertar agak senang untuk menolaknya. Amir hantam sampai 60 km/j juga. Nak kejar Feri sudah tentu dah terlewat. Waktu kami bertolak balik tadipun sudah pukul 10.00 malam. Jalan yang kami lalui sekarang agak landai. Sekali sekala sahaja berjumpa dengan anak bukit. Selepas 5 km perjalanan dari permuulaan jalan bertar, bukit sudah tak ada lagi. Ini kerana kami sekarang sedang memasuki kawasan pinggir pantai.

Bila sampai ke Simpang Matading, nasib baik ada sebuah kedai Iban yang masih buka. Itulah satu-satunya kedai yang ada di sampang tersebut. Aku pergi cari air kerana terlalu dahaga. Dua orang lagi itu mengikut aku dari belakang. Cari air tin sahajalah. Taukeh kedai itupun terkejut juga lihat muka aku, dari mana datang malam-malam ini. Sebenarnya mereka kenal dengan kami kerana selalu membeli makanan dan keperluan lain sewaktu kami datang untuk menangkap ikan dekat laut yang terletak dibelakang kedainya itu (istilah orang tempatan mengancau). Hairan juga aku mengapa kedai ini dibuka sampai jauh malam. Biasanya 8.30 malam sahaja sudah tutup. Rupanya mereka baru sahaja berborak dengan Y.B yang pergi menyambut PerayaanGawai.

Setelah berehat sekejap kami meneruskan perjalanan yang kelihatan senang itu. Apa tidaknya sekarang sudah tak berbukit, senanglah Amir memecut sambil menolak dengan kakinya. Lenguh juga nak sampai ke Mukah yang jaraknya 25 km lagi. Beberapa kali aku lihat Amir membetulkan kakinya terutama selepas melepasi jambatan kayu yang begitu banyak disepanjang perjalanan tersebut. Sewaktu menuruni jambatan kayu itu, dia akan biarkan motor aku pergi dahulu dengan daya yang masih ada. Selepas itu, dia akan menyambung kembali tolakkan itu. Sudah pukul 11.45 malam, mana nak ada feri lagi. Kalau tak menyeberagi sungai Mukah mana nak tidur malam ini. Satu lagi bahana yang datang sedangkan aku sedang kesakitan untuk pergi ke hospital yang juga terletak diseberang sana.

Lastly, aku teringat pesan kawan aku, bahawa perahu tambang juga boleh membawa motorsikal. Apa lagi kami terus masuk ke Kampung Seberang. Masalahnya sekarang di mana pula nak letak motor aku yang rosak ini. Keputusan diambil, letak sahaja motor yang rosak itu di rumah kawan yang mengajar di SRK Kampung Sebarang. Diapun dah tidur, tak apalah bukannya orang nak curi motor kat sini. Kira selamatlah. Dulu pernah sekali orang cuba curi motosikal tapi esoknya dah dapat balik kerana semua kenderaan yang nak tinggalkan Mukah terpaksa melalui feri so apa lagi polis tanya orang yang jaga feri aje siapa yang bawa motor itu. Dia dah kenal so pergi ambil kat rumah panjang aje.. Dengan cerita itulah aku berani meletakkan motor aku di sana.

Kami terus tinggalkan motor dan beredar dari situ. Suasana di kampung tersebut sunyi sepi. Sudah berdengkur semuanya. Pergi ke Pengkalan Perahu Tambang. Sampanpun semuanya dah tersadai di tepi tebing. Air pula tengah surut habis. Wah! satu lagi bahana. Nasib baik aku pergi cari tuan perahu tambang yang kebetulan belum tidur lagi. Dia dengan bersusuh payah menurunkan perahu dan enjin sangkutnya untuk membawa kami ke seberang. Nak memasuki perahu satu lagi kerja yang perit. Dahlah licin di tambah pula risau dengan arus yang deras. Dua biji motor sekali bawa. Enjin 5 kk manalah larat sangat. Macam semut aje dia bergerak. Akhirnya sampai juga kami ke seberang yang betul-betul bertentangan dengan pekan Mukah. Sebiji motor dikenakan bayaran RM 5.00 sebuah. Berbaloi jugalah kerja tengah malam. Kamipun tak banyak soal dan terus bayar ajelah. Siapa suruh gatal balik lewat. Kalau tak, dapat naik feri free. Malam itu kami masak ala kadar sahaja untuk mengalas perut sejak makan tengahari di Bintulu tadi. Aku tak jadi pergi ke hospital setelah mencuci luka yang ada. Sudah lewat benar dan mata sudah mengantuk.

 


05/06/1996 - RABU.

Keesokan harinya, kami bertiga baru pergi memperbaiki motor yang rosak itu. Tapi sebelum pergi mereka dah tahu aku jatuh motor. Di Mukah bukannya ramai sangat orang. Apa yang terjadi cepat merebak kepada pengatahuan umum. Lain lah di bandar apa yang berlakupun langsung tak ambil tahu. Motor yang aku tinggalkan mereka kenal siapa pemiliknya, terutama guru-guru. Aku ganti spoket baru satu set untuk membolehkannya ia bergerak ke Pekan Mukah. Selepas semuanya siap kami membawa ke kedai motor. Betulkan mana-mana yang patut, RM 55.00 terbang.

Selepas itu, baru aku pergi ke hospital untuk menerima rawatan. Kena sejarum baru lega rasanya. Kami bertiga selepas itu bercerita pengalaman yang kami lalui ini kepada sahabat yang tidak putus-putus datang untuk melawat aku yang cedera yang tak seberapa ini. Cerita cepat merebak yoo..

Amir dan Shafiee cerita lain tak ada, bawa pasport antarabangsa dia aje. Nak tunjuk cop Imegresen Brunei kepada kawan-kawan yang datang. Aku tunjuk luka dan motor yang rosak ajelah..... TAMMAT.

 

XPDC Gawai 1996.

SMB. St. Patrick,

96400 Mukah,

Sarawak.

 


 Huraian Gambar :

1. Buat pertama kalinya, motor Amir pancit.

2. Dua sahabat yang berhenti menyebok sewaktu tayar motor Amir pancit.

3. Selamat mengisi minyak di stesyen minyak Shell Simpang Batu Niah.

4. Membuat plat motor di pekan Batu Niah.

5. Pelantar untuk pejalan kaki menghubungi pengkalan perahu dengan Gua Niah (jarak 3 km)

6. Pintu masuk ke Gua Niah, menghalang penceroboh yang tidak bertenggungjawab.

7. Mulut Gua Niah, dapat dilihat kayu yang bergantungan untuk digunakan oleh pemunggut sarang burung panjat ke atas siling gua. Keluasan mulut gua ini sukar diceritakan...

8. Penempatan / kubur lama masyarakat purbakala (dipagar).

9. Notis larangan yang terdapat di mulut Gua Niah.

10. Rumah rehat disediakan untuk pelawat berehat di dalam Gua Niah. Ia diperbuat daripada kayu Belian keseluruhannya termasuk bumbung.

11. Trek pejalan khaki dalam Gua Niah. Berhati-hati kalau nak memegang tempat berpegang. Banyak tahi burung dan kelawar.

12. Awas, trek ini kadangkala licin kerana titisan air batu kapur.

13. Batu yang tajam boleh membunuh siapa sahaja yang terjatuh diatasnya. Tiada maaf bagimu.. (dalam Gua Niah).

14. Ustaz Amir dipenjarakan pada pintu bahagian belakang (keluar) ke Gua Kain Hitam.

15. Tangga yang digunakan untuk sampai ke Gua Kain Hitam.

16. Ustaz Amir sedang bertapa dalam Gua Kain Hitam.

17. Lukisan zaman purbakala ( dalam Gua kain Hitam). Lukisan Perahu Panjang yang banyak terdapat di sini serta gambar memburu binatang.

18. Dua orang pengusaha perahu tambang yang sempat kami berbicara dengan mereka sementara menunggu hujan reda. Seberang sungai adalah tempat permulaan untuk menuju ke Gua Niah melalui pelantar pejalan kaki.

19. Rumah orang bujang iaitu Cikgu Hasnali dan Cikgu Zaid di SMK Subis.Terima kasih ya..

20. Berehat sekejap setelah memasang tayar motor Amir yang pancit (jalan Kuala Baram) . Sayang tak nampak pelantar minyak.

21. Feri Kuala Baram, Motor sebuah bayarannya RM 1.00 sahaja yo.. Nak free jalan kakilah.

22. Sempadan Malaysia-Brunei (Sungai Tujuh). Aku ditinggalkan di luar sempadan.. Kasihan..

23. Dua ustaz ini sudah memijak bumi Brunei- "BSB = Bandar Sri Bagawan".

24. Sungai Sebuti - ada yang tak tertahan dengan cuaca yang sejuk. Dua buah EX5 sahaja yang digunakan.

25. Rumah bujang di Bintulu - motor banyak ditinggalkan oleh tuanya yang balik Malaya (Semenanjung) . Terima kasih daun keladi.

26. Pemandangan di dalam Taman Binatang Bintulu "Tumbina = Tumbuhan dan Binatang ". Boleh lihat pemandangan ke arah laut. Juga boleh melihat tumbuhan orkid,cendawan dan sebagainya.

27. Ustaz Shafiee sedang bermesra dengan burung Enggang (lambang Negeri Sarawak).

28. Dalam Taman Burung ini, burung dibiarkan hidup bebas dan begitu jinak sekali tapi jangan tangkap nanti kena saman.

29. Membasahi tekak di dalam taman "Tumbina" setelah penat berjalan.

30. Taman Perindustrian Kemena - Pusat Papan Lapis / Kayu utama di Bintulu (jalan Selangau-Bintulu).

31. Stesyen Minyak Shell Tatau- tersembunyi di belakang pekan. Kami sibok baiki motor masing-masing waktu rehat begini.

32. Saat yang mendukacitakan, aku terjatuh sewaktu menunda motor di "Jalan Ladang". Burung Hantupun tak kasihan kepada aku. Suasana sunyi sepi ... bila larut malam....Aduhai sakitnya kaki dan hati.

33. Memperbaiki motor aku yang rosak di Mukah.. RM 55.00 terbang... Lain kali buat lagi.

34. Walaupun cedera, aku masih berupaya membawa motor ke hospital (sebelah tangan aje tau). Motor pinjam ustaz Shafiee punya. Masih kotor dengan kesan "Jalan Ladang".

 

Resit:

1. Tiket feri Kuala Baram.

2. Tiket untuk masuk ke Gua Niah bersama tiket kamera.

 

Hosted by www.Geocities.ws

1