SARJANA KEPENGETUAAN

1. LATAR BELAKANG

Kepengetuaan merupakan salah satu bidang profesion yang amat mencabar, walaupun bidang ini jarang mendapat perhatian masyarakat umum di negara ini mahupun golongan yang mempunyai kepentingan dan kaitan dengan alam pendidikan sendiri.

Sebagai seorang yang berperanan merancang dan menerajui operasi harian sesebuah sekolah, seorang pengetua memikul tanggungjawab yang amat berat khususnya berhubung perlaksanaan segala aktiviti berbentuk pendidikan kepada pelajar serta pengurusan berbagai-bagai bentuk sumber di bawah jagaannya. Seiring dengan itu, seorang pengetua perlu bijak melaksanakan tanggungjawab tersebut dalam ruang lingkup pelbagai dasar, peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan.

Seorang pengetua itu semestinya perlu mempunyai iltizam dan berkemampuan untuk menggabungkan pelbagai landasan (platforms) bagi meningkatkan kemahiran pengajaran, memajukan potensi individu, menggalakkan proses kolaboratif dan sekaligus memastikan wujudnya semangat tanggungjawab bersama (shared responsibility) antara rumah dan sekolah ke arah kecemerlangan pendidikan pelajar.

Berdasarkan pelbagai bentuk kepakaran dan kemahiran yang perlu dipunyai oleh seseorang pengetua, maka adalah amat penting beliau diberi ilmu pengetahuan dan latihan yang sewajarnya sebelum menjawat jawatan tersebut. Dengan ilmu dan kemahiran yang secukupnya, seorang pengetua berpeluang menghadapi tugasnya yang amat mencabar itu dengan lebih yakin dan sekaligus memberi harapan yang lebih tinggi terhadap keberkesanan dan kejayaan institusi yang akan dipimpinnya.

 

Pada tahun 1999 ini, satu usaha telah dilaksanakan oleh Institut Aminuddin Baki (IAB) untuk membekalkan program latihan kepada bakal-bakal pengetua dengan ciri-ciri kepimpinan dan kepakaran yang mereka perlukan apabila menerajui sesebuah institusi pendidikan. Sebagai satu kesinambungan kepada program yang dijalankan oleh IAB itu, sebuah Institut Pengetua telah ditubuhkan di Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya pada tahun 1999 untuk menawarkan program-program yang komprehensif untuk pengetua mendalami ilmu pengetahuan akademik dan kepakaran dalam bidang kepengetuaan, dan akhirnya boleh dianugerahkan ijazah dalam bidang berkenaan. Sebagai rancangan masa hadapan, program Sarjana Kepengetuaan akan ditawarkan kepada calon-calon daripada institusi lain.

 

2. WAWASAN DAN TUJUAN INSTITUT PENGETUA DAN PROGRAM-PROGRAMNYA

Institut Pengetua, merupakan sebuah institut pengajian yang menyediakan program pendidikan dan latihan dalam bidang kepengetuaan di peringkat pasca siswazah. Fungsi utama Institut ini ialah memberi latihan dan penganugerahan ijazah peringkat Sarjana dan Kedoktoran dalam bidang kepengetuaan kepada bakal pengetua sekolah dan institusi-institusi pendidikan seumpamanya. Bagi tujuan tersebut, Institut ini ditubuhkan sebagai satu badan di bawah pentadbiran Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, yang berperanan memastikan keseluruhan program, pengajaran dan peperiksaan yang ditawarkan berkualiti tinggi.

 

Pada akhir program ini, dijangka para pelatih pengetua akan mendapat pengetahuan teori, prinsip dan pendekatan berkaitan dengn kepengetuaan, perspektif pemkiran yang terbuka, fleksibel dan kreatif dalam memberi kepimpinan dan menjalankan pentadbiran di sekolah.

Institut Pengetua bukan sahaja akan berfungsi sebagai institusi yang menganugerahkan ijazah lanjutan dalam ilmu kepengetuaan, malah berperanan sebagai pusat rujukan dan penyelidikan dan pembangunan dalam bidang kepengetuaan yang terulung di rantau ini.

 

 

3. SKOP / STRUKTUR PROGRAM SARJANA KEPENGETUAAN

Program Sarjana Kepengetuaan distruktur untuk mengandungi jumlah 42 jam kredit kursus bagi tempoh pengajian selama 1 tahun. Penilaian dan pemarkahan program akan mengikut skim yang diluluskan oleh Senat Universiti untuk semua program ijazah sarjana berdasarkan kerja kursus. Pengurusan peperiksaan akan mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Universiti.

 

Secara terperinci, Program Ijazah Sarjana Kepengetuaan terdiri daripada 14 kursus berjumlah 42 jam kredit yang direkabentuk khas untuk melengkapkan pengetahuan calon dalam bidang pengurusan pendidikan dan sekolah (Rujuk Lampiran 1). Kursus-kursus ini diselaraskan dengan kursus yang telah calon ikuti di Institut Aminuddin Baki (IAB) dalam program Diploma Pasca Ijazah Pengurusan Pendidikan. Pendekatan pengajaran adalah berasaskan penggabungjalinan ilmu dari bahan literatur dan hasil penyelidikan dengan pengalaman dan proses pembelajaran secara reflektif serta menitikberatkan pengaplikasian teori kepada amalan. Kursus-kursus ini juga mengambil kira keperluan pengurusan pengetua dari segi kepimpinan dan kemahiran mengurus tingkah laku manusia, kemudahan dan persekitaran. Pengendalian kursus ini akan dijalankan secara kerjasama rapat dengan pihak IAB pada semua peringkat untuk mempastikan kursus ini benar-benar merupakan kursus yang melengkapi penyediaan pengetua sekolah di Malaysia.

 


RINGKASAN KURSUS

PXGP6101

Asas Pengurusan Sekolah

(Introduction to School Management)

Objektif : Kursus ini bertujuan membolehkan calon (a) memahami dan mengenali sifat organisasi pendidikan dan gelagat organisasi pendidikan dengan mempelajari teori-teori organisasi amnya dan teori organisasi pendidikan khususnya, dan (b) memahami pentadbiran dan pengurusan pendidikan dari segi konsep, fungsi dan proses dengan mempelajari teori dan model pengurusan yang diaplikasikan kepada pendidikan dan sekolah.

Penilaian berdasarkan tugasan dan/atau peperiksaan.

PXGP6102

Asas Kepimpinan Sekolah

(Introduction to School Leadership)

Objektif : Kursus ini bertujuan untuk membolehkan calon (a) mendapat perspektif menyeluruh tentang teori dan amalan kepimpinan dalam pengurusan sekolah, (b) memahami proses dan fungsi kepimpinan serta rol pemimpin pendidikan, dan (c) membina persediaan diri untuk memainkan peranan, dan menerima tanggungjawab sebagai pemimpin di sekolah

Penilaian berdasarkan tugasan dan/atau peperiksaan.

 

PXGP6103

Penyelidikan dan Statistik Untuk Pengetuan

(Research and Statistics for Principals)

Objektif : Kursus ini bertujuan untuk melengkapkan calon dengan pengetahuan asas tentang penyelidikan dan statistik dan kemahiran untuk membolehkan mereka (a) memahami hasil penyelidikan, dan (b) menjalankan penyelidikan dalam pembinaan bahan dan menganalisis hasil pembelajaran, (c) memimpin guru menjalankan kajian tindakan, dan (d) membina iklim penyelidikan di sekolah untuk meningkatkan pembelajaran.

Penilaian berdasarkan tugasan dan/atau peperiksaan.

 

PXGP6104

Teori Pengurusan dan Kepimpinan Sekolah

(School Management and Leadership Theory)

Objektif : Kursus ini bertujuan supaya calon (a) memperdalami pemahaman tentang pengurusan dan kepimpinan sekolah melalui perbincangan tentang teori dan model pengurusan dan kepimpinan pendidikan berasaskan hasil penyelidikan dan bahan literatur, dan (b) mempunyai perspektif untuk mengamalkan stail dan pendekatan yang sesuai untuk diaplikasikan kepada amalan pengurusan dan kepimpinan mereka dalam pelbagai jenis dan situasi sekolah.

Penilaian berdasarkan peperiksaan dan/atau tugasan.

 

PXGP6105

Kepengetuaan Sekolah Menengah di Malaysia

(Secondary School Principalship in Malaysia)

Objektif : Kursus ini bertujuan untuk membantu calon (a) memperolehi perspektif menyeluruh serta kefahaman yang lebih mendalam konsepsi berkenaan kepengetuaan dan skop tugas pengetua sebagai pengurus dan pemimpin pengajaran di sekolah, dan (b) mengaplikasikan teori dan hasil penyelidikan yang berkaitan, dengan pengetuaan sekolah menengah di Malaysia.

Penilaian berdasarkan tugasan dan/atau peperiksaan.

 

PXGP6106

Pengurusan Kurikulum dan Pedagogi

(Curriculum Management and Pedagogy)

 Objektif : Kursus ini bertujuan untuk membolehkan calon memahami (a) konsep, teori model dan pendekatan pembinaan kurikulum dan pedagogi untuk membolehkan mereka memilih bahan kurikulum dan pendekatan pengajaran , dan (b) mengguna model atau pendekatan yang sesuai untuk menganalisis dan memilih bahan kurikulum dan pengajaran, dan (c) membina perspektif yang lebih terbuka, fleksibel dan konstruktif dalam merancang, membimbing dan menyelia pelaksanaan kurikulum dan pengajaran di sekolah.

Penilaian berdasarkan tugasan dan/atau peperiksaan.

 

PXGP6107

Pengurusan Sumber Manusia dalam Pendidikan

(Human Resource Management in Education)

 

Objektif : Kursus ini bertujuan supaya calon memahami teori dan menghayati isu-isu pengurusan sumber manusia profesional dan bukan profesional di sekolah, untuk membolehkan mereka membuat keputusan dan penyelesaian masalah dan meningkatkan produktiviti personel dalam organisasi sekolah

Penilaian berdasarkan tugasan dan/atau peperiksaan.

 

PXGP6108

Pengurusan Hal Ehwal Pelajar

(Student Personnel Management)

Objektif : Kursus ini bertujuan untuk membolehkan calon memperdalami dan mengaplikasikan teori-teori perkembangan remaja, sosiologi remaja, serta teori dan teknik kaunseling sebagai persediaan bagi mereka untuk (mengurus hal ehwal pelajar berkaitan dengan disiplin, motivasi dan pengembangan potensi pelajar di peringkat remaja, dan (b) memahami proses dan teknik kaunseling yang sesuai dengan remaja di sekolah dan mampu memberi kaunseling mudah kepada pelajar yang memerlukannya.

Penilaian berdasarkan tugasan dan/atau peperiksaan.

 

PXGP6109

Pengurusan Kewangan dan Perakaunan Sekolah

(Financial Management and School Accounting)

Objektif : Kursus ini bertujuan (a) mendedahkan kepada calon pandangan menyeluruh tentang prinsip perakaunan dan amalan kewangan di sekolah untuk membolehkan calon mengurus hal-hal kewangan sekolah daripada segi pengurusan dan perakaunan kewangan sekolah, dan (b) mengoptimumkan kedudukan kewangan sekolah termasuk menjana pendapatan di peringkat sekolah.

Penilaian berdasarkan tugasan dan/atau peperiksaan.

 

PXGP6110

Aspek Perundangan Dalam Pendidikan dan Pengurusan Sekolah

(Legal Aspects of Education and School Management)

Objektif : Kursus ini bertujuan untuk membolehkan calon (a) memahami perkembangan perundangan bersabit dengan pendidikan agar mereka memahami kedudukan dan perkembangan pendidikan dan sekolah dari segi undang-undang, dan (b) memperkenalkan calon kepada aspek-aspek perundangan yang berkaitan dengan pengurusan sekolah, untuk membolehkan mereka menangani pelbagai masalah pengurusan sekolah yang mempunyai implikasi undang-undang.

Penilaian berdasarkan tugasan dan/atau peperiksaan.

 

PXGP6111

Teknologi Maklumat Untuk Pengurusan dan Pengajaran

(Information technology for Management and Instruction)

Objektif : Objektif kursus ialah memperkenalkan calon kepada teknologi maklumat dan telekomunikasi untuk membolehkan mereka (a) menggunakan Teknologi Maklumat dalam pengurusan sekolah, serta (b) mengoptimumkan penggunaan Teknologi Maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Penilaian berdasarkan tugasan dan/atau peperiksaan.

 

PXGP6112

Kepimpinan dan Penyeliaan Pengajaran di Sekolah

(School Leadership and Instructional Supervision)

 

 Objektif : Kursus ini bertujuan untuk membolehkan calon (a) memahami konsep dan teori penyeliaan pengajaran dan perkembangan profesional guru, dan (b) membekalkan calon dengan kemahiran-kemahiran asas yang diperlukan dalam penyeliaan pengajaran dan pengembangan guru di peringkat sekolah.

Penilaian berdasarkan tugasan dan/atau peperiksaan.

 

PXGP6190

Projek Pengurusan

(Management Project)

 Projek Pengurusan merupakan kursus wajib bagi semua calon. Calon dikehendaki mengenal pasti satu tajuk dalam bidang kepengetuaan sekolah untuk dikaji sebagai satu projek kecil, dan menghasilkan satu Projek Pengurusan di bawah penyeliaan seorang penyelia. Projek Pengurusan akan mengandungi antara 15,000 sehingga 18,000 perkataan) tidak termasuk lampiran).

Contoh berikut adalah beberapa tajuk atau bidang kepengetuaan sekolah yang boleh dijadikan sebagai Projek Pengurusan. Tajuk atau bidang ini merupakan pencetus idea sahaja. Setiap tajuk dan bidang perlu diperhalusi bagi tujuan menjalankan projek. Contoh tajuk di bawah adalah untuk memberi gambaran tentang luasnya skop dan kaedah untuk sesuatu kajian atau isu dalam bidang kepengetuaan sekolah.

 

 

KURSUS-KURSUS PILIHAN

PXGP6301

Isu-Isu Dalam Pendidikan dan Pengurusan Sekolah

(Issues in Education and School Management)

 

Objektif : Kursus ini bertujuan untuk (a) membincang dan membuat penilaian kritis terhadap isu-isu semasa yang dihadapi pengetua di masa kini, dan (b) menggabungkan pengetahuan daripada teori dan bahan tertulis dengan pengetahuan melalui pengalaman individu-individu tertentu, untuk membantu mereka menghadapi dan menangani masalah yang dihadapi dalam pengurusan sekolah.

Penilaian berdasarkan tugasan dan/atau peperiksaan.

LAIN-LAIN KURSUS PILIHAN YANG MUNGKIN DITAWARKAN DARI MASA KE SEMASA

 

 

Lampiran 1

 

 

Kod Kursus

Nama Kursus

Jam Kredit

Jumlah

 

Semester I

   

PXGP6101

Asas Pengurusan Sekolah

3

 

PXGP6102

Asas Kepimpinan Sekolah

3

 

PXGP6103

Penyelidikan dan Statistik untuk Pengetua

3

 

PXGP6104

Teori Pengurusan dan Kepimpinan Sekolah

3

 

PXGP6105

Kepengetuaan Sekolah Menengah di Malaysia

3

 

PXGP6106

Pengurusan Kurikulum dan Pedagogi

3

 
 

Jumlah Kredit Semester I

 

18

 

Semester II

   

PXGP6107

Pengurusan Sumber Manusia dalam Pendidikan

3

 

PXGP6108

Pengurusan Hal Ehwal Pelajar

3

 

PXGP6109

Pengurusan Kewangan dan Perakaunan Sekolah

3

 

PXGP6110

Aspek Perundangan dalam Pendidikan dan Pengurusan Sekolah

3

 

PXGP6111

Teknologi Maklumat untuk Pengurusan dan Pengajaran

3

 

PXGP6112

Kepimpinan dan Penyeliaan Pengajaran Sekolah

3

 
 

Jumlah Kredit Semester II

 

18

 

Semester Khas

   

PXGP6301

Isu-isu dalam Pendidikan dan Pengurusan Sekolah (Kursus elektif)

3

 

PXGP6190

Projek Pengurusan

3

 
 

Jumlah Kredit Semester Khas

 

6

 

JUMLAH

 

42

 

 

 

Hosted by www.Geocities.ws

1