LELAKI MELAYU TERAKHIR
Oleh Zaid Akhtar (Perempuan, November 2000)
MASIH adakah lagi lelaki Melayu yang mampu menjentik tangkai hatinya? 

Hati yang sememangnya tulus-safi, pernah setia mencintai, tetapi 

akhirnya punah luluh; tewas menghadapi ketentuan takdir yang tragis. 

               �Iman, cuba kautengok ni. Siapa pula yang minat aku? Lucunya!� jerit gadis itu.

               Nariman geleng kepala sambil memerhatikan Raihan membaca kad yang 

baru diterimanya setagal tadi. Kalau tidak silap, ini lelaki yang 

kelima dalam tempoh enam bulan. Malang tiada seorang pun yang berjaya.

Siapa pula yang bakal menjadi mangsa kali ini? 

Dia sendiri kadangkala tidak percaya, betapa sulitnya menempuhi 

alam perkasihan. Nasib kawannya inilah satu bukti jelas. Berkasih 

kemudian ditinggalkan. Natijahnya, kini gadis itu serik untuk berkawan 

dengan mana-mana lelaki lagi. Sampai bila?

               �Sampai mati?�

               Angguk. �Cukuplah yang sudah-sudah, Iman. Aku tak mahu berangan-angan pulang ke Malaysia lagi.�

               �Tak teringin pulang menjenguk saudara-mara kau di Terengganu? 

Berkelah di Sekayu, Taman Negara, Pulau Perhentian, Pulau Redang; 

atau mengintai penyu di Rantau Abang?�

               �Biarkanlah penyu terus menangis. Aku tak mahu cari calon suami orang melayu lagi. Fobia.�

               Dia mahu tergelak mendengar kalimat itu. Tetapi melihatkan wajah 

Raihan yang begitu bersahaja, dia harus menzahirkan simpati. Gadis 

ini sudah beberapa kali merana!

               Sambil menghirup kopi yang masih panas, Nariman sempat menjengah 

ke luar. Malam cerah. Bintang langsung tidak kenampakan. Suhu panas 

di dalam rumah memaksa mereka membuka tingkap. Angin Julai bertiup 

dari Laut Mediterranean sejuk memukul pipi.

               �Mana tahu akan hadir yang ketiga, mungkin yang terakhir � yang 

akan membawa kau pulang ke Malaysia,� Nariman lalu duduk di sebelah 

Raihan sambil mendakap sebiji bantal, di atas katil.

               Raihan menceber. Hobi Nariman yang satu ini - cukup tidak disukainya 

� bercakap soal masa depan dan lelaki pilihan. Dia cukup geram apabila 

Nariman sengaja menyebut-nyebut tentang keistimewaan Malaysia, keramahan 

orang-orang di sana yang dia sudah sedia maklum. Namun yang paling 

dibencinya perkataan �lelaki melayu�.

               �Anggaplah aku tiada apa-apa hubungan dengan alam melayu lagi. Noktah.�

               

               Nariman mengenali Raihan sejak kecil lagi. Kebetulan mereka berjiran 

semasa keluarga Raihan tinggal di Kuala Terengganu. Ahmad Tufail 

bapa Raihan asal Amman berkahwin dengan ibunya, Mashitah dari Kemaman 

semasa belajar di Mesir. Keluarga sebelah ibunya kurang berkenan 

dengan lelaki arab, tetapi bapanya tetap mahu mengikut isterinya 

pulang ke Malaysia, seterusnya menjadi pensyarah bahasa arab di 

KUSZA. Ketika Raihan berusia 10 tahun, ibunya meninggal dunia akibat 

tumor. Lantas bapanya membawa Raihan yang telah pun fasih berbahasa 

melayu pulang ke Jordan dan berkahwin dengan wanita tempatan dan 

menetap di Irbid. Sejak itu hubungannya terputus dengan Raihan. 

Namun selepas SPM, dia ditawarkan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran 

ke Jordan dalam jurusan sastera arab. Dan siapa menyangka kedua 

sahabat ini akan bertemu lagi, menuntut di satu universiti, malah 

tinggal serumah di Sweileh, 10km dari ibukota Amman.

               �Aku yakin kau akan kembali ke tanah asal ibumu. Tinggal dan menetap di sana.� 

               �Lantak engkaulah, Iman. Aku tak mahu kaucarikan untuk aku, dan 

aku sendiri � tak berharapkan sesiapa lagi. Pasrah pada takdir,�

 luah Raihan seraya menyambung pembacaan Al-Liss wa al-Kilab yang 

masih berbaki. Karya Naguib Mahfouz yang paling bagus katanya.

               

               Sejak menetap di Jordan, hanya sekali kira-kira lima tahun lepas 

mereka kembali menjenguk datuk neneknya di Terengganu. Layanan tidak 

seberapa daripada keluarga arwah ibunya antara penyebab Raihan dan 

Ahmad Tufail tawar hati untuk datang lagi. Kini, hanya pada bapanya 

dan ibu tirinya tempat dia bermanja. 

�Kalau boleh, aku tak mahu kita terpisah lagi. Jordan dengan Malaysia 

bukannya dekat. Han, aku rasa kau kena berusaha untuk balik juga ke Malaysia.�

�Maksud kau?�

�Kau kena cari juga lelaki melayu.�

Raihan tergelak besar.

               

               Nariman memang kenal Raihan luar dan dalam. Tiada orang yang paling 

dekat dengan Raihan selain dia. Dua kali sahabat karibnya itu kecundang 

dalam percintaan, maka dua kali jugalah Nariman menjadi pendengar 

yang paling setia. Banyak air mata gadis itu yang tercurah di bahu 

Nariman. Hanya Nariman yang tahu isi hatinya. Bahkan Nariman cukup 

sedar betapa dalamnya kasih Raihan terhadap dua pemuda yang pernah 

hadir dalam hidupnya. Betapa parahnya luka yang ditanggung bahana lelaki � kedua-duanya melayu.

               

               �Anggaplah Mustaqim adalah lelaki melayu terakhir hadir dalam hidupku.�

 Itu lafaz Raihan enam bulan lalu. Kala itu, kekecewaannya baru sahaja pulih untuk kali kedua.

               Mustaqim memang lelaki baik. Mereka bertemu pertama kali di Mina 

semasa mengerjakan haji. Nariman masih ingat, dia dan Raihan terpisah 

daripada kumpulan mereka sewaktu melontar malam 10 Zulhijjah di 

Jamratul Aqabah. Orang terlalu ramai yang mahu melakukan tahallul 

awal. Lebih suku jam mereka berdua terperangkap di tengah kesesakan 

jemaah tanpa menjumpai jalan keluar. 

Entah bagaimana, Raihan tiba-tiba pitam dan hampir rebah ke bumi, 

tetapi sempat disambut oleh tangan sasa seorang lelaki. Andainya 

gadis itu terjerembap di situ, dia tidak dapat membayangkan bagaimana 

mungkin Raihan mati terpijak. Bagai seorang wira, lelaki bernama 

Mustaqim itu muncul tepat pada masanya. Setelah Raihan pulih, mereka 

berdua dibawa menemui ahli-ahli kumpulan yang telah lama menunggu. 

Rasa terhutang nyawa dengan kejadian itu, Raihan menghadiahi Mustaqim 

sehelai jubah sekembalinya mereka dari Tanah Suci. Sejak itu, persahabatan 

terjalin, dan bibit-bibit kasih pun bertunas perlahan-lahan. Berbunga dan mulai mewangi.

               

               �Iman, aku nak ke Aqabah esok.�

               Selepas kuliah petang itu, Nariman ditegur oleh Mustaqim di pintu 

kuliah. Lelaki itu nampak tergesa-gesa, tetapi wajahnya tetap tenang 

seperti biasa. Sebagai teman serumah, telah banyak masalah pasangan 

ini yang diselesaikannya. Mustaqim tahu itu.

               �Tolong tengok-tengokkan Han sepanjang aku tiada.�     

�Kausewa kereta?�

               Wajah damai Mustaqim bertukar merah. Angguk. Mereka berdua sedar 

Raihan cukup marah kalau dia tahu lelaki itu menggunakan kereta 

sewa. Mustaqim meletakkan telunjuknya di bibir - tanda rahsia.

               �Tolong jaga dia, Iman. Aku � aku �.� Mustaqim begitu akas berlalu, 

menggantungkan kata-katanya di situ. Langkahnya hilang ditelan puluhan 

pelajar yang mundar-mandir di depan kuliah.

               Esoknya, seluruh Jordan gempar dengan kematian empat orang pelajar 

Malaysia dalam nahas jalan raya berhampiran pantai peranginan Aqabah. 

Raihan hampir pengsan di depan kaca televisyen sewaktu mendengar berita itu.

               �Sabar Rin, anggaplah ini ujian.�

               �Aku tak sangka dia pergi begitu cepat.� Nariman terpaksa memapah 

               Raihan yang longlai selepas melihat jenazah Mustaqim kala memberi 

penghormatan terakhir di Lapangan Terbang Antarabangsa Permaisuri 

Alia. �Mengapa kau tak larang dia, Iman?�

Tiga hari Raihan demam panas dan meracau-racau dalam tidur. 

 

�Anggaplah Mustaqim adalah lelaki melayu terakhir hadir dalam hidupku.�

 Kata-kata Raihan itu masih bermain di deria Nariman. Nama Mustaqim 

masih basah di ingatan sahabatnya �terus menjadi sebutan. Jelaslah, 

gadis ini begitu mengasihi yang pertama.

Sesudah kepergian Mustaqim, heboh orang memperkatakan tentang kekasih 

arab kacukan melayunya yang ditinggalkan. Nama Raihan serta merta 

kerap menjadi sebutan. Dia mulai rimas dengan perhatian berlebihan 

sebegitu. 

 

               Ketika itu datang Wardi cuba mengetuk pintu hati perawan 

itu. Bezanya dengan Mustaqim, lelaki yang seorang ini terlalu berani. 

Melalui surat, Wardi cuba melamar Raihan yang kala itu baru enam 

bulan kehilangan Mustaqim, malangnya tiada balasan.

Akhirnya, Wardi menahan mereka berdua semasa berjalan pulang betul-betul 

di hadapan pejabat pos universiti. Nariman yang sentiasa menemani 

Raihan hanya mendengar sahaja, dan berganjak sedikit ke belakang. 

Tetapi apa yang mereka tuturkan masih jelas kedengaran. Raihan dilihatnya 

tersipu-sipu, sementara Wardi mencari kekuatan bersuara. Bagai drama 

pula lagaknya apa yang berlaku di depan mata.

 

�Aku tahu aku tidak layak, tapi berilah jawapan. Usah biar aku jadi 

bodoh seperti �Antarah yang menanti-nanti �Ablahnya.� Dalam mengharap 

begitu, Wardi masih sempat mengungkap bidalan ciptaannya. Nariman 

yang berdiri di sebelah Raihan serasa mahu tergelak gelihati. Ah, 

siapa yang tidak pernah mendengar tentang hikayat penyair Zaman Jahiliyah itu? 

 

               Hati Raihan sebenarnya berat untuk menerima, tetapi lelaki yang 

seorang ini agak banyak persamaannya dengan Mustaqim. Pandai mengambil 

hati, penyabar, dan paling menarik kepekaannya. Tidak ramai orang 

memiliki kesedaran politik sejagat yang tinggi sepertinya!

�Arafat adalah hero yang harus dimatikan segera wataknya, jika Palestin 

mahu segera bebas merdeka dalam erti kata yang sebenar. Si tua berigal 

itu banyak menghalang usaha jihad,� tegas Wardi dalam satu debat 

yang dianjurkan mahasiswa melayu di sini sebelum itu.

 

�Aku setuju bersahabat dengan kau, dengan syarat�.� Raihan memandang 

para pelajar yang keluar masuk di pintu utama bangunan HEP itu. 

Ada yang hairan melihat mereka berdua berbual sambil berdiri dalam 

jarak satu setengah meter. Tidak ramai yang tahu dia berdarah campuran.

�Bersyarat?�

Raihan mengangguk. Cuba berselamba. Bayu musim semi memukul tudung labuhnya. 

�Jangan sekali sewa kereta,� luahnya sebelum berlalu. Nariman semacam tidak percaya.

Cuma setahun, keindahan musim bunga itu berakhir juga. Segalanya 

berlaku begitu pantas dan tidak dijangka. Keluarga Wardi yang masih 

berfahaman feudal dan menjaga status, menghalang hubungan. Lelaki 

yang kelihatan sederhana, rupanya berdarah raja; dipanggil pulang 

ketika cuti musim panas, seterusnya segera dikahwinkan dengan pilihan keluarga.

Kasihan sungguh. Paling tidak dilupainya, Raihan hampir separuh 

hari menangis di kamar selepas mereka terserempak dengan Tengku 

Wardi dan Raja Mahirah Sara yang baru bergelar pengantin baru berpimpinan di kampus.

               

               Memang sudah tiada jodoh. Dua impian cintanya musnah: dalam tragedi dan 

 �Iman, kau sajalah kahwin dengan arab. Boleh menetap di Jordan 

sampai bila-bila. Kita pun tak payahlah berjauhan lagi,� ujar Raihan. 

�Sepupu aku di sini pun ada yang bertanyakan kau.�

               Nariman berasa gelihati. Raihan memang seorang yang berterus-terang, 

berbeza dengan dirinya yang suka berahsia. Banyak rahsia peribadinya 

yang tidak diketahui Raihan meskipun mereka begitu rapat. Dia cekap 

menyimpannya dan memendam perasaan itu di sanubari. Tidak pernah 

terluahkan, ditambah sikap Raihan sendiri yang tidak suka bertanya 

dan mendesak. Malah, kalau ditanya sekalipun, dia lebih banyak menukar topik.

               �Aku dah berpunya, Han,� bisiknya dalam hati. Spontan ingatannya 

terus kepada satu nama - Najmi.

               Dia mulai mengenali Najmi sejak di tahun satu. Mereka satu universiti, 

namun tidak pernah bertegur sapa. Bermula sebagai peminat karya 

lelaki itu, sebelum tiba-tiba sahaja Najmi menitipkan bingkisan 

pertama yang padat-ringkas, kekal dihafaznya hingga kini:

               Kelembutanmu cerminan ketulusan hati. Keinginan untuk menghulurkan 

salam taaruf ini telah lama ada. Namun keraguan inilah yang sering 

bertanya, siapakah aku di matamu?

Masakan dia boleh melupai kalimat sulung itu. Dan kini setelah setahun 

hubungan terjalin, Nariman semakin bersemangat dan yakin. Najmi 

adalah yang pertama dan terakhir.

               

               Bunyi jam berdenting dua belas kali menghempas lamunan Nariman 

ke lantai. Raihan dilihat masih ralit dengan novelnya, sedang dia 

sejak tadi menerawang entah ke mana, masih berbaring di tilam. Khayalan, 

sering melalaikan, detik hatinya.  

�Eh, mana kad yang kaudapat tadi Han? Bawa sini, biar aku baca.�

�Puitis tulisannya, Iman. Kasihan. Agaknya lelaki melayu ni tak kenal lagi siapa aku.�

Raihan bangkit dan mengambil sekeping kad ucapan di dalam laci.

�Solat istikharahlah dulu. Mana tahu ini yang terakhir,� saran Nariman. Harapnya tiadalah yang keenam.

 

               Raihan mencebik sebelum mereka sama-sama tergelak kecil. Nariman 

menatap wajah bening Raihan. Kulit putih melepak, kening sederhana 

tebal, mata biru, dan bibir penuh. Ada iras-iras Nawwal Zoughbi 

penyanyi Lubnan yang sering dilihatnya di televisyen. Memang cantik. 

Tidak hairanlah begitu ramai lelaki yang mahu memiliki.

Kad berlukisan jambangan bunga telukis bertukar tangan. Apabila 

dibuka, aroma harum lekas terhidu. Cukup cantik. Kalimatnya tertulis 

dalam bahasa arab, dicoret dengan tulisan khat Kufi. Tentunya pengirimnya 

seorang lelaki berseni. Dia mulai membaca:

               

               Kelembutanmu cerminan ketulusan hati. Keinginan untuk menghulurkan 

salam taaruf ini telah lama ada. Namun keraguan inilah yang sering 

bertanya, siapakah aku di matamu?

Nariman terpempan. Matanya terbeliak. Sendi lututnya seakan longgar. 

Raihan yang di sisinya bagai tiada. Dalam hatinya, perlahan-lahan dia menyimpul geram. 

�Najmi, engkau kejam!�



size="3">
HOME
Hosted by www.Geocities.ws

1
Hosted by www.Geocities.ws

Hosted by www.Geocities.ws

1