Berita Harian, 12 Januari, 2005 (BH SENTRAL) PENGGUNAAN JALUR LEBAR TERHAD Oleh Khairul Anuar Abdul Samad PENUMPUAN hanya kepada kawasan elit selain tahap pendidikan yang rendah mengenai penggunaan jalur lebar adalah antara ciri yang dikenal pasti boleh melambatkan perkembangan jalur lebar di negara ini. Perunding Bebas Pengurusan Pengetahuan, Nik Zafri Abdul Majid, berkata sebenarnya masa depan jalur lebar negara amat cerah sekiranya ia berjaya dilaksana serta dikembangkan ke seluruh negara. Beliau yang banyak membuat kajian mengenai teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) berkata, buat masa kini jalur lebar termasuk WiFi hanya terikat kepada pengguna tertentu dan terhad kepada kawasan bertaraf elit saja seperti zon Segi Tiga Koridor Raya Multimedia (MSC) iaitu Cyberjaya, KLIA dan KLCC (juga terhad di bistro-bistro eksklusif seperti Starbucks, San Francisco Coffee, Dome dll yang setaraf dengannya) "Ini satu perkembangan yang kurang sihat kerana matlamat penggunaan jalur lebar adalah untuk sejagat atau perlu menembusi sehingga semua tahap pengguna, termasuk di kawasan luar bandar," katanya. Nik Zafri berkata, pendidikan juga penting dalam meningkatkan penggunaan jalur lebar yang bukan hanya menerusi iklan hotspot semata-mata tetapi lebih kepada kegunaan dan prospek jalur lebar mengikut demografi, ekonomi, aplikasi dan sebagainya. Katanya, ketika zaman ledakan siber akhir 90-an dulu, kerajaan membuat kempen besar-besaran mengenai teknologi IT, malangnya hasilnya kini tidak begitu mencapai sasaran yang sepatutnya. Malah ramai pengusaha ICT dan e-dagang Malaysia mengalami kegagalan. "Adalah diharapkan kenaikan tahap teknologi dari berwayar seperti ISDN, dial-up dan sebagainya kepada tidak berwayar iaitu jalur lebar & Wi-Fi atau Wi-Max dapat diselaraskan menjadi program lanjutan atau program yang berkesinambungan dalam menjayakan penggunaan jalur lebar ini," katanya. Beliau berkata, beberapa isu perlu diatasi untuk menjayakan jalur lebar ini, antaranya isu seperti liputan sebagaimana yang dihadapi pembekal perkhidmatan telekomunikasi selular selain permasalahan membabitkan beberapa kontraktor bertauliah jalur lebar yang tidak mendapat segmen pasaran sekata. "Sekiranya beberapa faktor (asas) berkenaan gagal untuk diatasi, agak sukar untuk penduduk luar bandar menikmati peluang penggunaan internet jalur lebar," katanya.