Melihat, Memandang, Menengok, ...
oleh
Sesungguhnya, bahasa Melayu kaya cukup luas kosa katanya. Sebahagian daripada kosa kata itu pula dikatakan mempunyai makna yang sama atau hampir sama. Dalam erti kata lain, perkataan-perkataan ini dianggap sebagai sinonim. Dalam sekian banyak kosa kata itu, ada yang berkaitan dengan lima panca indera kita, iaitu deria bau, dengar, lihat, rasa, dan sentuh.
Dalam kehidupan seharian kita, banyak perkara yang kita lakukan adalah yang melibatkan indera penglihatan. Tegasnya, kita menggunakan mata untuk melakukan pelbagai perbuatan. Kalau diteliti kosa kata bahasa Melayu, memang terdapat banyak perkataan yang memerihalkan deria lihat, iaitu hal yang melibatkan mata. Maksudnya, perkataan-perkataan ini menghuraikan cara mata digunakan untuk melakukan sesuatu perkara. Lazimnya, kata-kata ini digunakan untuk memerihalkan perkara-perkara yang dilakukan dengan mata seperti memandang, melihat, dan menengok.
Makalah ini akan cuba meninjau beberapa banyak perkataan sedemikian yang terdapat dalam bahasa Melayu. Perkataan-perkataan ini, diteliti maknanya untuk menentukan sama ada perkataan-perkataan ini boleh termasuk golongan sinonim atau sebaliknya, berdasarkan penggunaan perkataan-perkataan tersebut dalam pertuturan dan penulisan di kalangan masyarakat kita.
Mula-mula disenaraikan dahulu beberapa perkataan yang ada hubung kait dengan deria penglihatan dan serta makna seperti yang dientrikan dalam kamus di bawah.
|
Perkataan |
Makna dalam kamus |
|
melihat |
Memandang (menengok, menonton, dll) dengan menggunakan mata |
|
menengok |
Pergi atau datang hendak melihat (mengetahui), melihat pertunjukan dll, menonton, memandang, melawat, menjenguk, menilik, meramalkan, berjumpa, bertemu |
|
memerhati |
melihat, (memandang, menengok) dengan teliti, mengamat-amati |
|
memandang |
Menggunakan mata untuk mengetahui, melihat seraya mengendahkan, memperhatikan, mengamati |
|
meninjau |
Memerhatikan (melihat-lihat) sesuatu dari tempat yang tinggi atau dari jauh |
|
Menjenguk |
Melihat (memandang) dengan menghulurkan kepala ke hadapan atau dengan membongkok, menjengah |
|
Menjeling |
Memandang dengan ekor mata, mengerling |
|
Menonton |
Menengok (pertunjukan, wayang gambar, dll) |
|
Mengamat-amati |
Memerhatikan benar-benar, meneliti dengan teliti; meneliti, mengawasi |
|
Merenung |
Memerhatikan dengan teliti, menatap |
|
Menjelau |
Menjenguk |
|
Memantau |
Menengok, melihat, menjenguk |
|
Menjingau |
Menjenguk |
|
Mendongak |
Memandang (menoleh, menengok) ke atas |
|
Melihat |
Memandang (menengok, menonton, dll) dengan menggunakan mata |
|
Melongok |
Menengok, menjenguk |
|
Menjengah, |
Melihat (menengok) dengan menghulurkan kepala |
|
Menatap |
Memerhatikan dengan teliti, memandang dengan bersungguh-sungguh; memandang, merenung, merenungi |
|
Mendengik |
Memandang dengan mengeluarkan kepada ) di jendela dsb), menjenguk |
|
Menyambangi |
Mengunjungi, menjenguk |
|
Meneropong |
Melihat dengan teropong |
Seterusnya, perhatikan penggunaan perkataan-perkataan yang berkaitan dengan deria penglihatan ini dalam ayat-ayat seperti yang berikut.
1. Ketika hujan turun lebat, kami melihat seluruh kampung itu dihanyutkan oleh arus sungai yang deras.
2. Mata sanak-saudara itu memandang lalu mengalirlah air mata mereka.
3. Pegawai-pegawai kementerian akan mengunjungi sekolah itu untuk memantau perjalanan peperiksaan di sekolah itu.
4. Ahli-ahli akiologi terpaksa meneropong peta lama itu untuk mengenal pasti aksara yang digunakan di dalamnya.
5. Ibu sempat menatap wajah anak-anaknya sepuas-puasnya sebelum menghembuskan nafas terakhir.
6. Guru besar menjenguk ke dalam bilik untuk mengetahui punca keriuhan.
7. Pasukan polis diarahkan untuk mengamati gerak-geri semua orang yang berhimpun di perhimpunan itu.
8. Ketika gadis kecil molek itu masuk ke dalam pejabat itu, semua pekerja menjelingnya.
9. Petani itu sentiasa mendongak ke langit kerana awan-awan gelap sudah mula berkumpul di langit.
10. Anak-anak saya selalu suka menonton filem kartun.
Persoalannya sekarang, bolehkan kata-kata deria ini boleh ditukar ganti dalam ayat-ayat di atas? Marilah kita cuba menggantikannya. Perhatikan contoh-contoh di bawah.
11. Ketika hujan turun lebat, kami memandang seluruh kampung itu dihanyutkan oleh arus sungai yang deras itu.
12. Mata sanak-saudara itu melihat lalu mengalirlah air mata mereka.
13. Pegawai-pegawai kementerian akan mengunjungi sekolah itu untuk menonton perjalanan peperiksaan di sekolah itu.
14. Ahli-ahli akiologi terpaksa menatap peta lama itu untuk mengenal pasti huruf-huruf yang digunakan di dalamnya.
15. Ibu sempat mengamati wajah anak-anaknya sepuas-puasnya sebelum menghembuskan nafas terakhir.
16. Guru besar menjeling ke dalam bilik untuk mengetahui punca keriuhan.
17. Pasukan polis diarahkan untuk meneropong gerak-geri semua orang yang berhimpun di perhimpunan itu.
18. Ketika gadis itu masuk ke dalam pejabat itu, semua pekerja menontonnya.
19. Petani itu sentiasa menjenguk ke langit kerana awan-awan gelap sudah mula berkumpul di langit.
20. Anak-anak saya suka memantau filem kartun.
Seperti yang dipaparkan dalam contoh-contoh di atas, bukan semua kata deria penglihatan boleh ditukar ganti dalam ayat-ayat di atas. Ada yang menjadi kurang tepat dari segi makna. Misalnya, bolehkah perkataan melihat diganti oleh memandang dalam ayat 1? Atau, dapatkah perkataan menatap ditukar dengan mengamati dalam ayat 5? Demikian juga dapat perkataan menjenguk diganti dengan menjeling dalam ayat 6? Tentunya kurang tepatlah perkataan kalau dilakukan sedemikian. Setiap perkataan dikatakan ada nilai rasa sendiri dan menjadi tepat kalau digunakan dengan betul seperti yang didukung maknanya.
Perbincangan dalam makalah ini menunjukkan bahawa dalam bahasa Melayu memang terdapat perkataan-perkataan khusus untuk memerihalkan perlakuan yang dilakukan dengan mata kita. Umpamanya, kalau dilihat ke atas, kata mendongak digunakan, manakala ketika menyaksikan sesuatu pertunjukan, kata menonton digunakan. Demikian juga kalau dilihat dengan ekor mata kita, perkataan mengerling menjadi pilihan. Seperti yang ditunjukkan dalam jadual di atas dan contoh ayat, nyata bahawa kata-kata indera penglihatan walaupun kelihatan bersinonim, namun bukan semua perkataan ini boleh digunakan secara bertukar ganti dalam ayat. Hal ini pun sudah dikupas sedikit sebanyak dalam tulisan ini. Demikianlah beberapa pandangan tentang aspek makna dan penggunaan kata-kata yang memerihalkan indera lihat.