Tarian Balai adalah sejenis tarian daerah yang cukup terkenal di Terengganu. Tarian ini ditarikan oleh gadis-gadis kampung dengan gerakan simbolik seperti gerakan pesawah padi. Mereka menari sambil mengelilingi balai iaitu sejenis payung panjang yang dihias dengan warna-warni dan diletakkan di tengah-tengah gelanggang. Balai mungkin merupakan simbol pemujaan semangat padi.
Ketika tarian dipersembahkan alat-alat persawahan seperti cangkul, kepi, terendak, tampi dan lain-lain lagi dibawa bersama. Sementara itu alat muzik yang mengiringi tarian ini hanyalah dua buah gendang dan sebuah gong. Penari-penari akan menari sambil menyanyikan rangkap-rangkap pantun mengenai sawah padi misalnya :
Merumput padi bermain balai
semua Pak Tani bersuka ria
mengulit padi lemah gemalai
mendapat hasil berlipat ganda. (nyanyian beramai)
Bila tanah selesai di gembur
marilah kita mula menabur
menabur padi bersuka ria
buat makanan esok dan lusa
(sebuah daripada pantun tarian balai)