<BGSOUND SRC="mymelody.mid" LOOP=INFINITE>
Mawar Hati (VII)
(Bahagia Bukan Untuk Seketika)

bagai berpencak langkah sumbang
segalanya nampak kecil dalam genggaman
ketika wirid melagukan rentak tahmid
terhunus sebilah parang tajam belakang
lantas membelah hati yang sasau merayau
menjadi gila keranamu -

mawar lambang kasih berpanjangan.

andai dirimu di puncak dunia
pandanglah aku yang terus merangkak merayap
dari lorong ke terowong penuh liku
semata-mata mencari ribuan raja kertas
biar lemas asalkan nalurimu memahami
namun ku sedikit terlewat menambat jiwamu -

mawar terlalu berseri di jambatan sutera.

sekian lama arah haluanku terhenti
nadi dan naluri terhiris tanpa darahnya
kerana pada nukilan yang satu ini
senyum tawa pilu tangismu bersamaku
dariku yang jahil dan dayus mengenal cinta
namun ku gembira dirimu bahagia -

mawar musnahkanlah segala kenangan.

tidak mungkin berarak mega penuh dendam
di sebalik sebak membungkam jiwa tetap berpesta
kerana dirimu kini bernafas baru
padamu mawar ingin ku luahkan
ku terhutang sebutir permata berharga
terimalah ini ku pulangkan kembali
'Mawar Hati'... 'Mawar Hati'... 'Mawar Hati'...

mawar hati satu dalam sejuta.

antara impian dan harapan
kuasa Tuhan Maha Menentukan
episod ini ku harapkan berakhir
padamu izinkan puisiku mententeramkan sukma
mawar lambang kasih berpanjangan
mawar terlalu berseri di jambatan sutera
mawar musnahkanlah segala kenangan
mawar hati satu dalam sejuta



Coretan :
Awangku Khairil bin Awangku Shamsuddin,
Ayer Keroh, Melaka
(8 April 2005)
Hosted by www.Geocities.ws

1