|
Kalau ada yang tanya kenapa saya memilih filem ini, jawapannya mudah je... Saya seolah-olah watak Joker yang dipegang oleh Rishi Kapoor (Joker waktu kecil) dan Raj Kapoor (Joker dewasa) dalam filem ini. Kenapa ??? Sebab satu persamaan iaitu saya suka menggembirakan semua orang tapi sebenarnya hanya Allah Yang Maha Tahu perasaanku sendiri yang sukar untuk merasai kegembiraan...
"Mera Naam Joker" yang mula menemui penonton pada tahun 1970 adalah karya terbaik Raj Kapoor selain pembabitannya dalam Aag mahupun Sangam. Filem ini menceritakan bagaimana Rajoo yang berusaha mengikuti jejak langkah bapanya menjadi Joker terkenal. Meskipun tidak direstui oleh ibunya, Rajoo bertegas untuk menjadi Joker kerana baginya kebanyakan manusia di dunia ini berada dalam keadaan sedih dan tidak ceria.
Sikapnya yang ingin melihat semua orang gembira membawanya ke dalam konflik hati dan perasaan. Sejak di alam persekolahan, Rajoo telah menyukai seorang gurunya, Mary (lakonan Simi Garewal). Namun Mary kemudiannya berkahwin dengan David (Manoj Kumar). Ini sekaligus menghancurkan hati seorang yang masih dianggap kanak-kanak oleh David sehingga ianya dibawa ke alam dewasa.
Saat yang paling menyentuh hati saya ketika Rajoo masih kanak-kanak ialah apabila dia koyak seluar dan apabila ditanya oleh Mary "Kenapa tidak beli yang baru ?". Jawapan yang diberi oleh Rajoo iaitu "Saya seorang yang miskin" benar-benar menyentuh hati selain ketika dia dibuang sekolah kerana kesalahannya menjadi seorang Joker di tepi jalan.
Seterusnya Rajoo meningkat usia dan terbabit sekali lagi dengan konflik cinta apabila jatuh hati dengan seorang gimnastik Soviet yang menyertai kumpulan Gemini Circus. Wanita yang bergelar Marina (lakonan Ksiena Rabiankina dari kumpulan Bolshoi Ballet, Moscow) banyak menyedarkan Rajoo tentang pengorbanan, kesetiaan dan ketabahan mengharungi kehidupan. Di waktu ini Rajoo menganggap Marina mampu menjadi teman hidupnya namun segala-galanya hampa. Rajoo sanggup menjadi orang suruhan di dalam kumpulan Gemini Circus semata-mata untuk mengenali Marina dengan lebih dekat lagi... Sikap Rajoo yang suka menggembirakan anggota-anggota lain dalam Gemini Circus akhirnya membolehkannya menjadi seorang Joker. Namun, kesudahannya dalam kegembiraannya Rajoo terpaksa menelan kesedihan berseorangan.
Banyak babak-babak menyayat hati berlaku seperti Rajoo kehilangan ibunya serta kehilangan Marina yang terpaksa kembali ke Soviet. Di akhir kehidupannya, Rajoo sekali lagi berjumpa dengan seorang wanita yang awalnya disangka sebagai lelaki. Meenoo Master yang kemudiannya bergelar Meena (lakonan Padmini) menjadi wanita terakhir dalam hidup Rajoo sebelum mengambil keputusan bersara dari menjadi seorang Joker. Sikap Meena mula berubah setelah diperkenalkan kepada Kumar (lakonan Rajendra Kumar). Meena jatuh hati kepada Kumar sekaligus menambahkan lagi kedukaan di hati Rajoo.
Di saat-saat akhir kehidupannya bergelar seorang Joker, Rajoo telah menjemput kesemua mereka yang membawa sejuta erti dalam kehidupannya untuk menyaksikan pertunjukan terakhir Joker di gelanggang sarkas. Dengan lagu yang menyentuh hati iaitu "Mera Naam Joker", Rajoo berjaya melupakan segala masalahnya dengan menggembirakan semua penonton yang hadir.
Dari awal sehingga filem ini selesai, saya terlalu khusyuk menghayatinya sehingga terlupa air mata turut mengalir sepanjang menyaksikan cerita ini. Terpulanglah apa orang nak kata tetapi hakikatnya apa yang dipaparkan seperti yang saya alami. "Mera Naam Joker" atau "Nama Saya Joker" memang bagi saya sangat menarik untuk ditonton. Saya paling pelik ialah bila tidak pernah bosan meskipun sudah hampir 20 kali saya menonton filem ini. Saya bukan ingin mempromosi tetapi saya harapkan jika ada kelapangan, saksikanlah filem ini kerana kita akan kenal erti ketabahan dalam mengharungi liku-liku kehidupan.
|
|