<BGSOUND SRC="http://www.geocities.com/myril88/atlantis.mid" LOOP=INFINITE>
"Jilum"
(Istimewa buat golongan tua di rumah kebajikan)

Puisi ini asalnya mainan hati
tika langkah ku ke tapak itu mula mati
tak sanggup rasanya melangkah jauh ke dalam -
mata-mata tak bermaya
wajah-wajah yang telah hilang serinya
menyambut ketibaan ku yang sukar dimengerti
oleh mereka.

Sepintas lalu ku renung kehidupan mereka
sepi sentiasa mengundang dirinya
tiada teman pengubat rindu sanubari
celotehnya hanya pada gerak hati
seolah-olah mengharapkan sinar lama
datang bertandang kepadanya.

Di situ teman sebaya sentiasa bersama
kerabat jauh sekali di mata
sesekali hatinya dijentik riang
kunjungan insan yang sudi mampir
menyentap senyumannya
namun hanya seketika.

Pena di tangan ku tiba-tiba menjejak lantai
tak disedari pena ku mengerti perasaan ku
ku hampiri satu demi satu
pelbagai ragam mendekati jejak ku
menambah rasa pilu hati
bayang-bayang ngeri kembali mengganggu fikiran ku
bagaimana kalau aku di tempat mereka ?

Hidupnya tak pasti bila
pertarungan di situ mesti dihadapi
dari raut wajah tuanya
cukup menceritakan
sepi di hati hanya Tuhan yang mengerti
betapa tergamaknya mereka-mereka itu
membiarkannya terpenjara...





Coretan :

Awangku Khairil bin Awangku Shamsuddin
(Mukah : 24 Disember 2000)


Catatan :

"Jilum" merupakan istilah yang diambil dari bahasa Melanau Mukah yang sama maksudnya dengan "Sepi"...
Hosted by www.Geocities.ws

1