|
Jejak Merdeka
Mari menyusur ranjau Meredah denai-denai berlurah Mencalar kemilau sang alam Merobek rahsia-rahsia sejarah Episod merdeka kita.
Di bumi yang tandus Kita yang kian pupus Merencana dimensi dua persepsi Terangkum dalam kalimah diri... Suci.
Bermula satu episod gerhana Awan kelabu berarak lesu Laungan kamikaze gah bergema Meragut nafas dan maruah bangsa Di medan tanpa pembelaan Medan kita.
Nyata pada kaca mata kita Koloni barat tidak sehebat mana Union Jack mudah rebah Soldadu mentah bermuntah darah Itukah namanya pembela kita ?
Jendela mula terbuka Terungkap lembaran baru Seribu satu cerita Serpihan berdebu yang berselerak Kini tinggal sisa kenangan Yang berlalu penuh nostalgia.
Mewarnakan hari-hari kelam Perjanjian demi perjanjian dimetrai Lidah-lidah bertikam membela maruah Bebaskan Malaya dari penjajah Biarkan Malaya bertuan sendiri Tanpa dikompromi.
UMNO ! UMNO ! Bangkitlah Melayu Hidup Malaya ! Memecah suasana Dato' Onn dan Bapak Tunku (Abdul Rahman) Bersama wira-wira Melayu Tanpa jemu gah di medan perjuangan Selagi anasir tidak disingkir Selama itulah kta terus terpinggir.
Merdeka kita untuk kita Ayuhlah generasi-generasi pemangkin wawasan Bangkitlah dari fantasi mimpi-mimpiku Kembalilah menyusur sejarah Pewarna hidup kita.
Hampir berabad telah berlalu Zahirnya kita merdeka Batinnya kita terseksa Kemelut dijajah memberontak khayali Jiwa-jiwa muda Masih mentah dalam usia Merdekakan diri kita
MERDEKA ! MERDEKA ! MERDEKA !
Coretan :
Awangku Khairil bin Awangku Shamsuddin Bangi, Selangor (7 Ogos 1998)
|
|