Gendang Nobat merupakan sejenis gendang dua muka yang digunakan dalam ensemble Nobat Di Raja seperti yang terdapat di istana-istana raja di Selangor, Kedah, Perak dan Terengganu. Alat ini merupakan sebahagian daripada alat muzik di Raja dan telah didaulatkan sebagai objek seni yang mempunyai kedudukan yang begitu istimewa di kalangan istana. Alat ini diperbuat daripada kayu jenis keras yang terpilih dan pada kedua-dua permukaannya dipasangkan dengan belulang lembu. Ada juga yang berpendapat, Gendang Nobat di Raja yang terdapat di istana Kedah telah dipasangkan dengan belulang dari kulit harimau, untuk menghasilkan jenis suara sepertimana yang dikehendaki dan baluhnya diperbuat daripada kayu 'putat'.
Gendang Ibu - Nobat Di Raja Perak
Dalam konteks persembahan, Gendang Nobat telah disertakan secara berpasangan iaitu secara dikotomi, dikenali sebagai Gendang 'Ibu' dan Gendang 'Anak' bersama kayu pemukul khas yang diguna untuk menghasilkan bunyi pada permukaan besarnya. Ahli-ahli muzik dalam ensemble Nobat di Raja juga terdiri dari kalangan Istana. Dalam persembahan Paluan Nobat di Raja di istana Perak, ahli-ahli muzik dikenali sebagai 'Orang Kalau'. Mereka ini diketuai oleh Dato Setia Guna yang mempunyai kuasa secara mutlak terhadap segala istiadat berhubung dengan persembahan Nobat di Raja.
Gendang Anak - Nobat Di Raja Perak
Namun demikian, gendang dua muka yang terdapat dalam ensemble Nobat Di Raja di istana Terengganu telah mengalami perubahan yang begitu ketara, di mana baluhnya telah diperbuat daripada perak dan diperkuatkan dengan rangka juga daripada bahan perak. Skru digunakan sebagai alat penegang.
Kumpulan Nobat Di Raja Perak