|
Beliau
dilahirkan di Ayrshire, sebuah kampung perlombongan di
daerah Glenbuck Scotland. Pada tahun 1932 beliau telah
menandatangani kontrak sebagai pemain bolasepak profesional
dengan kelab Carlisle United. Pada tahun yang sama, beliau
berhijrah dan bermain dengan Preston North. Karier bolasepaknya
yang begitu gemilang yang memberi penghormatan kepadanya
menyarung jersi rasmi Scotland sebanyak tujuh kali terbantut
pada 1939 disebabkan oleh meletusnya perang. Apabila liga
bolasepak diteruskan semula pada musim 1946/47, Shankly telah
berusia 32 tahun dan berada ditahap-tahap akhir kariernya
sebagai seorang pemain. Namun begitu demi minatnya terhadap
bolasepak, beliau bertekad bahawa beliau akan menjadi seorang
pengurus bolasepak yang hebat pada tahun yang mendatang.
Apabila
Pengerusi Liverpool T.V Williams melantik Shankly sebagai
pengurus pada Disember 1959, Beliau telah menjadi menjadi
pengurus lebih dari sedekad dengan sedikit kejayaan. Beliau
memulakan kariernya sebagai pengurus dengan kelab yang telah
memberinya peluang berkecimpung di arena bolasepak profesional
17 tahun sebelum itu iaitu Carlisle United. Beliau juga pernah
menjadi pengurus Grimsby, Workington dan terakhir sebelum
menjadi pengurus Liverpool, beliau memimpin kelab Huddersfield
dimana beliau memberi peluang kepada Dennis Law yang berusia 16
tahun ketika itu memulakan karier pertama bolasepak
profesionalnya.
Amat malang,
Shankly sentiasa menghadapai masalah dengan pengurusan atasan
kelab-kelab yang dipimpinnya. Beliau dapati pihak pengurusan
tidak memberikan komitmen sepenuhnya kepada kelab seperti yang
beliau harapkan. Beliau menarik diri dari Carlisle dan
kemudiannya Grimbsy yang menyatakan bahawa mereka kekurangan
wang. Komitment dan kesungguhan Shankly telah menarik perhatian
T.V Williams yang memanggil beliau dan menemuramah beliau kerana
kekosongan jawatan di Liverpool pada tahun 1951. Naum begitu,
pada masa itu T.V Willams berpendapat Shankly bukanlah satu nama
yang gah untuk menerajui Liverpool ditambah dengan kekurangan
pengalamannya.
Shankly
telah diberikan penghormatan untuk menerajui Liverpool pada
tahun 1959.Kedudukan Liverpool FC pada ketika itu amat
menyedihkan. Bermain dalam divisyen dua dengan stadium yang
dimamah usia, kemudahan latihan yang amat daif dan tenaga pemain
yang tidak sehaluan. Cabaran yang dihadapi oleh Shankly amat
besar. Namun Shankly beruntung kerana beliau memiliki Bob
Paisley, Joe Fagan dan Reuben Bennet sebagai pembantu yang
berpengalaman. Kedatangan Shankly ke Liverpool pastinya menjadi
pemangkin kepada kebangkitan Liverpool pada tahun-tahun
mendatang. Bermula dengan perlahan, Shankly dan staff roomnya
telah berjaya mengubah wajah Liverpool selama-lamanya.
Kedatangan
penonton ke Anfield membuktikan hakikat ini. Pada setiap
perlawanan, segenap stadium Anfield akan dipenuhi oleh 40,000
penonton. Tidak lama selepas itu Liverpool bangkit kembali dan
dinaikkan kembali ke divisyen satu. Keagungan Everton di bandar
Liverpool berjaya disekat dan pada musim 1963/64, Everton
menyerahkan gelaran juara dan trophi liga juara divisyen satu
kepada jirannya Liverpool.
Padang
latihan di Melwood telah bertukar status kepada bertaraf dunia.
Shankly memperkenalkan permainan 5 sebelah yang biasa dimainkan
oleh pelombong-pelombong di kampung kelahirannya dulu. Beliau
memperkenalkan rutin baru pasukan di mana pemain akan berjumpa
dan bertukar pakaian di Anfield dan kemudiannya menaiki bas ke
padang latihan di Melwood.
Piala FA
pertama kali dimenangi pada 1965.Corak permainan yang
diperkenalkan oleh Shankly menjadi bualan di Eropah pada ketika
itu. Beliau juga amat popular dikalangan peminat-peminat
Liverpool. Beliau juga menerapkan sikap saling membantu sesama
pemain baik di dalam ataupun di luar padang.
Setelah
pasukan tahun 60an berada dizaman gerhana, Shankly telah
menampilkan pasukan baru yang lebih hebat. Nama-nama seperti
Hunt, St John, Yeats dan Lawrence dan kemudiannya menyusul
Keegan, Highway dan Clemence meniti dibibir peminat-peminat
Liverpool sepanjang masa. Kejayaan demi kejayaan diperolehi.
Trophi Eropah pertama dimenangi pada 1973 dan pada tahun yang
sama mereka menjuarai liga divisyen satu. Pada 1974 mereka
memenangi piala FA menewaskan Newcaste United.
Selepas
semua kegemilangan tersebut, satu berita mengemparkan meletus.
Shankly telah meletakkan jawatannya sebagai teraju utama
Liverpool pada musim panas Julai 1974. Shankly telah berusia 60
tahun dan beliau ingin menghabiskan masanya dengan keluarga.
Namun begitu beliau mewariskan Liverpool kepada tangan-tangan
yang berkemampuan untuk membawa Liverpool ke mercu yang lebih
gemilang.
Tidak
diragukan bahawa Paisley lebih banyak memenangi trophi dari
Shankly namun karisma dan daya kepimpinannya membina Liverpool
tidak boleh ditolak ketepi. Liverpool amat bertuah kerana
memiliki Shankly dan Paisley.
Bandar
Liverpool gempar dengan berita kematian mendadak Shankly pada
September 1981 kerana masalah jantung. Pada perlawanan pertama
selepas pengkebumiannya, penyokong Liverpool mengibarkan kain
pemidang bertulis ` Shankly Lives Forever`. Shankly dan
Liverpool merupakan dua watak yang tidak boleh dipisahkan.
|