Musuh Liverpool, Everton di tubuhkan pada tahun 1878 oleh John Houlding, ahli perniagaan tempatan yang kemudiannya dilantik sebagai Datuk Bandar Liverpool. Mereka mula bermain di Anfield Road, satu padang yang disewa daripada John Orell, seorang pembuat beer. Apabila Everton menjadi bertambah mantap, Houldin telah membina satu padang bola yang lebih lengkap di Anfield Road. Bagaimana pun disebabkan oleh satu perbalahan, kelab tersebut telah berpecah kepada dua kumpulan. Satu kumpulan mengambil keputusan untuk berpindah ke Goodison Park manakala Houlding dan beberapa yang lain memutuskan untuk kekal di Anfield Road dan memilih nama Kelab Bolasepak Liverpool. Rakannya, John Mckenna telah dilantik sebagai pengurus pertama. Mckeena telah pergi ke Scotland untuk membawa masuk pemain – pemain. Selepas setahun dibentuk, Mckenna memutuskan untuk memohon kepada FA England untuk bermain dalam kejuaraan liga.

Walaupun dinaikkan ke divisyen satu pada tahun pertama mereka dalam liga, namun Liverpool masih dibawah bayang-bayang musuh tradisinya Everton, dimana penduduk tempatan tidak berminat menyaksikan aksi Liverpool yang dibarisi oleh pemain-pemain dari Scotland. Mereka berhempas pulas dalam musim pertama mereka dan jatuh ke divisyen dua pada musim berikutnya. Mckenna bersumpah bahawa Liverpool akan kembali memberi cabaran dalam masa 12 bulan dan keazaman tersebut diterjemahkan dengan kejayaan mereka menjuarai divisyen dua tahun tersebut dan kembali dinaikkan ke divisyen satu. Kembali ke divisyen satu, mereka kali ini lebih cemerlang dan menghabiskan musim di tangga kelima, jauh lebih baik dari musuh mereka Everton.

Liverpool memenangi 2 kejuaraan liga selepas perang dunia pertama namun prestasi mereka telah merosot selepas perang dunia kedua walaupun menjadi naib juara piala FA kepada Arsenal pada tahun 1950. Mereka menduduki tempat terakhir liga pada musim 1953/54 dan jatuh ke divisyen dua. Selepas beberapa musim yang hambar, Bill Shankly tiba sebagai penyelamat. Beliau dilantik sebagai pengurus pada tahun 1959 dan dalam  masa empat belas tahun beliau telah mengubah Liverpool menjadi salah satu pasukan terkuat didalam liga. Dalam masa dua belas bulan pertama sebagai pengurus, beliau telah menjual dua puluh empat pemain. Pada musim 1963/64 mereka memenangi kejuaraan liga kali keenam dan tahun berikutnya memenangi piala FA dengan mengalahkan Leeds. Kecemerlangan ini diteruskan dengan satu lagi kejuaraan liga pada musim 1965/66.

Selepas tujuh tahun kemarau kejuaraan, Liverpool memenangi UEFA Cup pada musim 1972/73 diikuti dengan FA cup pada musim berikutnya. Selepas itu Shankly secara mengejut melepaskan jawatannya dan menyerahkan jawatan tersebut kepada pembantu kanannya, Bob Paisley. Paisley tidak menunggu lama untuk memenangi piala dan pada musim 75/76 beliau mengemudi Liverpool memenangi kejuaraan liga divisyen satu dan  UEFA Cup. Musim berikutnya mereka memenangi dua lagi piala iaitu liga divisyen satu dan piala Eropah dengan menundukkan Borussia Moenchengladbach dan muncul naib juara Piala FA tewas kepada Manchester United 2-1. Mereka muncul sebagai kelab British pertama mengekalkan piala Eropah dua tahun berturut-turut dengan mengalahkan FC Bruges 1-0 pada musim 1977/78. Dua kejuaraan liga divisyen satu secara berturut-turut dinikmati pada musim 1978/79 dan 79/80. 1981 satu lagi tahun gemilang buat Liverpool dengan memenangi piala Liga dan muncul juara piala Eropah buat kali ketiga menewaskan Real Madrid. Liverpool memenangi dua lagi kejuaraan liga divisyen satu pada musim 1981/82 dan 1982/83 sebelum Paisley mengundur diri. Dalam masa sembilan tahun menerajui Liverpool, Paisley telah memenangi  enam award sebagai pengurus terbaik .

Joe Fagan mengambil alih teraju utama pasukan dan pada musim pertama beliau Liverpool telah memenangi kejuaraan berganda iaitu Piala Liga, Divisyen Satu dan Piala Eropah dengan menumbangkan FC Roma di bumi Itali. Tahun berikutnya merupakan tahun malang bagi Liverpool dan kelab bolasepak Inggeris. Rusuhan meletus sewaktu perlawanan akhir piala Eropah antara Liverpool dan Juventus di Stadium Heysel mengorbankan 38 penyokong Juventus. Liverpool tewas dan lebih malang lagi kelab bolasepak Inggeris di larang menyertai kejohanan Eropah pada tahun berikutnya.

Kenny Daglish dilantik sebagai pemain/pengurus pada tahun 1986 dan memenangi kujuaraan liga divisyen satu dan piala FA pada tahun pertama beliau sebagai pengurus. 1988/89 merupakan tahun terburuk dalam sejarah bolasepak Liverpool. Dalam perlawanan separuh akhir piala FA menentang Nottingham Forest di Hillsborough, 96 peminat Liverpool terkorban apabila stadium menjadi begitu sesak dan ramai peminat yang terhimpit. Liverpool menang perlawanan tersebut dan mara ke final piala FA yang penuh emotional bertemu musuh tradisi dan jiran mereka Everton. Kedua-dua penyokong pasukan Liverpool dan Everton berpadu dan sama-sama menyanyikan lagu rasmi Liverpool `you`ll never walk alone` sebelum perlawanan dan bertafakur selama seminit sebelum perlawanan bermula. Liverpool menang perlawanan bersejarah ini 3-2 dengan dua gol minit-minit akhir oleh penyerang sensasi Liverpool Ian Rush. Daglish melepaskan jawatan pada tahun 1991.

 Ronnie Moran mengambil alih sebagai pengurus sementara sebelum kedatangan Greamme Souness pada bulan april. Beliau membeli beberapa pemain baru namun corak pengurusannya yang tegas menjadi tidak popular dikalangan pemain dan beliau gagal memenangi apa-apa piala pada tahun berikutnya. Kebanyakan masalah yang menghantui kelab hingga ke hari ini berpunca dari era Souness.

Roy Evans mengambil alih tampuk utama kelab dan pada tahun pertama beliau pada 1995 Liverpool memenangi piala FA. Walaupun beliau berjaya membina satu pasukan yang menarik yang berkisar disekitar pemain-pemain muda namun beliau gagal memenangi apa-apa trophi selepas itu. Pengurusan kelab dan peminat dahagakan kejayaan dan dengan itu pada tahun 1998, Pengurusan Liverpool membawa masuk Gerrard Houllier sebagai pengurus bersama Evans. Tugas bersama ini ternyata gagal dan selepas 3 bulan bermulanya musim baru, Evans melepaskan jawatannya dan mengakhiri tempoh 35 tahun penglibatannya dengan Liverpool.

Houllier membina kelab dengan membawa masuk beberapa pemain yang tidak terkenal. Beliau tidak mengendahkan kritikan media terhadapnya apabila corak permainan Liverpool lebih menjurus kepada bertahan. Beliau memenangi lima trophi pada musim 2001/02 dan layak kepertandingan Liga Juara-Juara.

Musim berikutnya menyaksikan Liverpool memberikan cabaran hebat dalam kejuaraan liga perdana serta  persembahan baik dalam kejohanan liga juara-juara dimana mereka mara ke suku akhir namun tewas kepada Bayern Leverkusen yang seterusnya mara ke final.

Masalah kesihatan yang dihadapi Houllier memberi peluang kepada pembantunya Phil Thompson mengendalikan pasukan sepanjang percutiannya. Pastinya latar belakang beliau dari `boot room Liverpool` membolehkan beliau  mengendalikan pasukan dengan baik sepanjang ketiadaan bossnya. Liverpool muncul naib juara kepada Arsenal dalam kejuaraan liga Perdana dan sekali lagi layak ke pertandingan liga juara-juara yang memberikan Houllier sedikit wang untuk dibelanjakan pada musim panas berikutnya.

Selepas bernasib baik layak ke pertandingan liga juara-juara musim 2004/05 dengan menduduki tangga keempat dibelakang Arsenal,Chelsea dan Manchester United, lembaga pengarah kelab memutuskan bahawa  perubahan perlu dibuat dalam pengurusan kelab. Rafael Benitez telah dibawa masuk dan Houllier bersetuju untuk keluar dari kelab yang dipimpinnya selama 5 tahun.

Benitez berjaya mengubah Valencia menjadi salah satu pasukan terkuat dalam liga Sepanyol . Satu usaha yang dilakukannya tanpa membelanjakan wang yang banyak atau membeli bintang-bintang ternama. Valencia memenangi liga Sepanyol dan UEFA cup mada musim 2003/04 . Pada musim pertama beliau memimpin Valencia beliau berjaya membawa Valencia memenangi Liga Sepanyol untuk kali pertama selepas 31 tahun.

Beliau membawa masuk ke Liverpool backroom staffnya sendiri yang menandakan berakhirnya khidmat Phil Thompson, Sammy Lee dan Joe Corrigan. Xabi Alonso, Josemi, Luis Garcia dan Antonio Nunez menandatangani kontrak dengan Liverpool bersama-sama Djibril Cisse yang telah pun bersetuju untuk datang setahun terdahulu. Corak Liverpool bertukar kepada menyerang kembali dengan umpanan bola yang pantas. Ini mengembirakan para penyokong setia Liverpool dan menjanjikan masa depan yang gemilang kepada kelab yang amat dahagakan kejayaan ini.

 

 

 

 

 

 
 
 
 

 
     

 

Hosted by www.Geocities.ws

1