|
|
|
Sehari selepas Phil Taylor melepaskan jawatannya sebagai pengurus Liverpool pada November 1959, berita perlantikan Bill Shankly sebagai pengurus baru diumumkan. Pada masa yang sama ahli lembaga pengarah kelab bolasepak Liverpool menyakinkan Bob Paisley bahawa kedudukannya sebagai jurulatih pasukan simpanan adalah selamat. Ini adalah permulaan kepada satu hubungan yang panjang. Paisley dengan cepat mewujudkan hubungan erat dengan boss baru Liverpool, satu ikatan yang membawa mereka memimpin Liverpool selama lebih dua dekad ke era kegemilangan. Paisley dilahirkan di Hetton-le-Hole di County Durham pada 23 Januari 1919. Bapanya Samuel seorang pelombong. Di zaman kecilnya, Paisley cemerlang dalam sukan bolasepak di sekolah. Pada peringkat awal di Barrington dan kemudiannya di Eppleton Senior Mixed. Paisley menyertai pasukan amatur Bishop Auckland pada permulaan musim 1937/38 dan beliau merupakan salah seorang anggota pasukan yang memenangi kejuaraan berganda iaitu liga Utara, Amatur Cup dan Durham Challenge Cup. Selepas itu prestasinya di bahagian bek kiri menjadi perhatian kelab Sunderland, kelab yang sebelum itu menolak Paisley yang ketika itu berumur 15 tahun dengan alasan sizenya terlalu kecil. Bagaimana pun Paisley telah menyatakan kesanggupannya untuk berkhidmat di bawah George Kay, pengurus Liverpool ketika itu. Pada 8 Mei 1939 beliau menandatangani kontrak dengan Liverpool. Apabila perang meletus pada tahun 1939, aktiviti bolasepak beliau juga terganggu dan pada bulan Oktober 1939 beliau telah dipanggil untuk berkhidmat sebagai tentera dan menghabiskan tempoh selama empat tahun di luar Britain. Apabila perang tamat dan liga bolasepak dimulakan kembali pada 1946/47 Paisley kembali menyarung jersi Liverpool. Namun tahun-tahun selepas perang menyaksikan kemerosotan pasukan Liverpool kecuali sekali sahaja layak kepertandingan akhir piala FA tahun 1950 namun tewas kepada Arsenal. Paisley yang kecewa kerana tidak diturunkan dalam final piala FA itu walaupun beliaulah yang menjaringkan gol penting dalam perlawanan separuh akhir menentang jiran mereka Everton, bertekad untuk meninggalkan Liverpool. Namun lama kelamaan beliau melupakan hasratnya dan meneruskan komitment bersama Liverpool. Kata Paisley :" Saya cukup kecewa dan jika ada tawaran pada masa itu, pasti saya akan terima. Namun pada musim panas saya memikirkannya secara mendalam dan berpendapat perkara seperti itu mungkin berlaku di tempat lain juga". Paisley tidak sahaja kekal bersama Liverpool malah beliau diberikan peranan utama sebagai ketua pasukan dan bermain dalam 41 dari keseluruhan 42 perlawanan bersama Liverpool pada musim berikutnya. Ia merupakan satu pengalaman dan pengajaran yang cukup berharga buat Paisley terutama di tahun-tahun mendatang dalam kariernya sebagai pengurus pasukan. Musim 1953/54 merupakan musim terakhir Paisley sebagai pemain. Liverpool akhirnya jatuh ke divisyen dua setelah beberapa musim kemerosotan. Paisley mempelajari ilmu Fisioterapi dan hampir meninggalkan bandar angkatnya itu untuk menceburkan diri di bidang perniagaan buah-buahan dan sayur-sayuran. Beliau bernasib baik kerana Liverpool menawarkan beliau jawatan sebagai jurulatih yang bertanggungjawab kepada pasukan simpanan. Beliau kekal di Anfield mengembangkan bakatnya dalam bolasepak walaupun kali ini sebagai jurulatih dan seterusnya menjadi pengurus paling berjaya dalam sejarah bolasepak Liverpool.
|