FALSAFAH PEMBANGUNAN KAPITALIS DAN MARXIS:
DUA FALSAFAH DALAM SATU PARADIGME

Muhammad Syukri Salleh
Projek Pengurusan Pembangunan Islam (IDMP)
Universiti Sains Malaysia
 

Secara kasar, pembangunan di dunia sekarang dibina dari dua falsafah yang dominan, yakni Falsafah Pembangunan Kapitalis dan Falsafah Pembangunan Marxis. Kedua-dua falsafah ini memakai perkaedahan Sains Sosial Barat kerana kedua-duanya merupakan warisan sejarah pengalaman Barat. Ia bermula dalam tahun 1945 di Eropah Barat, selepas Perang Dunia Kedua. Setelah mengalami kemusnahan dalam berbagai aspek dalam peperangan berkenaan, negara-negara Barat masing-masing berusaha memikirkan bagaimana mahu kembali membangun. Dari situlah maka lahirnya kedua-dua falsafah pembangunan ini.

Dari lingkungan Falsafah Kapitalis, atau secara akademiknya lebih dikenali sebagai Falsafah Pasca-Klasikal, lahirlah Teori Pertumbuhan dan kemudiannya Teori Pengagihan-Dengan-Pertumbuhan. Kedua-duanya menjadi teori dominan terutamanya sekitar tahun-tahun 1950han dan 1960han, malah berterusan hingga ke hari ini. Teori-teori ini juga dikenali juga sebagai Paradigme Modenisasi. Dari lingkungan Falsafah Marxis pula, atau secara akademiknya lebih dikenali sebagai Falsafah Radikal, lahirlah teori-teori Strukturalis dan Pergantungan yang tumbuh dari ideologi Marxis dan Pasca-Marxis.

Jadi secara kasar, terdapat empat teori pembangunan yang dominan, yakni Teori Pertumbuhan dan Teori Pengagihan-Dengan-Pertumbuhan dari lingkungan falsafah Pasca-Klasikal, dan Teori Strukturalis dan Teori Pergantungan dari lingkungan falsafah pembangunan Marxis dan Pasca-Marxis. Teori-teori Pasca-Klasikal melahirkan sistem pembangunan kapitalis, manakala teori-teori Marxis dan Pasca-Marxis pula melahirkan sistem pembangunan sosialis dan komunis.

Teori-teori yang lahir dari Falsafah Pasca-Klasikal percaya kepada perdagangan bebas, hak-milik bebas, kuasa pasaran, tingkat-tingkat pertumbuhan, dan sebagainya. Tokoh utama teori ini antara lain ialah W.W.Rostow dengan teori tahap-tahap pertumbuhannya. Beliau mengatakan bahawa pembangunan, di mana-mana pun, mesti melalui satu sejarah perkembangan yang sama, yakni melalui lima peringkat: pertama, peringkat masyararakat primitif, kedua, peringkat persediaan untuk take-off, ketiga, peringkat take-off, keempat, peringkat kematangan dan akhir sekali kelima, peringkat kepenggunaan massa.

Bersama teman-teman Pasca-Klasikalnya yang lain, Rostow mengatakan bahawa negara-negara sedang membangun juga mesti mengikuti jalan ini, dengan mengalami laluan peringkat-peringkat yang sama. Negara-negara membangun mesti meniru negara-negara barat jika mereka mahu membangun. Dalam proses ini, tradisi dan budaya negara-negara membangun mesti dihapuskan kerana tradisi dan budaya itu biasanya menjadi penghalang kepada pembangunan (cultural block hypothesis). Ertinya tradisi dan budaya tempatan mesti dimusnah dan digantikan dengan tradisi dan budaya baru dari barat, yakni budaya kapitalisme.

Teori-teori Marxis dan Pasca-Marxis pun secara asasnya turut percaya kepada  pertumbuhan, tahap-tahap pertumbuhan dan perlu memusnahkan budaya tempatan jika ingin maju. Karl Marx sendiri percaya bahawa setiap masyarakat atau negara itu mesti melalui tiga tahap berikut: pertama, masyarakat pra-kapitalis yang bersifat feudal dengan ragam pengeluaran Asiatic yang tidak mempunyai konflik antara kelas masyarakat dan oleh itu masyarakat itu menjadi statik. Dalam keadaan itu, kata Marx, masyarakat tidak boleh maju. Untuk maju, masyarakat pra-kapitalis, yakni masyarakat tradisional mesti dihapuskan. Ia kemudian mesti bergerak ke tahap kedua, yakni pembentukan masyarakat kapitalis dan kemudiannya ke tahap ketiga yang membentuk masyarakat pasca-kapitalis, yakni masyarakat komunis dan sosialis.

Pegangan kedua-dua falsafah Kapitalis dan Marxis di atas mempamirkan bahawa hukum kemajuan bagi mereka bermaksud menuju ke arah kemajuan dan pemusnahan masyarakat tradisi. Analisis mereka juga tertumpu kepada lingkungan hubungan antara manusia dan manusia dan manusia dan alam sahaja. Yang dibincangkan adalah hal-hal yang mendatar. Hal-hal menegak, yakni perhubungan antara manusia dan alam dengan Penciptanya tidak dibincangkan.

Jadi walaupun kedua-dua Falsafah Pembangunan Kapitalis dan Marxis ini nampak berbeza, ia tetap berasaskan kepada prinsip dan keyakinan yang sama. Mereka sama-sama menganggap manusia sebagai makhluk ekonomi dan kepenggunaan sebagai pengukur pembangunan. Kemajuan pula dilihat sebagai bermaksud membebaskan diri dari kepercayaan karut (superstition) agama. Sains, sebagaimana yang diamalkan oleh tamadun moden barat, dikatakan mewakili bentuk tunggal pengetahuan. Ia memiliki kaedah pembuktian tunggal. Sejarah pula dilihat sebagai asas tunggal kewujudan manusia. Proses sejarah sejagat dihurai mengikut cerita perjalanan Barat. Mereka yakin bahawa hanya dengan mengikuti jejak Barat sahajalah baru budaya manusia boleh menjadi masyarakat moden yang maju.

Di samping itu, kedua-dua Falsafah Pembangunan Kapitalis dan Marxis juga berkongsi andaian yang serupa. Kedua-duanya percaya bahawa sumber-sumber alam adalah terhad (scarcity of resources) manakala kemahuan manusia tidak terhad (unlimited wants). Oleh kerana sumber-sumber alam terhad sedangkan kemahuan manusia tidak terhad, mereka berusaha mencari satu kaedah berkesan untuk menggunakan sumber-sumber alam berkenaan dengan sebaik mungkin untuk memenuhi kemahuan manusia yang tidak terhad itu.

Atas persamaan-persamaan di ataslah, maka kedua-dua Falsafah Pembangunan Kapitalis dan Marxis ini boleh dianggap berada dalam satu paradigme, bukan dalam dua paradigme berbeza. Lebih dari itu ia tidak mampu menganalisis dan menyelesaikan kemelut pembangunan kerana kedua-duanya tidak menyelesai masalah akar umbi kepada kemelut itu. Sebaliknya, dalam kedua-dua falsafah ini, ternyata mereka terus menganjurkan dua perkara yang pernah menjadi punca kepada kemelut manusia, yakni kepenggunaan dan hak-milik.

Nabi Adam a.s. dan Siti Hawa tergoda dengan syaitan sehingga memakan (mengguna) khuldi walaupun dilarang Allah, manakala Qabil membunuh Habil berpunca dari sayangnya Qabil kepada hakmilik ternakannya hingga Allah menolak pengorbanannya. Kalau Nabi Adam dan Hawa tertipu dengan syaitan, Qabil pula tertipu dengan hawa nafsunya sendiri. Kedua-dua persoalan syaitan dan hawa nafsu sebagai punca kepada kemelut pembangunan ini tidak disentuh oleh Falsafah dan Teori-teori Pembangunan Kapitalis dan Marxis.

Prinsip-prinsip dan andaian-andaian kedua-dua Falsafah Pembangunan Kapitalis dan Marxis juga, kalau dilihat dari perspektif Islam adalah tidak tepat. Manusia bukanlah makhluk ekonomi. Sebaliknya, dalam konteks hubungan manusia dengan Allah (hablumminallah), manusia adalah hamba Allah manakala dalam konteks manusia sesama manusia dan dengan sumber alam (hablumminannas), manusia adalah khalifah Allah. Yang menjadi pengukur pembangunan pula bukan kepenggunaan, tetapi sebaliknya ialah iman dan taqwa. Kemajuan tidak sepatutnya dijadikan proses untuk melepaskan diri dari kepercayaan karut (superstition) agama, malah agama adalah merupakan penentu, pengikat dan motivasi utama kepada pembangunan. Malah dalam agama Islam, tidak ada kepercayaan-kepercayaan karut. Sains bukan kaedah tunggal mendapat pengetahuan, malah ianya tidak cukup menjadi alat mendapat pengetahuan kerana alam ini bukan hanya terdiri dari hal-hal yang boleh ditanggapi dengan pancaindera, malah juga hal-hal ghaib yang hanya boleh ditanggapi dengan rasa hati. Jalan menuju pembangunan bukan terhad kepada jalan yang telah ditempuhi oleh Barat sahaja. Islam mempunyai jalan tersendiri dan oleh itu tidak wajib mengikuti jejak langkah sejarah pembangunan Barat.

Begitu juga, sumber-sumber alam, dari segi Tauhid dan kaedah pengagihan yang dianjurkan Islam, adalah tidak terhad. Ianya hanya terhad dari segi fizikal dan kuantiti, tetapi dari segi rezeki yang Allah SWT telah tetapkan untuk setiap orang, sumber-sumber alam itu atau hasil dari interaksi manusia dengan sumber-sumber alam dijamin untuk setiap orang. Kuantitinya boleh jadi berbeza, tetapi kaedah pengagihan yang dianjurkan Islam menjamin setiap orang mendapat bahagian masing-masing. Pengeluar yang berpeluang berinteraksi terus dengan sumber-sumber alam mendapat hak primernya manakala mereka yang tidak berupaya berinteraksi sama ada kerana tua, uzur, kanak-kanak atau hal-hal lain yang tidak dapat dielak, tetap mendapat hak, dipanggil hak sekunder. Hak sekunder didapati melalui pengagihan lebihan dari hak primer para pengeluar selepas keperluan mereka dipenuhi.

Secara umum, memang kemahuan manusia tidak terhad. Tetapi mengikut Islam, kemahuan yang tidak terhad itu adalah merupakan manifestasi kepada bermaharajalelanya nafsu ammarah (atau lawwamah atau mulhamah) di dalam jiwa manusia. Bila nafsu ammarah, lawwamah dan mulhamah ini dapat diperbaiki dan manusia mencapai nafsu mutmainnah dan lebih-lebih lagi nafsu radhiyah, mardhiyyah dan kamilah, kemahuan manusia itu dapat dihadkan. Hal ini tidak mungkin dapat dilakukan oleh Falsafah dan Teori Pembangunan Kapitalis dan Marxis kerana mereka tidak percaya akan wujudnya dimensi kerohanian sedangkan permasalahan kemahuan yang tidak terhad itu adalah permasalahan nafsu yang terkandung dalam dimensi kerohanian manusia.

Dari penelitian-penelitian di atas, bukan sahaja Falsafah Pembangunan Kapitalis dan Marxis itu berada di dalam satu paradigme, tetapi juga tidak mampu memamahi dan menyelesaikan masalah pembangunan secara tepat. Prinsip dan keyakinan kedua-duanya juga adalah bertentangan dengan ajaran Islam.
 
 
 

DR MUHAMMAD SYUKRI SALLEH ialah Profesor Madya dan Ketua Projek Pengurusan Pembangunan Islam (IDMP) di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. E-mail: [email protected]
 
 
Back To Publications Page Back To Main Page

 
 

Hosted by www.Geocities.ws

1