SKALA WAKTU PEMBANGUNAN
BERTERASKAN ISLAM

Profesor Madya Dr Muhammad Syukri Salleh
Projek Pengurusan Pembangunan Islam (IDMP)
Universiti Sains Malaysia
 

Dalam kehidupan seharian, orang-orang Islam selalunya berdoa untuk kebahagiaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat (hasanah fid duniya wa hasanah fil akhirah). Mereka mahu berbahagia di kedua-dua alam, yakni di alam dunia yang sedang mereka tempuh sekarang, dan di alam akhirat yang mereka akan tempuh kemudian.

Sebenarnya, selain dari alam dunia dan alam akhirat ini, ada satu lagi alam yang mesti diambilkira dalam semua aspek kehidupan manusia. Alam itu ialah alam roh, yakni alam sebelum manusia diturunkan Allah SWT ke dunia. Secara berkesinambungan, setiap manusia mesti menempuh ketiga-tiga alam ini, iaitu mula-mula alam roh, kemudian alam dunia dan akhirnya alam akhirat.

Antara satu alam dengan alam ini, ada alam-alam transisi yang lebih kecil. Di antara alam roh dan alam dunia ada alam yang dikenali sebagai alam rahim. Manakala di antara alam dunia dan alam akhirat ada dua alam yang dikenali sebagai alam sakaratulmaut dan alam barzakh (alam kubur). Alam rahim merupakan alam transisi dari alam roh ke alam dunia, manakala alam sakaratulmaut dan alam barzakh merupakan alam transisi dari alam dunia ke alam akhirat.

Jika kesemuanya disenaraikan secara urutan, maka setiap manusia mesti melalui alam roh, kemudian alam rahim, alam dunia, alam sakaratulmaut, alam barzakh dan akhir sekali alam akhirat. Inilah skala waktu kehidupan manusia yang mesti diambilkira dalam semua aspek kehidupan manusia, termasuk pembangunan.

Dengan kata lain, skala waktu pembangunan berteraskan Islam, seperti juga aspek-aspek kehidupan yang lain, mesti merangkumi kesemua alam ini. Tidak seperti skala waktu pembangunan lazim yang hanya tertumpu kepada alam dunia semata-mata, skala waktu pembangunan berteraskan Islam menjangkau pertamanya alam lampau yakni alam roh, keduanya alam masakini yakni alam dunia, dan ketiganya alam di hadapan yakni alam akhirat. Dalam setiap alam ini, setiap manusia telah, sedang dan akan melalui peristiwa dan keadaan tertentu yang sangat signifikan.

Di alam roh, semua manusia yang ketika itu wujud dalam bentuk roh yang dikenali sebagai rohul tamayyiz, berjanji dengan Allah SWT bahawa Allah SWT adalah Tuhan manakala mereka adalah hamba (alas tu birabbikum qalu bala shahidna). Ikrar manusia di alam roh ini melahirkan paling kurang tiga implikasi penting kepada kehidupan manusia di dunia.

Pertama, manusia dikurniakan status sebagai hamba Allah SWT. Kedua, melalui pengurniaan status itu, manusia dikurniakan garis panduan, atau pelan induk, atau blue-print kehidupan di dunia. Dan ketiga, manusia dimaklumkan bahawa alam roh, alam dunia dan alam akhirat sebenarnya merupakan alam-alam yang berkesinambungan dan tidak terpisah antara satu sama lain. Alam roh merupakan alam perjanjian, alam dunia merupakan alam pembuktian dan alam akhirat merupakan alam pembalasan.

Selepas alam roh itulah baru manusia diturunkan ke alam dunia mengikut giliran masing-masing. Dalam proses ini, rohul tamayyiz digabungkan dengan rohul hayah (nyawa) dan jasad. Pembentukan awal jasad ini berlaku di alam rahim, bermula dari percantuman mani lelaki perempuan, yang kemudiannya membentuk seketul darah, seketul daging, tulang belulang dan akhirnya lahir sebagai bayi.

Pembentukan jasad manusia dan kelahiran mereka ke dunia ini banyak diceritakan di dalam Al-Qur'an. Antaranya ialah seperti berikut.

"Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah. Kemudian Kami jadikan "pati" itu (setitis) air benih pada tempat penetapan yang kukuh. Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku; lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu, Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah SWT sebaik-baik Pencipta. Kemudian, sesungguhnya kamu setelah itu akan mati. Kemudian, sesungguhnya kamu akan dibangkitkan hidup semula pada hari qiamat" (Al Mu'minun23:12-16).

"Wahai umat manusia, sekiranya kamu menaruh syak (ragu-ragu) tentang kebangkitan makhluk (hidup semula pada hari qiamat), maka (perhatilah kepada tingkatan kejadian manusia) kerena sebenarnya Kami telah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitis air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging yang disempurnakan kejadiannya dan yang tidak disempurnakan; (Kami jadikan secara yang demikian) kerena Kami hendak menerangkan kepada kamu (kekuasaan Kami); dan Kami pula menetapkan dalam kandungan rahim (ibu yang mengandung itu) apa yang Kami rancangkan hingga ke suatu masa yang ditentukan lahirnya; kemudian Kami mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian (kamu dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan (semasa kecil atau semasa dewasa) dan ada pula yang dilanjutkan umurnya ke peringkat tua nyanyuk sehingga ia tidak mengetahui lagi akan sesuatu yang telah diketahuinya dahulu. Dan (ingatlah satu bukti lagi); Engkau melihat bumi itu kering, kemudian apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya (dengan tumbuh-tumbuhan yang mercup tumbuh), dan  gembur membusutlah ia, serta ia pula menumbuhkan berjenis-jenis tanaman yang indah permai." - Al Hajj22:5

"Dialah yang menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari (setitis) air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging; kemudian Ia mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian kamu (dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; kemudian kamu (dipanjangkan umur) hingga sampai menjadi tua. Dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan sebelum itu. (Allah SWT melakukan kejadian yang demikian) supaya kamu sampai ke masa yang ditentukan (untuk menerima balasan); dan supaya kamu memahami (hikmat-hikmat kejadian itu dan kekuasaan Tuhan)." - Al Mu'min40:67

Tiga ayat al-Qur'an di atas bukan sahaja menerangkan tentang kejadian jasad manusia di alam rahim, tetapi juga tentang kehidupan mereka di alam dunia dan seterusnya kebangkitan semula mereka sesudah mati di alam akhirat. Dalam menjalani hidup di alam dunia ini, Allah SWT menerangkan:

"(Kerana keadaan itu tidak mencukupi, maka) sesungguhnya Kami telah menunjukkan kepadanya (melalui aqal dan Rasul) akan jalan-jalan (yang benar dan yang salah; maka terserahlah kepadanya) sama ada ia bersyukur (dengan beriman dan taat), ataupun ia berlaku kufur (dengan mengengkari kebenaran atau menderhaka)" (Al Insaan76:3).

Kami berfirman lagi: “Turunlah kamu semuanya dari syurga itu! Kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dariKu (melalui Rasul-rasul dan Kitab-kitab yang diturunkan kepada mereka), maka sesiapa yang mengikuti petunjuk-Ku itu nescaya tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.” – Al Baqarah 2:38
 

Di alam dunialah berlakunya pembangunan. Garis panduan kaedah dan bentuk pelaksanaannya telah dibentuk di alam roh. Pelaksanaannya di alam dunia dibantu oleh petunjuk dari Allah SWT yang dikurniakan melalui aqal, Rasul-Rasul dan Kitab-Kitab. Manakala natijah dari segala pelaksanaan itu akan ditempuh di alam akhirat. Jika pembangunan di alam dunia dilaksanakan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan di alam roh, natijah di alam akhirat adalah positif. Tetapi jika sebaliknya, natijahnya adalah negatif.

Oleh itu berlakunya pembangunan berteraskan Islam di alam dunia adalah kerana terlaksananya perjanjian manusia dengan Allah SWT yang dibuat di alam roh. Benar atau tidak pembangunan itu dilaksanakan mengikut perjanjian di alam roh akan menentukan ganjaran di alam akhirat.

Berdasarkan kepada keyakinan ini, pembangunan yang berjaya hanyalah pembangunan yang pelakunya diberi ganjaran syurga oleh Allah SWT di akhirat nanti. Kalau manusia diganjarkan dengan neraka, pembangunan yang mereka bangunkan tidak dikira berjaya walaupun telah membangunkan pembangunan material dan fizikal dengan banyaknya di alam dunia. Hasil mutlak pembangunan, oleh itu, hanya dapat diketahui di akhirat, bukan di dunia.

Atas sebab-sebab di ataslah maka skala waktu pembangunan berteraskan Islam menjangkaui satu jangka waktu yang sangat panjang, meliputi ketiga-tiga alam roh, alam dunia dan alam akhirat.
 
 
Back To Publications Page Back To Main Page

 
 

Hosted by www.Geocities.ws

1