Muhammad Syukri Salleh
Dr Muhammad Syukri Salleh ialah Profesor Madya dan Ketua, Projek Pengurusan
Pembangunan Islam (IDMP) di
Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, 11800
Minden, Pulau Pinang.
E-mail: [email protected]
Apabila gerakan reformasi 1998 tercetus di Malaysia dan beberapa gerakan
Islam terlibat di dalamnya, timbul paling
kurang tiga persoalan yang menarik. Pertama, apakah kebangkitan Islam
di Malaysia kembali radikal sebagaimana
awal-awal kebangkitannya? Kedua, Islamkah gerakan reformasi di Malaysia
itu dengan terlibatnya gerakan-gerakan
Islam tersebut? Dan ketiga, telah wujudkah satu bentuk baru kebangkitan
Islam di negara ini akibat dari gerakan
reformasi berkenaan?
Makallah ini secara ringkas cuba meneliti ketiga-tiga persoalan menarik ini.
Reformasi dan Reradikalisme Kebangkitan Islam
Pada awal kebangkitan semula Islam di Malaysia pada akhir enam-puluhan
dan tahun-tahun tujuh-puluhan, sifatnya
berbentuk anti-establishment, kritikal terhadap pemerintah dan
sistem yang diamalkannya, dan memakai kaedah
confrontational. Sikap dan kaedah begini dimanifestasikan dalam
berbagai bentuk. Parti Islam Se-Malaysia (PAS),
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Islamic Representative Council
(IRC) (yang ketika itu berpusat di United
Kingdom dan kini mendominasi Jamaah Islah Malaysia, JIM), melancarkan
kritikan dan konfrontasi mereka terhadap
pemerintah secara langsung terutama di peringkat teoritikal, filosofikal
dan ilmiah. Manakala Darul Arqam dan Jemaah
Tabligh melancarkan kritikan dan konfrontasi mereka secara praktikal
dengan mengamalkan sistem dan cara hidup baru.
Darul Arqam membina dan mengamalkan sistem Islam yang bersifat menyeluruh
(all-embracing) meliputi sistem sosial,
ekonomi, pentadbiran, pendidikan dan sebagainya terutamanya melalui
sistem perkampongan[2]. Jemaah Tabligh
pula
menumpukan kepada perubahan cara hidup berdasarkan kepada intensifikasi
pelaksanaan ibadah asas.
Bentuk-bentuk ini, tidak kira yang bersifat politikal seperti yang didokong
oleh PAS, ABIM dan IRC atau bersifat
apolitikal sebagaimana yang didokong oleh Darul Arqam dan Jemaah
Tabligh, kesemuanya membawa manifestasi
kritikal, pertentangan, anti-establishment dan oleh itu radikalisme.
Cuma berbezanya radikalisme kebangkitan Islam di
Malaysia dengan radikalisme kebangkitan Islam di negara-negara lain
ialah dari segi sifatnya. Radikalisme kebangkitan
Islam di negara-negara lain seringnya membawa kepada keganasan dan
pertempuran fizikal. Tetapi di Malaysia, hal
sedemikian tidak berlaku kecuali satu dua peristiwa yang terasing (isolated),
seperti serangan pendakwah-pendakwah
muda ke atas kuil-kuil Hindu, serangan sekumpulan pengamal tariqat
ke atas balai polis di Batu Pahat dan serangan
pihak keselamatan ke atas pengikut-pengikut PAS di Memali.
Radikalisme kebangkitan Islam ala Malaysia ini walau bagaimana pun menjadi
berkurangan selepas tahun-tahun
lapan-puluhan. Apabila Presiden ABIM Anwar Ibrahim meninggalkan gerakan
itu dan menjadi ahli dan seterusnya
pemimpin parti pemerintah UMNO (United Malay National Organisation),
radikalisme kebangkitan Islam mengalami
perubahan yang agak ketara. Jemaah Tabligh dan Darul Arqam tidak dapat
dinafikan tidak begitu terpengaruh dengan
tindakan Anwar ini. Tabligh meneruskan kaedah intensifikasi pelaksanaan
ibadah asasnya manakala Darul Arqam
meneruskan pembinaan sistem Islamnya secara praktikal hingga akhirnya
diharam dan pemimpin-pemimpinnya dua kali
ditangkap di bawah ISA ketika Anwar sendiri menjadi Timbalan Perdana
Menteri.
Tetapi bagi PAS, ABIM dan IRC, kemasukan Anwar ke dalam parti pemerintah
cukup mencorak kaedah perjuangan
mereka. Sedikit sebanyak pengaruh dan kemaraan Islam PAS agak terjejas
hingga lahir kepimpinan ulamak yang secara
relatifnya bersikap lebih toleran dan lembut berbanding dengan sebelumnya.
ABIM dan IRC pula menukar kaedah
perjuangan masing-masing kepada bentuk yang lebih akomodatif dan partisipatif,
dan dalam kes-kes tertentu, bersifat
agak apologetik. Malah kedua-dua IRC (yang kini bergabung dengan bekas-bekas
aktivis pelajar-pelajar Melayu Islam
di Amerika Syarikat dan Timur Tengah menubuhkan Jemaah Islah Malaysia
(JIM) dan oleh yang demikian selepas ini
dirujuk sebagai JIM sahaja) dan ABIM, memilih arus perdana sebagai
medan perjuangan mereka dengan mempamirkan
simpati dan kerjasama yang agak erat dengan pemerintah[3].
ABIM memilih kaedah terbaru ini dengan alasan bahawa zaman retorikanya
telah berakhir dan ia mesti berjuang atas
dasar realiti semasa. Presiden ABIM Ahmad Azam Abdul Rahman dalam tahun
1997 berpendapat bahawa masuknya
Anwar ke dalam UMNO adalah satu strategi dan berubahnya sifat radikalisme
ABIM kepada sifat menyokong
pemerintah juga adalah satu strategi. Sebagai strategi ianya boleh
diubah bila-bila masa sahaja apabila keperluan
mendatang. Tetapi sekurang-kurangnya sehingga tahun 1997 itu, beliau
masih berpendapat bahawa strategi itulah yang
terbaik untuk mencapai cita-cita perjuangan Islam. Anwar hanya perlukan
satu tangga lagi untuk menjadi Perdana
Menteri dan adalah tidak salah, pada pendapat Ahmad Azam, untuk ABIM
menyokong Anwar (dan oleh itu
pemerintah), kecuali terbukti Anwar tidak melaksanakan Islam apabila
beliau mempunyai kuasa penuh nanti[4].
JIM pula memberi alasan bahawa dalam realiti sosio-ekonomi dan politik
Malaysia masakini, usaha melaksanakan
Islam mestilah menggunakan pendekatan homeostatis, yakni satu konsep
yang berasal dari ahli sains Perancis Claude Bernard yang membawa maksud
bahawa dalam sesuatu reformasi sosial, proses transformasi hendaklah tidak
merubah kekuatan asas yang sedia ada dalam sistem berkenaan. Atas sebab
itu JIM tidak berhasrat merubah kekuatan asas
yang sedia ada di kalangan orang-orang Islam di Malaysia. Kekuatan
asas itu ialah `ketuanan Melayu’ yang bertunjang kepada kuasa politik dan
pentadbiran orang-orang Melayu-Islam[5].
Ini menjadi alasan kuat JIM kenapa ia tidak lagi cenderung kepada sifat
radikalisme, atau setidak-tidaknya lebih
berminat menyembunyikan sifat radikalisme berkenaan, kalau pun masih
ada, dan mula bergerak melalui arus perdana. Dengan pendekatan homeostatis
ini, JIM berpendapat bukan sahaja pengIslamisasian ketuanan Melayu yang
sedia wujud ini dapat dijalankan, malah negara Islam dapat ditegakkan secara
harmoni tanpa menggugat stabiliti status quo. Dengan caraini, paling
lewat pada tahun 2010, JIM menjangkakan Malaysia akan menjadi negara Islam
sepenuhnya, yakni 10 tahun lebih awal dari jangkaan tercapainya cita-cita
pembangunan Wawasan 2020[6].
Tetapi menariknya, apabila jatuhnya Anwar dari pemerintahan dan tertendangnya
beliau dari UMNO, ABIM dan JIM
menarik sokongannya terhadap pemerintah, malah kembali kepada sifat
confrontational, kritikal dan
anti-establishment. PAS dengan sifat organisasi politik yang
tidak putus kritikalnya terhadap pemerintah, mengambil
peluang untuk mengepalai sikap terbaru ini. Ketiga-tiga gerakan Islam
ini bergabung untuk menentang pemerintah
melalui gerakan reformasi, terutamanya melalui Majlis Gerakan Keadilan
Rakyat (GERAK)[7]. Walaupun GERAK
juga disertai pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti-parti
pembangkang yang lain, namun tidak dapat dinafikan, gerakan Islamlah, terutamanya
PAS, yang mendominasi gerakan ini. PAS amnya dan Presidennya Fadzil
Noor khususnya, selain dari memimpin GERAK, adalah juga ahli Gagasan
Demokrasi Rakyat (GAGASAN), sebuah
lagi gerakan reformasi yang dipimpin oleh aktivis NGO Suara Rakyat
Malaysia (SUARAM), Tian Chua. Manakala ABIM dan JIM pula, khususnya Presiden
masing-masing, selain dari menganggotai GERAK secara aktif, juga adalah
ahli aktif Pergerakan Keadilan Rakyat (ADIL), sebuah lagi gerakan reformasi
yang dipimpin oleh isteri Anwar Ibrahim, Wan Azizah Wan Ismail. PAS, walau
pun tidak menjadi ahli ADIL, secara terbuka tetap menyatakan sokongannya
terhadap ADIL[8].
Pendeknya, ketiga-tiga gerakan Islam ABIM, PAS and JIM, terlibat secara
aktif sekurang-kurangnya di dalam dua dari
tiga gerakan reformasi yang lahir berikutan isu Anwar Ibrahim pada
penghujung 1998 itu. PAS terlibat di dalam GERAK
dan GAGASAN, manakala ABIM dan JIM terlibat di dalam GERAK dan ADIL.
Melalui ketiga-tiga gerakan reformasi
ini, buat pertama kalinya di Malaysia, bukan sahaja ketiga-tiga gerakan
Islam PAS, ABIM dan JIM ini berjuang atas
platform yang sama, tetapi juga bergabung dengan parti-parti politik
pembangkang dan NGO-NGO melalui satu
gerakan yang broad-based, pelbagai bangsa, pelbagai ideologi
dan pelbagai agama untuk memperjuangkan matlamat yang dikatakan sama, yakni
menegakkan keadilan dan melakukan reformasi sosio-ekonomi dan politik,
serta membasmi
kezaliman. Selain dari PAS, ABIM dan JIM, GERAK disertai oleh Persatuan
Kebangsaan Pelajar-Pelajar Islam
Malaysia (PKPIM), Persatuan Ulamak Malaysia (PUM), Democratic Action
Party (DAP), Parti Rakyat Malaysia
(PRM), Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), International Movement for a
Just World (JUST), Consumer Association
of Penang (CAP), PPIM, ISMA, TERAS, URUS and YATIM. GAGASAN pula, selain
dari PAS, juga disertai oleh
Borneo Research Institute Malaysia (BRIMAS), Centre for Orang Asli
Concerns (COAC), Democratic Action Party
(DAP), ERA-Consumer, Indigenous People’s Development Centre (IPDC),
Jawatankuasa Sokongan Peneroka Bandar
(JSPB-Johor Bharu), Parti Rakyat Malaysia (PRM), Persatuan Sahabat
Wanita, Parti Sosialis Malaysia (PSM),
Solidaritas Timor Timur Malaysia (STTM) and Tenaganita. Manakala ADIL,
selain dari ABIM dan JIM, disertai oleh
individu-individu profesional dan ahli-ahli akademik serta aktivis-aktivis
NGO dan masyarakat umum.
Mereka ini kemudiannya, sama ada secara langsung atau tidak memberi
sokongan kepada Barisan Alternatif, satu
pakatan politik parti-parti pembangkang PAS, DAP, PRM dan Parti KeAdilan
Negara (KeAdilan) yang dibentuk
dengan tujuan mengalahkan parti pemerintah Barisan Nasional dalam pilihanraya
umum 1999[9]. Pada akhir-akhir tahun
1999 ketika pilihanraya umum menjelang tiba, platform Barisan Alternatif
lebih banyak digunakan untuk meneruskan gagasan reformasi mereka. Malah
hingga sekarang, Barisan Alternatiflah yang nampaknya menjadi penyatu kepada
segala gerakan reformasi ini. GERAK, GAGASAN dan ADIL sudah hampir
tidak kedengaran lagi. Tiga gerakan reformasi awal itu sama ada secara
langsung atau tidak kini nampaknya telah bergabung menjadi satu, atas nama
Barisan Alternatif. Dan dalam Barisan Alternatif ini, PASlah yang dominan,
manakala ABIM dan JIM, bersama dengan organisasi-organisasi yang bergabung
dalam gerakan-gerakan reformasi di atas, menjadi penyokong kuatnya.
Penglibatan ketiga-tiga gerakan Islam PAS, ABIM dan JIM dalam gerakan
reformasi ini dengan nyata mempamirkan
reradikalisme, atau kembalinya mereka kepada radikalisme, walau pun
tanpa Darul Arqam kerana telah diharamkan dan
Tabligh kerana terus istiqamah dengan sifat apolitikalnya[10].
Sikap terbaru ketiga-tiga gerakan Islam ini dikatakan
melampaui soal memperjuangkan keadilan untuk Anwar Ibrahim secara peribadi,
walaupun telah menjadi rahsia umum
bahawa gerakan ini dan pemimpin-pemimpinnya mempunyai hubungan peribadi
dengan Anwar Ibrahim, sama ada
secara langsung atau tidak. Presiden ABIM Ahmad Azam menyatakan bahawa
ABIM bersikap demikian kerana ingin
menegakkan kebenaran dan memperjuangkan keadilan. Presiden JIM Saari
Sungib pula menjelaskan bahawa
komitmen JIM adalah atas dasar JIM tidak redha prinsip-prinsip kebenaran
dan keadilan yang selama ini menjadi teras kekuatan masyarakat dan negara
ini diluntur dan dilemahkan. JIM, kata Saari Sungib, melihat peristiwa
yang berlaku di sekitar isu cara perlucutan jawatan Anwar sebagai kemuncak
kepada perlanggaran prinsip-prinsip kebenaran dan keadilan. PAS pula, terutamanya
melalui GERAK, menyatakan perlunya sikap terbaru ini untuk menjalankan
reformasi sosio-ekonomi dan politik dan menentang kezaliman pemerintah
terutamanya yang dilakukan melalui Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Persoalannya, apakah reradikalisme, atau kembalinya sifat radikalisme
di kalangan gerakan Islam ini bererti kembalinya
radikalisme kebangkitan Islam di Malaysia keseluruhannya? Hal ini tidak
mungkin dapat dijawab kecuali dapat
dipastikan apakah gerakan reformasi itu sendiri merupakan gerakan kebangkitan
Islam sepenuhnya.
KeIslaman Gerakan Reformasi
Secara kasar, kendati pun gerakan reformasi dipimpin oleh gerakan-gerakan
Islam terutamanya PAS, elemen-elemen
Islam yang jitu kurang terserlah. Tentangan terhadap kezaliman dan
tuntutan terhadap reformasi sosio-ekonomi dan
politik yang adil tidak dinafikan bersifat Islam, tetapi kerana sifat
gerakan reformasi yang broad-based, majmuk-etnik
dan majmuk-agama, perjuangan gerakan berkenaan terpaksa berpaksikan
kepada nilai-nilai universal, bukan kepada nilai-nilai Islam secara khusus
dan konkrit. Hal begini melibatkan proses neutralisasi dan pengenduran
nilai-nilai spesifik bangsa dan agama, khususnya dalam konteks ini nilai-nilai
spesifik Islam itu sendiri. Ia menghakis sifat-sifat budaya dan kepercayaan
spesifik agama Islam serta memisahkannya dengan persoalan-persoalan epistemologi
dan pandangan hidupnya (worldview). Di peringkat gerakan-gerakan
Islam keadaan ini mungkin tidak berlaku. Tetapi di peringkat gerakan reformasi
yang menyeluruh dan yang didokongi pula oleh kumpulan-kumpulan yang bersifat
kepelbagaian ideologi, bangsa dan agama itu, ianya terpaksa diterima, paling
tidak atas dasar setiakawan. Tambahlagi, sebagaimana diakui Presiden ABIM
Ahmad Azam Abdul Rahman, di dalam gerakan reformasi itu sendiri pun terdapat
persaingan kuasa (competing forces)[11].
Sikap toleransi, akomodatif dan apologetik oleh itu terpaksa menjadi paksi
agar
suasana harmoni dapat diwujudkan dan tujuan bersama dapat direalisasikan,
walau pun ketulinan Islam terpaksa
kurang dipertahankan. Selain dari itu, organisasi dan keahlian gerakan
reformasi itu sendiri adalah longgar. Keahliannya terbuka, dan dalam keadaan
yang sangat memerlukan tindakan segera yang mengejut terutamanya untuk
membela
Anwar Ibrahim, keselarasan tarbiyyah, pemikiran dan pembentukan peribadi
Islam tidak dapat dilakukan dengan sistematik dan berkesan. Tambahan pula,
mereka yang menyertai gerakan reformasi itu ramainya adalah orang-orang
muda, yang di samping kebanyakannya bersifat rebellious, juga tidak
pernah terdedah kepada tarbiyyah Islamiah. Mereka menyertai reformasi kerana
isu Anwar adalah isu konflik generasi muda-tua (inter-generational conflict),
dan Anwar mewakili generasi muda[12].
Mereka sendiri juga mempunyai assessibiliti secara terus kepada maklumat
penyelewengan orang-orang atasan yang berlaku di tempat-tempat mereka bekerja.
Kenyataan-kenyataan pemimpin-pemimpin pemerintah seringnya cukup menyinggung
intelek mereka kerana bertentangan dengan apa yang mereka tahu sebenarnya
berlaku. PAS sendiri, sebagai gerakan Islam yang mengepalai gerakan reformasi,
tidak mempunyai banyak kemampuan dalam mentarbiyyah ahli-ahli gerakan reformasi.
Ahli-ahlinya sendiri pun belum dapat ditarbiyyah dan diselaraskan amalan
mereka dalam banyak perkara, dari perkara kecil seperti merokok hinggalah
kepada perkara-perkara besar seperti mengutamakan waktu sembahyang,
menepati waktu, berakhlak dalam berceramah, bersikap objektif dan profesional
serta tidak kumpulan-sentrik.
JIM pula, walaupun dari awal-awal lagi menyatakan dengan jelas bahawa
penglibatannya adalah untuk mencorakkan
reformasi dengan agenda Islam serta selaras dengan prinsip-prinsip
Islam, juga setakat ini tidak berupaya mencapai
tujuan tersebut[13]. Presiden JIM
Saari Sungib sendiri mengakui bahawa sifat gerakan reformasi di Malaysia
adalah
tidak Islamik, malah gerakan reformasi itu sebenarnya bukanlah gerakan
reformasi Islam. JIM, katanya, terus berjuang dalam gerakan reformasi kerana
mahukan gerakan tersebut lebih berdisiplin, walaupun tidak Islamik, di
samping
bimbang bahana kediktatoran Perdana Menteri Mahathir Mohamad menjadi
lebih berleluasa[14].
KetidakIslaman gerakan reformasi ini juga disedari oleh ramai pihak
lain. Pada pandangan mereka, gerakan reformasi
tidak langsung mempunyai unsur Islam kerana ia hanyalah berkisar pada
peribadi Anwar Ibrahim, bukan pada Islam.
Sumber reformasi adalah isu Anwar dan pemimpin reformasi adalah mereka
yang ada hubungan peribadi dengan
Anwar. Selain dari NGO yang dirasakan mungkin mempunyai keikhlasan
memperjuangkan isu-isu keadilan dan kezaliman, parti-parti politik pembangkang
pula mengambil peluang ini dengan agenda masing-masing, paling tidak
untuk political mileage mereka[15].
PAS misalnya, dilihat oleh ramai orang terlibat dengan reformasi untuk
memenangi pilihanraya. Bagi mereka, gerakan reformasi, selain dari
berkisar pada peribadi Anwar Ibrahim, hanyalah gerakan memperjuangkan keadilan
dalam maksud yang umum, tanpa elemen-elemen Islam[16]. Isu-isu keadilan
dan
hak asasi manusia yang diperjuangkan gerakan reformasi ini merupakan
isu-isu yang melampaui isu-isu keperluan asasi seperti makanan, tempat
tinggal dan pakaian yang telah pun berjaya dipenuhi pemerintah. Kini pemerintah,
khususnya UMNO, menjadi mangsa kepada kejayaannya sendiri kerana walaupun
telah memenuhi keperluan asasi rakyat, lupa untuk memikirkan dengan serius
tentang isu penting seterusnya, yakni isu keadilan dan hak asasi manusia[17].
Dengan tidak Islamnya gerakan reformasi ini, maka reradikalisme di kalangan
gerakan-gerakan Islam di Malaysia
bukanlah bererti kebangkitan semula radikalisme kebangkitan Islam di
negara ini. Jika gerakan reformasi itu bukan
gerakan reformasi Islam, radikalisme yang lahir dari reformasi itu
bukanlah radikalisme kebangkitan Islam. Apa yang
berlaku melalui gerakan reformasi ini hanyalah merupakan proses alignment
atau adjustment kepada apa yang ada,
tanpa membawa perubahan besar kepada arus perdana Malaysia[18].
Tidak seperti pejuang reformasi di Indonesia,
pejuang gerakan reformasi di Malaysia bergerak di luar arus perdana
hanya di peringkat minda dan fikiran, manakala di
peringkat tubuh badan fizikal, masih ramai dari mereka yang bekerja
dengan pemerintah, dalam arus perdana.
Pejuang-pejuang reformasi ini kebanyakannya mahu jatuhkan Perdana Menteri
Mahathir Mohamad. Apabila ini berlaku,
minda dan fikiran mereka akan kembali ke arus perdana. Dengan sikap
pemerintah yang kembali mempamirkan
keinginan kepada Islam agar undi orang-orang Islam yang hilang dalam
pilihanraya umum 1999 dapat ditarik kembali manakala parti pembangkang
terutamanya PAS akan berusaha mempertahankan keIslamannya, Malaysia selepas
ini barangkali secara relatifnya akan menjadi lebih Islamik.
Kebangkitan Islam Baru: Dari Dakwah Kepada Politik?
Walau pun gerakan reformasi di Malaysia bukanlah satu gerakan kebangkitan
Islam, namun ia tetap cukup memberi
kesan kepada gerakan-gerakan Islam dan oleh itu kebangkitan Islam di
Malaysia keseluruhannya. Paling tidak, gerakan
reformasi telah menganjak perkaedahan gerakan-gerakan Islam di Malaysia
dari berbentuk dakwah kepada lebih
berbentuk politik. Penuntutan keadilan, reformasi sosio-ekonomi dan
politik serta penentangan terhadap kezaliman
dipercayai hanya dapat berlaku dengan penukaran pemerintah, dari Barisan
Nasional kepada Barisan Alternatif. Atas
sebab itu, gerakan reformasi dan gerakan-gerakan Islam yang terlibat
di dalamnya terpaksa berjuang dalam kerangka
politik lazim negara, dan dengan itu menumpukan perjuangan kepada kaedah
politik, bukan lagi kepada kaedah
dakwah.
Yang menjadi paling releven dalam penganjakan perkaedahan baru kebangkitan
Islam ini tentulah PAS, yang
sememangnya sebuah parti politik. Secara automatis, PAS menjadi kepala
kepada kebangkitan Islam bentuk baru ini.
Manakala ABIM yang asalnya merupakan pertubuhan belia Islam dan JIM
sebagai sebuah NGO Islam, terpaksa
menyesuaikan kaedah perjuangan masing-masing mengikut penganjakan kaedah
ini.
Presiden ABIM Ahmad Azam Abdul Rahman menyedari hakikat bahawa kaedah
politik ini sebenarnya telah banyak
menemui kegagalan, paling akhir di Malaysia dalam kes Anwar Ibrahim
dan di Indonesia dalam kes B.J. Habibie.
Tetapi ABIM tetap menggalakkan ahli-ahlinya terlibat secara aktif dengan
politik kepartian asal saja tidak memegang jawatan kepimpinan di dalam
ABIM[19]. Paling tidak, katanya, generasi
muda ABIM kini berpeluang terlibat dengan kaedah radikalisme sebagaimana
perkaedahan asal ABIM, di samping berdepan dengan realiti perjuangan dan
tribulasi secara praktikal[20]. Generasi
muda ABIM ini kebanyakannya menyertai parti KeAdilan di bawah pimpinan
isteri
Anwar Ibrahim Wan Azizah Wan Ismail, manakala kebanyakan generasi tua
ABIM, terutamanya di Utara dan Pantai Timor Semenanjung Malaysia menyertai
PAS[21]. Antara pemimpin tertinggi
ABIM yang menyertai parti KeAdilan
ialah bekas Presiden ABIM Muhammad Nur Manuty, Setiausaha Agong ABIM
Annuar Tahir dan pemimpin tertinggi ABIM Sheikh Azmi dan Ghazali Basri.
Manakala yang menyertai PAS pula ialah bekas pemimpin tertinggi ABIM Kamaruddin
Jaafar yang sebelum ini menyertai UMNO.
JIM pula, setidak-tidaknya dalam pilihanraya umum 1999 yang lalu, bukan
sahaja telah membuat pernyataan dan
pendirian politik yang jelas, tetapi juga secara terbuka telah menggerakkan
ahli-ahlinya terlibat aktif dalam politik
kepartian. Bagi JIM, proses pilihanraya merupakan satu wahana utama
dalam program pengislahan masyarakat dan satu
proses penting dalam menentukan dinamika kuasa negara. Atas sebab ini,
Presiden JIM Saari Sungib menyarankan agar
proses pilihanraya menjadi paksi dinamisme JIM. Lonjakan pembabitan
ini, sama ada di peringkat organisasi atau di
peringkat individu, dipandang beliau sebagai memperkayakan JIM untuk
mengorak langkah yang lebih matang pada
masa hadapan. Hal ini dikatakan tetap selaras dengan kaedah homeostatisnya
(Saari Sungib 1999:16, 36)[22]. Kalau
dahulu homeostatis mengambil sikap mempertahankan ketuanan Melayu
yang sedia ada dalam arus perdana, kini ketuanan Melayu itu hendak digantikan
dengan yang baru melalui proses pilihanraya. Sedikit sebanyak ia menggugat
status
quo, tetapi kepercayaan terhadap pentingnya mempertahankan ketuanan
Melayu tetap dipegang. Dengan kepercayaan ini beberapa pemimpin tertinggi
JIM menyertai parti politik pembangkang secara rasmi. Saari Sungib
sendiri menyertai parti KeAdilan dan menjadi salah seorang calon di
dalam pilihanraya umum yang lalu. Ketua Wanita JIM menjadi Timbalan Ketua
Wanita parti KeAdilan manakala Naib Presiden JIM menjadi Ahli Majlis Pimpinan
Tertinggi parti KeAdilan.Seorang lagi pemimpin JIM, Zulkiflie Ahmad,
menyertai PAS, menjadi calon di dalam
pilihanraya umum yang lepas tetapi kalah kepada calon Barisan Nasional
dan kini menjadi Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat[23].
Pegangan terhadap pentingnya menganjak perkaedahan merealisasikan Islam
kepada penglibatan dalam politik
kepartian dan proses pilihanraya ini juga berasaskan kepada rasa perlunya
usaha ini menganjak kepada satu tahap kebangkitan Islam yang lebih berkesan.
Strategi perjuangan menegakkan Islam dirasakan perlu dianjak dari tahap
pertama dahulunya yang berbentuk confrontational dan anti-establishment
tetapi memisahkan diri dengan
masyarakat, dan dari tahap kedua yang bersifat akomodatif dan partisipatif
dalam arus perdana tetapi tanpa strategi, kepada tahap ketiga kini yang
berbentuk polarising, dengan maksud berkomunikasi dengan rakyat dan authoriti
sebagai alat melaksanakan Islam secara berstrategi. Tahap ketiga ini, yang
menggunakan kaedah yang dipanggil polarising dan dikatakan merupakan
kaedah Rasulallah s.a.w, dengan jelas bermaksud penglibatan dalam politik
kepartian melalui
sistem demokrasi yang diperuntukkan Perundangan negara[24].
Penganjakan kaedah gerakan Islam kepada tahap baru ini juga dipandang
positif oleh bekas Presiden ABIM Siddiq
Fadil. Bagi beliau, apa yang berlaku kepada gerakan-gerakan Islam di
Malaysia sekarang bukanlah merupakan satu tren
baru, tetapi lebih merupakan anjakan kepada satu tahap baru. Kembalinya
sifat radikalisme di kalangan gerakan Islam
sekarang, selepas melalui tahap radikalisme awal dan tahap pro-establishment-akomodatif[25],
merupakan tahap
perkaedahan gerakan Islam untuk berdepan dengan realiti fenomena sosio-ekonomi
dan politik baru Malaysia. Mengikut
beliau, radikalisme gerakan-gerakan Islam sekarang lahir dengan ciri-ciri
baru, yakni dalam bentuk pelbagai bangsa dan
agama, bekerjasama bukan sahaja sesama gerakan Islam tetapi juga dengan
organisasi bukan-Islam untuk melahirkan
apa yang beliau panggil ummah Malaysia, untuk berdepan
dengan hakikat masyarakat Malaysia yang majmuk.
Gerakan-gerakan Islam di Malaysia sekarang berusaha berdepan dengan
permasalahan dan realiti sebenar Malaysia dan
mempamirkan kepada dunia satu model Islam untuk mengendalikan satu
masyarakat majmuk seperti Malaysia. Bagi
Siddiq Fadil, gerakan reformasi bukanlah merupakan satu reaction
dan oleh itu tidak reactionary. Ia lebih berbentuk
satu perjalanan ke arah kematangan tahap perkembangan kebangkitan Islam[26].
Dan kematangan ini, kalau
berdasarkan kepada analisis Siddiq Fadil ini, sedang berlaku dalam
keadaan gerakan-gerakan Islam menganjakkan perkaedahan masing-masing dari
berbentuk dakwah kepada berbentuk politik.
Kesimpulan
Kebangkitan reformasi di Malaysia pada akhir 1998 sedikit sebanyak telah
membawa gerakan-gerakan Islam kembali
kepada radikalisme. Namun begitu, ini tidak bererti bahawa kebangkitan
Islam secara keseluruhannya kembali kepada
radikalisme kerana gerakan reformasi itu sendiri bukanlah gerakan kebangkitan
Islam. Ia hanya menganjak perkaedahan
gerakan-gerakan Islam, dari berbentuk dakwah kepada lebih berbentuk
politikal. Hal ini berlaku kerana isu yang
diperjuangkan terpaksa diperjuangkan dalam kerangka politikal, dan
oleh itu perkaedahan PAS sebagai parti politik
Islam menjadi sangat releven dan dominan, hingga ABIM yang selama ini
menganggap organisasinya sebagai organisisasi
dakwah dan JIM sebagai organisasi NGO Islam terpaksa mengikut arus
politikal PAS.
Penganjakan kaedah dari dakwah kepada politik ini tidak dapat dinafikan
telah mengeratkan bukan sahaja sesama
gerakan Islam tetapi juga organisasi-organisasi pelbagai bangsa, agama
dan ideologi[27]. Selain dari kerjasama
dan
hubungan rapat begini, bolehkah hasrat merealisasikan Islam tercapai
di Malaysia melalui kaedah Islam politikal di
tengah-tengah sejarah dan pengalaman di seluruh dunia yang telah banyak
membuktikan kegagalan?[28].
NOTA
[1] Pemikiran yang
dikemukakan dalam makallah ini merupakan sebahagian dari penemuan dan analisis
penyelidikan yang lebih besar
bertajuk Pengurusan Kebangkitan Islam di Malaysia.
Penulis terhutang budi dan merakamkan ucapan terima kasih kepada Universiti
Sains Malaysia kerana membiayai penyelidikan ini melalui
Geran IRPA Jangka Pendek.
[2] Untuk perbincangan
terperinci tentang sistem Islam yang dibina Darul Arqam ini, lihat Muhammad
Syukri Salleh 1992.
[3] Untuk perbincangan
lebih terperinci tentang perkara ini, lihat Muhammad Syukri Salleh 1999.
[4] Temubual dengan
Presiden ABIM Ahmad Azam Abdul Rahman di pejabat ABIM dalam tahun 1997.
[5] Untuk penghuraian
konsep homeostatis secara terperinci, lihat Saari Sungib 1995.
[6] Temubual dengan
Presiden-Pengasas JIM Saari Sungib di rumah beliau dalam tahun 1997.
[7] Objektif utama
gerakan reformasi ini ialah untuk mencapai satu perjuangan bersama, yakni
keadilan dan reformasi sosio-ekonomi
dan politik.
[8] Lihat Harakah
14 Disember 1998.
[9] Natijahnya agak
berkesan. Dalam pilihanraya umum yang diadakan pada 29 November 1999, PAS,
di samping mengekalkan kuasanya
di Kelantan, juga berjaya merampas Terengganu. Di negeri-negeri
lain seperti Kedah, Pahang dan Selangor, sokongan undi terhadap
PAS semakin meningkat, manakala sokongan undi orang-orang
Melayu terhadap parti pemerintah Barisan Nasional amnya dan UMNO
khususnya semakin menurun.
[10] Antara kesan
dari kemunculan kembali radikalisme ini ialah penangkapan singkat Presiden
ABIM Ahmad Azam Abdul Rahman dan
Presiden JIM Saari Sungib bersama dengan beberapa orang
lain yang pro-reformasi di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA),
Akta yang cuba dihapuskan oleh gerakan reformasi sendiri.
[11] Temubual dengan
Presiden ABIM Ahmad Azam Abdul Rahman di Yayaysan Pembangunan Ekonomi Islam
Malaysia (YPEIM),
Kuala Lumpur pada 22 Jun 1999.
[12] Pengamatan ini
dinyatakan oleh ahli sains politik Wan Abdul Rahman Wan Abdul Latiff di
dalam temubual penulis dengannya di
pejabat beliau di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi
pada 1 Jun 1999.
[13] Presiden JIM
Saari Sungib (1998) berkata: “Saya juga ingin mengingatkan saudara-saudara
sekalian bahawa JIM tidak beranggapan
reformasi cetusan Anwar Ibrahim mempunyai suatu percorakan
tertentu. Oleh itu JIM begitu terpanggil untuk mencorakkan sebarang
reformasi, jika pun tercetus di sekitar isu Anwar Ibrahim,
agar ianya dicorakkan dengan agenda Islam. Di atas itulah JIM, ABIM dan
PKPIM berganding tenaga untuk melancarkan Gerakan Reformasi
Rakyat dengan hasrat untuk memandu apa sahaja usaha reformasi
agar ianya selaras dengan prinsip-prinsip Islam”.
[14] Temubual dengan
Saari Sungib pada 31 Mei 1999 di Pejabat JIM di Taman Melawati, Kuala Lumpur.
[15] Pandangan sebegini,
antara lain, dinyatakan oleh penulis politik popular Sayuti Omar dalam
temubual penulis dengan beliau di
Hotel Quality, Kuala Lumpur pada 21 Jun 1999.
[16] Pendapat ini,
antara lain, dinyatakan oleh ahli sains politik Wan Abdul Rahman Wan Abdul
Latiff dalam temubual penulis
dengannya di pejabat beliau di Universiti Kebangsaan
Malaysia. Bangi pada 1 Jun 1999.
[17] Temubual dengan
pakar sejarah dan pengamat sosial Universiti Malaya Muhammad Abu Bakar
di Restoran Milah, Pulau Pinang
pada 30 Julai 1999.
[18] Pendapat tentang
proses alignment dan adjustment ini dikemukakan oleh wartawan dan penganalisis
politik Zin Mahmud dalam
temubual penulis dengannya di pejabat Utusan Publications
and Distributors, Cheras, Kuala Lumpur pada 3 Jun 1999.
[19] Presiden Ahmad
Azam Abdul Rahman juga menyedari bahawa kaedah merealisasikan perjuangan
Islam secara politik yang masih
bertahan setakat ini hanyalah di Sudan, khususnya dalam
kes Hassan Turabi; itu pun baru-baru ini telah digugat juga oleh krisisnya
dengan Presiden Sudan. Kesedaran ini telah dinyatakan
dalam temubual penulis dengan Ahmad Azam di Kuantan, Pahang, pada 28
Januari 2000.
[20] Temubual dengan
Ahmad Azam Abdul Rahman di Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YPEIM),
Kuala Lumpur pada
22 Jun 1999.
[21] Ibid.
[22] Pendirian ini
telah dinyatakan oleh Presiden JIM Saari Sungib, dalam ucapan dasarnya
di Perhimpunan Perwakilan Nasional JIM
1999 pada 25 Disember 1999, sebelum beliau meletakkan
jawatan sebagai Presiden JIM untuk menyertai parti KeAdilan sepenuhnya.
Sebelum ini, dalam pilihanraya umum 29 November 1999, beliau telah menjadi
salah seorang calon parti KeAdilan tetapi kalah di tangan calon Barisan
Nasional. Lihat Saari Sungib 1999:16.
[23] Selain dari
berpegang kepada prinsip-prinsip di atas, pemimpin dan ahli-ahli gerakan-gerakan
Islam ini menyertai parti-parti politik
pembangkang secara rasmi kerana tiga sebab utama, sama
ada kerana minat peribadi, restu jemaah atau permintaan dari parti berkenaan.
[24] Pendirian ini
khususnya dipegang oleh bekas pemimpin JIM Zulkiflie Ahmad, sebagaimana
yang dinyatakan dalam temubual
penulis dengannya di Sheraton Subang Hotel and Towers,
Subang Jaya, Kuala Lumpur pada 14 Jun 1999.
[25] Mengikut Siddiq
Fadil, walaupun pada tahap pro-establishment-akomodatif ini, gerakan
Islam dengan tegas membezakan antara
menyokong UMNO dengan menyokong kerajaan. Yang disokong
ialah kerajaan, bukan parti politik UMNO. Hal ini dinyatakan dalam
temubual penulis dengannya di pejabat beliau di Universiti
Kebangsaan Malaysia, Bangi pada 1 Jun 1999.
[26] Temubual penulis
dengan Siddiq Fadil di pejabat beliau di Universiti Kebangsaan Malaysia,
Bangi pada 1 Jun 1999.
[27] Presiden ABIM
Ahmad Azam Abdul Rahman misalnya menyatakan bahawa mereka sekarang berkongsi
memperjuangkan nilai-nilai
universal dan menjadi makin bertambah rapat (Temubual
dengan Ahmad Azam Abdul Rahman di Yayasan Pembangunan Ekonomi
Islam Malaysia (YPEIM), Kuala Lumpur pada 22 Jun 1999).
Manakala Presiden JIM Saari Sungib pula mengakui bahawa pembabitan
JIM dalam sistem politik pilihanraya 1999 telah memantapkan
ukhwah dan mahabbah pendukung-pendukung gerakan Islam (Saari
Sungib 1999:16).
[28] Lihat misalnya,
Roy 1994.
RUJUKAN
Muhammad Syukri Salleh, 1992: An Islamic Approach to Rural Development:
The Arqam Way, Asoib International
Limited, London.
Muhammad Syukri Salleh, 1999. "Recent Trends in Islamic Revivalism in
Malaysia", Studia Islamika (Jakarta), Vol.6,
No.2, hal. 39-62.
Roy, Olivier, 1994. The Failure of Political Islam, London: I.B. Tauris.
Saari Sungib, 1993. JIM 1991-1993 - Membentuk Arah dan Haluan Perjuangan,
Kuala Lumpur: Pertubuhan Jamaah
Islah Malaysia.
Saari Sungib, 1995. Menggerak Gagasan 1995-2000 - Bersama Menggaris
AgendaUmmah, Kuala Lumpur:
Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia.
Saari Sungib, 1996. Membina Teras-Teras Kekuatan, Kuala Lumpur: Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia.
Saari Sungib 1998. “Melonjakkan Aktivitisme JIM Dalam Agenda Pengislahan
Ummah”, Ucapan Perdana di
Perhimpunan Perwakilan Nasional JIM 1998.
Saari Sungib, 1999. Bersama Menggarap Erti Perjuangan - Meneruskan
Tradisi Perjuangan Menegakkan
Kebenaran dan Keadilan, Kuala Lumpur: Pertubuhan Jamaah Islah
Malaysia.
Back To Publications Page | Back To Main Page |