MASSA, Bil.212, 23-29 Oktober 1999, hal.26-29

GEMILANGKAN PERTANIAN DI ALAF BARU

Muhammad Syukri Salleh

Kembalinya minat banyak pihak terhadap pertanian sekarang, setelah lebih kurang sedekad minat itu tertumpu kepada sektor pembuatan dan perkhidmatan, adalah langkah yang waras sekali. Pelancaran MAHA '99 (Malaysian Agriculture, Horticulture and Agrotourism 1999), AGEX '99 (Asian Agricultural Exposition and Convention 1999) dan pengemaskinian DPN3 (Dasar Pertanian Negara Ketiga: 1998 - 2010) mempamerkan kembalinya komitmen pelbagai pihak terhadap pertanian ini.

Pelbagai pihak sesungguhnya sudah sangat peka bahawa pengabaian terhadap pertanian bererti paling tidak pengabaian terhadap pembangunan para petani yang kebanyakannya bumiputera. Pada penghujung tahun 1995, dari 4.1273 juta tenaga kerja Bumiputera, 23.9% adalah pekerja pertanian. Dari seluruh gunatenaga dalam sektor pertanian (termasuk perhutanan, penternakan dan perikanan) pula, 60.1% adalah Bumiputera. Dalam tahun 1998, di kalangan pesawah padi sahaja, 95% adalah Bumiputera (Melayu-Islam).

Lebih dari itu, pengabaian terhadap pertanian juga bererti pergantungan kepada impot makanan dan mendedahkan sosio-ekonomi dan politik negara kepada ketidak-stabilan. Pada tahun 1998, negara telah membelanjakan sejumlah RM10 bilion untuk impot makanan, berbanding dengan masing-masing RM3.5 bilion dan RM7.7 bilion pada tahun 1985 dan 1995. Dalam keadaan kegawatan ekonomi, jumlah sebanyak RM10 bilion itu memberi kesan yang cukup menyakitkan dari perspektif pertukaran matawang asing. Di samping itu, walaupun dalam keadaan biasa di mana nilai impot ini boleh dipenuhi dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang agak tinggi, namun ia tidak menjamin keperluan makanan boleh terus menerus dibeli dengan mudah sepanjang masa.

Penawaran makanan dari luar negara penuh terdedah kepada ketidaktentuan. Kalau pun ia tidak digunakan sebagai senjata politik oleh negara pengeluar, paling tidak ia meletakkan negara dalam keadaan pergantungan yang tidak putus-putus. Apabila berlaku huru hara atau bencana alam di negara pengeluar, penawaran makanan dari negara berkenaan akan turut terjejas.

Apabila berlaku kegawatan ekonomi di negara sendiri, seperti apa yang berlaku dalam tahun 1998 itu, kemampuan membeli menjadi kurang dan impot makanan akhirnya mungkin terpaksa dicatu.

Pendeknya, tanpa pertanian sendiri bererti tanpa jaminan terhadap penawaran makanan. Tanpa jaminan terhadap penawaran makanan bererti terdedahnya rakyat kepada penyakit dan kelaparan. Penyakit dan kelaparan bukan sahaja boleh menimbulkan ketidakstabilan sosial dan ekonomi, malah ia boleh menggugat kestabilan politik dan pemerintahan keseluruhannya.

Menyedari hakikat inilah barangkali, antara lain, kerjasama pertukaran (perdagangan) makanan dengan hasrat melahirkan jaminan makanan antara negara-negara ASEAN menjadi salah satu fokus utama di AGEX ’99. Begitu juga, di dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ketujuh 1999-2000, selaras dengan Dasar Pertanian Negara Ketiga, perhatian semula terhadap sektor pertanian ini tertumpu kepada dua matlamat utama: pertama, memperkukuhkan pengeluaran makanan tempatan untuk mengurangkan pergantungan kepada makanan impot, dan kedua, mempertingkatkan modenisasi agar Malaysia menjadi pengeluar pertanian yang tinggi nilai ditambahnya (value-added).

Kedua-dua matlamat ini cuba dicapai melalui promosi teknologi dan pengurusan moden, serta galakan pertanian berskala besar dan tersusun melalui `pengestatetan’ (`estatization’) tanaman makanan. Untuk ini, penyertaan sektor swasta digalakkan agar dengan itu produktiviti dapat ditingkatkan, daya saing dapat diperkukuhkan dan pertanian komersil berskala besar dapat direalisasikan. Sebagai sistem sokongan, kredit pertanian serta khidmat latihan dan pengembangan terus diadakan, terutamanya untuk pekebun-pekebun kecil. Di samping itu, untuk mencapai objektif asas pembangunan pertanian, yakni pemaksimuman pendapatan, Dasar Pertanian Negara Ketiga menekankan kepada pendekatan perhutani (mengintegrasikan sumber perhutanan dan pertanian), dan kedua, melalui pendekatan produk yang menumpukan pembangunan kepada kelompok tertentu.

Usaha menggemilangkan kembali sektor pertanian ini, walau bagaimana pun, tidaklah mudah hendak dicapai kecuali pelbagai macam cabaran dalam alaf baru dapat ditangani. Paling tidak ia perlu mengambil kira bagaimana menarik balik ke sektor pertanian tiga sumber utama, yakni gunatenaga, tanah dan modal yang telah agak lama mengalih kepada sektor industri dan perbandaran.

Gunatenaga pertanian saja, mengikut Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ketujuh 1996-2000, terus berkurangan sebanyak 2.0%, dari 1.5 juta pada tahun 1995 kepada 1.4 juta pada tahun 1998. Malah diakui dalam Kajian ini bahawa kekurangan buruh merupakan halangan utama kepada pertumbuhan sektor pertanian. Sektor perladangan misalnya, pada tahun 1998, kekurangan 30,000 pekerja, terutamanya penoreh getah, pemetik buah dan pembersih ladang.

Masalah gunatenaga ini tidak boleh dilihat secara terpisah dari sistem ekonomi dan peralihan budaya hidup secara keseluruhannya. Oleh kerana sistem ekonomi sekarang, dan kemungkinan besar lebih hebat lagi pada alaf baru nanti, membentuk satu budaya hidup yang mementing dan memerlukan wang tunai secara cepat, maka budaya hidup gunatenaga dengan sendirinya beralih kepada sektor yang boleh memenuhi keperluan tersebut, terutamanya sektor industri, perbandaran dan perkhidmatan. Ini diperkuatkan lagi dengan sistem pendidikan tinggi negara yang makin luas terbuka kepada lebih ramai rakyat, termasuk anak para petani. Mobiliti sosial mereka begitu ketara. Tetapi dengan imej sektor pertanian sebagai sektor inferior berbanding dengan sektor-sektor lain yang boleh memenuhi keperluan wang tunai secara cepat, tarikan kepada sektor pertanian tentulah tersangat kurang sekali.

Selain itu, tanah juga menjadi permasalahan yang tidak kurang rumitnya. Antara tahun 1990-1996, purata pertumbuhan tanah pertanian hanyalah 1.0% berbanding dengan 367% purata pertumbuhan tanah bagi kawasan perbandaran. Sebahagiannya disebabkan dasar kerajaan yang menghentikan pembukaan rancangan tanah untuk pertanian di Semenanjung dan pembukaan tanah yang perlahan di Sabah dan Sarawak. Selain itu, ia juga disebabkan pertukaran status guna tanah dari tanah pertanian kepada tanah bukan-pertanian secara pesat. Antara tahun 1990-1996 sahaja, keluasan tanah pertanian menurun sebanyak 9.0% manakala tanah bukan-pertanian terutamanya tanah untuk perumahan, industri, komersil (padang golf dan lain-lain) serta kemudahan infrastruktur seperti jalanraya dan taliair meningkat sebanyak 5.0%.

Pada masa yang sama, tanah pertanian yang terbiar juga dikatakan tidak kurang banyaknya. Dalam tahun 1998, Kementerian Pertanian menganggarkan sejumlah 400,000 hektar, manakala pada Ogos 1998, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) menganggarkan bagi tanah getah sahaja, sejumlah 300,000 hektar adalah terbiar.

Namun begitu, kalau pun purata pertumbuhan tanah pertanian dapat ditingkatkan dan tanah terbiar ini dapat digunakan semula, ia tidak mempunyai apa-apa erti sekiranya struktur pemilikan tanah tidak memihak kepada petani bawahan. Dengan dasar pertanian komersil berskala besar dan penglibatan sektor swasta, ramai bimbang petani bawahan ini akan hanya mampu menjadi buruh, bukan menjadi pemilik atau pengurus. Dengan cengkaman globalisasi yang mampu menebrus hingga ke akar umbi masyarakat, tarikan lebihan dari para petani ini akan menjadi lebih cekap dan sofistikated hingga akhirnya para petani itu mungkin terus tinggal terpinggir dalam sistem dunia yang semakin komplikated.

Selain dari itu, menarik modal ke sektor pertanian juga merupakan satu lagi cabaran yang tidak kurang besarnya. Setakat ini, pelaburan dari syarikat-syarikat swasta dalam pertanian amnya dan perniagaan makanan-tani (agri-food) khususnya adalah sangat perlahan sekali. Pembiayaan untuk pertanian dari syarikat-syarikat kewangan untuk para pengusaha pertanian juga adalah sangat terhad. Kalau pun ada, ianya banyak pula tertumpu kepada sistem konvensional berasaskan riba’. Dalam keadaan pengusaha pertanian yang majoritinya Melayu-Islam dan kesedaran Islam yang sentiasa meningkat di kalangan orang-orang Islam di Malaysia, keadaan ini tidak akan membantu mereka melibatkan diri secara aktif dalam usaha menggemilangkan pertanian di alaf baru ini, kecuali sistem pembiayaan pertanian ini dibuat secara Islam.

Setakat ini Bank Pertanian ada cuba memperkenalkan sistem pembiayaan pertanian secara Islam. Namun peranan dan keseriusannya perlu ditingkatkan dengan banyak sekali. Keuntungan tinggi yang diambil Bank Pertanian dalam sistem Bai’ Bithamin Ajil melebihi dari kadar faedah yang dikenakan oleh sistem konvensional perlu diturunkan segera. Promosi sistem konvensional melebihi promosi Bai’ Bithamin Ajil juga tidak harus lagi berlaku. Malah, Bank Pertanian dan institusi-institusi kewangan seumpamanya patut memperluaskan produk pembiayaan kepada prinsip-prinsip Murabahah, Ijarah, As Salam, Istisna', Ar Rahn, Mudharabah, Musyarakah, Muzara'a dan Musaqat yang telah disediakan Islam dengan banyaknya.

Kalau tiga permasalahan asas ini, yakni permasalahan gunatenaga, tanah dan modal dapat ditangani dengan sebaiknya, sebahagian besar cabaran alaf baru untuk menggemilangkan kembali pertanian ini telah dapat diatasi. Selebihnya, usaha ini hanya perlu berdepan secara pintar dengan faktor-faktor luaran seumpama globalisasi, keprihatinan terhadap alam sekitar, pilihan pengguna dan penggunaan teknologi maklumat untuk meningkatkan daya saingnya. Ini semua juga, walaubagaimana pun, tidaklah kurang pentingnya.
 
 
Back To Publications Page Back To Main Page

 
 
 

Hosted by www.Geocities.ws

1