MASSA, 1999

ETIKA REFORMASI

Muhammad Syukri Salleh
 

Reformasi, walaupun seringnya menuntut konflik dan mungkin huru-hara, melahirkan pengharapan akan berubahnya keadaan dari yang buruk kepada yang lebih baik. Atas sebab itu, logiknya reformasi secara tabii patut digemari semua orang kerana fitrah semua orang adalah gemarkan kepada sesuatu yang lebih baik.

Begitulah juga reformasi yang sedang diusahakan di Malaysia sekarang. Secara logiknya, fitrah semua orang patutnya menyukai berubahnya kezaliman kepada keadilan, atau berubahnya kepincangan kepada kesempurnaan.

Namun begitu keadilan dan kesempurnaan tidak mungkin wujud kecuali reformasi itu sendiri digerak berdasarkan etika yang mulia. Ertinya bukan sahaja hasil reformasi patutnya lebih baik dari apa yang ada sekarang, tetapi reformasi itu juga mesti diperjuangkan dengan kaedah yang jauh lebih baik dari kaedah musuh-musuh mereka.

Tetapi apakah terdapat etika-etika berkenaan di dalam gerakan reformasi di Malaysia sekarang? Apakah unsur-unsur yang lebih baik sudah berlaku di dalam gerakan reformasi berkenaan, sebelum berlakunya hal-hal yang lebih baik sebagaimana yang diperjuangkan mereka di peringkat negara?

Pemerhatian setakat ini belum menemui sesuatu yang memberangsangkan. Baik dari segi kaedah atau strategi, banyak perkara yang perlu diperbaiki. Etika reformasi yang mampu membawa kemenangan dan keadaan yang lebih baik belum terserlah. Malah kalau diukur secara kasar, gusar sungguh kita takut-takut kaedah yang dipakai dan nilai diri pendokong reformasi tidak banyak bezanya dengan kaedah dan nilai diri musuh yang mereka tentang.

Paling tidak, setakat ini, pendokong reformasi nampaknya sangat kurang menekankan kepada dua tunjang etika, yakni pertama, iman dan taqwa, dan kedua, akhlak.

Sebahagian penggerak reformasi pasti menyedari bahawa Allah SWT hanya membantu orang-orang yang beriman dan bertaqwa. Tetapi pertemuan dan ceramah-ceramah reformasi jarang-jarang mengajak orang membuat reformasi dalam diri untuk mendapat iman dan taqwa, sedangkan iman dan taqwa adalah tunjang perjuangan dan boleh menjadi penyebab paling penting Allah SWT membantu perjuangan mereka.

Majlis-majlis reformasi kebanyakannya mengajak orang membuat reformasi dengan membakar semangat mereka dengan isu-isu lalu mengajak mereka merubah kekuasaan dan sistem yang ada. Ertinya pendokong reformasi ramai menyambut seruan reformasi kerana marah dengan isu-isu, bukan kerana meningkatnya iman dan taqwa mereka sehingga merasa bertanggungjawab merubah keadaan kepada yang lebih baik. Yang mendorong mereka berreformasi ialah isu-isu, bukan iman dan taqwa.

Tidak dapat dinafikan bahawa pendokong gerakan reformasi bukan Islam semuanya. Tetapi tidak dapat dinafikan juga bahawa paksi gerakan reformasi adalah orang Melayu-Islam. Kalau orang Melayu-Islamlah yang memimpin dan mendominasi gerakan reformasi, maka tentulah tidak sampai bantuan Allah SWT sekiranya mereka tinggalkan senjata iman dan taqwa dalam perjuangan mereka. Kalau usaha mendapat dan menanamkan iman dan taqwa diketepikan, tambahlagi syariat dilanggari seperti bersalaman dan berpegangan tangan lelaki perempuan serta maki hamun disemburkan kepada musuh-musuh secara tidak beretika, Allah SWT tidak akan memandu dan membantu perjuangan reformasi mereka.

Selain dari iman dan taqwa, pendokong reformasi juga ramai yang tidak mempamirkan akhlak yang lebih baik dari musuh mereka. Keganasan ketika berdemonstrasi mungkin ciptaan musuh dan oleh itu tidak boleh dijadikan pengukur kepada akhlak pendokong reformasi. Tetapi serangan-serangan peribadi (character assassination) dan sifat memperlekehkan peribadi tokoh-tokoh musuh nampaknya hampir menjadi kebiasaan yang lumrah di kalangan tokoh-tokoh gerakan reformasi. Ucapan tokoh-tokoh reformasi, sama ada atas platform gerakan reformasi atau gerakan-gerakan yang bergabung dengannya sering menjadikan perlekehan peribadi musuh-musuh sebagai bahan ketawa dan ejekan.

Begitulah juga di dalam tulisan-tulisan. Dalam mempertahankan isu sekularisme yang ditimbulkan oleh Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat misalnya, tulisan Setiausaha Akhbarnya lebih banyak menyerang peribadi Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Wan Mokhtar Ahmad daripada menumpukan kepada perbincangan isu sekularisme secara berakhlak, ilmiah dan mendalam. Ramai orang yakin kebenaran Menteri Besar Kelantan itu, tetapi keyakinan ini dirosakkan oleh tulisan berkenaan. Begitulah juga dalam mempertahankan novel Shit karya Dato’ Professor Shahnon Ahmad. Pendokong reformasi membuat sokongan secara ad-hoc dan spontan, memakai alasan bahawa musuh merekalah yang memperkenal dan menggunakan unsur-unsur lucah dan kotor dan kalau pun ianya salah di sisi Islam, ia baru setakat berdosa tetapi masih tidak bersalahan dengan aqidah.

Alasan-alasan ini tidak mempamirkan lebih bagus dan lebih berakhlaknya pendokong reformasi ini dari musuh-musuh mereka. Mereka seolah-olah mengatakan bahawa kalau musuh-musuh mereka boleh bercakap kotor dan mencarut serta bersifat lucah, kenapa mereka pula tidak boleh? Malah lebih dari itu, mereka seolah-olah mengatakan bahawa mereka sanggup bermain dengan dosa semata-mata ingin mempertahankan sebuah novel yang mengkritik musuh mereka dengan pedas dan tajam. Dari segi ini, orang ramai tidak nampak apa baik dan istimewanya pendokong reformasi ini berbanding dengan musuh-musuh mereka.

Hal-hal ini sedikit demi sedikit boleh meragukan orang ramai tentang kemampuan gerakan reformasi ini melahirkan sistem dan keadaan yang lebih baik dari apa yang dilakukan oleh orang-orang yang dimusuhi gerakan reformasi itu. Dengan sifat yang dipamirkan sekarang, tidak ada jaminan yang meyakinkan bahawa mereka tidak akan melakukan dosa seperti yang dilakukan oleh musuh-musuh mereka sekarang kalau ditakdirkan mereka berkuasa nanti. Lebih berat dari ini, tidak berakhlaknya pendokong reformasi dan beraninya mereka bermain dengan dosa boleh menjadi sebab yang cukup kuat tidak sampainya bantuan Allah SWT kepada perjuangan mereka!

Sejarah perjuangan umat Islam cukup banyak mengajar kita tentang perkara ini. Allah SWT pernah tidak makbulkan sembahyang hajat Nabi Musa a.s. dan pengikutnya untuk dapatkan hujan hanya kerana ada seorang dari beribu-ribu pengikut Nabi Musa a.s. yang bersembahyang hajat itu yang melakukan dosa. Allah SWT hanya makbulkan sembahyang hajat mereka setelah seorang yang berdosa itu melakukan taubat sungguh-sungguh. Itu pun Allah SWT rahsiakan nama pengikut yang berdosa itu daripada Nabi Musa a.s., dengan maksud mendidik Nabi Musa a.s. berakhlak dengan menyembunyikan aib orang berkenaan.

Panglima Salahuddin Al-Ayubi pula hanya membawa ke medan perang tenteranya yang bersembahyang malam, berzikir dan berwirid, membaca al-Qur’an dan melakukan hal-hal yang sunat sepanjang malam. Mereka yang tidur malam tidak dipilihnya untuk berperang, padahal beribadat malam bukanlah wajib manakala tidur malam pula bukanlah berdosa. Namun Salahuddin tinggalkan yang tidur malam, takut-takut atas sebab mereka tidak merasakan perlu kepada Allah SWT ini maka Allah SWT tidak menghulurkan bantuan dalam perjuangan mereka menentang musuh. Begitulah juga dengan Sayidina Umar yang mengarahkan tenteranya bersugi, membetul dan merapatkan saf sembahyang kerana beliau mengetahui atas sebab-sebab sifat berakhlak dengan Allah itulah Allah SWT akan memenangkan mereka.

Berdasarkan pengalaman-pengalaman di atas, gerakan reformasi di Malaysia tidak mungkin akan menang kecuali mereka kembali memperkemaskan etika mereka, terutamanya dengan meningkatkan iman dan taqwa serta memperhalusi akhlak. Kalau tidak, usaha reformasi ditakuti akan hanya mengorbankan harga kedamaian yang tinggi, tetapi hasilnya tidak membawa kepada apa-apa perubahan kebaikan yang jitu dan bermanfaat. Apakah ada jawapan dari pendokong reformasi apabila Allah SWT menyoal mereka tentang perkara ini di akhirat kelak?
 
 
Back To Publications Page Back To Main Page

 
 
 
 
 

Hosted by www.Geocities.ws

1