Dewan Ekonomi, Oktober 1999, hal.62
 

BEKERJA ATAU MENJADI HAMBA WANG?

Muhammad Syukri Salleh
 

Erti bekerja itu luas di sisi Islam. Bekerja bukan bererti bekerja yang boleh mendatangkan wang atau kuasa beli semata-mata. Bekerja menegakkan Islam sebagaimana yang dilakukan oleh Ahlus-Suffah itu pun dianggap sebagai bekerja juga. Mereka tidak bekerja mencari wang, tetapi sentiasa bersama Rasulullah SAW memuliakan Islam, sama ada melalui usaha memperkembangkan ilmu, berdakwah atau menyertai peperangan. Seorang ibu yang menjadi suri rumah seratus peratus untuk menjaga rumah, melayan suami dan mendidik anak-anak itu pun dianggap bekerja juga. Malah kedua-dua kerja ini, sama ada yang dilakukan oleh Ahlus-Suffah atau suri rumah, dalam banyak segi adalah lebih mulia dari bekerja untuk mendapatkan gaji dan kuasa beli semata-mata.

Kerja Ahlus-Suffah mulia kerana mereka adalah penegak dan penyebar Islam hingga Islam menjadi gemilang. Mereka adalah penegak Islam sepenuh masa. Jadi kalau ada manusia yang berhenti bekerja makan gaji dan menjadi penegak dan pejuang Islam sepenuh masa, maka mereka sebenarnya hanya bertukar kerja, bukan berhenti kerja. Yang berbezanya ialah ganjarannya. Bekerja makan gaji mendapat ganjaran mata wang secara cepat, manakala bekerja sebagai penegak dan pejuang Islam mendapat ganjaran di akhirat.

Surirumah pula adalah mulia kerana menjaga, mendidik dan mempastikan teguhnya institusi kekeluargaan. Teguh institusi kekeluargaan teguhlah masyarakat dan generasi yang akan datang. Teguh generasi yang akan datang, maka teguhlah negara dan umat. Seperti juga Ahlus-Suffah, seorang suri rumah yang berhenti kerja makan gaji kerana bekerja di rumah sepenuhnya sebenarnya hanya bertukar kerja, bukan berhenti kerja. Mereka tidak mendapat wang dan kuasa beli di dunia, tetapi pasti akan mendapat ganjaran yang besar di akhirat. Kalau dirasakan sumbangan mereka patut dihargai di dunia, negaralah yang patut menyediakan insentif kewangan untuk mereka. Tidak sia-sia memberikan ganjaran kewangan kepada mereka kerana mereka mampu menyelesaikan banyak masalah akar umbi, umpamanya masalah perceraian, masalah gejala sosial, masalah dadah, masalah anak-anak lari dari rumah dan sebagainya. Kos menyelesaikan masalah-masalah ini tentulah jauh lebih tinggi dari jumlah insentif yang diberikan kepada suri rumah tadi. Tambah lagi, tanpa masalah-masalah ini, negara boleh membangun dengan bersih dan aman damai.
 

Tidak Bekerja

Selagi manusia tidak menyusahkan masyarakat, mereka tidak perlu bekerja untuk mendapatkan duit dan seterusnya kuasa beli. Abu Hurairah, walaupun lapar, tidak pernah meminta-minta. Dengan apa cara sekali pun, beliau elaki dari mengemis dan meminta-minta. Adalah menjadi tanggungjawab orang-orang yang berada untuk membantu orang yang tidak berada. Sebab itu di dalam Al-Qur’an disebutkan bahawa orang-orang yang dinafkah Alah SWT dengan rezeki, maka hendaklah mereka memberi, termasuk kepada orang-orang yang tidak meminta-minta. Orang berada mesti faham bahawa orang yang tidak bekerja untuk wang itu, memerlukan barangan dan perkhidmatan.

Ertinya, hubungan sosial masyarakat Islam berlandaskan kepada hubungan harmoni masyarakat, bukan berdasarkan konflik masyarakat seperti kepercayaan Karl Marx dan Marxis. Orang kaya membantu orang miskin manakala orang miskin memberi khidmat kepada orang kaya. Masyarakat Islam bergerak ke hadapan dengan hubungan harmoni ini, bukan bergerak kerana konflik.

Kerja kita berlandaskan teori kapitalisme yang berfalsafahkan teori pasca-klasikal.

Kita dianggap sebagai buruh dan sebahagian dari faktor-faktor pengeluaran. Kita diletakkan setaraf dengan modal, tanah, keusahawanan dan faktor-faktor pengeluaran yang lain. Ertinya kita dianggap seperti komiditi. Yang diambilkira ialah tenaga, kemahiran dan hal-ehwal fizikal kita. Yang spiritual tidak diambilkira.

Dengan perkataan lain, kita bekerja, tetapi menggunakan setengah dari kemanusiaan kita sahaja. Kita bekerja tetapi tidak cukup sebagai seorang manusia.

Oleh itu kita bekerja, tetapi tidak dikira sebagai bekerja sebagai hamba dan khalifah Allah. Kita bekerja hanya untuk mempertingkatkan kuasa beli kita semata-mata.

Sebab itu dalam bekerja dan dalam menggunakan hasil pekerjaan kita, kita tidak semestinya patuh sebagai hamba Allah dan khalifah Allah SWT. Malah ramai dari kita yang jauh lari dari kehendak-kehendak Islam.

Kita patut bekerja, tetapi erti bekerja itu tidak bererti bekerja yang mendatangkan hasil kewangan semata-mata. Begitu juga, dalam kita bekerja, status manusia sebagai hamba dan khalifah Allah SWT mesti dipertahankan. Kita mesti bekerja sebagai manusia sepenuhnya, sepertimana yang terkandung di dalam rahsia penciptaan dan fungsi kehidupan manusia, bukan sebagai separuh manusia. Bekerja adalah hanya alat untuk mencapai fungsi kehidupan manusia yang telah ditetapkan oleh Islam itu.
 
 
Back To Publications Page Back To Main Page

 
 
 
 
 

1

Hosted by www.Geocities.ws

1