Dewan Ekonomi

KEMELUT PEMBANGUNAN: BOLEHKAH DISELESAIKAN DENGAN KAEDAH SAINS SOSIAL LAZIM?

Muhammad Syukri Salleh
Projek Pengurusan Pembangunan Islam (IDMP)
Universiti Sains Malaysia
 

Kemelut pembangunan bukanlah satu perkara baru. Ia telah lahir bersama lahirnya manusia, bermula dengan tiga peristiwa besar. Pertama, peristiwa kemelut Azazil-Adam; kedua, peristiwa kemelut Adam-Hawa; dan ketiga, peristiwa kemelut Qabil-Habil.

Kemelut Azazil-Adam berlaku apabila Malaikat Azazil yang kemudiannya menjadi iblis dan dilaknat Allah, enggan patuh kepada perintah Allah untuk sujud kepada Nabi Adam (Al-Baqarah 2:34). Kemelut Adam-Hawa pula berlaku apabila kedua-duanya melanggar larangan Allah memakan buah khuldi di syurga (Al-Baqarah 2:35-38). Dan kemelut Qabil-Habil berlaku apabila Qabil, anak kepada Adam-Hawa, membunuh saudaranya Habil kerana pengorbanan harta tidak ikhlasnya tidak diterima Allah dan kerana dijodohkan dengan saudara perempuannya yang tidak cantik (Al-Maa’idah 4:27-31).

Ketiga-tiga peristiwa kemelut ini berhubungan dengan unsur-unsur pembangunan. Peristiwa Azazil-Adam berhubungan dengan mazmuumah (ujub dan ego). Peristiwa Adam-Hawa berhubungan dengan kepenggunaan. Manakala peristiwa Qabil-Habil pula berhubungan dengan persoalan hak-milik. Dengan lain perkataan, kemelut Azazil-Adam ada kena mengena dengan pembangunan insan, manakala kemelut Adam-Hawa dan Qabil-Habil kena mengena dengan pembangunan material.

Malaikat Azazil tidak mahu tunduk kepada Adam walaupun diperintah oleh Allah kerana egonya. Azazil berpendapat asal kejadiannya lebih mulia dari Adam. Adam dan Hawa pula telah terlajak melanggar larangan Allah kerana ingin memenuhi hasrat kepenggunaan mereka. Dengan tipu daya iblis, mereka memakan buah khuldi. Manakala Qabil pula tidak sanggup mengorbankan hak-milik hasil pertaniannya yang baik, tetapi sebaliknya mengorbankan untuk Allah hanya hasil-hasil pertaniannya yang tidak baik. Qabil kemudiannya cemburu kepada saudaranya Habil, kerana pengorbanan Habil yang ikhlas diterima Allah dan beliau dijodohkan pula dengan saudara perempuannya yang cantik.

Ketiga-tiga kemelut awal ini membawa kepada tiga natijah yang berbeza. Malaikat Azazil dilaknat Allah dan dijanji kekal dalam neraka. Adam dan Hawa pula dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi, manakala Qabil akhirnya membunuh Habil.

Kemelut-kemelut Azazil-Adam, Adam-Hawa dan Qabil-Habil ini tidak mungkin dapat difahami sekiranya dianalisis mengikut Sains Sosial lazim. Kemelut-kemelut awal sejarah hidup manusia itu, seperti juga kemelut-kemelut pembangunan sekarang, meliputi kedua-dua hubungan, yakni hubungan manusia dengan Allah secara menegak dan hubungan manusia dengan sesama manusia dan sumber alam secara mendatar. Sedangkan alat analisis Sains Sosial lazim hanya mampu menganalisis hubungan manusia dengan sesama manusia dan sumber alam secara mendatar sahaja, malah menolak terus persoalan hubungan manusia dengan Allah secara menegak.

Natijahnya, kalau memakai perkaedahan Sains Sosial lazim, tidak mungkin kemelut pembangunan akan difahami apa lagi dapat diatasi kerana analisisnya hanya berkisar kepada hubungan mendatar semata-mata. Sedangkan formula penyelesaian sebenarnya memerlukan kepada analisis yang merangkumi kedua-dua hubungan menegak dan mendatar secara bersepadu, sebagaimana yang dipakai oleh analisis pembangunan berteraskan Islam. Dengan ini barulah kemelut pembangunan dapat diatasi.

Dengan lain perkataan, perspektif dan kaedah Sains Sosial lazim tidak mampu memahami apatah lagi mengatasi kemelut pembangunan. Tambahlagi epistemologi Sains Sosial lazim ini berakar-umbi dan sangat berbentuk etno-sentrik Barat. Ia lahir dari aqal pemikir-pemikir Barat seperti Auguste Comte, Herbert Spencer, Emile Durkheim, Karl Marx, dan Max Weber.

Asas-asasnya pula terdiri daripada perkara-perkara yang tidak selari malah bertentangan dengan ajaran Islam. Pertama, teknik-tekniknya yang berasal dari sains fizik bersifat hanya saintifik dan empirikal di samping memakai hanya fakta-fakta yang boleh diamati (observable facts). Ia menafikan kewujudan hal-hal ghaib kerana hal-hal ghaib ini tidak boleh dibuktikan secara saintifik, tidak boleh diselidiki secara empiris dan tidak boleh diamati dengan fakta-fakta nyata.

Kedua, Sains Sosial lazim juga bersifat anti-dogmatik, anti-a priori dan anti-sistem teologi. Ia menolak dogma, yakni ajaran atau kepercayaan yang tidak boleh dibantahi dan yang mesti diterima tanpa soal, seperti umpamanya percaya kepada Rukun Iman dan Rukun Islam. Sikap sebegini merupakan sifat-sifat sekularisme yang sistem etikanya hanya berlandaskan prinsip-prinsip moral tabii’ dan bebas dari agama wahyu dan supernaturalisme. Ia menganjurkan kebebasan berfikir secara sendiri dan menyatakan manusia mempunyai hak membincang dan membahas kesemua persoalan-persoalan penting seperti asas-asas tanggungjawab moral, kewujudan Tuhan, kejahatan nafsu dan sebagainya. Sains Sosial lazim juga menolak konsep a priori, yakni konsep atau idea yang tidak berdasarkan kepada fakta atau pengalaman, umpamanya metafizik dan sebagainya.

Dengan dua asas utama ini, Sains Sosial lazim ternyata hanya terhad kepada hal-hal yang mendatar: saintifik, fakta-fakta yang hanya mampu diamati dengan pancaindera (observable facts), dan empirikal. Ia menolak Tuhan dan elemen-elemen a priori (umpamanya percaya bahawa Tuhan itu Esa) dan cenderung kepada sifat bebas-nilai (value free).

Itulah sebabnya, antara lain, kenapa Sains Sosial lazim tidak cukup untuk menganalisis fenomena kemelut pembangunan, apatah lagi mencari punca kemelut berkenaan dan mengatasinya dengan tepat. Tambah lagi ianya memisahkan agama dari penganalisaan Sains Sosial, seperti yang dilakukan oleh Brian Parkinson, Bert Hoselitz dan Karl Marx. Mereka menganggap bahawa ekonomi, yang dipanggil mereka sub-struktur, menjadi penentu kepada corak perkara-perkara bukan-ekonomi, atau yang dipanggil superstruktur, seperti agama, budaya, politik, sosial, undang-undang dan sebagainya.

Ertinya ekonomi, atau sub-struktur, adalah lebih penting dan kuat dari perkara-perkara bukan-ekonomi, atau superstruktur, hatta agama sendiri pun. Malah, dalam pemikiran ini, agama diletakkan sama tarafnya dengan perkara-perkara bukan-ekonomi yang lain.

Dalam keadaan demikian, adalah penting pengajaran dan perkaedahan Sains Sosial di universiti-universiti di Malaysia diteliti dan dinilai kembali. Tanpa penelitian dan penilaian kembali ini, bukan sahaja kemelut pembangunan tidak mungkin dapat difahami dan diatasi, malah aqidah pelajar-pelajar Islam juga berada dalam keadaan yang cukup membahayakan.
 
 
Back To Publications Page Back To Main Page

 
 
 
 
 
 
 
 
 

1

Hosted by www.Geocities.ws

1