Jalan-Jalan:
Secebis Kisah Buat Pedoman
[Cerita di bawah ini saya tulis pada
tarikh 26 Dis 2004 (tidak ada kena mengena dengan kisah Tsunami). Sebaik-baik sahaja siap dikarang, satu negara heboh
dengan cerita ombak Tsunami; tak jadi saya send email ini kerana jika dihantar
pun tentunya cerita-cerita sebegini akan tenggelam di celah-celah kisah Tsunami yang
berbagai rupa itu. Lalu, saya
pendamkan email ini buat seketika. Kini, isu
Tsunami sudah pun reda; mungkin ada eloknya kita buka semula kisah-kisah
masyarakat marhain seperti ini untuk tatapan bersama. Moga
ada manafaatnya.]
Di minggu terakhir bulan Disember 2005, syarikat tempat saya
bekerja mengumumkan bonus tahunan untuk tahun ini, yang tertinggi jumlahnya semenjak ianya beroperasi
di sini. Seorang rakan sekerja kemudiannya datang berjumpa saya menyatakan
hasratnya ingin menyumbangkan sedikit bahagian daripada wang bonusnya itu untuk
mereka-mereka yang memerlukan, khususnya masyarakat marhain di pedalaman
Baling, daerah
kelahiran saya.
Lalu, pada hari sabtu tanggal 25 Dis 2004, sempena cuti
Krismas, saya bersama-sama dengan beberapa orang rakan mengambil keputusan untuk ke Baling
lagi. Kali
ini saya bawa sahabat-sahabat saya
itu ke rumah seorang ibu tunggal yang saya panggil Kak Zariah, 42 tahun di
Kampung Kuala Kuang, Baling Kedah.
Kak Zariah mempunyai 5 orang anak: Mohd Zabidi (ting 2) Mohd
Zaini (ting 1), Mohd Zulhairi (darjah 4), MohdIzad (darjah 1) dan Khairunnizad
(perempuan - 4 tahun). Setelah kematian suaminya, Kak Zariah menyara
hidup beliau dan anak-anak dengan hasil menoreh getah di kebun orang.
Pendapatan bulanan: kalau tak hujan, jika dapat menoreh
berterusan, seminggu dapatlah dalam RM100, bahagi dua dengan tuan
kebun, dapatlah RM50. Itu pun kalau tak hujan, kalau hujan RM200
sebulan pun belum tentu. Bila ditanya mengenai arwah suaminya,
sedar tak sedar baru beliau perasan
- suaminya pulang ke rahmatullah exactly satu tahun sebelum itu iaitu pada hari
Krismas 25 Dec 2003. What a coincidence, lawatan kami tepat pada hari
anniversary pemergian suaminya ke hadrat Illahi.
Apabila timbul pertanyaan mengenai
suaminya, secara tiba-tiba dapat dilihat wajah sayu datang bertandang di
mukanya; mungkin pertanyaan kami itu menggamit rasa duka di hati, atau pun
mungkin secara tiba-tiba kenangan bersama suami datang menerpa tanpa diundang.
Apa tidaknya semenjak ketiadaan alllahyarham, selama satu tahun ini beliau menjadi
ibu dan ayah kepada anak-anak tersayang.
Kalaulah ada arwah, tentunya Kak Zariah
tidak lagi perlu berseorangan mengambil upah menoreh di pokok orang, dan
tentunya ada rakan untuk menemaninya tatkala heboh satu negara kisah gajah
mengamuk di Kampung Kuala Kuang, Baling Kedah hinggakan keluar berita muka
hadapan suratkhabar Berita Harian (lihat gambar).
Sebetulnya semasa kami ke
beliau tak pernah terserempak
dengan binatang gajah itu, cuma biasalah
kadang-kadang waktu sedang menoreh, kata Kak Zariah: "Mata dok kerling
kiri kanan, tunggu masa nak cabut lari", bila jelas terdengar di
telinganya suara gajah bertempik sedang mematahkan pokok-pokok kayu di kebun
berhampiran. Bagi sesetengah orang, tentunya tidak sanggup; sudahlah seorang
diri, perempuan pulak tu. Tapi, apakan
daya demi anak-anak, demi sesuap nasi dan demi mencari rezeki, semuanya
terpaksa digagahi.
Walaupun anak gajah yang mencuri kain persalinan seorang
penoreh dan kemudian menyerang pegawai mergastua yang dihantar masuk itu sudah
pun ditembak mati, tapi masih banyak lagi gajah-gajah liar di situ yang
bila-bila masa sahaja boleh muncul keluar
dari kawasan Banjaran Bintang
berdekatan mengganggu ketenteraman Kak Zariah dan rakan-rakan mencari makan.
Tapi, kali ini jika gajah-gajah itu muncul lagi, bukan kata
Kak Zariah atau pun orang kampung, tapi pegawai mergastua sendiri tidak berani bertindak sebarangan.
Ya lah, setelah muncul kisah gajah di Baling ditembak mati dalam akhbar
tempatan, berbagai
kumpulan yang mengaku menjadi
"Sahabat Haiwan" mengkritik keras tindakan berkenaan, kata mereka
gajah pun punya hak asasi juga.
Kak Zariah mungkin tidak faham apa
itu yang dikatakan sebagai hak asasi haiwan, tapi beliau yakin sebagai manusia,
beliau dan orang-orang kampungnya ada juga mereka punya hak asasi, iaitu hak
untuk mencari rezeki.
Sebetulnya, saya amat tertarik dengan kisah Kak Zariah ini,
bukan kerana kisahnya sebagai seorang penoreh getah di kaki banjaran Bintang
yang kais pagi makan pagi kais petang makan petang, tapi kerana kisah
perjuangan hidupnya sebagai seorang ibu tunggal
yang sanggup berhadapan dengan apa
sahaja termasuk risiko dipijak gajah hutan, semata-mata untuk membesarkan anak-anak tersayang. Adalah
dirasakan cerita Kak Zariah ini seharusnya dijadikan inspirasi oleh ibu-ibu
tunggal dan juga semua kaum wanita di
luar
Kepada anak-anak perempuan saya, saya turut khabarkan kepada
mereka kisah Makcik Zariah ini, tapi biasalah budak-budak perempuan:
kadang-kadang kita pun tidak
paham; anak-anak saya itu yang sulung misalnya ada tali
pinggang Tae Kwan do warna Hitam berbelang Merah, yang no dua tali pinggang
Merah dan yang no tiga tali
pinggang Biru, tapi bukan kata
Gajah, lipas mati saya acah nak lempar kat depa pun, habis pakat lari bertempiaran
keliling rumah.
Sebenarnya kisah gajah mengamuk di Kg
Kuala Kuang ini bukan perkara baru. Beberapa belas tahun yang silam, pernah
keluar berita di akhbar tempatan kisah seorang pelajar Politeknik Ungku Omar,
budak Kuala Kuang mati diamuk gajah di pinggir hutan. Masih
saya ingat lagi kisah Johan anak Ustaz Ghani itu lembik dilanyak gajah tatkala
masuk ke hutan mencari buah kerdas bersama rakan-rakan.
Saya ingatkan cerita gajah di Kg Kuala
Kuang yg secara kebetulan bersebelahan dengan kampong Padang Dan, kampong
kelahiran saya itu cumalah satu cerita lama daripada sebuah kisah silam.
Saya ingatkan gajah sudah tiada lagi; saya ingatkan gajah-gajah di hutan berkenaan
sudah pun lama menghilang sejajar dengan kepesatan "pembangunan" yang
diwar-warkan oleh pelbagai "perkumpulan" yang pernah memegang tampuk
kekuasaan di daerah kelahiran saya
ini.
Rupa-rupanya tidak - gajah masih ada lagi.
Sedar tak sedar Baling masih tetap seperti dulu, Baling tak banyak berubah
semenjak arwah ayah saya dan rakan-rakan turun melihat Mahasiswa berdemonstrasi
dalam apa yang dikatakan sebagai Mogok Lapar
penoreh dan petani di Baling pada tahun 1974, lebih kurang 30 tahun yang
lalu. Entahlah, mungkin Baling memang sudah
ditakdirkan sebegini sejak azali lagi.
Berbalik kpd kisah Kak Zariah, dengan
pendapatan RM200 sebulan apalah yang mampu beliau lakukan. Nasib baik juga ada sedikit bantuan dari JKM, bolehlah Kak Zariah bernafas
sedikit lega. Kasihan juga tengok anak-anaknya; sekolah nak buka dah
tapi baju, kasut dan beg sekolah masih belum dibeli lagi.
Selain perbelanjaan nak masuk sekolah, dari segi kelengkapan
rumah tidak ada apa sangat yang beliau perlukan. Rumah
pusaka yang ditambah dapur oleh arwah suaminya itu agak selesa untuk
beliau dan 5 orang anak-anaknya tinggal, cuma yang beliau agak
mengharapkan sekiranya ada yang
sudi membantu ialah sebuah tandas dan
bilik mandi yang sempurna seperti tandas dan bilik mandi di rumah jiran-jiran sekeliling.
Seganlah beliau, sudahlah janda, mandi
pula di luar rumah tanpa dinding sebagai halangan. Tandas pula, lihatlah
gambar yang disertakan ini, cuma bertutupkan
kain/kanvas buruk, kami nak
tunjukkan pun naik segan.
Dalam perjalanan pulang dari rumah Kak
Zariah, kami terserempak dengan seorang pakcik tua yang dipanggil PakJang
Matsin. Secara kebetulan, beliau yang baru
pulang dari kebun menoreh ini
adalah abang ipar kepada Kak Zariah. Bila ditanya tujuan kami datang itu, kami pun
ceritalah kami ini sekadar datang hendak melihat
khabar dan membantu setakat yang
termampu keluarga arwah adiknya ini. Kata PakJang Matsin:
"Kalau boleh tolong, tolonglah alhamdulillah!. Kami sini semua orang susah belaka,
tapi anak-anak arwah Pakcik Ani tu anak-anak yatim, depa lagi susah, tolonglah
depa!"
Kata beliau lagi:
"Kami nak tolong pun, kami pun motong (menoreh) juga; anak-anak
ramai...kami pun susah juga"
Memang susah sungguh, lihatlah gambar PakJang Matsin ini; kasut pun tak pakai.
Macam manalah agaknya beliau masuk hutan menoreh getah dengan hanya
berkaki ayam sahaja, dalam keadaan
dada hutan yang penuh dengan pacat, binatang merayap, onak duri dan haiwan berbagai rupa?
Sebetulnya, itulah realiti kehidupan
golongan Penoreh Getah di daerah Baling ini, yang masih tidak berubah seperti
30 tahun yang silam.
Tapi, itu bukanlah cerita yang ingin kita
sampaikan. Mesej penting yang ingin kita tekankan di sini ialah kisah
kecekalan seorang Ibu Tunggal di kaki Banjaran
Bintang yang sanggup berhadapan dengan apa
sahaja demi anak-anak tersayang.
Moga kisah ketabahan dan keberanian Kak Zariah seorang ibu
tunggal yang sanggup menyinsing lengan menghadapi kemungkinan diserang gajah
hutan, demi mencari sesuap nasi untuk anak-anaknya ini akan dapat menjadi
iktibar kepada kita semua yang saling
mengeluh dengan dunia pekerjaan
kita yang berbagai ragam.
Apalah sangat tekanan dan pressure tempat kerja kita
jika nak dibandingkan dengan apa yang Kak Zariah rasa. Teruk-teruk kita pun, di
hujung bulan insyaallah ada mesin ATM menunggu kita, tapi Kak Zariah - bukan
kata mesin ATM - mesin Basuh pun belum
tentu ada!
Bersyukurlah kita dengan apa yang
ada.