Tok Mek: Ke Mana Fazida Selepas Ini? 

 

 

Assalamualaikum,

 

Lebih kurang 7 hari yg lepas saya menerima panggilan talipon daripada

seorang sahabat menyatakan Tok Mek sedang sakit tenat dan teringin berjumpa

saya. Pada ketika itu saya sekeluarga sedang berada di Cherating, Pahang

bersama-sama anak-anak menghabiskan cuti sekolah mereka. Saya kira Tok Mek

sakit biasa-biasa saja, insyaallah lah kot masih boleh berkesempatan bertemu

bila saya pulang ke Kedah nanti.

 

Kami pulang ke Kedah hujung minggu yg lalu; pagi isnin (semalam) saya

menerima email drpd sdra Wahab menyatakan Tok Mek dah makin tenat dan sudah

pun dibacakan Yassin. Bagi mereka yang biasa dengan tradisi masyarakat Islam

di Kedah, apabila sampai peringkat baca Yassin bermakna sakitnya memang

sudah tiba ke penghujung.

 

Lalu, malam tadi, selepas waktu kerja, saya dan sdra Wahab bergegas ke Kg

Masjid, Kota Kuala Muda, Kedah (tempat Tsunami - kawasan yang agak familiar

untuk team NGO kami). Setibanya kami di sana, saya melihat Tok Mek terbujur

di tempat pembaringan, mata tertutup rapat, mulut sudah tidak mampu

berkata-kata, hanya degupan jantung naik turun dan ombak dada yang agak

ketara lebih kencang berbanding biasa menjadi penanda bahawa Tok Mek masih

lagi hidup bernafas dan bernyawa; dan tatkala melihatkan mulutnya ternganga

menyedut sisa sisa udara yang tinggal dengan ombak di dada yang makin lama

makin berdegup itu, memang boleh dirasakan pada ketika itu Tok Mek sedang

berhadapan dengan Sakaratul Maut yang amat ditakuti oleh setiap kita. To be

frank, saya tak sampai hati nak melihat Tok Mek dalam keadaan seperti itu.

 

Setelah berbual panjang dengan kaum keluarga Tok Mek (sepupu, anak pupu

etc); walaupun dalam keadaan agak berat hati, kami mengambil keputusan untuk

pulang lebih kurang jam 10:30 malam. Sebelum pulang saya sempat memegang

tangannya dan berkata sesuatu kepada beliau; kata salah seorang yang hadir

di situ, Tok Mek tak dengar aih apa yang saya katakan itu. Saya jawab: "Kita

tak tau, mungkin dia dengar apa yang kita dok cakap, cuma kita saja yang tak

tau". Saya tak berapa ingat apa yang saya kata, tak silap saya, saya cakap:

"Kami balik dulu Tok Mek!".

 

Dan, seperti yang diketahui, sejam selepas itu (11:30 malam), selepas kami

beransur dari situ, Tok Mek telah pergi meninggalkan kita. Saya tak pasti

sama ada saya rasa ralat atau pun tidak kerana tidak menunggu di situ hingga

ke penghujung hayatnya, namun jauh di sudut hati saya merasa lega kerana

dapat memenuhi harapan Tok Mek untuk saya bertemunya sebelum beliau

menghembuskan nafasnya buat kali terakhir. Cuma, yang saya agak terkilan,

saya tidak berkesempatan bertemu beliau di kala beliau masih mampu melihat

dan berkata-kata; saya terkilan sangat kerana saya merasakan ada sesuatu

yang peribadi ingin dikatakannya. Dua tiga kali juga saya bertanyakan adik

beradiknya yang hadir malam tadi, ada apa-apa amanat atau pun wasiat yang

Tok Mek tinggalkan kepada mereka, semuanya menyatakan tidak ada apa-apa.

 

Mungkin juga tidak ada apa-apa yang ingin diwasiatkannya, mungkin beliau

sekedar mahu berjumpa dengan saya sebelum pergi buat selama-lamanya, wallah

hu aklam.

 

Pagi tadi, sekali lagi, dari tempat kerja, kami (saya & sdra Warikh)

bergegas ke Kg Masjid Kota Kuala Muda. Dari pintu masjid, kami mengiringi

jenazah Tok Mek hingga ke liang lahad. Adik Fazida turut bersama-sama kami

pada ketika itu. Pada mulanya wajah beliau nampak biasa-biasa saja; tapi

bila habis tanah dikambus, tatkala Tok Imam mula mengambil tempat untuk

membaca talkin, saya melihat manik-manik jernih mula menitis dari mata

beliau; mulanya perlahan, kemudian makin sebak dan makin kencang. Kalaulah

beliau anak atau pun anak buah saya, tentu saya dah saya peluk minta sabar

dan bertahan; tapi beliau bukan anak-anak lagi, nanti apa pula kata orang.

Saya biarkan beliau menangis dan menangis, dan tersebak sepenuh

hati....seorang orang diri tanpa adik, kakak, abang, ibu atau pun ayah di

sisi.

 

Kasihan sungguh saya melihat beliau, terasa bagaikan nak menitis air mata.

 

Bila saya melihat mata adik Fazida merah bergenang dengan air mata, terus

saya pandang ke tempat lain; dia mai rasa sebak semacam.. Dalam keadaan itu,

adalah satu dua benda yang saya ucapkan kepada Fazida; saya pun dah tak

ingat sapa yang saya katakan, dan saya rasa Fazida pun mungkin tak ambik

peduli apa yang saya cakapkan itu; mungkin dalam kotak fikirannya Fazida

teringatkan kenangan lampau selama 15 tahun beliau hidup dan bermanja dengan

moyangnya ini, mungkin berbagai kenangan pahit manis suka dan duka, tanpa

dijemput tanpa diundang, satu persatu berputar laju di hadapan matanya itu.

 

Dan mungkin juga antara sebab air matanya terus mengalir dan bergenang itu,

beliau sendiri seperti juga kita semua yang mengikuti drama hidup sejak dari

mula: tertanya-tanya ke manakah beliau selepas ini? Siapa yang akan

menjaganya kelak? Siapakah yang akan menyambutnya tatkala pulang ke rumah

dari Asrama? Di waktu cuti sekolah, dengan siapakah beliau akan tinggal,

makan tidur dan menjadi tempat untuk bermanja? Apa akan jadi dengan rumah

Tok Mek yang sudah siap dan sempurna itu, siapakah yang akan menghuninya?

Bagaimana pula dengan dana duit Tok Mek dan Fazida? Macam mana pula dengan

Peperiksaan PMR yang bakal menjelma, mampukah beliau menghadapinya dalam

keadaan hidupnya tanpa Tok Mek bersama-sama? Dan 1001 persoalan lagi.

 

Seperti juga sidang pembaca sekelian, saya juga tidak punya jawapan untuk

itu semua.

 

Apa-apa pun pemergian Tok Mek nampaknya sedang membuka lembaran baru dalam

kisah hidup adik Nurfazida ini, seorang anak yatim sebatang kara. Moga Allah

SWT akan melindunginya di mana sahaja beliau berada.

 

Al-Fatihah untuk Tok Mek.

 

 

[email protected]

14 Jun 2005

 

Hosted by www.Geocities.ws

1