JLN-JLN BULAN PUASA:  Sebuah Rumah di Pinggir Kota

 

Lanjutan daripada email "Sebuah Rumah Di Kaki Rimba',

kami dijemput oleh seorang sahabat untuk melawat

sebuah keluarga yang agak daif terpinggir di tepi

pekan Penanti, yang terletak kira-kira sepelaung

jauhnya dari Bandar Kosmopolitan Seberang Jaya di

sebelah Barat, Bandaraya BM di sebelah Selatan dan

Bandar Baru Perda di sebelah Barat Dayanya. Saya

diminta oleh sahabat ini untuk menulis kisah hidup dan

penderitaan yang melanda keluarga ini, dengan harapan

ada yang sudi datang membantu.

 

Kami dimaklumkan bahawa rumah sewa seperti rumah

setinggan beralamat di 46, Mk 3, Kg Petani, Penanti,

Kubang Semang, Bukit Mertajam ini dihuni oleh Adik

Anas 14 tahun, abangnya Syafiq 15 tahun dan kakaknya

Ina 17 tahun serta ibunya Siti Rahmah Bt Zakaria 47

tahun sejak kira-kira 15 tahun yang lalu.

 

Saya pun tak tahu nak mula dari mana, kerana sepanjang

perjalanan hidup saya yang pernah dibesarkan dalam

suasana penuh kemiskinan dalam sebuah keluarga penoreh

getah di Ulu Baling sana, pernah makan nasi cuma

berlaukkan garam, inilah pertama kali saya melihat

dengan mata kepala sendiri ada keluarga yang agak

senasib dengan diri saya semasa kecil, bukan di Ulu

Baling atau di rimba Mahang tapi di tengah-tengah

pekan, di pinggir kota raya.

 

Ina 17 tahun berhenti sekolah semasa Tingkatan 2 nak

masuk Ting 3.

Reason: tak ada duit nak bayar yuran PMR

 

Syafiq 15 tahun berhenti sekolah juga semasa Tingkatan

2.

Reason: selain dari tak ada wang nak bayar yuran PMR,

sebab lain yang utama ialah kerana tidak ada IC dan

juga surat beranak.

 

Anas 14 tahun: Tingkatan 2 sedang berkira-kira nak

berhenti sekolah, berkali-kali merayu ibunya nak

berhenti sekolah agar dapat membantu ibunya mencari

rezeki. Berhenti atau tidak - tak sure lagi.

 

Sedangkan saya anak kampung dari Ulu Baling yang

pernah makan ubi kayu campur nasi ini pun boleh

sekolah sampai lepas U (t.kasih kpd pihak-pihak yang

berkenaan), inikan pula anak-anak orang di pinggir

kota, terpaksa berhenti sekolah dalam usia yang masih

muda. Apa ceritanya?

 

Bila mendengar cerita dari mulut mereka sendiri, bukan

kata Anas, kalau saya pun mungkin akan minta berhenti

juga.

 

Bayangkanlah, anak mana yang tak kasihan melihat

ibunya bertungkus lumus pi kerja balik kerja, naik bas

dari Penanti ke BM, dari BM ke Butterworth dengan gaji

tak sampai RM500 sebulan; dalam keadaan Barah Buah

Dada yang kian parah terpaksa juga mengambil risiko

demi anak-anak tersayang. Menurut Ina, sebelah buah

dada ibunya sudah pun dibuang, cuma tinggal sebelah

lagi yang tiap-tiap bulan terpaksa berulang-alik ke

Penang untuk Kimoterapi. Saya difahamkan hampir

separuh gaji Puan Rahmah dihabiskan untuk tambang

pengangkutan, walau pun membebankan tapi terpaksa juga

terus bekerja di sana, salah satu sebabnya ialah

kerana majikannya ada menyediakan medical benefit

untuk rawatan bulanan kimonya itu.

 

Sedih sungguh dengan nasib Puan Rahmah ini, sejak

diceraikan suami di usia Anas masih belum sekolah,

beliaulah ibu dan beliaulah ayah untuk anak-anak

tersayang. Dalam keadaan barahnya yang kian parah

ditambah pula dengan sakit Asma dan darah tinggi, hati

anak mana yang tak tersentuh melihat ibu yang sengsara

sebegini.

 

Saya hampir menitis air mata, cuma mampu menggeleng

kepala bila sahabat saya ini berceritakan kisah Puan

Rahmah yang barah buah dadanya pecah semasa di tempat

pembuangan undi. Setelah mengundi, tiba2 barahnya

pecah mengeluarkan nanah dan darah. Orang-orang kat

situ pakat menutup hidup menahan bau, tak ada siapa

yang peduli.

 

Kasihan Puan Rahmah. Tak kiralah parti mana yang

beliau undi, yang pentingnya beliau sudah pun turun ke

pusat mengundi menjalankan tugasnya terhadap NEGARA,

tapi di manakah NEGARA bila Puan Rahmah memerlukan

mereka. NEGARA ini bukanlah bermakna PM, bukanlah

bermakna YB dan bukanlah bermakna sesiapa, tapi

NEGARA itu adalah KITA semua. KITA semua inilah yang

membentuk NEGARA. Tapi, kenapakah setelah Puan Rahmah

menunaikan tanggungjawabnya terhadap NEGARA, Negara

tidak memperdulikannya?

 

Syafiq sebagai contohnya.

 

Umur baru 15 tahun, sepatutnya tahun ini di tingkatan

3; tetapi di kala rakan-rakan sebaya sedang belajar

kira mengira, sedang belajar matematik dan aljebra x +

y = 3, beliau pula terpaksa bersengkang mata dari

pukul 9 pagi hingga ke pukul 11 mlm setiap hari

membantu peniaga menjual buah-buahan; 5 biji buah

limau + 5 biji bual epal = RM4.

 

Berapa gajinya?

 

Saya nak tulis pun segan. Saya petik dari mulut Syafiq

sendiri; dia cakap:

 

"Tak ada gaji, cuma habuan lepas makan, nak makan apa

makan la - tauke bayar"

 

Bayangkanlah bersengkang mata dari 9 pagi hingga 11

malam - cuma untuk sesuap nasik.

 

Kasihan Syafiq, apalah yang mampu dilakukan oleh

budak berusia 15 tahun ini; tambah-tambah pula Syafiq

ini walau pun sah-sah rakyat Malaysia keluar dari

perut ibunya Puan Rahmah 15 tahun yg silam, tapi

sampai hari ini tak ada surat beranak atau pun kad

pengenalan. Menurut cerita, semasa kecil beliau

diberikan kpd orang, kemudian ibunya ambik balik

hinggalah sekarang. Tanpa IC tanpa Sijil tanpa

pelajaran, apalah agaknya yang akan jadi kepada anak

yang malang ini? Hidup beliau pastinya nanti kan jadi

seperti kata bidalan "Laksana Apung Dipermainkan

Gelombang", ke tepi kata gelombang ke tepilah ia, ke

tengah kata gelombang ke tengahlah dia, kalau nasib

sabut timbul nasib batu tenggelam. Kasihan sungguh

tuan-tuan!

 

Kalaulah ada siapa-siapa yang sudi membantu, mungkin

boleh cari modal untuk si Syafiq ini meniaga sendiri,

kata dia kalau takat nak meniaga buah dgn gerai

sendiri tu tak jadi masalah, cuma dia perlukan

Modal RM500 untuk bayar deposit kat lori buah dan

RM500 lagi untuk rolling. Itu pun kalau ada yg sudi

membantu!

 

Bila saya tanya pula kakak dia si Ina pasal apa

berenti sekolah; Ina yang agak rebellious ini

menceritakan bagaimana ayahnya yang selama ini tak

pernah meninggi suara dengan mereka, tetapi pada hari

yang malang berkenaan, tatkala beliau menalipon

ayahnya (kahwin lain) meminta duit untuk yuran. Ayah

dia cakap:

 

"Orang kata tak ada duit, tak ada duit la. Tak

paham-paham KA??"

 

Kata Ina, air mata dia mengalir deras bila dengar ayah

dia cakap macam tu. Terus patah semangat nak belajar.

Menurut sahabat saya, dua tahun kemudian semasa

berusia 16 tahun, Ina dimasukkan ke Wad

Mental di Pulau Pinang. Sekarang dah okey dan bekerja

di sebuah kantin di Pulau Pinang, takat lepas untuk

dia seorang.

 

Menjenguk ke dalam rumah sewa mereka ini, bolehlah

dilihat macam mana keadaan hidup mereka seharian,

tidaklah doif sangat rumah mereka ini, tetapi bila ke

belakang rumah, boleh nampak Tandas yang sudah reban

nak runtuh menyembah bumi. Bila ditanya di mana mereka

melepas hajatnya, malu-malu mereka cakap di rumah

Indonesia sebelah rumah. Bayangkanlah anak dara sunti

17 tahun nak melepas terpaksa berkongsi tandas dengan

mat-mat Indon, lelaki belaka pulak tu!

 

Akhir sekali, sebab utama sahabat saya meminta kisah

keluarga Anas ini dituliskan di mailing list ini ialah

memohon simpati masyarakat agar dapat membantu Anas,

dengan harapan nasib malang yang menimpa abangnya

Syafiq dan kakaknya Ina ini tidak akan berulang kepada

Anas. Yang sudah berlaku kepada Ina dan Syafiq sudah

pun berlaku, biarlah ia berlalu tapi adik mereka si

Anas perlu dibantu.

 

Saya pun tak tahu lagi nak tulis macam mana, cumanya

kalau tuan-tuan dan puan-puan nak tahu, walaupun

sekarang sudah bulan Oktober nak masuk Nov, Anas masih

belum punya buku Teks lagi. Kerja sekolah pakai pinjam

buku kawan dan takat nota-nota saja. Yang paling

tragis sekali, Anas juga sering saja ponteng sekolah

khususnya waktu ada pelajaran Pendidikan Jasmani.

 

Bila saya tanya Anas pasal apa, Anas jawab:

 

"Tak ada seluar PJ"

 

Secara kebetulannya, pada hari yang sama Sabtu 16 Oct

2004, tersiar di muka depan suratkhabar Utusan

Malaysia kenyataan Timb Menteri Pendidikan "Sebab

Murid Ponteng Sekolah Ialah Kerana Cikgu Tak Pandai

Mengajar!".

 

Kita tak tau apa punca sebenarnya murid-murid ponteng

sekolah, tapi yang pasti, Anas selalu ponteng sekolah

bukan kerana cikgu Anas tak pandai mengajar tapi sebab

ibunya tak mampu belikan Anas Seluar!!

 

Sekian. Moga kisah perjalanan kami di minggu pertama

puasa ini ada manafaatnya.

 

[email protected]



Hosted by www.Geocities.ws

1