Portal tepati aspirasi pembangunan ICT
SUBANG JAYA 4 Julai - Portal Pendidikan Utusan
bakal menjadi gerbang pendidikan futuristik selain berperanan sebagai sebuah
institusi pendidikan dan rujukan percuma untuk masyarakat, kata Menteri Besar
Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo.
Katanya, penggunaan medium elektronik lebih
bersifat demokratik, sejagat serta telus dan sehubungan itu, melalui portal
tersebut semua pihak mempunyai akses terhadap ilmu secara perkongsian masa dan
interaktif.
Menurutnya, pembinaan portal Utusan bertepatan
dengan aspirasi pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) negeri
Selangor.
``Justeru penglibatan pihak swasta membantu
kerajaan negeri menyebarkan budaya teknologi maklumat (IT) sangat
dialu-alukan.
``Usaha membina portal untuk membawa maklumat
pendidikan kepada pelajar, guru dan ibu bapa merupakan langkah positif dan
terpuji pihak swasta untuk membantu kerajaan dalam pembangunan pendidikan,''
katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada
majlis perasmian Portal Pendidikan Utusan peringkat negeri Selangor di Sekolah
Menengah Kebangsaan Subang Utama di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah
Eksekutif Kumpulan Utusan, Mohd. Nasir Ali dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan,
Datuk Khalid Mohd.
Portal tersebut telah dilancarkan di peringkat
kebangsaan oleh Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad, kelmarin.
Dr. Khir berkata, pembinaan portal tersebut
merupakan satu anjakan paradigma terhadap sistem pengajaran dan pembelajaran
tradisional yang dijangka dapat merealisasikan matlamat menjadikan pendidikan
negara bertaraf dunia.
``Kaedah pengajaran dan pembelajaran hari ini mesti
memberikan penekanan kepada beberapa perkara seperti sumber yang interaktif,
input yang pelbagai, penggunaan teknologi secara optimum dan menyeronokkan,''
katanya.
Beliau menambah, penggunaan portal tersebut dalam
proses memperoleh ilmu diharap mampu menyedia dan menggalakkan perkongsian
maklumat secara bijak antara guru, pelajar dan penjaga.
Bagi golongan pelajar, jelasnya, portal itu mampu
membantu mereka membuat rujukan bagi mata pelajaran teras secara komprehensif
berdasarkan huraian sukatan pembelajaran dalam persekitaran dan pembelajaran
bestari.
Para guru pula, jelas beliau, berpeluang
menggunakan portal berkenaan dalam merangka strategi pengajaran yang sesuai
dalam bilik darjah apabila ia memberi ruang kepada mereka menjadi lebih kreatif
dan inovatif.
Selain itu, Dr. Khir pada sidang akhbarnya meminta
para guru, pelajar dan ibu bapa memanfaatkan sepenuhnya Portal Pendidikan Utusan
itu untuk meningkatkan pencapaian akademik pelajar di negara ini.
Katanya, jurang digital yang wujud di antara
pelajar luar bandar dengan bandar serta pelajar miskin dan kaya perlu ditangani
supaya tidak ada pihak yang keciciran dalam era IT ini.
Back To Top