Home Links       Selamat Datang Ke Laman Web Kami..


Isu-isu intergrasi komputer dan internet serta jaringan dalam pendidikan prasekolah di Malaysia: Refleksi kritis pembentukan dasar dan implementasi.

Menurut laporan yang dibentangkan oleh YB Menteri Pendidikan Malaysia dalam perutusannya kepada pegawai-pegawai Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada 11 Januari 2001 yang lepas, Jawatankuasa Kabinet mengenai pendidikan yang dipengerusikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri sedang meneliti cadangan-cadangan Kementerian Pendidikan Malaysia mengenai perluasan penawaran pendidikan prasekolah termasuk pengemaskinian kurikulumnya (KPM, 2001). Ini adalah sejajar dengan keperluan meningkatkan status perlaksanaan program pendidikan prasekolah yang semakin tidak terkawal, sehingga menyebabkan pelbagai pendekatan, tuju hala dan kurikulum yang kurang menepati kehendak negara yang sedang membangun (PPK, 1999). Namun, isu komputer dan kanak-kanak prasekolah di Malaysia juga mempunyai implikasi yang hampir serupa dengan dilema aplikasi pendidikannya di sekolah-sekolah dan tadika-tadika. Justeru itu, persoalan mengenai intergrasi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) ke dalam pendidikan prasekolah dan kurikulumnya harus diteliti dengan terperinci dalam usaha melahirkan generasi yang celik ICT yang berasaskan pemuliharaan nilai-nilai murni dalam peradaban penerokaan ilmu pengetahuan yang tinggi.

Generasi muda Malaysia tidak seharusnya dibiarkan membangun menjadi 'intellectual cul-de-sacs', iaitu golongan intelektual yang tidak progresif dan maju. Malah, anak-anak muda kini semakin berpeluang untuk bersaing dalam arena pembangunan yang sama dengan generasi negara-negara maju yang lain, dan salah satunya adalah melalui kelebihan infrastruktur dan prasarana pesat dalam ICT. Pelbagai penyelidikan (Lipinski, Nida, Shade & Watson 1986; Clements & Nastasi, 1992; Lomangino, Nicholson & Sulzby, 1999; Nicholson, Gelpi, Young & Sulzby, 1998; Teng, 1997; Solomon, 1998; Haugland, 2000) telah menegaskan bahawa teknologi pendidikan dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) telah dikenalpasti sebagai salah satu pilihan yang berkesan dalam peningkatan kemajuan kognitif serta sosio-emosi kanak-kanak.

Satu kajian yang telah dibuat di Western Australia (WA) mengutarakan bahawa kanak-kanak di Australia, khususnya kanak-kanak prasekolah semakin menunjukkan kemahiran yang tinggi (setelah melalui ujian BDI oleh Trinidad, 1992) dalam kebolehan mengawal penggunaan teknologi komputer (Shahrimin, 2001). Menurut kajian Shahrimin (2001) dan Trinidad (1995), hampir kesemua kelas prasekolah di sekitar metropolitan Perth, Western Australia mempunyai sekurang-kurangnya satu unit komputer peribadi dan hampir 60% daripada jumlah ini mempunyai jaringan internet. Berdasarkan kepada program intergrasi teknologi pendidikan dalam P&P oleh Education Department of Western Australia (EDWA), kesemua guru-guru prasekolah kelolaan kerajaan Western Australia dikehendaki menggunakan struktur kerangka kurikulum intergrasi ICT oleh EDWA dalam menggalakkan serta meningkatkan kemahiran ICT dalam pendidikan kanak-kanak di Western Australia. Sekiranya dibandingkan senario intergrasi ICT di Malaysia, agak jelas bahawa masih terdapat jurang yang ketara di antara bahan rujukan dan penyelidikan (lebih-lebih lagi bahan penerbitan) mengenai sebarang kerangka perancangan atau pelan tindakan yang komprehensif dalam arena pendidikan prasekolah dan komputer atau internet. Namun begitu, Projek Sekolah Bestari oleh KPM semakin menampakkan keberkesanannya dalam menangani isu-isu ICT ini di peringkat sekolah-sekolah menengah dan rendah. Akan tetapi, isu-isu berkenaan dengan pengintergrasian komputer atau internet dan jaringan dalam pendidikan prasekolah masih lagi kurang mendapat perhatian yang sewajarnya (Shahrimin, 2001).

Back To Top

Menurut kajian Hewitt (1998) mengenai persepsi ibubapa-ibubapa di Malaysia terhadap prasekolah, kurikulum yang berorientasikan falsafah pendidikan Barat (seperti Montessori atau Accelerated Learning) tetap menjadi antara pilihan utama dalam membuat pilihan institusi pendidikan prasekolah anak-anak mereka, walaupun aspek moral dan agama masih menjadi fokus penting. Namun, terdapat beberapa persoalan yang signifikan dan mampu memberi impak dalam perbincangan mengenai intergrasi komputer dan internet atau jaringan ke dalam kurikulum dan pendidikan prasekolah di Malaysia, dan antaranya adalah seperti berikut:

1. Adakah persepsi ibubapa-ibubapa (seperti dalam penemuan kajian Hewitt, 1998) terhadap keberkesanan pendidikan prasekolah yang beracuankan falsafah dan budaya Barat ini terus dibiarkan membentuk dasar intergrasi komputer dan internet dalam persekitaran kanak-kanak di Malaysia?

2. Wajarkah dari segi logistik serta ekuiti dan ekses (equity & access) untuk memperkenalkan teknologi ICT ini kepada kanak-kanak peringkat awal?

3. Secara lebih spesifik, adakah makmal komputer perlu untuk kanak-kanak prasekolah dalam proses intergrasi ICT?

Dalam menjawab kepada persoalan 3, Davies & Shade (1999) menegaskan dengan jelas bahawa penggunaan makmal komputer dalam persekitaran kanak-kanak peringkat awal didapati mampu menggalakkan pengasingan atau 'isolation', berbanding dengan intergrasi atau 'intergration'. Bagi penyelidik tersebut, slogan "Intergrate, don't isolate!" adalah salah satu bentuk penghalang serta 'anecdote' kepada pembentukan generasi kanak-kanak 'intellectual cul-de-sacs' akan datang. Penemuan ilmiah ini selaras dengan pendapat penyelidik-penyelidik lain seperti (Perlmutter, et al, 1982; Lipinski, Nida, Shade & Watson 1986; Clements & Nastasi, 1992; Nicholson, Gelpi, Young & Sulzby, 1998; Teng, 1997; Solomon, 1998; Haugland, 2000a; Haugland, 2000b; Haugland & Wright, 1997; Papert, 1998; Crook, 1995). Merujuk kepada persoalan 2., di atas, KPM (2001) dilaporkan bercadang membekalkan makmal komputer kepada 2300 buah sekolah mulai tahun 2001 (melalui program pengkomputeran sekolah) dan Aplikasi Perdana Sekolah Bestari (dalam RM-8).

Adalah jelas bahawa aspek ekuiti dan ekses tetap menjadi agenda utama KPM (peringkat sekolah menengah dan rendah). Namun begitu, isu penggunaan komputer dalam makmal oleh kanak-kanak peringkat awal (4-6 tahun) juga harus dipertimbangkan secara serius dan terperinci agar dasar matlamat pencapaian pembangunan holistik dan "developmentally appropriate" kanak-kanak mampu dicapai. Pembentukan dasar dan strategi yang realistik dan lebih bersifat "bottom-up" dari kalangan pendidik kanak-kanak awal harus berlandaskan "culturally-based" serta "value-ladened pespectives" dengan aplikasi pada senario tempatan. Analisis strategik adalah kritikal dalam membentuk "action plan" yang kolaboratif dan komprehensif kepada guru-guru prasekolah, pentadbir, penggubal dasar, dan khususnya perlaksana dasar tersebut. Budaya penyelidikan harus disemai dengan lebih giat pada semua peringkat. Anak-anak, cucu-cicit kita berhak mendapat kebahagiaan kehidupan dalam membentuk komuniti yang mempunyai intelek yang berlandaskan nilai-nilai murni dan berpengetahuan tinggi (value-based knowledge society). Akhirnya, kita harus yakin dengan sepenuh hati bahawa generasi muda kita ini adalah bakal vis-'a-vis (setaraf atau lebih maju) dengan mana-mana generasi anak-anak muda dari negara-negara maju yang lain.

Artikel Oleh : Mohamad Ibrani Shahrimin

Back To Top
Best Viewed with IE > 5.0, 800x600 resolution
� Copyright To Subha&Team, All Rights Reserved.
For Information
Webmaster
Hosted by www.Geocities.ws

1