| WUDHU | ||||||
| Sebelum mengerjakan solat, wajib bagi seseorang itu untuk mengambil wudhu ataupun air sembahyang. Jika tidak dapat bekalan air, wajib mengerjakan tayamum. Tayamum akan diketengahkan di halaman lain. 1. Cara-cara berwudhu 2. Bagaimana wudhu zahir dan batin itu? 3. Doa selepas berwudhu 4. Perkara-perkara yang membatalkan wudhu Cara-cara berwudhu Tiap-tiap langkah yang diambil semasa berwudhu ada doa yang disunatkan membacanya. Sebelum membuat sesuatu, disunatkan membaca Bismillahirrahmanirrahim; yang bermaksud Dengan nama Allah yang Pengasih Penyayang. Langkah 1: Mencuci kedua belah tangan - Termasuk tengah-tengah jari jemari sehingga ke pergelangan tangan. Tekan di sini untuk membaca doa tatkala membasuh tangan. Langkah 2: Berkumur-kumur dan membersihkan hidung, membaca doa tatkala berkumur-kumur, membaca doa tatkala berbersihkan hidung. Langkah 3: Membasuh muka - Dari atas dahi hingga ke anak telinga dan seterusnya ke dagu. Langkah 4: Membasuh kedua belah lengan, kanan dahulu - sehingga lepas siku. Langkah 5: Menyapu sebahagian kepala. Langkah 6: Membasuh kedua telinga, kanan dahulu - di luar dan di juga dalam. Langkah 7: Menyapu tengkuk Langkah 8: Membasuh kedua belah kaki, kanan dahulu - Termasuk tengah-tengah jari jemari sehingga ke buku lali. PERHATIAN: Hukum langkah 1, 2, 6 & 7 adalah sunnat, yang lain adalah wajib. Ia juga sunat jika tiap langkah dibuat 3 kali, tetapi adalah wajib dibuat sekali. Bagaimana wudhu zahir dan batin itu? Wudhu zahir sebagaimana biasa iaitu membasuh semua anggota wudhuk dengan air. Sementara wudhu batin ialah membasuh anggota dengan tujuh perkara :- 1. Bertaubat 2. Menyesali dosa yang telah dilakukan 3. Tidak tergila-gilakan dunia 4. Tidak mencari/mengharap pujian orang (riya') 5. Tinggalkan sifat berbangga 6. Tinggalkan sifat khianat dan menipu 7. Meninggalkan sifat dengki Doa Selepas Berwudhu Selepas mengambil wudhu, adalah sunat untuk membaca doa. Maksudnya: Aku menyaksikan bahawa tiada Tuhan melainkan Allah yang esa tidak ada menyekutui-Nya. Dan aku menyaksikan bahawa Muhammad itu adalah hamba-Nya dan pesuruh-Nya. Ya Allah, jadikanlah aku daripada orang bertaubat, dan jadikanlah aku daripada hamba-Mu yang soleh. Maha suci Engkau ya Allah dengan sifat kepujian-Mu. Aku menyaksikan bahawa tiada Tuhan melainkan Engkau. Dan Allah rahmati serta sejahterakan junjungan kami Muhammad, keluarganya dan sahabat-sahabatnya. Perkara-Perkara yang Membatalkan Wudhu Wudhu akan batal dengan berlakunya perkara-perkara yang berikut ini: 1. Buang air kecil/besar, buang angin atau keluar sesuatu zat dari salah satu lubang kemaluan 2. Tidur nyenyak sehingga tidak sedar apa-apa yang berlaku ke atas diri kita 3. Hilang akal kerana mabuk, gila, pitam dan sebagainya 4. Bersetubuh ataupun mengeluarkan mani 5. Menyentuh, sengaja atau tidak sengaja, kemaluan atau dubur dengan telapak tangan sebelah dalam 6. Menyentuh, sengaja atau tidak sengaja, sesiapa yang bukan muhrim Ia tidak batal sekiranya tersentuh kulit dengan orang yang bukan muslim tetapi sama jantina kerana mereka tidak najis. Akidah mereka saja yang dianggap salah. Yang berbeza hanyalah aurat dimana walaupun sama jantina kita perlu memelihara aurat kita dari mereka. |
||||||
| kemuka depan | ||||||