TANDA-TANDA
KESAYANGAN ALLAH
" Apabila Allah
mahukan kebaikan kepada mana-mana hamba-Nya Ia jadikannya merasa dirinya kaya
dan ia mengisi taqwa di dalam hatinya, dan apabila Allah mahukan keburukan
kepada mana-mana hamba-Nya Ia jadikan kemiskinan itu terbayang di matanya.
"
Diriwayatkana oleh al-Hakim dari Abi Hurairah
TUJUANNYA
Kaya dan miskin sentiasa menjadi persoalan pokok dalam hidup manusia di dunia
ini. Yang miskin ingin jadi kaya dan yang kaya ingin jadi lebih kaya lagi. Namun
begitu keinginan untuk jadi kaya bukanlah merupakan satu dosa di sisi Allah,
demikian juga keinginan menjadi lebih kaya. Tetapi yang sering menghilangkan
pertimbangan manusia yang wajar dan yang sering menjadikan manusia lupakan
daratan ialah perasaan tamak yang tidak mengenal batasnya, perasaan merasa tidak
cukup yang tidak tahu sempadan.
Dalam hadis ini Allah mendedahkan dua sifat pokok yang membezakan di antara
orang yang disayangi Allah dengan orang yang dibenci Allah. Sifat yang disayangi
Allah ialah sifat memada dan sederhana. Setiap orang yang dapat menikmati sifat
itu akan merasa dirinya benar-benar kaya dan merdeka. Ia tidak diburu oleh
merasa kebimbangan yang bukan-bukan, tidak dirasuk oleh ketamakan-ketamakan yang
boleh memesongkan jalan hidupnya yang baik, sementara sifat orang yang dibenci
Allah ialah orang yang sentiasa merasa dirinya diancam kemiskinan, ia begitu
takut jatuh papa dan miskin, begitu panik dengan kemerosotan kekayaannya
walaupun kekayaan yang wujud dalam miliknya masih kukuh dan masih tidak seburuk
orang lain.
Penyakit takut miskin atau 'miskin fobia' merupakan penyakit zaman moden yang
amat ditakuti sekali, kerana itu sebilangan besar orang ramai melindungi dirinya
dan anak buahnya dengan berbagai-bagai insuran dan menyapu dari jiwa mereka
sebarang perasaan menyerah dan bertawakal kepada Allah yang menjadi sifat utama
para Mukminin dan tidak kurang pula menjadi petualang-petualang yang bersedia
untuk merompak apa sahaja peluang yang dapat membebaskan mereka dari ketakutan
menjadi miskin. Dan penyakit inilah juga yang menjadikan mereka manusia-manusia
bakhil yang hanya sibuk menghitung punca-punca masuk dan keluarnya duit-duit
mereka, tanpa mengira kewajipan-kewajipan terhadap Allah dan masyarakat.
Dalam surat Al-Isra' ayat (100) Allah memberi satu sindiran tajam kepada manusia
yang dikongkongi penyakit 'miskin fobia'
" Katakanlah wahai Muhammad kalau kiranya kamu (wahai manusia) menguasai
perbendaharaan-perbendaharaan nikmat Tuhanku tentulah kamu tahankan
perbendaharaan itu kerana takut membelanjakannya, sesungguhnya manusia itu amat
bakhil. "
Al-Isra' (100)