Penawar Hati gelisah........
PADA Rejab yang mulia ini, umat Islam digalakkan membuat seberapa banyak amal.
Insya-Allah dengan keikhlasan dalam mengerjakan suruhan dan perintah Allah akan
diberikan ganjaran setimpal.
Di antara amalan yang dituntut Islam bukan saja pada Rejab, malah setiap masa
ialah membaca al-Quran.
Al-Quran adalah kitab suci yang terakhir diturunkan. Kandungan merangkumi segala
dasar syariat yang terkandung dalam kitab suci yang diturunkan sebelumnya.
Mereka yang mempercayai al-Quran akan berusaha membaca, mempelajari, memahaminya
serta mengamalkannya, juga mengajarkan kepada orang lain.
Rasulullah bersabda menyatakan semulia-mulia ibadat ialah membaca al-Quran dan
mengajarnya.
Membaca al-Quran adalah amalan mulia, mendapat pahala berlipat ganda pada setiap
huruf yang diturunkan. Al-Quran adalah sebaik-baik bacaan bagi mereka yang
beriman, sama ada ketika senang atau susah. Selain ibadat yang diberi ganjaran,
membaca al-Quran menjadi ubat atau penawar bagi mereka yang gelisah jiwanya.
Seorang lelaki berjumpa Ibnu Mas'ud meminta nasihat untuk dijadikan ubat jiwanya
yang sedang resah gelisah, fikiran kusut, tiada selera makan dan tidak boleh
tidur seperti biasa.
Ibnu Mas'ud menyatakan bahawa untuk mengubatinya ia menasihati agar sahabat tadi
mengunjungi tiga tempat iaitu tempat orang membaca al-Quran. Atau mendengar
baik-baik orang yang membaca al-Quran. Pergi ke majlis ilmu yang mengingatkan
hati kepada Allah, memohon ketenangan jiwa dan ketenteraman fikiran juga
kemurnian hati. Andainya jiwa masih juga tidak terubat dengan cara ini, minta
kepada Allah agar diberi hati yang lain, kerana hati yang dimiliki bukan
hatinya.
Sahabat itu mengamalkan apa yang disuruh oleh Ibn Mas'ud. Dia pergi mengambil
wuduk kemudian membaca al-Quran dengan penuh khusyuk. Selepas sempurna membaca
al-Quran, jiwanya dirasa begitu tenang dan tenteram, manakala kegelisahannya
hilang sama sekali.
Membaca al-Quran, sama ada memahami ertinya atau tidak adalah ibadat, amalan
soleh dan memberi rahmat serta manfaat bagi mereka yang melakukannya.
Memberi cahaya dalam hati, memberi cahaya kepada keluarga juga tempat di mana
al-Quran itu dibaca.
Sebuah hadis riwayat oleh Bayhaqi daripada Anas dinyatakan bahawa Rasulullah ada
bersabda, maksudnya: “Hendaklah kamu beri nur (cahaya) rumah tangga kamu
dengan sembahyang dan dengan membaca al-Quran.”
"...