Layakkah?

Bila masuk tahun 1425, aku terfikir mengenai hidupku. Aku mengerjakan sembahyang 5 waktu dan kadang kala ke Masjid untuk berjemaah. Puasa di bulan ramadan dan puasa sunat 2, 3 hari setahun. Bayar zakat. Layakkah aku untuk mendapat syurga Allah SWT?


Aku seorang lelaki. Kalau seorang perempuan yang taat kepada suami dah cukup kerana sabda Rasulullah SAW " Seorang wanita yang apabila mengerjakan solat lima waktu, berpuasa wajib sebulan (Ramadhan), memelihara kehormatannya serta taat kepada suaminya, maka pasti akan masuk syurga dari pintu mana saja yang dia kehendaki."

Kalau mengukur tahap pengorbanan aku terhadap Islam, hampir tiada. Wang ringgit yang diperolehi tak mencukupi untuk di belanjakan untuk jalan Allah. Masa pula terlalu sibuk untuk luangkan.

Kalau dinilai, gaji ku dulu yang kecil tak cukup dan sekarang yang berlipat kali ganda pun masih tak cukup. Semuanya dibelanjakan, kononnya, untuk keperluan. Langsir yang masih baru ditukar, adakah satu keperluan? Accessories kereta yang sentiasa ditukar dan ditambah, adalah satu keperluan? Pakaian-pakaian yang berjenama adakah satu keperluan? Kalau semua yang mengikut nafsu aku anggap keperluan, bila aku akan membelanjakan sebahagian dari rezeki kurniaan Allah ke jalanNya?

Bila aku mempunyai rezeki yang lebih akan kusimpan untuk hari tua dan tidak tergerak untuk kusimpankan untuk hari akhirat. 10% pulangan ASB aku kejar tetapi janji Allah untuk melipat ganda kebaikan aku lupa. Aku terlalu memikirkan bekalan aku untuk hidup di hari tua tanpa memikirkan aku akan menghadap Penciptaku dalam keadaan papa.

Kalau cakap mengenai  masa, 24 jam untuk satu hari tak cukup. Sehari suntuk bekerja. Bila balik melayan anak-anak. Pergi hantar anak tuisyen dan lain-lain. Kalau weekend, sibuk bawa anak isteri bersiar-siar. Quality time konon! Masa sembahyang tak quality tak apa. 3 minit habis 4 rokaat. Doa pun tak sempat baca. Aku sedar itu semua pasal time management. Kalau 15 minit sebelum magrib dah masuk rumah dan start mandi untuk ke masjid tentu tak ada masalah, ini selagi azan tak berkumandang, selagi tu tak reti nak mandi dan siap anak-anak.

Duit, aku bakil untuk belanjakan kejalan Allah, masa pula tak kuluangkan ke jalanNya. Jadi... layakkah aku untuk kesyurgaNya?

Aku sedar.

Inilah kisah diriku.

Kesedaran tanpa perubahan tiada gunanya.

Wassalam.

 

kemuka depan

Hosted by www.Geocities.ws

1